Zhareef kepal penumbuk. Rasa dikhianati. Rasa tertipu dan bermacam-macam rasa lagi saling bertindih. Lantas dia tumbuk stereng kereta sekuat hati dan hon yang berbunyi nyaring menyedarkan dirinya akan kesalahan sendiri.
Dia kesal dengan kebaikan yang diberi namun orang di sana seakan tidak peduli. Bukan dia minta supaya dibalas. Paling kurang hargai apa yang telah dia buat. Dari jam 9 pagi dia menunggu di dalam kereta. Nombor Lateefa pun sudah acap kali didail. Langsung tidak berjawab. Hinggalah jam menjengah ke angka 10 pagi keadaan masih tetap sama.
Dia mahu ke atas. Mahu berhadapan dengan wanita itu namun dia tidak boleh masuk ke dalam lif sesuka hati. Hendak ke studio wanita itu perlukan kad akses. Lalu dia menunggu di dalam perut kereta dengan hati yang menggunung kesal.
Kepala mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Apakah kerana dia terlebih romantik semalam lalu wanita itu menyampah. Apakah kerana dia sengaja membahasakan wanita itu sayang lantas Lateefa jadi benci.
Ah, tak mungkin.
Mana-mana perempuan pun akan cepat cair dengan cara begitu tetapi dia cukup musykil. Sekali lagi dia mendail nombor telefon Lateefa. Namun seperti tadi tetap tak bersambung juga. Teringatkan Aisyah, adik Lateefa kesalnya makin bertimpa-timpa. Silap dirinya kerana awal-awal pertemuan tidak meminta nombor telefon gadis itu.
Dengan rasa kesal dan geram dia mula masukkan gear undur dan tekan minyak. Sesungguhnya Tuhan itu maha menentu segalanya. Ternampak kelibat Aisyah yang baru keluar dari lobi utama Vista Alam terus Zhareef tekan brek dan neutralkan gear lantas tergesa-gesa keluar. Tinggalkan keretanya begitu sahaja. Mendekati Aisyah dan nyata gadis itu terkejut besar melihatnya.
“Kak Atee pergi mana. Abang Reef call tak dapat-dapat. Sejam abang Reef tunggu tapi bayang dia langsung tak nampak. Call pun tak bersambung.”
Muka Aisyah berkerut. Gadis itu cukup rasa bersalah.
“Kak Atee tak bagitahu abang ke?” soal Aisyah dengan rasa simpati. Simpati dengan nasib lelaki itu dan simpati dengan keadaan kakaknya.
Zhareef menggeleng laju. Tidak sabar mahu tahu ke mana wanita itu menghilang.
“Kak Atee dah balik. Subuh tadi bergerak ke airport. Flight jam 9 tadi.”
Serasa dadanya meletup mendengar berita dari mulut Aisyah.
“Kenapa dia tak cakap dengan abang Reef?” soal Zhareef dengan muka tegang.
“Kak Atee kalut. Itu yang tak sempat nak bagitahu abang agaknya.”
Rasa tak berbaloi pula dengan apa yang telah dia korbankan sehari dua ini. Langsung tidak dihargai. Penat melayan anak-anak Lateefa tetapi dia langsung tidak diberitahu akan keadaan mereka sekarang.
Rasa mahu menjerit geram. Apakah selama ini hanya dia seorang sahaja yang bersungguh-sungguh melayan mereka. Seperti kucing kurap rasanya keadaan dia sekarang.
Dia hela nafas panjang. Cuba menenteramkan perasaan sendiri. Dia tidak boleh kalah dengan sifat amarah yang mahu membakar dirinya.
“Kenapa kalut sangat balik. Ada emergency. Atau ada rombongan meminang?”
Terus hati Aisyah berlagu kecewa. Hendak salahkan siapa apabila nada suara yang bergendang di telinga itu kedengaran sinis dan terpercik api geram.
“Nai demam teruk.”
Dan amarah Zhareef surut tiba-tiba sebaik Aisyah memberitahu hal yang sebenar. Dahinya mula berkerut seribu.
“Demam. Teruk ke?”
Aisyah angguk laju.
“Nai memang selalu demam. Kali ini tak sangka pula teruk sangat. Biasanya pagi demam petang dah kebah lepas makan ubat. Tapi semalam Nai nampak teruk. Itu yang Kak Atee terus nak balik. Takut makin melarat. Lagipun dah nak buka sekolah kan.”
Zhareef makin diburu rasa bersalah. Hatinya mula libang-libu. Serasa mahu saja dia terbang ke pangkuan wanita itu. Walaupun Nailufar tidak bereaksi seperti adik beradik yang lain tetapi dia tidak boleh mengabaikan gadis itu. Hendak membenci lagilah tidak sanggup.
“Minta nombor telefon Chah,” pinta Zhareef lalu tarik keluar telefon dari poket seluarnya. Aisyah menyebut nombor dan sebaik menyimpan nombor gadis itu lantas Zhareef meminta diri.
“Abang Reef akan call Chah kalau tak dapat nak hubungi Kak Atee.” beritahu lelaki itu lantas kembali masuk ke dalam keretanya.
Aisyah menghantar Zhareef yang nampak risau dan gelisah. Entah apa yang lelaki itu nak buat. Janganlah Zhareef terbang ke Terengganu semata-mata nak tengok Nailufar demam. Kerja gila namanya tu.
Demam paling lama pun dalam tiga hari saja. Tak berbaloi kalau Zhareef tinggalkan kerjanya semata-mata Kak Atee.
Tetapi kalau lelaki itu dah suka dia akan sedaya upaya memenangi hati kakaknya. Itulah sikap Zhareef As'ad yang dia nampak. Lalu hatinya benar-benar berharap lelaki itulah jodoh kakaknya.
*****
Sudah seminggu dia asyik mendail nombor telefon Lateefa namun langsung tidak bersambung. Rasa nak gila pula mengenangkan sikap wanita itu yang berdiam diri sehingga ke hari ini. Geram dengan panggilan yang tidak bersambung dia hubungi Aisyah tetapi kesenyapan Lateefa sudah berjangkit dekat Aisyah pula.
Hendak saja dia terbang ke Terengganu namun dia mahu menunggu dulu. Hari ini dia tenangkan diri di kedai motornya. Dengan harapan apabila melihat motor yang semakin laku dijual wajah Lateefa akan hilang dalam fikiran. Namun dia benar-benar tidak tenang. Kalau dia pulang ke rumah umi pasti dia makin serabut. Tentu umi tak jemu bertanya kerana perangainya benar-benar lain seminggu ini.
Dari ceria dan gembira berubah monyok bagaikan mati bini. Rasa resahnya juga sudah berubah kepada sakit hati.
Sungguh tak terbendung rasa ini lalu dia hubungi Lateefa sekali lagi. Dia sudah tidak peduli. Apa nak jadi pun jadilah. Amarah dan sakit hatinya perlu dilepaskan.
Dia tersentak.
Setelah berpuluh-puluh kali mendail panggilannya bersambut juga namun bukan suara Lateefa yang kedengaran. Sebaliknya suara sayu Warda yang menyentuh gegendang telinga.
“Uncle nak cakap dengan mama ke?” soal Warda lembut tetapi kedengaran sedih.
“Mama lupa nak bawak phone. Lagipun bateri dah low sangat ni,” sambung Warda lagi. Surut sedikit amarah Zhareef pada Lateefa.
“Yusuf ada?” tanya Zhareef cuba menenangkan diri sendiri.
“Yusuf dah tidur uncle. Letih tak hilang lagi tu. Sebab Yusuf pun baru sampai kat rumah.”
Zhareef kerling jam tangannya. Sudah jam lima. Yusuf baru sampai. Lama benar murid darjah satu belajar. Biar betul.
“Biarkan Yusuf tidur. Mama pergi mana? Bila dia balik?” Akhirnya dia luahkan tujuan asal menghubungi Lateefa.
“Mama pergi hospital. Malam nanti kut baru balik.”
Terkejut besar Zhareef dengan balasan kata Warda.
“Hospital? Kenapa? Mama sakit ke?” Terus hilang amarahnya dan berganti risau.
Warda pula dihambat rasa bersalah. Mama sudah meninggalkan pesan agar jangan membuka cerita kepada sesiapapun perihal masalah mereka. Lagi-lagi kepada uncle Zhareef. Sebab itulah mama tak bawa telefon. Sengaja mama tinggal agar hati mama lapang dan tenang.
“Kenapa dengan mama?” soal Zhareef lagi. Rasa tak mampu nak bernafas pula mendengar wanita itu berada di hospital.
Warda rasa bersalah. Malah turut datang rasa simpati pada lelaki itu. Bukan dia tidak sedar akan panggilan lelaki itu. Sudah banyak kali dia melihat ada miss call menjengah masuk tetapi mama yang keraskan diri. Apabila sudah berasa bosan mama akan matikan telefon. Lalu dia nekad. Dia akan cuba menolong lelaki itu mencari jawapan pada kesenyapan mama.
“Boleh tak uncle call maghrib nanti. Uncle cakap sendiri dengan mama.” Hanya itu saja yang Warda boleh buat. Dia tidak akan masuk campur dalam urusan orang tua. Lagipun mama dan arwah baba selalu ajar mereka adik beradik supaya tidak mencampuri urusan orang yang lebih tua daripada mereka.
Zhareef pun mengeyakan dalam hampa. Talian diputuskan. Otaknya kembali bekerja. Kenapa dengan Lateefa. Itu saja soalan yang berlari-lari dalam kepalanya. Dan kerisauannya terus merajai hati. Selagi tidak mendengar suara wanita itu dia akan terus menghubungi.
****
Lateefa menangis semahu-mahunya di dalam bilik air sehinggakan dia merasakan tubir matanya juga sudah meluruh ke bawah. Dada pun terasa cukup sempit sampaikan nafasnya tak mampu keluar masuk dengan baik.
“Nailufar menghidap leukimia tahap empat.”
Mendengar penjelasan doktor tentang apa yang menimpa Nailufar buat jantungnya hampir berhenti. Keputusan ct scan 2 minggu lepas yang diambil sebelum mereka bercuti di Kuala Lumpur gara-gara Nailufar demam di asrama akhirnya diperolehi.
Hancur luluh hati seorang ibu mendengar perkhabaran duka dari sang doktor. Serasa dunianya kelam tiba-tiba. Cahaya yang menyinari hidupnya sedikit demi sedikit beransur pergi. Justeru cahaya mana lagi yang hendak dia simpan.
Penyakit yang dihidapi Nailufar sama seperti penyakit arwah babanya. Tak sangka Nailufara anak yang pendiam dan cerdik itu akan mewarisi penyakit arwah babanya. Sungguh dia tidak mampu menerima. Apatah lagi penyakit Nailufar sudah sampai ke tahap berjaga-jaga. Sebarang kemungkinan perlu diterima dengan reda.
Mampukah dia hendak reda sekali lagi. Jika dulu hanya sang suami yang pergi meninggalkan alam fana. Dia masih mampu tersenyum. Tandanya dia wanita yang penyabar hati. Namun jika anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari ini yang diambil Tuhan redakah dia. Siapkah dia hendak menerima kehilangan buat kali kedua?
Dia tidak mampu menjawab kerana Nailufar masih bernyawa. Lalu baki hidup si anak yang masih bersisa ini perlu dia hargai. Dia akan menjaga Nailufar sebaiknya kerana takdir Tuhan itu bukan terletak di tangan para doktor.
Lateefa keluar dari bilik air lantas menghampiri katil anaknya. Kelihatan Nailufar diam di atas katil dengan mata terpejam. Dia tahu Nailufar tidak tidur. Melihat wajah pucat si anak hatinya hiba. Mahu saja dia menangis menghamburkan rasa sedih dengan keadaan Nailufar. Namun dia perlu kuat.
“Nai, mama balik rumah dulu. Nak gantikan baju. Lepas tu nak uruskan Yusuf dengan Yasmin. Lepas isyak mama datang semula, ya. Temankan Nai,” ujar Lateefa ceria. Cuba menceriakan hati sendiri.
Nailufar yang hanya tidur-tidur ayam mengangguk lemah. Terus Lateefa mengucup dahi anaknya. Setelah itu dia keluar dan menuju ke tempat parkir. Sebaik masuk ke dalam perut kereta sekali lagi dia hamburkan tangisan.
“Ya, Allah… inikah ujian yang kau hantar untuk aku sekali lagi. Aku mohon pada-Mu ya Allah, kau ikhlaskan hati aku. Tenangkan hati ini kiranya Nailufar hanya mampu hidup seketika sahaja. Kau gagahkan juga hati aku untuk menerima semua ini dengan reda, ya Allah.”
Hanya itu yang mampu dia doakan buat masa ini. Dia tidak meminta yang lain. Hanya sedikit sabar yang diminta agar dia tidak lelah di kemudian hari.
Setelah itu dia memandu pulang ke rumah membawa hati yang terluka. Kerana dia masih ada anak lain yang perlu di uruskan lalu dia tidak boleh melengah-lengahkan masa. Teringat akan Warda di rumah. Kasihan anak daranya itu. Seminggu tidak masuk ke asrama kerana dia yang meminta. Nasib baik pengetua memberi izin. Lalu setiap pagi dia akan hantar Warda. Petang pula ambil semula dan Warda akan menjaga adik-adik dekat rumah.
Saat azan maghrib berkumandang Lateefa akhirnya tiba. Warda yang menunggu dengan tenang pantas bukakan pintu dan menyambut Lateefa yang nampak sugul. Hati itu tertanya-tanya.
“Kenapa ma?” soal Warda risau. Tak sempat Lateefa hendak duduk di atas sofa terus saja dipeluk anaknya erat. Kemudian hamburkan tangisan semahu hati.
“Mama. Kenapa ni?” soal Warda resah. Lateefa sudah leraikan pelukan. Sentuh kedua-dua belah pipi anak sulongnya.
“Nai menghidap leukimia. Sama macam arwah baba.” Dengan payah Lateefa akhirnya lontarkan jua kalimat itu dengan rembesan air mata yang tak terkira.
Warda tersentak. Tak terduga gadis itu melurut ke bawah dengan kepala yang sukar mencerna. Apabila menyedari hakikat yang sudah tertulis lantas wajahnya disembamkan ke lutut Lateefa. Basah lencun palazzo wanita itu dengan air mata Warda.
Lateefa berpaling saat telinganya menangkap suara Yasmin dan Yusuf yang menangis di belakang.
“Mama, betul ke Kak Nai sakit macam baba?” soal Yasmin di belakang. Lateefa angguk lemah mengeyakan pertanyaan anaknya.
“Mama….” dan Yusuf pun sama menangis kuat lalu memeluk ibunya. Dan… riuhlah ruang tamu itu dengan tangisan mereka berempat.
Puas hamburkan tangisan lalu Lateefa sapu air mata yang masih tak malu menggugurkan diri. Melihat anaknya yang teramat sedih dengan berita yang tak terjangka ini dia seharusnya kuat. Dia tidak boleh kalah dengan perasaan sendiri.
“Kita semua kena kuat demi Nai. Jangan menangis sayang,” pujuk Lateefa dan meraih semua anaknya dalam pelukan.
Warda angguk. Dia bangkit. Tarik Yasmin dan peluk erat. Cuba meredakan tangisan adiknya.
Deringan telefon di ruang keluarga mengejutkan semua. Warda pantas lepaskan Yasmin dan melangkah mendapatkan telefon yang berdering minta di angkat.
“Ma… uncle Zhareef call,” beritahu Warda dan Lateefa tersentak.
“Ada!!!”
Sudah dia pesan agar jangan menjawab panggilan daripada lelaki itu. Nampaknya Warda engkar.
“Maafkan Ada mama. Ada jawab juga call uncle petang tadi. Ada kasihan sangat dekat uncle,” luah Warda dan Lateefa terpaksa akur. Dia tidak boleh menyalahkan Warda. Lantas dibawa telefon masuk ke dalam biliknya. Dia tidak mahu anak-anak mendengar perbualan mereka.
“Awak sihat?” tanya Zhareef sebaik sahaja panggilan dijawab. Lateefa serasa mahu menangis mendengar suara itu namun ditahannya kuat. Dia tidak boleh membiarkan lelaki itu meneka apa yang ada dalam hatinya.
“Ya, saya sihat.” Dengan payah dia keluarkan suaranya.
“Kalau sihat kenapa tak jawab call saya. Hari tu awak tergesa-gesa balik. Awak tak cakap lagi dengan saya sebab apa.”
Lateefa cengkam bajunya. Sungguh ketat terasa dadanya. Kalaulah lelaki itu suaminya dia mahu menangis dan hamburkan tangisan di dalam pelukan lelaki itu. Namun apakan daya. Dia yang menjauh. Lalu dia yang perlu terima akibatnya.
“Kenapa diam?” soal Zhareef risau.
“Maafkan saya.”
“Awak ada buat salah apa?” soalnya menguji dan kesenyapan Lateefa mematikan rasa sakit hatinya.
“Ada cakap awak pergi hospital. Kenapa?” soal Zhareef keras. Lagipun dia mahu tahu. Sejak seminggu kepalanya bekerja mencari jawapan kenapa wanita itu membuangnya bagaikan sampah. Hingga ke saat ini dia ternanti-nanti jawapan wanita itu.
“Ada kerja kat sana.” Lateefa berbohong. Terpaksa kerana dia sudah meminggirkan lelaki itu. Jadi tidak elok dia kembali menunjukkan sikap mesra.
Masing-masing senyap.
Zhareef pula hembus nafas kesal apabila Lateefa masih tak mahu mengakui ada sesuatu yang telah terjadi. Dia tak sepatutnya berkeras.
“Saya memang marah dekat awak. Sepatah pun awak tak cakap dengan saya. Saya tunggu awak dengan anak-anak macam orang gila dekat Vista Alam. Hampir sejam saya tunggu. Janji nak bawak awak dengan anak-anak round KL. Tapi tak tertunai. Call apa pun tak dapat. Kalau saya tak terserempak dengan Aisyah dan dia tak cakap hal yang sebenar saya akan terus marah awak sebab sakit hati dengan perbuatan awak.”
Berair juga kolam mata Lateefa. Ya, dia yang salah. Salah sebab tidak maklumkan lelaki itu kerana keadaan yang tak terduga. Apabila sampai di Terenggau terus dia matikan hajat untuk memberitahu. Baginya lelaki itu bukan siapa-siapa. Untuk apa dia berkongsi kerisauannya pada lelaki yang tidak ada apa-apa hubungan dengannya. Langsung tidak ada maknanya.
“Sayang tahu tak saya terluka.”
Dan sekali lagi seperti di Kuala Lumpur lelaki itu memanggilnya begitu.
“Saya minta maaf.” Dan dia pula sekali lagi hanya itu yang mampu diucap bibir.
Namun Zhareef tidak berpuas hati. Dia mengagak ada sesuatu yang berlaku kerana dia mengesan kelainan pada suara wanita itu.
“Maaf saja tak cukup, sayang.” Zhareef mula beromantis.
Lagilah hati Lateefa rasa cukup sayu. Suara arwah suaminya menenangkan dia ketika dia dilanda kesedihan buat hatinya rapuh.
“Hati saya yang hancur sebab saya yang berjanji dengan awak tetapi yang memungkirinya adalah sayang. Lagi pedih hati ni.”
“Maaf. Saya tak bermaksud nak lukakan hati awak. Saya kalut sampai tak tahu nak buat apa.”
Zhareef tarik nafas panjang.
“Masalah apa yang sayang hadap sekarang. Kongsi dengan saya.”
Sebak sungguh Lateefa dengan sikap ambil berat lelaki itu. Dia tahu dengan kesungguhan lelaki itu. Dia nampak namun dia tidak mampu berbuat apa-apa.
“Maaf.” Dia mula menyedari hakikat antara mereka.
“Kita bukan siapa-siapa. Boleh tak awak jangan tanya,” pesan Lateefa dengan suara yang sedikit serius.
Zhareef pun mengeluh.
“Sebab kita bukan siapa-siapalah saya nak awak terima lamaran saya. Saya ikhlas nak halalkan awak.” Sekali lagi lamarannya ke udara. Walaupun jauh beratus-ratus kilometer dia berharap Lateefa faham akan perasaannya.
Tak disangka-sangka air mata Lateefa mulai gugur satu demi satu. Lelaki itu tak jemu mencuba. Dia sapu keras dan mula tinggalkan pesanan.
“Mulai sekarang jangan call saya. Jangan bercakap dengan anak-anak saya. Cukuplah budi yang awak tabur setakat hari tu je. Saya tak mahu ada apa-apa hubungan dengan awak. Saya tak nak.” Serius nada suara Lateefa dan Zhareef sudah mengagak. Namun dia mahu terus berusaha.
“Salahkah saya nak rapat dengan awak. Jujur saya mahu memperisterikan awak,” rayu Zhareef bersungguh.
“Memang salah. Salah sangat sebab awak dah buat saya serabut. Cukuplah sampai hari ini saja awak call saya. Jangan tambah beban saya. Saya tak mahu kenal awak. Tak mahu rapat dengan awak dan tak mahu jadi isteri awak.”
Habis berkata Lateefa putuskan talian. Dia baling telefon ke atas katil dengan rasa geram tak putus-putus. Tekup muka dan menangis semahu-mahunya.
Tiba-tiba wajah Nailufar yang lemah tak bermaya muncul di ruang mata dan semakin menyerabutkan kepalanya.
“Ya Allah, berikan aku petunjuk agar hilang segala beban yang aku galas ini!” rintih Lateefa dalam esakan.
Wajah Nailufar sekali lagi menjengah benaknya dan berganti dengan wajah Zhareef yang penuh mengharap. Dia pejamkan mata dan kali ini wajah Nailufar yang banyak menguasi ruang fikirnya.
“Sayang, kuatkan semangat. Mama tak nak kehilangan buat kali yang kedua,” ucapnya bersama air mata yang tidak bertepi lagi.
hahahah... ok... tak terpublish plak yg ni. rasa mcm dah up semua. hehehe
Share this novel