Tak senang duduk Lateefa menunggu malam menjelma. Kerja buatnya hari ini dirasakan tidak sempurna gara-gara mengingati majlis malam nanti. Walaupun ada 7 jam lagi sebelum majlis bermula hatinya tetap rasa gementar.
Sudah bertahun-tahun dia tidak lontarkan suaranya untuk mana-mana majlis. Di sekolah pun dia tolak sepenuh hati. Inikan pula majlis luar. Dia sudah terlalu tua untuk menayangkan mukanya di tempat yang ramai orang. Apatah lagi hendak berceloteh bagai. Kerana guru besar yang beria bagai bersetuju dengan permintaan anak saudaranya terpaksa juga dia mengikut.
Majlis malam nanti tidak ada kena mengena langsung dengan sekolah tetapi guru besar mahu dia rebut peluang. Mana tahu akan ada habuan besar yang menanti sekolah.
Ulang kali dia baca skrip yang sudah siap dicetak. Apabila yakin tiada kesalahan dia tinggalkan skrip di atas meja dan menuju ke dapur.
"Jadi ke majlis malam nanti, ma?" tanya Warda anak sulongnya yang baru siap mengangkat kain di jemuran.
"Jadi," jawab Lateefa sepatah sambil tangannya ligat menghidang makan tengahari.
"Nampak macam nak hujan kan ma. Gelap je kat luar tu. Harap-harap lah tak lebat," Warda meluahkan rasa dan ada resah pada nada suara anaknya itu.
Lateefa senyum.
Faham sangat dengan anak-anaknya. Tak kira yang kecil atau besar semuanya penakut; takutkan hujan. Tambah-tambah lagi yang siap dengan guruh dan petir.
"Tak hujan, kut." Lateefa mendongak melihat awan melalui jendela dapur. "Nampak macam awan gelap tu dah berarak ke kawasan lain.” Lateefa meyakinkan si anak.
Pantas Warda berikan senyum. Lega.
"Pergi panggil adik-adik. Kita lunch dulu sebelum solat Zuhur," arah Lateefa tegas sebaik kembali menyiapkan meja makan.
Warda mengangguk. Mengikut arahan ibunya tanpa sungutan. Dia memasukkan kain yang baru diangkat ke dalam bakul. Kemudian memanggil adik-adik yang tengah khusyuk membaca buku cerita yang baru dibelikan mama mereka petang kelmarin.
"Wah, sedapnya! Ada udang masak merah." Yusuf muncul dan pantas menarik kerusi.
"Basuh tangan dulu," jerit Lateefa apabila melihat Yusuf yang tak sabar hendak mencapai seekor udang. “Cepat!” arah Lateefa keras.
Yusuf tunjuk sengih macam kerang busuk lantas menuju ke singki.
"Yasmin, mari makan. Tinggal buku tu dulu. Banyak masa lagi. Boleh sambung lepas solat nanti," jerit Lateefa.
Kalau dengan Yasmin suaranya kena selalu keras. Anaknya yang seorang itu kalau jumpa buku cerita memang tak ingat dunia. Tambah-tambah lagi buku komik. Memang makan minum akan terabai.
“Yasmin!!!” Makin kuat suara Lateefa terlontar keluar apabila anak daranya itu masih tak bergerak. “Yasmin nak mama pulas telinga dulu ke?” ugut Lateefa dan barulah Yasmin bangkit. Melangkah perlahan-lahan menuju ke meja makan.
Apabila semua sudah duduk Lateefa menyuruh Yusuf membacakan doa makan.
"Ma, cuti sekolah bulan depan kita pergi bercuti nak. Dah lama kita tak bercuti sama-sama. Kan, Kak Ada?" Tiba-tiba Yusuf bersuara. Suara anak bongsunya itu kedengaran sayu. "Dulu masa baba ada kita selalu bercuti. Pergi mandi kolam… pergi zoo. Kan, Kak Min?" sambung Yusuf lagi.
Makin sayu hati Lateefa. Iya, sudah dua tahun arwah suaminya tiada. Dua tahun jugalah dia diamkan diri tanpa apa2 aktiviti yang menghiburkan untuk diri sendiri dan juga anak-anak.
"Kalau macam tu kita bercuti kat KL lah. Alang-alang Cik Su duduk sana. Nanti kita ajak Cik Su bawak kita keliling KL. Boleh?"
"Yeaaa!!!" Yusuf dan Yasmin bersorak gembira. Itu tandanya mereka setuju saja.
"Nanti nak bagitau Kak Nai. Mesti Kak Nai pun tak sabar nak pergi bercuti," ujar Yusuf dengan gembira. Wajah itu bersinar-sinar. Cukup gembira.
Lateefa tersenyum puas hati. Melihat wajah gembira anak-anaknya hilang segala debaran di dada dan dia tidak ingat lagi akan tugasnya malam nanti.
Hati pun tak lepas berdoa. Moga Tuhan melindungi anak-anaknya dari sebarang musibah dan malapetaka.
Share this novel