Salji masih turun ketika Aiman Mukhriz menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sunan, Pyongyang. Angin musim sejuk menyapa wajahnya dingin dan tajam. Dari jendela pesawat tadi, dia dapat melihat betapa sunyinya kota ini jalan-jalan luas tanpa kesesakan, bangunan-bangunan kelabu yang berdiri seperti saksi bisu dan rakyat yang berjalan dengan langkah penuh disiplin.
"Inilah Korea Utara," bisik hatinya.
Seorang pegawai kedutaan Malaysia, Encik Farid, sudah sedia menunggunya di luar terminal ketibaan. Lelaki itu berpakaian kemas dengan kot tebal tangannya diseluk ke dalam poket. Sebaik sahaja Aiman melangkah keluar dari terminal angin sejuk menusuk kulitnya.
"Selamat datang ke Pyongyang, Aiman."
Aiman berjabat tangan dengannya. "Terima kasih, Encik Farid. Sejuk betul di sini."
Farid mengangguk sambil tersenyum tipis. "Kau akan terbiasa nanti. Mari, kita terus ke kedutaan."
Dua lelaki Korea Utara berpakaian kemas berdiri berhampiran, memerhati dari jauh. Mata mereka tajam seolah-olah menilai setiap pergerakan Aiman. Farid memberi isyarat kepada seorang pemandu yang sudah menunggu di dalam kereta hitam berkaca gelap. Tanpa banyak soal, mereka melangkah masuk ke dalam kenderaan itu.
___
Perjalanan Ke Kedutaan
Sepanjang perjalanan menaiki kereta rasmi kerajaan Korea Utara, Aiman memerhati suasana di luar tingkap. Pyongyang terlalu teratur, terlalu bersih, terlalu sunyi. Tiada papan iklan besar, tiada kedai-kedai berlampu neon seperti di Kuala Lumpur. Hanya slogan-slogan propaganda terpampang di dinding bangunan dengan wajah pemimpin negara yang digambarkan seperti dewa.
Di tepi jalan, sekumpulan kanak-kanak berpakaian tebal berdiri dalam barisan menyanyi lagu propaganda. Suara mereka lantang dan hampir menyerupai suara robotik.
Di satu simpang, beberapa askar berdiri berkawal. Wajah mereka kosong, seolah-olah tidak beremosi.
Aiman menarik nafas panjang.
"Kau kena ingat satu benda penting bila berada di sini," suara Farid memecah keheningan.
Aiman memandangnya. "Apa dia?"
Farid bercakap dengan nada rendah, seperti seseorang yang tahu perbualan mereka mungkin sedang diawasi.
"Jangan bercakap sembarangan. Jangan banyak bertanya. Jangan tunjukkan reaksi pelik kalau kau nampak sesuatu yang luar biasa."
Aiman mengangguk. Dia sudah banyak membaca tentang Korea Utara sebelum datang ke sini. Dia tahu betapa tertutupnya negara ini, bagaimana rakyatnya hidup dalam sistem yang dikawal sepenuhnya.
Tetapi satu perkara yang dia tidak tahu di kota kelam ini, dia akan menemukan sesuatu yang tidak pernah dijangkakannya.
_____
Kedutaan Malaysia di Pyongyang
Kereta hitam itu berhenti di hadapan sebuah bangunan kecil berpagar besi. Bendera Malaysia berkibar perlahan di hadapan pintu masuk. Bangunan itu nampak sederhana, jauh berbeza daripada kedutaan Malaysia di negara lain yang lebih moden dan sibuk.
Sebaik sahaja masuk Aiman menyedari betapa sunyinya tempat itu. Tiada hiruk-pikuk telefon berdering tiada staf yang lalu-lalang dengan dokumen di tangan. Hanya ada beberapa orang pegawai Malaysia yang sedang berbincang dalam nada rendah dan seorang staf tempatan yang berdiri di sudut diam tanpa ekspresi.
Farid membawanya ke pejabat kecil di tingkat satu. Di dinding hanya ada gambar besar pemimpin Korea Utara dan bendera Malaysia yang sedikit lusuh.
"Tempat ni nampak... tenang," Aiman bersuara perlahan.
Farid meletakkan fail di atas meja. "Tenang atau sunyi?"
Aiman tersenyum tipis. "Kedua-duanya."
Farid bersandar di kerusi, memandangnya dengan serius.
"Dengar sini, Aiman. Tugas kau di sini adalah mudah. Hadiri mesyuarat, sampaikan arahan dari Putrajaya, dan pastikan semuanya berjalan lancar. Jangan cuba jadi hero, jangan buat benda luar dari kebiasaan. Kita bukan di Kuala Lumpur. Setiap pergerakan kita diperhatikan."
Aiman mengangguk. "Faham, bos."
Dan dia tidak tahu bahawa takdirnya akan berubah di sebuah stesen minyak sunyi di pinggir kota Pyongyang.
Share this novel