Sudah tiga hari dia tidak mampu bekerja dengan baik. Tubuh pun rasa lemah longlai. Malas betul hendak menghadap kerja yang bertimbun. Tetapi jika dia layan resah di hati tentu abah akan mengamuk. Walaupun orang tua itu abah kandungnya tetapi dia kena ingat itu bos tempat dia bekerja. Silap haribulan abah berhentikan dia dan suruh jaga kedai motor sahaja. Naya dia nanti. Mana nak bagi makan minum Lateefa kalau dah kahwin.
Aduh, dia memang benar-benar parah! Lateefa belum lagi memberikan jawapan tetapi dia dah terlajak mencintai. Mabuk rindunya bukan mabuk biasa apabila wanita itu tidak memberinya peluang untuk bertanya khabar. Serasa dunianya hancur berkecai.
Pagi ini dia masuk ke pejabat dengan rasa malas. Sudah hari keempat tetapi dia masih begitu. Jenuh dia sibukkan diri dengan pelbagai urusan namun sedikitpun hatinya tidak tenteram. Menunggu jawapan balas dari Lateefa ibarat menunggu giliran dijatuhkan hukuman. Hukuman tak kunjung tiba tetapi dada tetap sesak tak dapat nak bernafas dengan baik.
Kaki rasa kejang tetapi dia tarik juga menuju ke bilik mesyuarat. Pagi ini abah adakan mesyuarat sebagaimana yang telah dijadualkan. Lalu dia hempaskan punggung di sebelah abahnya dengan semangat yang hilang. Encik Raisuddin memandang anaknya dengan pandangan hairan.
"Reef, abah dah nak start meeting tapi abah tengok Reef macam tak ready," sapa Encik Raisuddin sebaik saja semua ketua unit sudah berkumpul di dalam bilik mesyuarat.
“Dua tiga hari ni abah tengok Reef nampak risau. Kerja tak jalan. Asyik termenung. Dalam bilik meeting sekarang pun Reef macam jauh dari sini. Ada apa-apa yang mengganggu Reef ke?” bisik Encik Raisuddin gusar. Dia takut penyakit lama Zhareef kembali muncul.
Zhareef ukirkan senyuman tetapi nampak hambar.
“Reef okay je abah. Cuma tubuh ni tak cukup tidur. Itu yang mamai, jauh termenung bagai.” Dia mencipta alasan. Tidak mahu abahnya terus bertanya.
“Atau sebenarnya Reef tak sihat. Tapi tak cakap dengan umi… dengan abah."
Zhareef gelengkan kepala.
"Balik dari Terengganu hari tu kenapa tak bermalam kat rumah umi. Umi tu dah bising sangat. Call Reef tak masuk-masuk." Sempat lagi Encik Raisuddin bercerita. Alang-alang tunggu lagi seorang dua staf yang belum masuk elok dia nasihatkan Zhareef.
"Jangan nak berkurung sangat kat kondo Reef tu. Hari ini Reef balik tidur dekat rumah umi. Kalau Reef asyik nak lari dari umi tak pasal-pasal umi membebel panjang. Kalah cikgu tadika.”
Tak semena-mena terhambur tawa kecil Zhareef. Kalau tidak mengenangkan ramai kakitangan abah dalam ni mahu dia ketawa kuat. Demi menjaga maruah abah dia kawal agar terlihat sopan.
Kecut perutnya mengenangkan sikap umi.
Sebab itulah hari tu dia tidak terus pulang ke rumah. Mahunya umi serang dia bertalu-talu kalau tengok dia termenung tak sudah-sudah. Elok saja buat sementara waktu duduk dekat kondo dulu. Tidaklah makin serabut kepalanya menghadap perangai umi.
“Nanti Reef balik tapi tak janji lagi bila." Akhirnya dia membalas juga. Encik Raisuddin mengangguk dan beri isyarat hendak memulakan mesyuarat.
Apabila pengurus kanan abahnya mula membuka mulut mempengerusikan mesyuarat Zhareef tarik keluar telefon dari poket seluar lalu di letakkan ke atas meja. Kepalanya tak mampu hendak mengikut agenda mesyuarat yang dibincangkan. Terasa cukup bosan malah makin menarik pergi semangatnya yang baru nak datang.
Dia kembali termenung. Tiba-tiba layar telefonnya menjadi cerah. Kerana dia sudah menukar ke mode senyap lalu tiada deringan yang kedengaran. Hanya lampu skrin yang menyala menunjukkan ada satu pesanan telah masuk.
Dadanya berdebar kencang tiba-tiba. Kepala terus terfikirkan Lateefa. Mungkin wanita itu yang menghantar pesanan. Sungguh dia tak sabar lalu buka pesanan yang tiba.
Tersentak.
Tiada ayat ataupun kata-kata yang tertulis tetapi sekeping gambar yang dihantar buat jantungnya bergendang kuat dan serentak itu bibirnya terlukis senyum indah. Tak mampu mengawal rasa teruja pantas tubuhnya spontan berdiri dan dia menjerit lantang.
“Yahooo!!!"
Zhareef menjerit kegembiraan siap dengan memek muka yang nampak teruja. Sekali lagi dia melihat gambar cincin yang tersarung cantik di jari manis Lateefa dan rasa teruja tak habis di situ sahaja.
“Yes! Yes! Yes!”
Jerit Zhareef lagi dan tidaklah kuat tetapi sudah cukup menggemakan bilik mesyuarat yang sunyi.
"Zhareef!!!" panggil Encik Raisuddin sedikit kuat. Serta-merta mata Zhareef pandang keliling. Baru tersedar dia sudah tersalah laku. Konon-konon tadi hendak menjaga air muka abah. Sekali dengan muka dia tak terjaga. Wajah sudah membahang merah. Tetapi dia lelaki. Apa nak dimalukan. Ini berita gembira yang paling mengujakan.
"Kenapa. Menang loteri ke apa?" tanya abahnya dengan nada geram. Zhareef sudah mengganggu mesyuarat yang sedang berlangsung.
"Reef keluar jap abah." Dia meminta izin. Kalau dia terus di sini tentu mesyuarat ini akan jadi macam sarkas. Masing-masing akan tertawa melihat dirinya yang tak ubah macam badut. Asyik tersenyum sahaja.
Encik Raisuddin mengangguk dan Zhareef segera keluar membawa telefon. Sedikit pun dia tak boleh nak bersabar terus didail nombor telefon Lateefa. Kakinya ke kiri ke kanan menanti panggilan disambut. Dada usahlah cakap. Berdegup kencang hampir pecah isi di dalam.
Dan… detak di dada bagaikan mati apabila suara Lateefa yang memberi salam menyentuh gegendang telinganya.
“Terima kasih, sayang!” ucap Zhareef mesra usai menjawab salam wanita tersebut.
"Thanks a zillion, sayang." Lagi sekali dia ucapkan penghargaan. Dek terlalu gembira dia luahkan rasa tanpa selindung.
Lateefa di corong sana hanya berdiam sahaja. Tubuhnya tiba-tiba jadi gugup. Kelu lidahnya hendak berbicara.
“Terima kasih sekali lagi sebab sayang tak kecewakan saya.” Romantis Zhareef tidak dibuat-buat. Dia suka membahasakan wanita itu dengan panggilan sayang walaupun Lateefa tidak pernah memberi respon.
"Sayang…." panggil Zhareef apabila tiada sahutan.
Lateefa di sebelah sana menyentuh dadanya. Dulu, dia biarkan saja panggilan sayang itu dibawa angin lalu. Tetapi kali ini panggilan itu terasa lain. Meresap ke dalam jiwa dan buat debaran di dada langsung tak mahu surut. Dia menarik nafasnya panjang.
“Terima kasih juga sebab hendakkan orang tua macam saya,” luah Lateefa setelah lama berdiam diri. Zhareef rasa kecewa tiba-tiba..
“No sayang. 38 is just a number. Belum tua lagi.” sangkal Zhareef.
“Umur kita memang jauh bezanya dan saya tidak mungkin akan selamanya dapat bersama awak.” Nada suara wanita itu kedengaran sayu
“Syusshh!” Zhareef membunyikan isyarat menyuruh Lateefa diam.
“No need to talk about ages. Just follow the flow sayang,” pesan Zharif dan Lateefa angguk lega. Dia yakin dengan kematangan lelaki itu akan mampu membahagiakan dirinya dan anak-anak.
“Bila kita boleh buat majlis?” tanya Zhareef tak sabar.
“Secepat mungkin.”
Zhareef yang terkedu dengan jawapan Lateefa.
“Awak tak kisah?” Dia tak yakin dengan jawapan wanita itu.
“Buat yang wajib dah cukup. Lagipun saya tak ada sebab nak tangguhkan majlis untuk tempoh waktu yang lama.”
Zhareef senyum panjang dan hatinya teramat lega. Rasanya sekarang juga dia nak jabat tangan tok kadi. Tetapi dia tetap kena tunjuk sabar. Jangan gelojoh.
“Sekarang dah masuk bulan 7. So, apa kata kita buat cuti sekolah bulan 8 nanti. Senang sayang dah cuti dan boleh tumpukan perhatian pada saya.”
Lateefa angguk malu. Namun kepalanya sedang memikirkan perihal mereka. Hati teragak-agak hendak memberitahu. Tetapi jika dia tak mulakan dia yang akan rugi.
“Saya ada satu permintaan. Awak tak kisah kan?”
Zhareef tersentak. Permintaan? Janganlah Lateefa minta yang pelik-pelik.
“Permintaan. Okay just go on.” Lain yang ingin diucap lain pula yang keluar dari mulutnya.
“Selepas ini jangan call atau mesej saya lagi sehinggalah hari nikah kita tiba,” pesan Lateefa sedikit tegas dan Zhareef terkejut. Untuk apa wanita itu meminta begitu.
“Nak bincang pasal nikah pun tak boleh ke?” soalnya macam orang bodoh. Rasa nak tergelak pula Lateefa mendengar suara naif Zhareef.
“Nikah nanti kita kan buat yang wajib dan simple saja. Jadi apa-apa perkara yang awak nak tanya awak boleh call ayah saya,” beritahu Lateefa. Lama Zhareef berfikir.
“Okay, setuju. Tapi boleh saya tahu kenapa sayang tak nak dihubungi?”
Lateefa menelan liurnya. Takut pula hendak menjelaskan kepada lelaki itu. Agak-agak Zhareef akan cap dia perempuan gatal ke?
“Kalau alasannya munasabah saya akan terima tetapi kalau alasannya pelik saya akan tolak.”
Lalu Lateefa menarik nafas panjang. Malu untuk menjelaskan alasan akan permintaannya. Namun demi menjayakan pernikahan ini dia perlu.
“Sebab… sebab… .” Lateefa malu.
“Kenapa sayang?” soal Zhareef tidak sabar.
“Dengan cara ini saya berharap sayang dan cinta saya pada awak akan bercambah sehari demi sehari. Biarkan rasa yang ada dalam diri ini tumbuh dengan sendirinya. Bukan dipaksa-paksa.”
Kaku Zhareef dengan ayat yang keluar dari mulut Lateefa. Terdengar begitu romantis di telinganya. Dia terbuai.
“Tanpa berhubung dengan saya biar rindu awak pada saya makin mendalam. Jangan kerana berhubung kita akan mula mencari kelemahan masing-masing.”
Makin membuak-buak perasaannya pada Lateefa dengan sifat matang wanita itu.
“Sayang!” panggil Zhareef tiba-tiba.
“Ya,” sahut Lateefa bersahaja.
“I love you!” ucap Zhareef romantis.
Dan… masing-masing diam tak terkata. Yang kedengaran hanyalah detak jantung kedua-duanya yang berlagu riang.
yess! Kita pulak yang senyum2. Love you readers semua. Muuaahhh.
Share this novel