Menjelang petang barulah semua urusan selesai. Penat memanglah penat tetapi demi Lateefa, Zhareef sanggup berkorban apa saja. Dia akan berusaha sehingga dayanya tiada upaya lagi demi menunjukkan kepada Lateefa yang dia benar-benar cintakan wanita itu.
“Terima kasih Reef dah tolong pakcik,” ucap Haji Sulaiman sebaik kereta yang dipandu Zhareef sudah berhenti di depan pagar rumah Lateefa. Orang tua itu keluar dan pandang Zhareef dengan wajah lega. Zhareef pula mengangguk dan turut keluar lalu melangkah seiiringan sehingga ke tangga rumah. Sambil itu tangannya mengelap peluh di dahi. Walaupun hari sudah hampir senja dia tetap merasa bahangnya mentari. Mungkin kerana dia yang banyak bergerak lalu tubuhnya aktif mengeluarkan peluh.
Mata pandang wajah tua itu dan berikan senyuman. Terbit rasa syukur dalam hati atas segala ketetapan. Dalam perit yang datang Tuhan berikan kesempatan yang tak terduga. Dia berpeluang mengenali ayah Lateefa serta adik-beradik wanita itu. Malah dia merasakan kerjanya dipermudahkan.
“Reef nak balik dah ke?” tanya Haji Sulaiman apabila Zhareef hanya diam di depan tangga rumah.
Zhareef menoleh ke arah Fazli yang mengekori dari belakang. Lelaki itu angguk mengeyakan.
“Dah nak maghrib ni pakcik."
"Naik dulu, Reef. Minum air. Basahkan tekak tu," pelawa Haji Sulaiman namun ditolak Zhareef dengan baik.
"Esok pagi sebelum balik KL Reef singgah sini pakcik.” Zhareef berbahasa.
“Ya lah. Reef balik berehat. Kasihan pakcik tengok. Sehari suntuk tolong uruskan semua benda. Pak cik bersyukur sangat bila Reef ada nak tolong Atee. Kalau tunggu pakcik lambat urusan nak selesai.”
Zhareef tahu. Dia perlu bertindak cepat. Pada saat genting beginilah dia mahu wanita itu tahu dialah lelaki yang mampu menolong. Biar Lateefa sedar akan kesungguhannya.
“Reef balik dulu pakcik,” ucap Zhareef lantas menyalami tangan orang tua itu dan berlalu ke kereta. Fazli pun sama. Usai bersalaman dia masuk ke bahagian penumpang di hadapan.
“Kenapa kau tak cakap terus je tadi?” tanya Fazli tidak puas hati. Zhareef memandang ke sebelah. Orang tua itu masih menunggunya.
“Esoklah. Semua orang masih tak tenang. Aku bimbang kalau aku cakap sekarang tak pasal-pasal aku kena reject. Tak ada penjelasan tak ada penerangan terus kena tendang.
Fadzli tergelak kecil. Betullah. Orang tengah bersedih. Kalau Zhareef buat perangai tak sabar kan tak pasal-pasal dia pula yang kena usung mamat tu ke kubur. Tambah sorang lagi arwah.
“Kalau macam tu, sorry ah bro. Esok aku kerja. Tak dapat nak temankan kau.”
Zhareef tak kisah.
“Tak apa. Aku urus sendiri,” ujar Zhareef lantas memandu keluar dari kawasan rumah Lateefa menuju ke bandar untuk menghantar Fazli pulang. Sementara dia pula akan ke hotel. Mahu merehatkan tubuhnya setelah seharian berpenat lelah demi wanita yang bertakhta di dalam hati.
Setelah sampai dia bergegas membersihkan diri. Usai solat maghrib terus dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Tubuh terasa lenguh-lenguh dan nampaknya dia perlu ke spa untuk diurut. Saat ini mulalah dia menginginkan seorang isteri di sisi. Dan… alangkah indahnya hidup jika Lateefa sudi menjadi hak miliknya yang halal.
Tangan diletakkan ke atas dahi dan dia merenung siling bilik hotel yang bercorak. Tiba-tiba sahaja wajah Nailufar yang ketat singgah di ruang matanya. Teringat akan memori sewaktu bersama Lateefa dan anak-anak wanita itu di Kuala Lumpur. Hati dirundung pilu. Dia sedih kerana wajah Nailufar tidak berjaya diubah coraknya. Dari pagi sampai ke malam tetap kelat sahaja. Sepatah pun gadis itu tidak menegur. Bukan dia tak cuba untuk beramah mesra dengan gadis itu namun Nailufar selalu mengelak.
Tetapi kelmarin hatinya luluh mendengar suara gadis itu yang lemah dan sayu. Merayu serta meminta simpati. Menyuruhnya menjaga Lateefa sebaiknya. Kalaupun Nailufar tidak meminta dia tetap akan berusaha menjaga wanita itu.
Tetapi dia terkilan kerana dia langsung tidak mengetahui penyakit yang dihidapi gadis itu. Malah dia cukup bersalah kerana meletakkan amarahnya pada Lateefa sedangkan wanita itu sedang berperang dengan masalah.
Zhareef kesal dan dalam waktu yang sama dia berasa simpati.
Dia tidak sepatutnya mengganggu Lateefa. Tetapi itulah. Wanita itu amat dikehendaki. Mana mungkin hatinya akan tenang jika wanita itu tidak menjadi miliknya. Namun sejak siang hari tadi dia sudah memasang tekad. Sejak berjumpa ayah wanita itu dia yakin ada sinar untuknya esok. Dia akan berterus terang dengan orang tua Lateefa kerana dia tidak mahu bertangguh.
Zhareef senyum. Walaupun penat dia rasa semuanya berbaloi.
Lepas ni macam mana? Nak ke Lateefa dekat Zhareef?
Share this novel