7. Pertemuan tak terduga

Drama Series 114354

"Lia nak cari apa kat sini. Dekat KL sana mall lagi banyak... lagi mewah. Alih-alih kat sini jugak yang Lia nak datang. Kemarin dah datang. Hari ni datang lagi. Siap suruh abang teman bagai. Lia macam tak tahu abang Reef tak suka tempat macam ni," omel Zhareef geram sebaik saja sampai di aras dua. Mereka berhenti di depan pintu masuk Pacific.

Zhalia mendengus.
Macamlah dia tidak tahu. Memang dia kenal sangat dengan abang sulongnya itu. Semenjak orang yang disukai meninggalkan alam fana lelaki itu asyik menyendiri. Makan minum entah ke mana. Kesihatan diri diabaikan. Bersosial langsung tidak.

Abangnya dah macam orang gila. Nasib baiklah abah pandai heret anak jantannya itu kembali bergaul dengan orang ramai. Usaha abah selama dua tahun tidak sia-sia. Abah buka kedai mengedar motorsikal berkuasa tinggi agar Abang Zhareef lupa dengan dunia sepinya. Alhamdulillah menjadi. Nampak sudah berubah. Malah selepas dua tahun menganggur lelaki itu mula bekerja dengan abahnya. Selepas tamat waktu kerja lelaki itu akan memantau kedainya pula.

"Balik nantilah Lia beli barang-barang tu," suruh Zhareef tak suka dan Zhalia buat muka merajuk.

"Abang apa tau. Lia nak cari souvenir untuk kawan-kawan Lia. Bukan macam abang. Jumpa kawan belanja makan... belanja minum. Siap. Kalau jumpa staf perempuan pula main balas senyum je. Belilah cenderamata untuk dia orang ke. Barulah dia orang sayang bos sendiri. Satu lagi... untuk orang tersayang. Kena beli jugak. Itu paling penting."

Tazkirah Zhalia dibalas senyum tawar Zhareef. Malas dia nak fikir semua itu. Kalau dia jumpa barang yang dia berkenan nanti pandai-pandailah dia beli untuk umi dengan abah.

"Lia carilah apa yang Lia nak. Abang Reef tunggu dekat bangku tu." Zhareef tunjuk bangku yang diam di tepi eskulator.

"Betul Abang Reef tak nak ikut?" tanya Zhalia meminta kepastian.

Zhareef angguk yakin dan mula melangkah ke bangku di tepi pagar eskulator. Baru saja hendak henyakkan punggung mata ternampak susuk wanita yang membelakanginya tak tentu arah. Melilau mencari siapa dia tidak tahu. Tak sangka susuk itu tersandung sesuatu dan hampir jatuh tersungkur.

"Hati-hati," jeritnya lantas dengan cepat menyambar lengan susuk tersebut dan menarik rapat ke dada agar tidak jatuh ke atas tangga eskulator.

Lateefa sentuh dadanya. Kuat berdebar. Kemudian mendongak.

"Cikgu!!!" ucap Zhareef saat wajah empunya lengan menyapa mata.

Lateefa tersentak
Sekali lagi.
Sekali lagi lelaki itu menjadi penyelamat. Dia cukup malu lantas berdiri untuk seimbangkan badan. Sayang, kakinya terpelecok dan sekali lagi dia hampir terjatuh lantas Zhareef paut kedua-dua lengannya kejap. Biar berdiri dengan betul. Tetapi kakinya tidak seimbang. Lateefa rasakan tumit kasutnya patah. Pantas dia menunduk ke bawah untuk melihat dan Zhareef lepaskan tangan.

Lateefa perlahan-lahan duduk di atas bangku. Ditanggalkan kasut lalu memandangnya sayu. Malah kesal bertimpa-timpa datang menikam diri. Mengapalah boleh patah pula. Tambah-tambah lagi ketika terserempak dengan lelaki di depan yang sedang menanti mulutnya berbicara.

"Terima kasih sebab dah tolong saya," ucap Lateefa lemah lantas bangun dan hendak membuang kasut yang sebenarnya sudah uzur ke dalam tong sampah bersebelahan bangku.

"Kenapa mama?" tiba-tiba Yusuf muncul dan Zhareef tersentak. Entah bila anak kecil itu berada di sebelahnya. Dia tidak sedar. Matanya mula bersinar sebaik wajah comel itu memandang ibunya dengan muka cemberut.

"Yusuf dari mana?" soal Lateefa dengan muka geram. Tak jadi hendak membuang kasutnya. Tiba-tiba sahaja amarahnya meruap keluar. Kerana mencari Yusuf yang lesap entah ke manalah dia hampir terjatuh. Malah dia sebenarnya marah dengan diri sendiri kerana Yusuf seorang tak mampu dia jaga.

"Kan Yusuf dah cakap nak pergi toilet," jawab Yusuf dengan muka masam. Akhirnya Lateefa akur. Dia yang terleka sehingga tidak menyedari Yusuf melencong ke arah tandas.

"Sorry mama. Yusuf tak tahan sangat." Nampak air mata anak kecil itu hampir menitis dan Zhareef tidak suka melihat tangisan lantas tarik anak yang bernama Yusuf itu lalu dipeluknya erat.

"Mama Yusuf dah maafkan. Dah jangan nangis," pujuk Zhareef dan serta-merta Yusuf hamburkan tangisan kuat. Terus Lateefa rasa bersalah. Malah hatinya cukup terkesan. Cara lelaki itu memujuk Yusuf buat hatinya merasai kelainan.

Namun dia tersedar. Dia tidak kenal lelaki itu dan kenapa dia biarkan Yusuf sewenang-wenangnya dipeluk orang lain. Lantas dia tarik tubuh Yusuf dan paut bahu anaknya kejap. Terkebil-kebil Zhareef tidak faham.

Ketika itulah Zhalia muncul. Matanya menilik wajah di hadapan abangnya. Kepalanya mencari dan akhirnya dia tersenyum panjang. Abangnya sudah menceritakan semuanya saat menunggu wanita itu memandu pulang dalam hujan lebat malam Jumaat lepas.

Dia tilik lagi.
Lateefa pula buat tidak endah. Dia menganggap gadis di belakang lelaki itu orang awam yang tersalah jalan.

"Tumit kasut mama dah patah. Mama kena beli baru. Yusuf teman mama beli kasut dulu ya," beritahu Lateefa segan. Matanya sempat kerling lelaki di belakang anaknya.

Yusuf mengangguk sambil keringkan air mata. Tak lama tunjuk muka masam mencuka pula. Lateefa tahu apa yang Yusuf mahu.

"Lepas mama beli kasut, baru kita pergi makan. Boleh?"

Yusuf angguk lemah.
"Tapi Yusuf dah lapar sangat. Rehat tadi Yusuf makan donat je ma."

Kasihan sungguh Lateefa dengan anaknya. Namun apakan daya dia perlu utamakan yang penting. Takkan dia nak berjalan ke restoren dengan berkaki ayam.

"Kenapa ni bang Reef? Ada masalah apa?" Zhalia yang sedari tadi memerhati akhirnya membuka mulut.

"Tak ada apa-apa. Saya.... " Lateefa tak tahu nak jelaskan macam mana. Semua yang terjadi ini adalah silap dirinya. Lantas dia matikan kata dan pandang gadis cantik di sebelah lelaki itu. Si gadis yang santai dengan blouse dan seluar jeans biru membalas pandangannya dengan sinar mata yang teruja.

"Adik saya. Zhalia."

Zhareef pantas menperkenalkan adiknya kepada Lateefa dan Zhalia hulurkan tangan.

Lateefa pula terus membuang kasut ke dalam tong sampah dan sambut salam gadis itu.

"Panggil Lia. Akak?"

"Kak Atee. Panggil Kak Atee."

Zhareef ukirkan senyum panjang. Terasa peluangnya untuk mengenali cikgu cantik ini semakin cerah. Pertemuan yang tak terduga ini diharap memanjangkan lagi episod perkenalan mereka.

"Jomlah mama. Kata nak cari kasut. Yusuf dah lapar sangat ni." Yusuf sudah berbunyi semula dan menyedarkan Lateefa yang dia telah melengah-lengahkan masa. Zhalia pula tujukan mata pada kaki wanita itu yang hanya beralas stoking.

Pantas dia kerling abangnya yang asyik membuang pandang ke arah wanita itu. Melihat cara abangnya dia sudah dapat mengagak apa yang ada dalam hati lelaki itu. Sejak pertama kali berjumpa wajah comel di depan, dia sedar ada sesuatu dalam hati abangnya yang sedang membenih.

Dia tahu apa yang nak dibuat. Lantas....
"Kenapa Kak Atee buang kasut tadi?" soal Zhalia mahu tahu. Padahal dia sudah faham dengan apa yang terjadi.

"Tumit patah. Tadi terpelecok sampai boleh patah pulak. Kena beli yang baru jawabnya," balas Lateefa ramah dan matanya dilarikan ke arah Yusuf. Amat malu apabila mata lelaki di depan masih tak jemu memandangnya.
Zhareef pun turut memandang anak kecil itu.

"Kalau macam tu biar Lia temankan. Lagipun ada barang lagi yang Lia nak beli."
Lateefa terkedu dengan keramahan adik lelaki itu. Baru sahaja berjumpa tetapi terasa seperti sudah lama kenal.

"Abang Reef bawaklah anak Kak Atee pergi makan dulu. Kasihan. Lapar sangat tu," suruh Zhalia ramah.

Lateefa tersentak. Terus dia gelengkan kepala serentak dengan tangan digoyangkan tanda tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Lagipun dia cukup segan dengan apa yang telah terjadi.

"Eh. tak apa. Biar Yusuf temankan saya."

Lateefa menolak dan Zhalia kena usaha lagi.

"Tak ada masalah pun Kak Atee. Lagipun kami memang nak pergi makan jugak. Cuma tadi Abang Reef tunggu Lia beli barang dulu."
Sungguh Lateefa tidak mahu pertemuan ini makin panjang. Sebolehnya dia mahu segera melarikan diri. Namun....

"Yusuf ikut uncle ya. Nanti lepas mama siap beli kasut, mama akan join kita."

Terus Zhareef tarik tangan Yusuf dan Lateefa terkesan dengan cara lelaki itu melayan anaknya. Anaknya pula tiba-tiba dongakkan kepala dan pandang Zhareef lama sehinggakan lelaki itu berasa pelik.

"Uncle ni boyfriend mama ke?"

Langsung tak terjangka soalan sebegitu boleh keluar dari mulut Yusuf dan Zhareef larikkan senyum panjang. Mata kerling wanita di sebelah Yusuf yang sedang mengetap bibirnya tanda malu dan segan.

Zhalia pula kemam bibirnya lucu. Nak tergelak tetapi ditahan agar perbuatannya tidak melukakan hati wanita itu.
Sesaat kemudian Zhalia pandang wajah abangnya.

"Abang Reef bawaklah Yusuf. Kasihan dia." suruh Zhalia.

"Tak payah encik. Saya takut...."

"Takut saya culik Yusuf?" Duga Zhareef apabila ayat wanita itu tidak habis.

"Daripada Abang Reef culik Yusuf baik Abang Reef culik Kak Atee. Lagi untung."

Mata Lateefa berkelip-ke lip malu.
Ya Allah, adik Encik Zhareef ni. Sampai tebal kulit muka Lateefa dengan kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu. Hendak tak hendak terpaksa dia benarkan anaknya bersama lelaki itu.

"Kak Atee jangan bimbang. Abang Reef pandai layan budak-budak." Janji Zhalia namun wajah Lateefa tetap keruh. Dia bimbang budi yang sudah banyak kali ditabur lelaki itu tak mampu dibalas.

"Tak menyusahkan encik ke?"

"Nope. Small matter." Zhareef menjawab yakin.

Hati Lateefa masih gusar. Bertambah bimbang apabila anaknya nampak begitu gembira.

"Mama, Yusuf pergi dulu."

Lateefa hantar anaknya yang melangkah seiringan dengan lelaki itu sehingga hilang dari pandangan. Yusuf nampak sangat gembira.

"Jom, Kak Atee!" ajak Zhalia sebaik kedua-dua susuk itu sudah masuk ke dalam medan selera.

Lateefa terpaksa juga mengangguk lemah dan mengikut Zhalia sehingga ke dalam Pacific untuk membeli kasut baru.
Dia tidak mahu berlama-lama memilih kasut. Sementelah kepalanya asyik teringatkan Yusuf. Lihat kasut di kaki dua tiga kali. Apabila sudah yakin dengan pilihannya dia terus ke kaunter. Zhalia pula mengekori dari belakang.

"Lia bayar," ujar Zhalia lantas mengunjukkan kad kredit pada cik cashier.

"Erk…. biar akak bayar sendiri." Lateefa tidak mahu termakan budi lagi.

"Lia belanja tanda perkenalan kita. Tapi, kad tu abang punya," ujar Zhalia lantas ketawa kecil. Abangnya sudah menghantar pesanan suruh belanja cikgu tersebut. Berbunga hati Zhalia dapat menolong abangnya.

Lateefa pula tunjuk muka bersalah. Tak sangka dia boleh berkenalan dengan orang yang suka berbudi. Cukup malu tetapi kasut di tangan tetap disarung ke kakinya. Puas hati dan rasa berbaloi pula kasut tadi rosak. Kalau tidak kakinya tak akan merasa memakai kasut bertumit wedges yang sudah lama diidam-idamkannya. Namun datang pula rasa serba salah hendak berjalan dengan kasut yang dibayar orang lain.
Tak apa... lepas ni dia bagi cash dekat lelaki itu. Akhirnya hati nekad.

"Cantik betul bila tersarung dekat kaki kak Atee. Padan pula dengan baju yang kakak pakai hari ni," puji Zhalia ikhlas yang sedari tadi melihat gelagat wanita itu.

Lateefa lorekkan senyum. Wedges berwarna kuning cair itu masuk pula dengan kurung moden longgar berwarna coklat tua yang dipakai hari ini. Rasa yakin pula nak melangkah namun hatinya dipagut resah apabila teringatkan si anak dengan lelaki yang asing dalam hidupnya.

Zhalia yang mengekori di belakang pula tersenyum meleret melihat keayuan wanita itu. Manalah abangnya tak berubah sehari dua ini. Semenjak malam majlis sumbangan anak yatim lagi dia lihat wajah abangnya nampak berseri. Nampak di mata lelaki itu ada cinta yang sedang berputik.

Dia amat bersyukur dengan perubahan abangnya. Sebab itulah dia mula mainkan peranannya sebaik mungkin dengan harapan semuanya dipermudahkan.

"Kak Atee kejap ya?" ujar Zhalia tiba-tiba sebaik melalui sebuah kedai mainan. Lateefa angguk dan hanya menunggu di luar sahaja. Lagipun matanya sedang tercari-cari susuk anaknya di dalam medan selera yang tidak jauh dari kedai di depannya. Tidak lama pun masa yang diambil. Zhalia muncul dengan membimbit plastik besar berisi sekotak mainan kereta kawalan jauh.

"Harap-harap Yusuf tak susahkan Encik Zhareef," omel Lateefa sambil melangkah dan Zhalia hanya beri senyum sahaja kerana kepalanya ligat mencari idea. Harap akan berjalan lancar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience