CHAPTER 4

Romantic Comedy Completed 3635

Setiap kali waktu malam di dunia manusia, semua malaikat Thanatos akan kembali ke Azuros untuk melaporkan mengenai perkembangan tugasan 100 hari mereka. Berdasarkan penjelasan Araqiel mengenai ketetapan takdir, mustahil Hadramiel memohon pada Remliel untuk menangguhkan waktu kematian Yvette Medina hanya disebabkan faktor umur. Apa pula pandangan para malaikat terhadap Hadramiel. Selama ini dia dikenali sebagai pencabut nyawa yang paling berdedikasi. Tiada satu pun yang mampu menggugat pendiriannya dari membawa roh manusia ke alam abadi.

"Hadramiel! Bagaimana dengan manusia itu?" Remliel sibuk menulis di atas skrol.

"Tidak menunjukkan sebarang keganjilan" Suara Hadramiel kedengaran sedikit aneh. Seakan sedang menahan kesakitan.

Remliel mengangkat kepala, memeriksa keadaan Hadramiel. Terkejut. Pakaiannya sudah pun terkoyak. Menampakkan bahagian dadanya yang bidang. Mujur berlengan panjang, kalau tidak sudah pasti tangannya dipenuhi dengan kesan cakaran. Menggunakan tongkat sabit, Remliel menyelak kerudung untuk melihat wajah Hadramiel. Berusaha keras malaikat itu untuk mengelak dari dilihat ketuanya.

Terdapat tiga kesan cakaran kuku pada bahagian pipi Hadramiel. Darah mengalir sedikit di situ. Hadramiel mendecis sewaktu Remliel menyentuh kesan luka itu. Darah pada luka itu semakin mengering. Remliel mengarahkan malaikat pembantu untuk mengambil pakaian lain. Menggantikan pakaian Hadramiel yang sudah robek. Diteliti pula bahagian sayap. Beberapa helai bulu sudah pun tercabut.

"Ambil pakaian ni. Ganti. Kau pergi jumpa Raphael di langit kedua. Dia tahu nak buat apa" arah Remliel. Diberikan seragam hitam kepada Hadramiel.

"Baik. Menurut perintah"

Hadramiel bersembunyi di dalam sebuah ruang untuk mengganti pakaian baharu. Berdiri di hadapan cermin. Memandang ke wajahnya sendiri. Entah dia patut bersyukur atau tidak kerana memiliki rupa paras kacak. Kening lebat. Mata berbentuk badam dengan warna keemasan berkilau. Hidung mancung. Rahang terbentuk kemas. Tulang pipi yang menonjol. Rambut hitam lurus ke paras bahu.

"Hadramiel. Itu kau ke?" Orphamiel datang mencarinya.

Kelam-kabut Hadramiel menyarung kerudung untuk menutupi wajahnya. Tiada seorang pun malaikat bawah tanah yang pernah melihat wajahnya kecuali Remliel. Dia tidak mahu malaikat Thanatos lain akan memandang keji padanya hanya kerana tidak mempunyai ciri wajah seperti mereka.

Pakaian yang sudah koyak itu dilemparkan ke dalam bakul kosong di sisi. Bergegas keluar dari ruang itu. Orphamiel bingung. Terus membuntuti temannya itu. Tepat di pintu utama, Hadramiel melebarkan sayapnya.

"Eh, kejap. Kau nak pergi mana?" Orphamiel menahan Hadramiel dari terbang.

"Aku nak pergi jumpa Raphael" beritahu Hadramiel.

"Ye ke? Nanti mesti kau singgah jumpa Araqiel di langit keempat kan?" usik Orphamiel dengan jelingan mata. Dicuit manja bahu tajam temannya itu.

"Tak ada. Aku terus ke langit kedua jumpa Raphael. Dan lagi satu, aku tak ada kena mengena dengan Araqiel" Hadramiel berkeras menafikan andaian karut Orphamiel.

Dari terus melayan Orphamiel melalut, lebih baik dia bergerak sekarang. Sudahlah jauh untuk sampai ke langit kedua. Mujur sayapnya besar, tidak seperti malaikat Sariel yang lambat tiga hari gara-gara sayap kecilnya.

Terbang menembusi setiap lapisan langit. Semua malaikat di sana terpegun apabila Hadramiel terbang di hadapan mereka. Sungguh kontra apabila malaikat bersayap hitam memasuki ruang penuh cahaya di langit. Menarik perhatian setiap malaikat yang ada. Disebabkan Raphael bertugas di langit kedua, Hadramiel terpaksa melalui langit keempat di mana Dewan Avimire berada. Dari jauh, Araqiel dapat merasakan kehadiran Hadramiel apabila terdengar bisikan para malaikat dari langit di bawah. Berlari Araqiel ke astaka miliknya. Menantikan malaikat pencabut nyawa yang berjaya mencuri hatinya.

"Hadramiel!" panggil Araqiel sewaktu melihat bayangan Hadramiel di sebalik awan.

Perjalanan Hadramiel berhenti sebentar tatkala mendengar namanya dipanggil. Mendarat di astaka Dewan Avimire di mana Araqiel menerima kehadirannya dengan penuh senyuman.

"Ya, Araqiel. Ada masalah di Avimire?" Jika bukan atas sebab penting, Hadramiel tidak akan sewenangnya datang ke dewan di langit.

"Semuanya baik di Avimire. Awak hendak ke mana?" sapa Araqiel dengan penuh keayuan.

"Aku perlu ke Dewan Aegis untuk berjumpa Raphael" terang Hadramiel tanpa sebarang ekspresi.

"Awak cedera? Mana luka tu?" Araqiel memeriksa seluruh tubuh Hadramiel. Cubaannya untuk membuka kerudung dihentikan Hadramiel.

"Awak tak perlu tahu. Hanya Raphael yang mampu menyembuhkan segala kesakitan" ucap Hadramiel menolak lirih tangan Araqiel.

"Biar saya temankan awak" Araqiel menawar diri untuk menemani Hadramiel ke langit kedua.

"Masih banyak lagi kerja di Avimire. Saya akan ke sana seorang diri. Awak siapkan tugasan awak" Hadramiel lebih selesa melakukan segala hal secara bersendirian.

Araqiel mendengus marah. Sudah banyak kali Hadramiel itu menolak permintaannya. Setiap hari Araqiel berdandan semata-mata untuk tampil anggun apabila Hadramiel datang ke langit. Entah mengapa begitu susah buat Hadramiel mempunyai perasaan cinta terhadap Araqiel yang merupakan antara malaikat wanita tercantik di dunia langit.

Hadramiel tiba di Dewan Aegis. Perlahan memasuki ruang dewan cahaya berwarna hijau lembut. Di tengah dewan itu mempunyai obor besar dengan cahaya api berwarna hijau. Namun haba dari api itu langsung tidak menjejaskan suhu di dalam dewan itu. Di balik tiang obor yang tinggi itu, ada seorang malaikat besar berdiri sambil membaca mantera ke dalam obor itu. Tangan dimasukkan ke dalam api hijau itu. Semakin laju bacaan mantera, semakin marak api itu menjulang.

"Hadramiel. Seperti yang dibicara. Malaikat Thanatos tidak pernah awal atau lewat walaupun sesaat. Kau sampai tepat" ucap malaikat berpakaian serba putih dengan gelung cahaya di kepala. Sayap putihnya hampir mencapai siling dewan. Tubuhnya lima kali ganda lebih besar berbanding Hadramiel.

"Aku datang ke sini atas arahan Remliel"

"Silakan baring di atas altar" Malaikat itu menunjukkan tempat perbaringan di atas pentas.

Mengikut arahan itu, Hadramiel baring di atas altar diperbuat daripada batu marmar yang bersinar. Malaikat penyembuh bernama Raphael itu datang untuk memeriksa tahap kecederaan Hadramiel. Ditanggalkan semua pakaian.

"Kenapa banyak sangat kesan cakar ni? Kena serang dengan harimau ke?" Raphel bertanya.

"Bukan harimau tapi cicit harimau" balas Hadramiel.

Raphael mengambil sedikit cahaya api hijau lalu ditekapkan pada bahagian dada Hadramiel yang mempunyai kesan cakaran kucing. Mulut bergumam membacakan mantera penyembuhan. Luka itu semakin sembuh sehingga hilang terus kesan cakaran. Di bahagian pipi pula, Raphael hanya mencalit sedikit api hijau itu dan luka itu terus sembuh.

"Siap. Semuanya sudah sembuh" Raphael memasukkan semula sisa api hijau ke dalam obor.

"Terima kasih atas penyembuhan ni"

"Aku tak sangka kulit kau masih sama sebelum ni. Langsung tidak berubah menjadi kulit berwarna kelabu seperti malaikat Thanatos yang lain" Seperti ada maksud lain di sebalik percakapan Raphael itu.

"Aku tak kisah bagaimana rupa aku. Yang aku tahu aku adalah malaikat pencabut nyawa" Seragam hitam dipakai rapi. Dia faham akan maksud Raphael tetapi lebih memilih untuk elak.

"Hati-hati dengan binatang yang suka cakar tu" pesan Raphael.

Hadramiel terbang kembali ke Azuros. Berehat di pohon kehidupan sebelum memulakan tugasan mengawasi manusia untuk dicabut nyawa esok pagi. Dicuba sedaya upaya agar tiada perasaan simpati pada gadis itu. Hadramiel tidak mahu tugasannya tergendala hanya kerana berasa simpati pada takdir Yvette. Lagipun, jika gadis itu tamat riwayat pada usia muda, ia langsung tidak menganggu hidup Hadramiel di bawah tanah. Lebih baik dia fokus pada tugasan mencabut nyawa itu.

Bersiap sedia untuk turun ke bumi. Hadramiel merapikan pakaiannya. Lagi beberapa detik sebelum matahari terbit di bumi. Dia harus berada di sana sebelum manusia mula bangun untuk melakukan rutin harian mereka. Hadramiel begitu mementingkan disiplin dalam pelaksanaan tugas sehinggakan malaikat lain takut untuk rapat dengannya kecuali Orphamiel yang terlebih ramah.

"Hadramiel! Tunggu lah kejap. Kau tak rindu ke nak berbual dengan aku" Orphamiel datang untuk mengganggu.

Butang di hujung lengan dipakai kemas. Tidak dipedulikan Orphamiel yang bergayut pada bingkai pintu. Kalau dilayan nanti, mahu terbengkalai tugas untuk memantu manusia bernama Yvette Medina. Lain lah dengan Orphamiel, manusia yang perlu dipantaunya itu berada di tempat lain. Waktu pun berbeza. Di kala Hadramiel turun ke bumi, Orphamiel pula berehat di Azuros. Ini pun bertembung atas alasan Orphamiel yang baru pulang selepas selesai memantau.

"Aku pergi dulu" kata Hadramiel yang berlalu pergi meninggalkan Orphamiel berseorangan.

Terbang membelahi awan di langit yang kian cerah dengan pancaran mentari. Lokasi rumah Yvette sudah pun tersemat di benak fikiran. Dari jauh dia mensasarkan jendela rumah dengan hiasan langsir putih samar-samar. Jendela itu masih tertutup rapat. Mungkin gadis itu belum bangun tidur. Maklumlah, anak muda. Mana tahu nak bangun sebelum matahari terpacak di atas kepala.

Menghampiri tingkap itu, cuba menarik ke atas untuk membukanya. Berkunci dari arah dalam. Hadramiel mengintai ke dalam di celahan langsir.

Brak!

Sreett!

Kucing gebu milik Yvette menerpa ke tingkap. Terhantuk. Cuba mencakar wajah Hadramiel di sebalik kaca itu. Menjelir lidah sambil membuat memek muka mengejek pada kucing itu. Padan muka. Asyik nak terkam, kan dah tercium kaca ni.

"Apa ni, Kazuki. Mari sini" Yvette datang mengambil Kazuki. Dia membuka tingkap itu untuk membenarkan pengaliran udara.

Laju sahaja Kazuki ingin melompat terkam Hadramiel tetapi sempat ditangkap Yvette. Kecut perut Hadramiel dibuatnya. Yvette membawa Kazuki makan di dapur. Bekas makanan kucing bertulis 'Kazuki' dipenuhi dengan 'wet food'. Sungguh menyelerakan Kazuki menikmati sarapan pagi.

Mengambil kesempatan di saat tingkap sudah dibuka. Hadramiel masuk ke dalam rumah. Mengekori gerak langkah Yvette dari belakang. Berulang-alik dari bilik tidur ke ruang tamu, membersihkan segala kotoran. Menyapu lantai. Membetulkan bingkai gambar di dinding. Merapikan tempat tidur. Lebih penat Hadramiel mengikutnya berbanding Yvette yang mengemas.

Yvette duduk berehat di atas katil. Jam di dinding dilirik. Baru pukul lapan pagi. Melepaskan helaan nafas panjang. Yvette meregangkan otot leher yang berasa lenguh. Dia merasakan sensasi dingin di sekitarnya. Aneh. Penghawa dingin sudah pun dimatikan. Dari mana rasa sejuk ini hadir. Yvette memandang sekeliling dengan muka penuh tanda tanya. Hadramiel turut meniru tingkahlaku Yvette, mencari apa yang dicari.

Ding! Dong!

Bunyi loceng rumah ditekan. Siapa pula yang datang awal pagi ni. Yvette bergegas untuk membuka pintu. Hadramiel kekal di dalam bilik tidur. Menilik barangan Yvette di atas meja belajar.

"Cuba kau rasa. Aku pun pelik sebab suhu dalam bilik rasa lain" Terdengar suara Yvette datang menghampiri. Tetapi dengan siapa dia berbual.

Pintu kamar dibuka. Hadramiel berhenti mengusik barangan gadis itu. Refleks memandang ke arah pintu. Yvette datang bersama seorang lelaki. Hadramiel berlagak normal kerana sudah pasti tiada manusia yang mampu melihatnya.

Lelaki terkaku di situ. Dia merenung tepat ke mata Hadramiel. Mula berasa pelik. Tidak mungkin lelaki itu dapat melihat Hadramiel. Untuk memastikan kebenaran, Hadramiel lari bertempiaran di dalam kamar itu dan mata lelaki itu seolah melekat padanya.

Benar. Sudah pasti lelaki itu dapat melihat Hadramiel.

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience