10. Berpakat

Drama Series 114354

Balik sahaja dari Terengganu Zhareef mula sibuk 24 jam sehinggakan hari minggu pun dia tiada masa untuk berlama-lama di rumah. Sebenarnya dia sengaja mencipta kesibukan untuk mengelak berlama-lama dengan umi. Dia bosan dengan ayat umi yang sama. Tak pernah jemu menyuruh dia menamatkan zaman bujangnya.

"Reef nak pergi mana. Tergesa-gesa macam ada emergency," soal umi apabila melihat dia yang cepat-cepat menghirup kopi panas bagaikan minuman sejuk. Waktu sarapan yang sepatutnya menjadi medan perbualan anak-beranak tidak berfungsi dengan baik pula. Zhareef yang tidak mahu berlama lantas bangkit hendak keluar dari rumah namun di halang Puan Zarina.

"Duduk dulu!” arah umi sebelum sempat kakinya melangkah. Dia pandang Zhalia. Adiknya itu hanya menjongketkan bahu. Tanda tidak tahu apa yang umi mereka hendak cakapkan.

"Umi tak sempat nak tanya. Dah dua tiga hari Reef balik tapi kita tak sempat nak jumpa pun lagi. Time umi balik kerja Reef tak balik lagi. Bila Reef balik umi pulak yang dah tidur. Waktu sarapan hari minggu macam ni lah baru kita boleh duduk bersembang. Tapi itu lah hari ini pun Reef sibuk juga,” omel Puan Zarina dengan perasaan kecewa.

"Sorry umi. Reef kan dah banyak hari tinggalkan pejabat itu yang banyak kerja tertangguh. Reef kena setelkan sebelum kerja bertambah. Lagipun Reef tak boleh nak harapkan abah sorang je,” balas Zhareef lantas duduk dan beri penjelasan agar kepala uminya tidak melencong ke arah lain.

"Umi sebenarnya nak tahu kenapa Reef duduk lama sangat kat Terengganu? Cakap nak pergi 3 hari je. Alih-alih sampai seminggu Reef kat sana."

Zhareef menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kelip-kelip pandang Zhalia meminta pertolongan. Adiknya itu julingkan mata ke atas.

"Umi ni macam tak tahu pulak kerja abang macam mana. Bukan Abang Reef pergi bercuti. Lagi satu alang-alang abang pergi sana tentulah dia nak jumpa kawan-kawan baik dia yang ramai duk kat sana tu."

Zhareef lega. Ingatkan Zhalia tak mahu menolong rupanya tidak. Bagus sungguh adik perempuannya. Memang boleh dibawa ke mana-mana. Boleh jadi back up ketika waktu susah.

Namun hatinya gusar. Dia memang tak mahu jumpa umi. Lantas pandang jam tangannya. Masa terus berjalan dan dia masih belum dapat melepaskan diri dari tol tak berbayar di depan mata. Ini kalau dia layankan umi memang tak akan habis. Elok dia beredar. Baru nak bangun....

"Umi bukannya apa. Takut Reef akan melekat kat sana. Berkenan pula dekat orang sana, susahlah umi. Jauh tu nak pergi jenguk.”

Kelip-kelip Zhareef pandang ibunya.

"Umi tak kisah pun kalau Reef nak cari orang rumah yang jauh-jauh tapi umi tak nak Reef salah buat pilihan. Tackle bukan main. Ingatkan anak dara rupanya janda. Anak ramai pulak tu,” sambung Puan Zarina.

Gulp!
Zhareef telan liurnya. Terasa keras. Terus punggungnya jatuh semula. Ayat akhir yang keluar dari mulut umi buat matanya kerling Zhalia lagi sekali. Nampaknya tubuh dia akan keras kejung di situ. Hati rasa tak tenang dan kepala mula fikir yang bukan-bukan. Apakah naluri seorang ibu dapat mengagak apa yang telah dibuat anaknya.

"Apa salahnya dengan janda, umi. Mereka pun manusia jugak. Lainlah kalau janda tu pontianak. Hah, yang tu jangankan kata nak tackle, tengok pun dah boleh hilang nyawa."

Sempat lagi Zhalia membuat lawak dan sepantas kilat tangannya dicubit Puan Zarina. Tak sangka, Zhareef yang kejung meluahkan gelak kecil.
Ada-ada saja jawapan Zhalia.

"Jangan sesekali nak bawa janda masuk ke rumah umi. Umi tak izinkan."

Makin berat pula perbualan yang tak disengajakan ini. Zhalia pun bukan main nak menyakat emaknya dan Zhareef pula hanya mampu mengunci mulut. Tak berani dia nak bercakap banyak bimbang terlajak kata.

"Umi ni ada ke patut. Janda kalau dah kahwin dengan Abang Reef dia dah tak jadi janda. Dia jadi Mrs. Zhareef As’ad. Title yang orang tak suka tu dah tak ada." Dalam lawak yang kedengaran ada kebenarannya. Zhareef benar-benar bersyukur. Zhalia amat memahami.

"Umi tak nak menantu umi tu janda. Reef jangan nak cari perempuan macam tu. Umi tak izinkan."

Aduh, memang serius kata-kata umi sehinggakan Zhalia pun telan liurnya keras. Dia sengaja main angin umi tapi tak sangka pula umi jadi serius gila.

"Kenapalah umi asyik sebut benda macam tu. Umi jangan tak tahu yang kita tak nak itulah yang datang kat kita tau." Sengaja Zhalia mengusik emaknya dan Puan Zarina tunjuk muka tidak suka.

"Kalau macam tu baik Reef kahwin dengan Dian. Umi lagi suka. Dian tu bagus sangat."

Sudah.
Datang dah benda yang dia tak suka. Lantas dia pandang lama wajah emaknya yang nampak mengharap.

"Umi... Dian tu sepupu Reef. Lagipun dia muda sangat. Adik pada Lia pulak tu." bangkang Zhareef.

Zhalia angguk setuju.
"Lebih baik kita elakkan dari kahwin dengan sepupu sendiri. Umi pun tahu kan apa sebabnya? Dian tu pulak entah-entah dah ada calon sendiri." Zhalia mencelah.

Puan Zarina angguk faham.
"Umi tahu sangat. Dah abang kamu ni tak jumpa-jumpa lagi calon isteri itu yang umi suruh kahwin je dengan Dian."

Zhareef akhirnya senyum lega.
"Umi… sampai masanya nanti Reef akan kahwin jugak. Umi jangan bimbang," pujuk Zhareef penuh yakin.

"Mana umi tak bimbang kamu tu dah nak masuk 30 tahun."

Zhareef lebarkan senyum.
"Jodoh Reef tengah tidur kut umi. Macam cerita snow white tu. Nanti dia dah bangun dia yang akan cari Reef."

Puan Zarina buat muka. Tidak senang dengan lawak anak terunanya.
"Ada-ada je kamu ni Reef."

Zhareef ketawa kecil dan bersambung dengan gelak Zhalia.
"Pergi dulu mi. Reef nak pergi kejutkan snow white Reef. Entah solat subuh ke tidak."

Makin besar gelak Zhalia dengan usikan abangnya. Terhibur apabila sikap ceria abangnya sudah muncul. Dia hantar abangnya sehingga hilang dari pandangan dengan hati tenang. Kembali pandang muka uminya yang nampak tak puas hati; tak puas hati sebab anak jantannya macam tak ada tanda nak kahwin. Hakikatnya hanya dia dan tuan punya badan sahaja yang tahu.

Sementara di bawah garaj Zhareef sudah masuk ke dalam perut kereta. Enjin dipanaskan buat seketika. Teringat akan kata-kata umi yang tidak mahukan janda sebagai menantu pantas pula wajah comel Cikgu Lateefa terbayang di ruang mata. Dia amat berharap wanita itulah snow white yang akan bangkit setelah lama terlena. Kerana susuk itulah yang berjaya mencairkan hatinya maka dia tidak kisah dengan larangan umi. Dia tahu sekeras hati umi akan lembut juga nanti. Apatah lagi snow white yang akan dia dapatkan itu lain dari yang lain.

Ya Allah, kau bukalah peluang untuk aku raih cintanya. Aku mahu perhubungan yang halal yang boleh membawa aku dan dia ke jannah Mu.
Bisik Zhareef penuh pengharapan.

okay. dah update. apa jadi lepas ni. jeng-jeng

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience