16. Demi Nailufar

Drama Series 114354

"Ma… maafkan Nai,” ucap Nailufar saat Lateefa sedang berehat di atas katil sambil melihat beberapa orang penghuni Vista Alam berenang di dalam kolam pada waktu malam begini.

"Nai tak mengantuk lagi ke?" soal Lateefa tanpa membalas ucap maaf anak daranya. Dia lihat anak-anak yang lain sudah tidur bersama Cik Su mereka. Letih sangatlah tu. Main dekat i-City sampai lupa diri. Itu yang lepas isyak terus terbongkang tak ingat apa dah. Makan malam pun terabai.

"Ma...Nai nak minta maaf. Mama terasa hati dengan Nai kan?" soal Nailufar lantas duduk di sebelah ibunya. Lateefa ukir senyum panjang.

"Nak terasa fasal apa pula Nai?" balas Lateefa lantas kembali memandang ke luar. Dia tahu Nailufar bercakap hal ketika zuhur tadi. Sebolehnya dia tidak mahu lagi mengulang benda yang sama. Untuk apa hendak berbicara tentang seorang lelaki yang tidak dikenali. Eloklah dia melayan ragam orang yang bersuka ria di dalam kolam.

"Mama pun sukakan uncle tu kan?" Tiba-tiba saja soalan sebegitu menerjah keluar dari mulut Nailufar. Terus Lateefa berpaling menghadap muka anaknya.

"Nai merepek apa ni?” suara Lateefa sedikit keras.

“Nai tahu… mama sukakan uncle Zhareef.”

Dan hati Lateefa berantakan. Kenapa anaknya membaca hatinya sedemikian rupa. Tertuliskah di wajahnya perkataan begitu sehinggakan Nailufar tak jemu menebak hatinya.

“Nai… kalau soal suka yang Nai cakap kita berhak suka siapapun. Suka tu satu kerja yang kita tak boleh nak paksa. Tapi bila dah suka tak semestinya kita kena kahwin dengan orang yang kita suka tu," jelas Lateefa bersungguh. Harap Nailufar faham kerana bercakap dengan Nailufar bukan seperti bercakap dengan Yusuf. Kematangan anak daranya yang kedua itu melebih kematangan Warda.

Nailufar terdiam. Apabila anaknya hanya menekur ke bawah Lateefa mula merenung wajah itu lama-lama.

"Nai jangan bimbang. Mama tak rasa nak kahwin pun lagi. Belum jumpa lagi pengganti baba yang dapat terima mama seadanya dan terima anak mama yang ramai ni," pujuk Lateefa merangkap memujuk hatinya sendiri.

Nailufar mengangguk. Kolam matanya mula digenangi air jernih. Lateefa jatuhkan pandangan redup pada anak daranya.

"Nai kena tahu. Bila seorang ibu... seorang isteri kehilangan suami... dia tak fikir benda lain dah, Nai. Dia hanya fikirkan anak-anak saja. Fasal diri sendiri pun tak kisah sangat dah. Macam mama. Mama hanya nak anak-anak mama membesar dengan sempurna dan berjaya di dunia dan akhirat. Kalau lepas tu ada lelaki yang nak kat mama baru mama kahwin. Itupun kalau mama nak.”

Tiba-tiba Nailufar ketawa kecil hingga Lateefa berkerut tak faham.

“Mama rasa ada ke lelaki yang nak dekat moyang?”

Serta merta bibir Lateefa tersungging senyum.

“Entahlah.”

Dia mula menekur ke bawah. Berfikir jauh. Betulkah apa yang dia cakap. Benarkah dia tidak mahu berkahwin lagi. Apakah dia tidak tergugat dengan cara lelaki itu memikat. Sebagai seorang wanita yang sudah lama tidak berteman dia akui dia terkesan. Namun dia orang tua yang tidak layak hendak mencintai lelaki muda.

“Zaman sekarang ni susah nak jumpa lelaki yang boleh terima perempuan macam mama tambah-tambah lagi yang dah tua kerepot.” Itulah jawapan selayaknya pada pertanyaan Nailufar.

Pantas anaknya lorekkan senyum tipis.
“Mana ada tua. Mama Nai masih muda, masih cantik sebab tu jiran depan rumah kita pun berkenan dekat mama.”

Tak sangka kata-kata Nailufar mengundang tawa kecil Lateefa.

Terus dia teringat akan pegawai polis yang tinggal di depan rumah. Masih bujang dan amat muda. Boleh pula berkenan dengannya. Siap hendak menghantar rombongan meminang. Tapi dia tolak cara baik. Itupun dengan berbohong sunat mengatakan sudah ada pakwe. Jika tidak menipu tentu dia akan diganggu. Serasa mahu pindah dari situ tetapi tidak jadi kerana akhirnya pegawai polis itu berkahwin dengan jururawat klinik kesihatan berdekatan.

Jodoh itu rahsia Allah dan sebagai hamba yang lemah kita tak mampu mencungkil rahsia tersebut.

Lamunan Lateefa mati apabila Nailufar tiba-tiba menjatuhkan kepala ke atas pahanya. Lateefa tersentak. Rasa membahang. Gadis itu berbaring dan nampak lemah. Tangan Lateefa pantas naik mengelus rambut Nailufar.

“Eh, Nai demam ni,” ujar Lateefa saat tangannya merasai bahang pada tubuh si anak.

Anak daranya pula menggelengkan kepala.
“Sikit je ma.”

Dada Lateefa mula bergendang kuat.
“Bukan sikit ni, Nai. Panas membahang macam ni. Lagipun bulan ni saja dah 4 kali Nai demam. Kalau mama tak call kawan mama yang mengajar dekat sekolah Nai, mama tak akan tahu.”

Nailufar tiba-tiba mengiring dan memeluk pinggang Lateefa. Makin kuat terasa bahang tubuh anaknya.

“Nai rasa letih la, ma. Sejuk sangat.” Nailufar makin mengeratkan pelukan.

Hati Lateefa berdenyut pelik. Perut mulai senak. Masa bercakap tadi tak nampak pun Nailufar demam. Bila dah bersentuhan begini baru dia tahu Nailufar tidak sihat.

Terus hatinya ketakutan. Pantas dia gosok bahu anak daranya sehingga gadis itu tertidur. Dia letak kepala Nailufar ke atas bantal lantas bangkit mendapatkan Aisyah yang lena tak bergerak.

“Chah, bangun Chah!” kejut Lateefa kuat.

Adiknya itu menggeliat kecil. Tak semena-mena Warda di sebelah pula yang bangkit. Anak sulungnya itu jenis telinga lintah. Pantang terdengar sesuatu terus terjaga dari lena.

“Ada apa Kak Atee?” terpisat-pisat Aishah bertanya sambil tangannya menggosok mata.

“Kak Atee rasa esok Kak Atee kena balik dah. Nai demam tu.”

Aisyah tersentak. Pantas bangkit lalu menghampiri Nailufar. Dahi gadis itu disentuh lama. Warda juga begitu. Nampak risaukan adik sendiri.

“Panasnya.” Aisyah tidak berlengah. Terus ke dapur dan mengisi air ke dalam.
Dia tolong meredakan bahang tubuh Nailufar dengan jerlum kepala gadis itu. Nailufar mula menggigil kesejukan.

“Tadi masa kat i-City nampak okay je. Alih-alih malam ni dia demam pula. Akak rasa akak kena balik jugak esok. Tak tenang dah hati tengok Nai macam ni. Dia kalau dah demam makan hari," luah Lateefa risau.

“Tak nak duduk rumah Chah dulu kak Atee?”

Lateefa menggeleng tidak mahu.
“Kalau dah demam macam ni tak boleh dah nak jalan mana-mana. Takkan nak terperuk dekat sini. Kalau tiba-tiba Nai kena tahan wad lagi Kak Atee susah hati. Lagipun 2, 3 hari lagi sekolah dah nak buka.”

Aisyah mengangguk. Betul juga kata Kak Atee.

“Kalau macam tu Kak Atee kemas-kemas barang. Chah call grab. Lepas subuh terus bertolak pergi airport.”

Lateefa mengangguk setuju.
Malam semakin tua namun matanya tetap gagah. Apabila risaukan Nailufar diri sendiri mula terabai. Dia memang pantang jika anak-anaknya demam. Bimbang dan resah mula merajai hati. Dia cukup takut dengan penyakit demam ini. Kerana demamlah dia kehilangan suaminya.

Arwah suaminya yang kerap demam akhirnya disahkan menghidap Leukimia tahap 4. Hati isteri mana yang tak hancur. Hati wanitanya tak mampu menipu diri betapa dirinya sungguh terluka. Berbulan-bulan lamanya ditahan di wad akhirnya sang suami pergi jua menyahut seruan Ilahi.

Terkenangkan kisah pahit itu air mata Lateefa melencun turun tak dipinta. Titis-titis jernih yang membasahi pipi bukti dia takut untuk menghadap realiti yang ada di depan mata.

Melihat Nailufar yang berselimut lingkup hati Lateefa resah tak sudah. Dia tak mampu melelapkan mata dan berjaga sehinggalah subuh menjelma. Selepas mengejutkan anak-anaknya untuk mandi, solat dan bersiap dia uruskan Nailufar pula. Nampak anaknya itu makin tidak bertenaga.

“Kenapa nak balik mama?” tanya Yusuf mamai.

“Kak Nai demam,” balas Lateefa lemah.

“Tak jadilah hari ni nak jalan-jalan dengan Uncle Zhareef kan?” Yusuf nampak macam nak merajuk.

Lateefa tersedar. Ya, dia belum lagi mengkhabarkan berita ini kepada lelaki itu.

“Maaf, Yusuf. Kita boleh datang time cuti hujung tahun nanti. Tak pun kita bercuti kat tempat lain pula. Kita ajak Cik Su sekali,” pujuk Lateefa dengan suara kendur. “Sekarang biar mama uruskan Kak Nai dulu.” Dia sebolehnya tidak mahu melukakan hati anak bongsunya namun apa boleh buat. Keadaan Nailufar menghalang segala rancangan bergerak lancar.

“Yusuf, nanti Yusuf cakap dengan uncle. Kita ikut uncle lain kali ya. Tengok Kak Nai tu. Kasihan dia.” Sebagai kakak yang sulong Warda tidak melepaskan tangan begitu sahaja.

Yusuf angguk setuju walaupun mukanya nampak masam mencuka. Terus dia merapati kakak keduanya yang duduk bersandar di atas katil. Tubuh kakaknya tu dibaluti sweater tebal.

“Kak Nai, cepat sihat tau. Kan kita dah janji. Sampai kat rumah nanti kita nak main badminton sama-sama.”

Lateefa urut dadanya. Lega. Sikap Yusuf sudah berubah.

Nailufar pula cuba ukirkan senyum. Namun terlihat hambar.

“Jomlah. Grab dah tunggu kat bawah,” ajak Aishah yang muncul dengan telefon yang melekap di telinga. Agaknya pemandu grab yang menghubungi.
Lateefa tidak berlengah lagi. Mereka segera check out dari studio dengan membawa harapan agar Nailufar akan cepat-cepat sihat.

kalau awak baca dari awal.chapt awak akan rasa turun naik cerita ini

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience