21. Masih lemah

Drama Series 114354

Lateefa masih berkurung di dalam bilik. Kehilangan Nailufar benar-benar membuat hidupnya kelam. Dari hospital sehinggalah Nailufar disemadikan dia hanya menangis. Pemergian anak keduanya itu telah merenggut pergi ketenangannya. Puas hamburkan air mata dia bercakap-cakap dengan baju kurung arwah anaknya. Bila rasa tak mampu buat apa-apa dia menangis semula.

Anak-anaknya di luar bilik tak mampu hendak memujuk. Masing-masing yang sudah tenang kembali ribut. Memanggil-manggil mama mereka tetapi Lateefa terus hamburkan tangisan di dalam.

Jam sudah menganjak ke angka dua pagi dan Aisyah yang sedari tadi memujuk anak-anak kakaknya turut tak mampu berbuat apa-apa. Nasib baik ayah mereka masih ada. Terus haji Sulaiman tepuk muka pintu berkali-kali.

“Atee jangan ikutkan perasaan sangat. Ingat sikit, Atee masih ada anak-anak kat luar ni,“ jerit Haji Sulaiman geram.

Lateefa tersentak. Kerana terlalu hanyut dalam kesedihan dia terlupa dia masih ada anak yang lain untuk diberi perhatian. Terus kesalnya datang dan dia bangkit dari katil lantas ke daun pintu. Selak pintu di tarik dan tersembullah wajah anak-anaknya sebaik pintu dibuka.

“Mama tak sayang Yusuf ke? Yusuf ada mama sorang je. Kalau mama tak hiraukan Yusuf, siapa yang nak jaga Yusuf.”

Terasa bagaikan dipalu hatinya mendengar kata-kata Yusuf. Betapa dia telah membuat kesalahan besar. Lantas dipeluknya Yusuf erat.

“Mama….” kali ini Yasmin pula yang bersuara dan Lateefa cepat-cepat memeluk Yasmin. Dia mahu kuatkan hati namun ternampak bayangan Nailufar di mana saja dia celikkan mata. Lantas air mata kembali menyembah pipi.

“Mama… sabar mama. Mama kena kuat. Ada tak sanggup tengok mama macam ni,” luah Warda dalam tangisan yang juga tak henti mengalir.

Lateefa mengangguk. Namun, sebanyak mana nasihat yang diberikan dia tetap tak mampu menguatkan hati sendiri. Lantas dia bawa anak-anak masuk ke bilik. Dia duduk di atas katil dan terus mengalirkan air mata di situ. Yusuf dan Yasmin memeluk pinggangnya bersama esak tangis yang turut kedengaran.

“Kak Atee, sabar kak! Jangan ikutkan sangat perasaan tu.” Kali ini Aishah pula yang memujuk. Dia hempaskan punggung di sebelah Yusuf lantas tarik anak kecil itu dan menyuruh berbaring. Biar Yusuf tidur dipangkuannya. Kepala Yusuf sudah terlentok di paha Aisyah. Anak kecil itu sudah beralih tempat.

“Jangan terlalu mengenang, bimbang lain pulak jadinya Atee.” Haji Sulaiman mula berbunyi. Orang tua itu menghampiri anak sulongnya.

“Atee tak mampu nak hadap semua ni, ayah. Tuhan dah ambik orang yang kakak sayang. Mula-mula arwah abang. Tak lama Nai pula. Sakit sangat kat dada ni, ayah… Chah. Rasa nak juga kakak mati.”

Terkejut Aishah dengan kata-kata kakaknya. Langsung tak menyangka kakak yang nampak kuat zahirnya itu amat lemah.

“Jangan cakap macam tu kak. Tak baik.” Aisyah akur segala yang terjadi ini begitu tiba-tiba. Dia sendiri terkedu dengan berita yang dikhabarkan Warda pagi tadi. Mujurlah dia sempat balik. Jika tidak tiada langsung rezekinya hendak menatap wajah anak saudaranya buat kali terakhir. Sedar tak sedar air mata Aisyah juga turut mengalir tak henti-henti.

“Kak, sabar kak. Jangan ikutkan hati yang tengah lara tu," pujuk Aisyah lagi sambil mengelap air jernih di pipi. Dia kena kuat barulah kakaknya akan jadi kuat juga.

“Semua yang Allah susun tu dah cantik sangat Atee. Jangan terlampau meratapi. Bimbang goyah iman nanti.” Haji Sulaiman menyambung kata. Menasihati si anak yang nampak hampir tersasar dari landasan sepatutnya.

“Ingat Allah, Atee. Ingat Allah. Dia yang Maha Berkuasa. Dia yang menentukan semuanya. Bukan kita.” Sedikit tegas suara orang tua itu dan Lateefa masih tidak mampu menghentikan tangisan sendiri.

“Atee lemah sangat, ayah. Kenapa bukan Atee yang pergi dulu.” Tiba-tiba Lateefa meraung bagaikan anak kecil. Terus Warda di depan peluk emaknya erat.

“Mama… jangan macam ni mama. " Air mata Warda yang sudah surut kembali lebat.

“Mama tak kuat Ada.”

“Jangan macam ni mama. Kalau mama tak kuat macam mana Ada nak berpaut.”

Tak terluah suara Lateefa. Dia kehilangan kata.

Haji Sulaiman rasa nak marah. Dia tidak suka Lateefa menjadi lemah sebegini. Dia ingat dulu Lateefa begitu penyabar saat suaminya tiada. Tetapi apabila anak yang dikandung lama diambil Tuhan anaknya itu nampak begitu lemah.

“Kenapa Atee boleh cakap mcam tu. Kalau Atee yang pergi dulu siapa yang nak jaga anak-anak. Atee tak fikir ke, Allah dah ambil sorang namun masih ada lagi tiga orang yang Atee kena jaga, yang akan selalu bersama Atee. Siapa yang nak jaga mereka kalau Atee pergi juga. Ayah dah tua Atee. Belum tentu umur ayah akan sampai 1000 tahun. Chah pula bukan selamanya hendak membujang. Bila dah kahwin nanti dia pun nak ada anak juga. Nak urus anak sendiri pulak. Atee tak fikir ke semua tu,” nasihat Haji Sulaiman panjang lebar dengan nada sedikit tegas. Langkah diatur menghampiri anaknya.

“Ingatlah, Allah uji Atee ikut kemampuan Atee. Waktu arwah suami Atee tak ada kuatnya Atee demi anak-anak. Sekarang Nai pula yang pergi. Patutnya Atee kena kuat untuk anak-anak yang lain.”

Lateefa sapu airmatanya. Dia angguk mengeyakan kata-kata ayahnya. Tangisannya sudah berhenti. Namun esakan masih ada. Tetapi itu sudah cukup melegakan Haji Sulaiman.

“Ayah jangan balik lagi. Temankan Atee kat sini. Atee perlukan ayah untuk bina kekuatan.” Akhirnya Lateefa sedar akan kesilapan yang telah dia buat.

Haji Sulaiman angguk setuju.
“Dah. Jangan nak menangis lagi. Lama-lama nanti kering pulak airmata tu. Nak ke jadi macam Kassim Selamat?” Nasihat Haji Sulaiman namun lawak dihujung kata buat Lateefa kembali menangis.

Haji Sulaiman geleng kepala. Benarlah, Lateefa hanya kuat di depan orang luar tetapi di dapan ahli keluarga sendiri dialah yang paling lemah.

nasihat... jangan tak nasihat

Share this novel

juhanida
2025-02-03 11:24:59 

episod sedih.... gugur airmata... thank u sis update semula


NovelPlus Premium

The best ads free experience