8:00 pagi – Kedutaan Besar Malaysia, Pyongyang
Aiman Mukhriz berdiri di hadapan cermin, membetulkan tali lehernya dengan cermat. Fikirannya bercelaru memikirkan pertemuan yang bakal berlangsung. Panggilan mendadak untuk menghadap Pemimpin Agung Korea Utara, Kim Jong-un, bersama Duta Besar Malaysia, Datuk Nizan, menimbulkan pelbagai persoalan. Mengapa dia, seorang setiausaha kedua turut dipanggil?
9:30 pagi – Istana Ryongsong
Konvoi kenderaan rasmi Malaysia tiba di perkarangan Istana Ryongsong, kediaman rasmi Kim Jong-un. Istana ini terkenal dengan kawalan keselamatan yang ketat dan jarang menerima kunjungan diplomat asing. Aiman dan Datuk Nizan disambut oleh pegawai protokol Korea Utara yang membawa mereka ke sebuah bilik mesyuarat yang luas.
Kim Jong-un duduk di hujung meja panjang dikelilingi oleh pegawai-pegawai tertinggi Korea Utara. Senyumannya nipis, matanya tajam memerhati kedua-dua diplomat Malaysia itu.
"Selamat datang, Duta Besar Nizan, Encik Aiman," sapa Kim Jong-un dalam bahasa Korea yang diterjemahkan oleh jurubahasa. "Kita berhadapan dengan situasi yang memerlukan penyelesaian segera."
Datuk Nizan menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat. "Terima kasih atas jemputan ini, Pemimpin Agung. Kami juga berharap hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dapat dipulihkan."
Perbincangan berlangsung tegang. Kim Jong-un menuntut Malaysia menghentikan siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam dan penyerahan jenazahnya kepada Korea Utara. Beliau juga menuntut pembebasan rakyat Korea Utara yang ditahan di Malaysia. Sebagai balasan, Korea Utara akan membenarkan rakyat Malaysia di Pyongyang pulang dengan selamat.
Datuk Nizan dengan diplomasi cuba menjelaskan pendirian Malaysia. Namun, jelas kelihatan bahawa Kim Jong-un tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut.
11:00 pagi – Selepas Mesyuarat
Setelah pertemuan tamat, para pegawai Korea Utara mengiringi Datuk Nizan keluar dari bilik mesyuarat. Namun, Aiman diminta untuk tinggal sebentar. Hatinya berdebar tidak pasti apa yang bakal berlaku.
Seorang pegawai keselamatan menghampiri Aiman dan menyerahkan sebuah sampul surat berwarna coklat. "Ini arahan peribadi dari q Agung untuk anda," katanya ringkas sebelum beredar.
Dengan tangan yang sedikit menggigil, Aiman membuka sampul tersebut. Di dalamnya terdapat beberapa keping gambar yang membuatkan darahnya berderau. Gambar Seo Yeon bersama ibunya yang diambil tanpa pengetahuannya.
Terdapat juga sekeping nota yang ditaip kemas:
"Jika anda mahu mereka selamat, yakinkan bapa anda supaya kerajaan Malaysia memenuhi tuntutan kami. Jangan beritahu sesiapa tentang perkara ini."
Aiman terduduk di kerusi berhampiran, nafasnya sesak. Dia kini berada dalam dilema besar antara tanggungjawabnya sebagai diplomat dan keselamatan Seo Yeon dan ibu nya .
11:30 pagi – Dalam Perjalanan Pulang ke Kedutaan
Di dalam kereta, Datuk Nizan memerhati Aiman yang kelihatan pucat dan gelisah. "Aiman, adakah semuanya baik?"
Aiman tersentak dari lamunan. Dia memaksa senyuman. "Ya, Datuk. cuma kepala saya sedikit pening mungkin magrain ."
Datuk Nizan mengangguk, walaupun jelas kelihatan keraguan di wajahnya.
12:00 tengah hari – Kedutaan Besar Malaysia, Pyongyang
Setibanya di kedutaan, Aiman segera menuju ke pejabatnya dan mengunci pintu. Dia menatap kembali gambar-gambar dan nota tersebut. Fikirannya bercelaru mencari jalan keluar dari situasi genting ini tanpa mengkhianati negaranya atau membahayakan nyawa Seo Yeon dan ibunya.
Dia sedar setiap keputusan yang diambil akan membawa kesan besar kepada dirinya, keluarganya, dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.
2:00 petang – Apartmen B Pyongyang
Seo Yeon sedang duduk di sofa kecil di ruang tamu memandang ke luar tingkap dengan wajah penuh kebimbangan. Sejak pagi tadi dia merasakan sesuatu yang tidak kena. Terlalu banyak mata yang memandangnya di jalanan serta banyak tentera yang berkawal di tempat-tempat biasa.
Ibunya, yang sedang berehat di dalam bilik, masih belum menyedari sepenuhnya bahaya yang menghampiri mereka.
Tiba-tiba, pintu apartmen diketuk kuat.
Seo Yeon tersentak. Dengan jantung berdegup kencang, dia perlahan-lahan bangun dan menghampiri pintu.
"Kami dari Jabatan Keselamatan Negara," suara seorang lelaki kedengaran dari luar. "Buka pintu sekarang."
Seo Yeon menggenggam dadanya. Dia teragak-agak untuk membuka pintu itu.
---
2:15 petang – Kedutaan Malaysia
Aiman sedang membaca semula nota ancaman dari Kim Jong-un apabila telefon pejabatnya berdering. Dia mencapai gagang dan menjawab.
Suara seorang lelaki yang tidak dikenali kedengaran di hujung talian. "Encik Aiman Mukhriz?"
Aiman mengecilkan matanya. "Siapa bercakap?"
"Kami hanya mahu menyampaikan mesej dari Pemimpin Agung."
Aiman menelan liur. "Apa dia?"
"Kami sudah mengambil Seo Yeon."
Seluruh tubuhnya membeku.
"Dan ibunya?"
"Ibu Seo Yeon juga turut berada dalam tangan kami ."
Aiman menggenggam gagang telefon dengan erat. "Jangan cederakan mereka."
Lelaki itu ketawa kecil. "Itu bergantung pada Kau Encik Aiman. Masa anda tidak banyak...
TUT.
Talian mati.
Aiman menundukkan kepalanya, nafasnya berat. Ini bukan lagi sekadar krisis diplomatik. Ini kini adalah pertempuran peribadi.
Dan dia perlu mencari jalan untuk menang tanpa mengkhianati negaranya dan kehilangan Seo Yeon.
Share this novel