14. Tapisan Keselamatan

Drama Series 114354

"Kenapa ni kak Atee? Termenung je. Ada masalah ke?" tanya Aisyah setelah selesai bersiap. Dia yang sampai lepas asar tadi di studio ini pelik dengan sikap kakaknya. Kata nak pergi dinner tetapi muka nampak resah dan termenung jauh pula.

“Kalau Chah je temankan budak-budak, boleh? Kak Atee malas pula nak bersiap.”

Terus terhambur gelak kecil Aisyah.
“Ini mesti takut abang tu ada kat bawah jugak kan?”

Lateefa mendengus lemah.
Ya. Dia bimbang Zhareef akan muncul tiba-tiba. Lelaki itu macam halimunan. Tak diseru pun pasti akan muncul.

“Kak Atee jangan bimbanglah. Lagipun tadi bukan Kak Atee cakap dia ada panggilan emergency ke. Tergesa-gesa balik. Tak mungkin dia akan muncul semula.”

Lateefa angguk lemah. “Tapi kan… kalau abang tu datang nak jugak Chah kenal. Mesti handsome,” usik Aisyah.

“Memang handsome pun Cik Su.”
Eh, tiba-tiba Yasmin menyampuk. Pasang telinga pula anak saudaranya itu. Namun hanya seketika. Kembali menonton televisyen. Nasib baik anak-anak yang lain tak ada. Tengah mandi kolam kat bawah. Jika tidak jenuh dia nak menyorok.

"Esok pun Kak Atee jadi malas nak keluar. Datang jauh-jauh ni nak spend time dengan budak-budak dan Chah je tapi… bila dah melibatkan orang lain rasa tak seronok pula."

“Siapa orang lain tu?” soal Aisyah dengan senyum sengetnya.

Tangan Lateefa dengan laju membaling bantal ke arah adiknya. Aisyah mengelak lantas menghampiri si kakak yang duduk di atas katil menghadap panorama luar Vista Alam.

"Biarlah, kak. Yusuf tu nampak happy benar dengan abang tu. Bukan main lagi dia cerita dekat Chah. Tak salah kan." Aisyah henyakkan punggung di sebelah Lateefa.

"Kenapa tak salah pulak. Dia bukan siapa-siapa pun. Kak Atee kenal dia pun tak. Alih-alih dia jadi rapat pulak dengan Yusuf," sela Lateefa dan di akhirnya dia hembus nafas panjang.

"Mungkin jodoh Kak Atee dah sampai kut."

Lateefa kerutkan kening tidak faham.
"Jodoh? Dengan siapa?”

“Dengan abang tu lah. Siapa nama dia?”

“Zhareef!”

“Haah, abang Zhareef.”

Lateefa ketawa panjang.
“Dia muda 9 tahun kut dari Kak Atee. Mana mungkin Kak Atee nak kahwin dengan lelaki muda. Lagipun dalam kepala ni tak terfikir nak kahwin pun lagi."

Aisyah gosok paha Lateefa perlahan.
“Sampai bila nak macam ni. Besarkan anak-anak sorang diri. Sekuat mana pun kita kak, kita tetap perlukan lelaki,” nasihat Aisyah dan Lateefa tahu. Amat mengetahui hakikat kebergantungan perempuan terhadap lelaki.

Namun dia risau sebenarnya. Lelaki itu amat muda. Mampukah hendak menggalas tugas seorang suami. Sekaligus ayah segera kepada anak-anaknya.

“Akak tahu Chah. Kalau tengok luaran Encik Zhareef tu serba-serbi sempurna. Tetapi dia muda Chah. Muda sangat.”

“Habis tu Kak Atee nak yang macam mana?” soal Aisyah mahu tahu.

“Yang penting dia tua daripada Kak Atee.”

Aisyah terangguk-angguk.
“Lagi….”

“Dia melepasi tapisan keselamatan.”
Tergelak besar Aisyah dengan kata-kata kakaknya.

“Macam nak minta kerja pegawai kerajaan pulak. Susah," omel Aisyah.

Lateefa sunggingkan senyum.
“Kalau semua anak-anak Kak Atee setuju Kak Atee on.”

“Oh, macam tu rupanya. Okay kita tengok esok macam mana?”
Tercengang Lateefa tidak faham.
“Esok Chah akan nilai dan bagi markah. Ini kira tapisan keselamatan yang terakhir.”

Ada-ada saja adiknya itu.
“Kak Atee dah tua, Chah. Rasa serba kekurangan.”

Pantas Aisyah tarik tangan Lateefa. Digenggamnya lembut.
“Orang kata apa, baik terima orang yang nak kat kita. Cinta mereka ikhlas. Jangan kita yang gila nak kejar orang. Belum tentu lagi orang ikhlas nak kat kita. Kak Atee ni kira dah untung sangat. Ada orang nak tau. Kalau tidak….”

“Chah!!!”
Lateefa menjerit geram. Sempat lagi adiknya nak kenakannya.

“Biarlah dia nak buat apa pun tapi hati Kak Atee belum terbuka.”

Aisyah mengalah.
“Ikut Kak Ateelah. Tapi kalau dah terbuka pintu hati tu jangan lupa bagitahu Chah.”

Lateefa jeling geram.
“Apa kata Chah yang kahwin. Dah lama Ikram tunggu,” usik Lateefa pula.

“Eh, kita pulak yang kena. Chah dah janji dengan dia. Lepas dua tahun Chah kerja baru Chah suruh dia masuk meminang. Biar Chah kumpul duit dulu. Nak buat majlis nanti Chah tak nak pakai duit ayah. Kasihan kat ayah. Nak bagi makan apa dekat dua orang lagi kat kampung tu kalau habiskan duit untuk Chah.”

Lateefa mengangguk setuju.
Ya, dia masih ada dua orang lagi adik dekat kampung. Si kembar lelaki yang sedang belajar di tingkatan enam atas hendak masuk ke universiti dengan sijil STPM. Sambil-sambil jaga ayah kata mereka.

Ya, dia bersyukur. Sekurang-kurangnya ayah tak sunyi tanpa emak yang sudah lama kembali ke rahmatullah.

Sedang melamun Warda, Nailufar dan Yusuf muncul dengan tubuh yang basah di depan muka pintu.

“Jom mama. JJCM. Lapar sangat dah ni,” ujar Warda lantas berlari ke bilik air hendak menyalin pakaian. Begitu juga dengan Nailufar. Lateefa pula bangkit dan tolong salinkan pakaian Yusuf.

“Kalau macam tu cepat sikit. Kita makan kat restoren bawah je lah ya. Mama tak larat. Nak simpan tenaga untuk esok.”

Warda dan Nailufar menyahut dari dalam bilik air dan Aisyah yang sudah beralih ke sofa pula buat muka.

“Ya, mama kena simpan tenaga. Esok kan nak pergi round satu KL. Kalau lemah je mana boleh jumpa The Most wanted Bachelor of the year," usik Aisyah dan Lateefa tidak suka usikan sebegitu kedengaran semasa anak-anaknya ada.

“Jangan marah, kak. Nanti lekas tua.”
Tak jadi Lateefa nak marah. Kalau dengan Aisyah hidupnya terasa ceria.

*****

“Apalah abang ni. Lia dah suruh belikan bunga tapi boleh dia pergi dengan tangan kosong macam tu je sambut wanita pujaan. Tak romantiklah abang Reef ni,” omel Zhalia sewaktu mereka berehat di laman rumah.

Zhareef pandang langit malam. Nampak wajah Lateefa tersenyum manis di balik bintang.

“Nak mengayat bukan kena pakai bunga je. Banyak lagi cara lain yang boleh guna,” balas Zhareef tanpa memandang adiknya.

“Tapi bang… perempuan memang suka bunga. Coklat. Anak patung. Paling disukai emas. Abang apa tahu.”

Tergelak besar Zhareef dengan ayat Zhalia.
“Perempuan tu Zhalia binti Raisuddin. Bukan Lateefa.”

“Eh, macam dia pernah ada banyak girlfriend. Abang ni memang tak tahu apa-apa.” Malas Zhalia hendak bertekak. Hari ini terasa kalah pula dengan mulut abangnya. Terus dia bangkit hendak masuk ke dalam. Tiba-tiba rasa mengantuk datang tak kena masa.

“Lia nak tidur. Abang layanlah langit tu.”

Memang lawaklah adiknya malam ini. Entah angin apa pula yang datang sampai nak merajuk tak tentu pasal. Bukan dia tak tahu. Kalau tak nak bercakap tu adalah yang tak kena dengan Zhalia. Lantas dia biarkan sahaja adiknya masuk ke dalam dan dia layan menungannya.

Teringat tugasnya pagi tadi. Rasa tak puas pula berlama-lama dengan semua anak Lateefa. Dek kerana kereta umi rosak terpaksa dia tinggalkan mereka untuk mengambil umi dekat kampus. Kebetulan umi ada kuliah ganti hari minggu begini.

Ah, alangkah indahnya hidup kalau dapat menatap wajah Lateefa lama-lama. Rasa tenang hatinya. Malah serasa sempurna hari-harinya yang berlalu. Tak sabar pula hendak berjumpa wanita itu esok. Kalau tadi Zhalia cakap dia tak romantis akan dia tunjukkan pada adik dia apa erti romantis yang sebenarnya.

lepas ke tak ni?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience