1. Pandang pertama

Drama Series 114354

Lateefa cepat-cepat keluar dari perut CRV yang diparkir di hadapan bangunan hotel. Gara-gara mengambil anak dari asrama kemudian dihantar pulang ke rumah pula dia sudah terlewat untuk menyertai majlis high-tea sempena perayaan hari guru peringkat sekolah. Dada berdebar kencang. Segan sungguh hendak munculkan diri apabila menyedari hanya dia seorang yang terlewat.
Berdiri di tepi kereta seketika. Kemudian dia tarik nafas panjang.

Terasa gementar tubuhnya melihat bangunan hotel 4 bintang yang gah di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Lantas dia hembus kuat biar rasa segannya turut sama menghilang. Ukirkan senyuman dan dia melangkah mendekati anak tangga. Sebelum berjalan masuk ke lobi hotel dia betulkan tudung bawal labuh yang dipakai ala-ala selendang panjang. Nampak tidak berapa menjadi tetapi dia tidak kisah. Janji tudung yang dipakai labuh menutup dada.

Dia kerling jam di tangan. Sudah hampir pukul tiga setengah petang. Memang sah dialah orang yang paling lewat tiba di majlis yang diadakan di Restoren Roselle, Hotel Paya Bunga sekarang. Rasa menyesal pula kerana tidak menyuruh rakan baiknya menemani di lobi.

Telefon tiba-tiba berdering irama pop. Lantas tangan seluk beg yang disangkut di bahu. Sambil mengagau telefon di dalam beg dia melangkah perlahan memijak anak tangga bangunan untuk ke lobi hotel. Kaki melangkah, tangan bergerak mencari dan mata tidak fokus pada langkah yang disusun. Padahnya dia tergelincir ketika memijak anak tangga terakhir. Mulut bertempik sedikit kuat dengan mata terpejam rapat. Namun dia tidak rasa jatuh ke bawah. Terasa lengannya ditarik orang dan tubuhnya rapat ke dada. Spontan tangannya memaut pinggang seluar orang yang menghalangnya daripada jatuh.
Dada berdebar kencang. Kerana tidak rasa jatuh ke bawah dia celikkan mata.

"Cik okay ke?"

Terus mata Lateefa memandang empunya suara. Tebal mukanya kerana disambut oleh seorang lelaki. Bukan setakat sambut sahaja siap dengan pakej seluar lelaki itu jadi tempat berpaut. Ralit melihat mata di depan malah dia hanyut seketika dengan aroma yang terhidu. Sudah lama tidak menghidu wangian ini dan dia rasa mahu berada dekat dengan sang penyelamat. Namun deheman yang kedengaran menyedarkan dirinya yang dia masih berpijak di bumi yang nyata.

“Cik okay ke?” soal lelaki itu sekali lagi apabila soalan tadi tidak berjawab.

"Sa… saya okay," jawab Lateefa segan lantas merenggangkan tubuh. Sungguh dia malu dan malunya bertambah apabila lelaki itu jatuhkan pandangan ke arah tangannya yang masih memegang pinggang seluar.

“Oppss, sorry.” Terus dia jatuhkan tangan dan tunduk hormat. Kaki diatur mahu terus menjauh namun suara yang berbunyi mematikan langkahnya.
Lateefa tegakkan tubuhnya lantas menoleh.

"Lain kali hati-hati," pesan lelaki itu.

Lateefa kembali menghadap pintu utama hotel. Wajahnya tika ini sudah seperti udang bakar. Merah menyala. Ikutkan hati mahu terus menghilang namun dia rasa tidak beradab pula lalu ucapkan terima kasih atas pertolongan dan melangkah laju menuju ke lobi hotel dengan penuh berhati-hati. Bimbang akan tergelincir sekali lagi.

Berdiri di depan pintu lif dengan dada yang masih mahu bergendang. Betapa dia cukup terkesan dengan insiden yang telah berlaku. Nasib baik telefon di dalam beg kembali berbunyi dan berjaya membuang rasa malunya. Kali ini dia berjaya menyeluk perut beg dan keluarkan telefon yang tak segan-segan minta diangkat.

"Kau kat mana Atee? Majlis dah mula ni sis. Lambat lagi ke nak sampai?" suara di talian sedikit risau bunyinya. Lateefa herotkan sedikit senyum.

"Dah ada hotel ni. Tengah tunggu lif," jawab Lateefa seraya tangannya menekan punat di dinding. Mata tiba-tiba menangkap susuk lelaki tadi yang juga sedang menghampiri kotak bergerak ini. Nampaknya lelaki itu juga hendak masuk ke dalam. Sebaik pintu terbuka dia membiarkan lelaki itu yang masuk dahulu.

"Aras?" tanya lelaki itu setelah dia sudah masuk ke dalam

"Sama," jawabnya apabila melihat angka 11 sudah menyala merah.

Lateefa buat-buat melihat telefon sebaik talian diputuskan. Saat ini hanya mereka berdua sahaja yang ada di dalam. Masih terbayang-bayang akan insiden tadi lantas dia menjauh ke belakang dan lelaki itu tetap berdiri di papan nombor.

Senyap sunyi suasana sekarang. Perjalanan dari bawah ke atas terasa begitu lama sampaikan hatinya mengutuk diri sendiri. Serba tak kena apa yang dia buat sekarang ini apatah lagi mata terlihat lelaki itu sekali dua kerling ke arahnya.

Lif sudah sampai ke destinasi yang dituju.
Lega.

Lateefa cukup lega. Sebaik pintu terbuka luas dia tergesa-gesa keluar. Kaki pantas melangkah dan tubuh membelok ke arah kiri hendak menuju ke bilik air. Lelaki itu pula ke arah kanan. Dia tidak tahu ke mana. Dia tidak mahu ambil tahu. Tetapi entah kenapa dadanya berdebar tak sudah-sudah. Apalah yang dia takutkan dia sendiri tidak tahu. Tetapi yang pastinya dia amat berharap tidak akan berjumpa lagi dengan lelaki tadi.

Cerita lama. Up balik. Jangan lupa support GH okay. Love you all.

Share this novel

juhanida
2025-01-30 19:16:51 

mmg menanti pengakhiran cerita ni.... thank u

juhanida
2025-01-30 19:16:20 

sis.... mula dr awal semula yea


NovelPlus Premium

The best ads free experience