Setelah meminta diri daripada kedua orang tuanya. Alia dan Sunny mula bergerak menuju ke jantung kota London yang tak pernah betul-betul sunyi, tempat mereka belajar berdikari, mengikut budaya mat salleh yang percaya bila dah cukup mampu, sudah tiba masanya untuk melangkah keluar dari rumah dan hidup sendiri.
“Beb, sumpah, aku tengok si Nadrah tadi pandang kau, macam kau tu musuh dia tujuh keturunan tau. Seram weh. Rasa macam tengah tengok scene villain dalam K-drama,” bebel Sunny sambil memulas stereng kereta dengan satu tangan, satu lagi tangan sibuk main aircond. Dahi dia masih berkerut, mata sempat menjeling ke arah Alia seperti masih belum move on dari ‘drama pagi raya’ tadi.
Alia duduk bersilang kaki di kerusi penumpang, tangan bersandar di tingkap, mata memandang kosong keluar tingkap, melihat bangunan-bangunan redbrick yang mereka lalui. Dia senyum nipis, tapi sinar di matanya seakan menyimpan seribu rasa.
“Memang pun,” balasnya, suara tenang tapi tajam. “Kau pun dengar sendiri dia sound aku tadi, kan? Bukan main bagi warning. Bukan macam subtle-subtle hint ‘please back off.’ Ni terus bagi laser beam direct ke muka. Tak kasi can.”
Sunny tarik nafas panjang, geleng kepala. Bibirnya muncung seketika, macam tengah kira-kira nak buat solat hajat berjemaah untuk Alia.
“Eee... sumpah la si Adam tu. Memang bawa aura petaka dalam hidup kau. Lepas satu, muncul pulak satu lagi masalah,” luahnya. “Aku rasa... kau dah sampai tahap wajib mandi bunga tujuh rupa dengan tujuh ustaz berbeza. Campur bunga matahari, bunga mawar, bunga tulip apa semua kalau tak cukup, bunga plastik pun aku sanggup sumbang.”
Alia tergelak kecil, akhirnya berpaling ke arah Sunny, senyuman sedikit melebar walaupun jelas wajahnya masih penat.
“Thanks beb, tapi kalau boleh... tolong sumbangkan sekali payung kalis drama. Aku dah letih kena hujan perasaan tak berbayar ni,” ujarnya, separuh serius separuh bergurau, sambil kepala disandar ke kerusi.
“Tak… masalahnya sekarang, aku ni tengah serious weh. Bukan buat lawak tak jadi. Kau yang kena hempap oleh masalah, tapi aku yang tengok pun rasa sesak nafas tau,” kata Sunny sambil mata dia menjeling ke arah Alia, tangan masih steady pegang stereng.
Alia tergelak kecil, lepas tu cepat-cepat menjawab, “Kau nak cari mana tujuh orang ustaz kat London ni? Seorang pun dah rare macam unicorn, inikan pulak tujuh. Please lah, mengada la kau ni”
Sunny mencebik. “Kalau terdesak sangat, kita balik je lah Malaysia.”
“Elehhh…” Alia terus serang balik, mata dia dah membulat sikit, tangan silang kat dada. “Kau je yang rindu nasi lemak daun pisang, kan? Jangan pulak guna aku dan ‘sumpahan kisah cinta aku’ sebagai tiket pulang.”
Sunny gelak terbahak, sempat jeling Alia sambil muncung manja, bibir melengkung dengan senyum sinis penuh makna. “Beb, sambil menyelam, sambil minum air lah. Tak salah kan? Mana tahu balik dari Malaysia terus bawa buah tangan. Boyfriend baru. Made in Malaysia, limited edition, packaging suci murni. Jenis boleh jadi imam... dan tukang bancuh kopi pagi-pagi. Aamiin ya rab!”
Alia terus ketawa sampai tepuk paha, mata dah bergenang dek gelak. “Ustaz tampan with bonus pakej romantik, ya?”
“Eh tapi... jangan weh! Kalau kau betul-betul jumpa boyfriend kat sana nanti, Aslan kau nak campak mana?” tanya Sunny, nada bergurau tapi muka dia siap buat muka konon-konon serius.
Alia buat muka ‘caught in the act’, tangan terus tutup mulut sendiri. “Eee… kesitu pulak kau ni. Aku dengan Aslan tu takde apa-apa lah, beb. Kita just berkenalan je, tu pun sebab rancangan perjodohan yang tiba-tiba,” katanya sambil tergelak kecil. Bahu dia naik-turun, tawa masih tersisa.
Sunny angkat kening tinggi-tinggi, siap jentik jari ke arah Alia. “Kau tahu tak? Yang tu… walaupun bukan ustaz, tapi dia pun limited edition tau. Fuh! Siapa dapat mamat tu, confirm kena letak under kawalan ketat 24/7. Silap haribulan kena pasang pagar elektrik, takut laki dia kena rembat!”
Alia terus geleng laju, tangan sebelah masih tutup mulut sambil ketawa makin kuat sampai tak nampak mata. “Gila lah kau ni, sumpah tak larat aku weh! Sakit tau perut aku ketawa ni! Kau jangan beb… kang esok kita menangis pulak sebab dah terlebih ketawa!”
Sunny cepat-cepat sambung, mata dia bulat dengan gaya ‘kau ingat aku takut ke?’ “Kalau gitu, kita menangislah sama-sama!”
Alia geleng kepala sambil ketuk perlahan dashboard kereta, tahan ketawa. Tapi akhirnya dua-dua pecah tawa serentak. Tawa yang bukan sekadar gelak kosong, tapi gelak yang penuh lega, penuh faham, dan penuh rasa 'syukur aku ada kau dalam hidup aku'.
Kereta terus bergerak perlahan merentas lorong-lorong kota London yang mula menyambut malam. Cahaya senja menembus masuk dari cermin sisi, menyinari wajah mereka berdua yang masih dibasahi sisa tawa. Bunyi hon jauh di belakang, bunyi tram yang lalu, dan suara burung-burung pulang ke sarang semua bercampur jadi latar.
Suasana dalam kereta tiba-tiba jadi tenang. Tapi bukan sunyi jenis canggung, ini jenis sunyi yang selesa. Yang penuh pengertian. Dua hati yang saling tahu, walau dunia makin kalut, selagi mereka ada satu sama lain, masih ada ruang untuk tarik nafas dan gelak semula.
Alia pandang luar jendela, mata dia sedikit sayu tapi bibirnya masih terukir senyum. Sunny pula sempat menjeling sekali lagi ke arah sahabatnya itu sebelum kembali fokus ke jalan.
Dalam diam, Alia tahu… this mess? It’s not her first rodeo. She’ll get through. She always does.
Matanya tak lepas dari dada langit yang kini bersolek dengan warna lembayung senja. Ungu, oren dan sisa cahaya emas yang terpantul di tingkap kereta. Angin petang masuk perlahan dari celah tingkap yang sedikit terbuka. Ada damai, tapi juga rasa perit yang tak mahu reda.
‘Cinta bertepuk sebelah tangan tu memang sakit…’
‘Aku ingat aku dah move on. Tapi bila takdir temukan aku dengan dia semula… rupanya rasa tu masih ada. Masih bernafas. Masih mencucuk halus dalam hati.’ Dia hela nafas panjang, cuba redakan resah yang entah dari mana datangnya.
‘Aku patut ikut je plan Aslan ke? Bagi peluang sekali lagi? Walaupun aku sendiri belum pasti apa aku dah betul-betul pulih?’
‘Ya Allah... bila soal hati datang, semua logik macam gagal. Bila rasa bercampur dengan kenangan dan harapan, semua jadi keliru.’
Tangan Alia perlahan mengusap lengannya sendiri, macam cuba pujuk diri.
‘Tapi aku tahu… bila Kau uji aku begini, Kau dah pilih aku untuk merasa. Dan aku percaya, Kau takkan tinggalkan aku hanyut tanpa arah.’
Ujian yang sedang dia lalui seolah-olah satu teguran lembut dari penguasa langit dan bumi, yang bila takdir belum selesai, apa pun yang kita cuba jauhkan… tetap akan datang semula. Sampai semuanya benar-benar reda dan selesai. Sama ada berakhir dengan tenang, atau luka yang akhirnya sembuh sendiri.
Dan ketika dia hampir larut dalam fikirannya…
Ting!
Satu bunyi WhatsApp masuk tiba-tiba. Alia tersentak kecil.
Tangannya cepat menyeluk beg tangan dan mengeluarkan telefon. Skrin menyala. Satu nama muncul di atas,
Adam (Boss kayangan)
‘Jumpa aku di pejabat esok at nine sharp.– Boss kayangan’
Alia mencebik, kening terangkat tinggi.
“Ish… dia ni,” bebelnya perlahan, separuh geram. Matanya kembali pandang ke luar jendela. Langit dah makin gelap. Tapi yang lebih gelap, mungkin hati dia sendiri yang masih samar.
Share this novel