8. Nasib ada pembantu

Drama Series 114354

Mata Lateefa melilau mencari anaknya. Dada usahlah cakap. Berdebar semacam. Bimbang anaknya akan buat hal yang bukan-bukan.

"Mama!" panggil Yusuf kuat sambil melambai-lambaikan tangan ke arah Lateefa.

Sungguh Lateefa rasa lega apabila melihat kelibat anaknya yang sedang menghabiskan minuman di dalam gelas. Namun rasa lega yang muncul tidak mampu menggantikan debaran yang tiba-tiba datang. Melihat senyum panjang lelaki di sebelah Yusuf serasa langkahnya tidak betul. Malu, segan, risau dan segala macam perasaan bercampur-aduk sehingga dia tekad mahu terus mengheret Yusuf balik ke rumah.

Tetapi senyuman yang terlihat manis dan menawan itu telah menggoyahkan pendiriannya; pendirian untuk terus balik ke rumah.

Tak sampai hati pula hendak menyinggung perasaan orang. Walaupun dia tidak kenal lelaki itu namun budi dan jasa lelaki itu sudah terlalu banyak sehingga dia tidak tahu bagaimana hendak membalasnya. Lalu sebaik tiba dia lemparkan senyum kepada anak lelakinya namun orang di sebelah anaknya pula yang membalas mesra.

Janggal betul rasanya apabila berhadapan dengan lelaki asing entah untuk kali ke berapa. Dia tidak ingat.

"Yusuf dah makan?" tanya Lateefa mesra. Mahu mengambil hati anak yang terluka sebentar tadi.

"Dah kenyang pun ma," jawab Yusuf ceria lantas tunjuk pinggan dan gelas yang sudah kosong.

"Sampai hati tak tunggu mama." Sengaja dia tunjuk rajuk sebaik tarik kerusi dan duduk di hadapan anaknya. Zhalia pula hempaskan punggung di sebelahnya.

Yusuf senyum panjang. Nampak puas hati sebab sudah kenyang.

"Uncle tak makan lagi. Nanti uncle temankan mama makan. Uncle kan boyfriend mama."

Hampir tercabut jantung Lateefa apabila sekali lagi perkataan itu keluar dari mulut Yusuf. Dia tahu sangat dari mana Yusuf dapat perkataan itu. Gara-gara dia yang selalu menasihati anak-anak daranya agar tidak mencari boyfriend ketika masih belajar. Silapnya dia menasihati semasa Yusuf ada bersama.

Zhalia di sebelah lirik abangnya. Nampak Zhareef tersengih-sengih macam kerang busuk apabila budak kecil itu sudah menjadi pembantunya petang ni.

"Aunty pun laparlah Yusuf. Mana aunty punya?" rengek Zhalia mahu bermesra dengan anak kecil itu.

"Tu, dah sampai." Yusuf tunjuk pelayan yang muncul dan hidangkan tiga pinggan nasi goreng USA dan tiga gelas jus tembikai.
"Cikgu tak kisah kan saya tolong order menu yang ini. Lagipun Yusuf dah bagitahu apa yang mama dia suka makan."

Makin tebal rasa malu dan segan apabila anaknya bercerita tentang kegemarannya kepada lelaki itu. Entah apa lagilah yang sudah diceritakan Yusuf. Janganlah sampai rahsia dalam rumah pun dibuka anaknya.

Tak tahu dah nak rasa apa sekarang. Mahu saja dia tutup muka dengan pinggan nasi biar lelaki itu tidak nampak wajahnya yang sudah macam kulit udang hangus terbakar.

Hati Zhalia pula berbunga-bunga. Sikap abangnya sekarang sudah mengalahkan suami mithali. Pinggan nasi ditolak sopan ke arah wanita di depan. Siap dengan tolong bukakan napkin yang membalut sudu dan garfu lalu diletakkan ke atas pinggan.

Abangnya memang pelik. Paling menghairankan menu pilihan abangnya untuk makan tengahari juga seratus peratus berubah. Nasi goreng bukan untuk di makan waktu-waktu begini. Nasi goreng untuk di makan semasa sarapan. Itu kata abangnya. Memang sah abangnya betul-betul sudah angau.

"Makanlah!" pelawa Zhareef dan Lateefa angguk perlahan. Pandang Yusuf seketika yang tiba-tiba meminta telefonnya untuk bermain game namun lelaki itu lebih dulu memberikan telefon miliknya.

"Yusuf tak pandai main. Nanti rosak telefon encik."

"Tak apa Kak Atee. Tak rosaklah. Yusuf pandai main apa," celah Zhalia yang menyuap nasi dengan laju. Nampak macam lapar sangat.

Lateefa ketap bibirnya. Tak tahu nak kata apa dah. Melihat lelaki di depan yang menyuap nasi ke mulut sambil mengajar Yusuf bermain menyebabkan dia nekad. Dia perlu habiskan makanan dan cepat-cepat beredar.
Tiba-tiba....

"Kenapa mama panggil uncle, encik. Yusuf dengar cik su panggil boyfriend dia hubby."

Ya Allah, Yusuf!
Kenapalah mulut anaknya itu tak duduk diam hari ini. Lateefa dah tak tahu nak kata apa. Dada rasa nak pecah. Muka pula sudah tidak tahu jadi bentuk apa. Pantas tangannya terus menyuap nasi dan biji-biji nasi yang melintasi tekaknya terasa seperti batu-bata.

Zhareef pula hampir tergelak. Keletah kanak-kanak itu buat hatinya tenang malah berbunga ceria. Langsung tak terduga Tuhan hantarkan malaikat kecil hari ini untuk memudahkan segala urusan. Dia berharap Yusuf akan selalu menolong dan tak disangka-sangka Yusuf bangkit dengan muka cemberut menahan rasa.

"Yusuf nak pergi tandas." Belum sempat Lateefa bangun Yusuf sudah berlari dan

Zhalia lantas bangkit menawarkan diri untuk menemani Yusuf. Tak jadi Lateefa hendak mengekori sebaliknya terus duduk. Dia ingat dengan beredar seketika dia dapat lari dari lelaki itu dan hilangkan gusar di dalam dada. Namun lain pula yang menjamah telinga setelah duduk.

"Nak tambah lagi?" tanya Zhareef apabila melihat pinggan cikgu di hadapannya hampir licin. Lateefa menggeleng tidak mahu.

"Dah cukup. Terima kasih!" balas Lateefa segan. Sungguh dia segan kerana sekarang hanya mereka berdua sahaja di meja. Satu kerja yang betul-betul gila. Mana pernah dia berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram sepanjang hidupnya.

Dia betul-betul tak selesa apatah lagi bibir lelaki itu nampak bergerak-gerak hendak meluahkan kata.

"Maaf… encik ada apa-apa nak cakap ke?" soal Lateefa cuba mematikan renungan lelaki itu.

"Bukan encik tapi Zhareef."

"Encik...."

Zhareef gelengkan kepala dan Lateefa tidak mahu ikut. Lelaki itu bukan kenalannya. Bukan juga rakannya. Saudara pun bukan Jadi tidak perlu untuk saling bermesra.

"Okay. Up to cikgu cuma saya nak mintak izin boleh?"

"Minta izin?"
Lateefa memandang pelik.

"Ya, izinkan saya kenal cikgu Lateefa."

Terpempan Lateefa dengan kata-kata lelaki itu.

Sah!
Memang sah. Inilah benda yang dia cuba elak tetapi makin mendekat. Dia tidak mahu berkawan dengan mana-mana lelaki. Setiap kali dia menolak ada sahaja lelaki lain yang munculkan diri. Kali ini pula lelaki yang sudah dua tiga kali bertemu tanpa sengaja. Bukan pintu hatinya sudah tertutup rapat tetapi dia yang takut. Takut andainya dia dikatakan perampas. Lelaki itu pula langsung dia tak kenal. Entah-entah suami orang. Mungkin juga sudah ada isteri lebih dari seorang.

"Maaf Encik Zhareef. Saya nak balik dulu."

Lain yang hendak didengar Zhareef lain pula yang keluar dari mulut wanita itu.

Lateefa tak tunggu lama. Sebaik melihat Yusuf yang sudah hampir ke arahnya dia bangkit perlahan-lahan. Tangan pula cepat-cepat letak not 300 di hadapan lelaki itu.
"Ini duit untuk bayar bil makan hari ni dan juga kasut yang saya pakai." ujar Lateefa lantas mendekati anaknya.

Zharif bangkit dan mengambil not tersebut tetapi diberikan kepada Yusuf. Gembira sakan Yusuf apabila mendapat duit sebanyak itu. Apalah kanak-kanak seusia Yusuf tahu. Mungkin dia ingat lelaki itu berikan kepadanya untuk membeli mainan.

"It's okay cikgu. My treat. Anggap saja hadiah perkenalan kita."

Zhalia yang baru tiba pandang wajah abangnya meminta penjelasan apabila air muka wanita itu nampak berubah dan tergesa-gesa hendak balik.

"Akak dah nak balik ke?" soal Zhalia kecewa.

Lateefa hanya mengangguk dan pastinya Zhalia berat hati hendak mengakhiri pertemuan hari ini.

"Sorry Lia. Akak balik dulu. Dah lewat sangat ni. Nak ambil kakak yusuf pula kat sekolah."

"Alah... kita tak sempat nak berbual panjang," balas Zhalia kecewa.

"Happy dapat kenal Lia." Lateefa tak mahu terus berbual.

"Lia pun." Ada nada sedih di hujung kata-kata gadis itu. Tiba-tiba dia hulurkan plastik besar kepada Yusuf.

"Ini untuk Yusuf. Tanda perkenalan dari aunty."

Lagi sekali Yusuf kegembiraan. Dapat hadiah kereta remote control yang memang tak akan dibeli mama. Perasaan sayang pada aunty Lia mula bercambah. Namun bagi Lateefa kebaikan kedua-dua orang adik-beradik itu mengundang kesal dalam hatinya.

"Thank you aunty!" ucap Yusuf lantas memeluk gadis itu. Kemudian anak kecil itu menghampiri Zhareef pula. Dipeluknya lelaki itu erat-erat bagaikan tidak mahu melepaskannya. Terus hati Lateefa benar-benar terluka. Pertemuan yang tidak dirancang ini mengundang sebak yang menggunung.

"Nanti kita jumpa lagi," janji Zhareef dan Lateefa tarik tangan anaknya.

"Terima kasih Encik Zhareef... Lia. Saya pergi dulu." Selepas melemparkan senyuman kepada Zhalia Lateefa terus melangkah pergi dan tidak berpaling lagi.

"Abang buat apa sampai Kak Atee tergesa-gesa nak balik?" soal Zhalia geram sebaik sahaja susuk dua beranak itu hilang dari mata.

Zhareef hanya mengukir senyum simpul.
"Abang cakap nak kenal dia. Terus dia cakap nak balik," ujar Zhareef sambil tersenyum dengan kepala tergeleng-geleng lucu.

"Abang Reef ni. Lia dah plan macam-macam nak bagi abang tackle Kak Atee. Tak sangka pulak response tak cantik," omel Zhalia kecewa. Zhareef tidak kisah. Kalau Zhalia tidak menolong sekalipun dia sudah ada rancangannya sendiri.

"Hah... abang ada ambil nombor telefon Kak Atee tak?" soal Zhalia kalut. Dia baru teringat yang dia lupa hendak mendapatkan nombor telefon wanita itu.

Zhareef menggeleng tanda tidak meminta daripada wanita itu.

"Isk, abang ni. Muka tu macam angau je dekat Kak Atee tapi takkan benda simple macam tu pun tak boleh nak buat." Marah Zhalia dan Zhareef balas dengan gelak kecil.

"Jangan kutuk abang. Dia akan call abang lepas ni. Tengoklah nanti."
Berkerut kening Zhalia tidak faham. Apa-apa sajalah. Asalkan berjaya.

bagus Yusuf.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience