26. Rindu Membara

Drama Series 114354

Waktu pejabat belum lagi berakhir namun Zhareef sudah tidak senang duduk. Dia mahu hari-harinya cepat-cepat berlalu agar dia dan Lateefa halal untuk hidup bersama.

Petang Jumaat ini segala kerjanya tidak berjalan lancar semenjak memenuhi permintaan Lateefa. Dia yang tak akan tenang selagi perkembangan terkini wanita kesayangannya tidak singgah di telinga. Lagaknya kini bagaikan orang mati bini.

Macam mana dia nak tahu tentang wanita kesayangannya. Baru beberapa minggu berlalu tetapi dia nanar bagaikan sudah setahun tidak bercakap dengan wanita kesayangannya. Sungguh dia terlalu merindui wanita itu. Jika rindu ini tidak terubat tentu saja dia akan jadi gila.

Kepala mula menggali mencari cara untuk mendapatkan perkembangan mengenai Lateefa. Tiba-tiba nama Aisyah terlintas di kepala. Selama ini dia selalu menghubungi ayah Lateefa untuk berbincang tentang hal nikah kahwin. Malah orang tua itulah tempat dia kirimkan salam untuk Lateefa. Kali ini dia baru teringat. Dia ada Aisyah. Bukan ke Aisyah sudah berhenti kerja dan sekarang tinggal bersama Lateefa.

Lantas nombor telefon gadis itu didail cepat.
Sekejap saja Aisyah menjawab panggilannya.

“Hek eleh, tak sampai sebulan pun lagi dah langgar syarat, eh. Nak tahu pasal kakak kita lah tu sebab tu dia dah call kita kan. Chah dah agaklah mesti Abang Reef akan call Chah. Rindu sangatlah tu,” usik Aisyah dan Zhareef terkulat-kulat dengan usikan bakal adik iparnya.

“Kak Atee tengah buat apa?” soalnya mahu tahu. Aisyah yang sedang membaca novel di ruang tamu segera mengintai dari pintu gelangsar.

“Ada tu hah. Tengah basuh kereta.”

Zhareef terkejut. Basuh kereta? Jarang dia dengar orang perempuan basuh kereta sendiri. Dia yang lelaki ini pun hantar ke kedai cuci kereta. Malaslah hendak lenguhkan tubuh membasuh pacuan empat roda milik sendiri. Lagipun dia duduk dekat kondo. Mana ada tempat nak basuh kereta sendiri. Lainlah kalau duduk rumah umi. Ah, nanti dah kahwin dia dengan Lateefa akan sama-sama buat kerja macam tu. Ah, bahagianya hidup! Dia mula berangan.

“Chah, video call please. Abang Reef rindu sangat dengan Kak Atee,” Zhareef merayu dan suara itu kedengaran meluat di teling Aisyah.

Pantas Aisyah mencebik.
“Mengaku pun rindu kan Kak Atee. Okay sebab Chah tengah mood cantik Chah layankan je abang Reef,” ujar Aisyah lantas tarik headphone dan memakainya. Nak buat salah pun kena pandai guna taktik. Salah cara nanti dengan dia-dia kena balun Kak Atee.

Setelah bersiap sedia Aisyah bawa novel ke muka pintu rumah dan duduk betul-betul atas tangga menghadap kakaknya. Panggilan Zhareef pula sudah disambut lantas dia sorokkan telefon di tengah-tengah buku tetapi kamera di keluarkan sedikit biar dapat merakam gambar kakaknya dengan jelas. Dia memakai headphone agar suara lelaki itu tidak didengari kakaknya. Jahatnya dia.

Sanggup menipu kakak sendiri. Tetapi sebab yang tengah menghendap dalam telefon itu bakal abang iparnya jadi dia sanggup kena marah nanti.

Luculah pula bila buat kerja jahat semata-mata nak tolong ubatkan orang yang tengah sakit rindu.

Zhareef di talian tersengih melihat bakal isteri yang begitu asyik membasuh kereta. Ke sana ke mari tanpa sedar diri diperhati dari jauh.

“Pakai selekeh macam tu pun nampak cantik betul bakal isteri Abang Reef,” puji Zhareef tak berlapik.

“Tengoklah kakak siapa.” Aisyah tak nak kalah.

Zhareef terus memerhati Lateefa. Walaupun sekadar memakai baju tshirt lengan panjang dan berseluar sukan Lateefa betul-betul nampak macam budak sekolah. Seperti biasa kepala Lateefa tetap berlitup kemas. Tiada siapapun yang boleh melihat isi di dalam kecuali yang berhak dan Zhareef cukup bangga kerana dialah orang yang berhak itu.

“Dah cukup ke?” tanya Aisyah separuh berbisik. Dia rasa tak selesa pula apabila kakaknya sekejap-sekejap menoleh ke arahnya.

“Kejap… kejap. Tak puas lagi.” Sungguh Zhareef tidak puas lagi memandang wajah bakal isteri. Aisyah pula sudah mencebik geram. Memang orang mabuk rindu macam ni eh. Erk, tapi macamlah dia tak pernah rasa. Padahal dia dengan Ikram pun dua kali lima juga.

“Dah lah tu,” marah Aisyah dan suaranya yang sedikit kuat menyedarkan Lateefa yang tengah ralit mengelap badan kereta yang sudah siap dibasuh.

Lateefa berasa cukup pelik dengan kelakuan adiknya. Aisyah buat-buat senyum apabila Lateefa memandangnya lama. Aduhai, naif betul si kakak! Dia ketap bibirnya geram dan pandang Zhareef yang masih tak lepas meneroka wajah bakal isteri.

Dari jauh pula Lateefa bersuara.
“Baca novel ke buat apa tu, Chah?” tanya Lateefa sambil melangkah ke arah Aisyah.

Dia memang nampak buku di tangan Aisyah tetapi yang peliknya mulut adiknya itu bergerak seperti bercakap dengan seseorang. Takkanlah baca novel kena kuatkan suara macam baca Quran.

“Erk, Chah baca novel kak.” Skrin telefon diminimizekan dan Lateefa tidak nampak wajah Zhareef tetapi Zhareef masih boleh melihat Lateefa kerana Aisyah mengawal telefon di tangan.

“Novel? Yang Chah baru beli tu ke?” tanya Lateefa tanpa mengesyaki sesuatu. Dia kini mengelap bahagian depan kereta dan itu lagi menggembirakan hati Zhareef. Dapat melihat Lateefa dari jarak dekat.

“Haah, kak. Best novel ni. Kisah sorang laki ni. Dia rindu sangat dekat tunang sendiri yang tak boleh dia jumpa sampai sanggup buat benda-benda tak masuk akal.”

Zhareef di sana tepuk dahi. Macamlah dia tak tahu Aisyah tengah menyindirnya.

“Dia buat apa?” tanya Lateefa bendul. Dia pula bukan hantu novel macam Aisyah jadi dia lebih suka Aisyah yang bercerita. Sambil menanti Aisyah menyambung cerita dia pusingkan badan dan mengambil baldi untuk di simpan di dalam stor apabila keretanya sudah siap dilap kering.

“Dia buat video call dengan adik tunang dia sendiri. Nak tengok apa yang tunang dia tengah buat.”

Terjatuh baldi di tangan Lateefa. Dadanya pantas berdegup kencang.

“Chah!” jerit Lateefa kuat dan cepat-cepat merampas telefon di tangan adiknya setelah sedar cerita yang keluar dari mulut Aisyah adalah mengenai dirinya.

Lateefa pandang skrin telefon dan kelihatan Zhareef tersengih panjang apabila wajahnya sudah berjaya dilihat Lateefa. Aisyah pula sudah mematikan bluetooth pada headphone sendiri. Biar suara bakal abang iparnya kedengaran kuat.

“Awak langgar permintaan saya.”

Zhareef gelengkan kepala.
“Tak. Saya tak langgar pun.”

“Awak call….”

“Call siapa, sayang?”

Lateefa tutup mulutnya apabila menyedari dia sudah salah.

“Sayang tak cakap pun saya tak boleh call Aisyah. Jadi tak salah kan saya ubat rindu saya dengan cara macam ni.”

Lateefa mengetap bibirnya geram. Dia yang buat permintaan dia pula yang terkena. Wajahnya sudah masam mencuka.

“Geram pula saya tengok sayang muncung macam tu.”

Terus Lateefa kendurkan bibirnya.
“Jangan nak macam-macam. Saya tambah lagi syarat.”

“Apa dia?” sengaja Zhareef menduga padahal dia tak mahu dengar syarat wanita itu. Matanya hanya nampak Lateefa dan wajah itu akan dia bawa sehingga ke dalam lena.

“Dah, saya nak end call awak,” ujar Lateefa keras.

“Sayang!” panggil Zhareef apabila suara keras itu sedikitpun tidak menggoyahkan hatinya.

Wajah Lateefa yang nampak kelat tetapi masih cantik itu makin mahu direnungnya. Sungguh dia tidak sabar untuk hidup berdua dengan wanita itu. Malah Lateefa semakin cantik pula apabila hari yang ditunggu semakin menghampiri.

“Apa? Saya nak end call ni,” marah Lateefa namun tangan masih keras. Mulut cakap nak tamatkan perbualan tetapi tangan tetap tak bergerak.

“Sayang, i miss you and i love you to the moon and back,” ucap Zhareef lalu memutuskan talian.

Terkesima Lateefa dengan ayat romantis Zhareef. Dia pandang Aishah. Merah wajahnya dengan ucapan lelaki itu yang nyata didengari adiknya.

“Hai, untunglah orang tu. Ada tunang yang tengah rindu gila,” usik Aisyah namun Lateefa buat tak endah. Dia berikan semula telefon kepada Aisyah. Dia tidak mahu ambil kisah dengan kata-kata adiknya. Cuma yang ada dalam kepalanya sekarang ini suara Zhareef sebentar tadi serta senyuman manis lelaki itu.

Ah, lelaki itu sungguh pandai buat hatinya jadi cair. Terus dia panjatkan doa di dalam hati. Mengharapkan hati dan pendirian lelaki itu teguh walaupun cabaran dan ujian datang silih berganti. Malah dia berharap Tuhan merestui ikatan halal yang akan terjalin tak lama lagi dan mereka akan sama-sama bahagia hingga ke syurga-Nya.

Akhirnya dia larikkan senyuman manis dan Aisyah di muka pintu menggeleng kepala dengan rasa lucu. Mulut kakaknya cakap tak mahu tapi hati bukan main lagi suka. Huh, dasar orang bercinta. Begitulah lagak mereka.

huhu.... rindu sangat kan. mcm tu lah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience