Berpeluh tubuh Zhareef saat menghadap ayah Lateefa. Kecut perutnya apabila mata sudah bertemu mata padahal kelmarin elok-elok saja keadaannya ketika berbual dengan orang tua itu. Sekarang duduknya rasa serba tak kena dan perut pun memulas tak kena masa.
Haji Sulaiman yang diam di atas sofa memandang hairan anak muda di depan. Tadi cakap ada perkara mustahak yang hendak diberitahu. Alih-alih bila sudah di depan mata kaku tak bersuara pula.
"Perkara mustahak apa yang Reef nak bagitahu pakcik?" tanya Haji Sulaiman. Nampaknya memang dia yang kena mulakan dulu setelah melihat wajah pucat anak muda itu masih begitu.
"Reef….." Susah pulak hendak bercakap. Lidah pun jadi pendek tiba-tiba. Tangan pula menggigil macam baru lepas mandi ais.
“Reef nak….” Belum habis ayatnya keluar muncul Aishah dengan menatang sedulang minuman. Dua cawan kopi o panas diletakkan gadis itu ke atas meja.
"Minum air kosong dulu lah Abang Reef. Chah tengah masak kat dapur. Nanti dah siap kita makan sama-sama," ujar Aishah. Tak lama terus berlalu ke dapur menyambung tugasnya yang terhenti.
Zhareef pandang ke arah dapur. Tak nampak apa yang dicari dan Haji Sulaiman mula menyedari. Hati tuanya pantas meneka. Jika anak muda itu tidak meluahkan sekalipun dia sudah dapat mengagak sesuatu.
"Reef nak jumpa Atee ke?" tanya Haji Sulaiman apabila mata anak muda itu masih memandang ke dapur.
Zhareef berdehem.
"Atee masih kat kubur. Kejap lagi baliklah tu," sambung Haji Sulaiman lagi dan menerbangkan segala gundah di hati Zhareef.
Zhareef pandang wajah orang tua itu seraya mengumpul kekuatan.
“Harap pakcik tak salah faham.” Akhirnya dia luahkan sedikit dan semestinya Haji Sulaiman makin tertanya-tanya.
Kali ini mata tua itu dipakukan ke anak mata Zhareef. Anak muda itu nampaknya masih belum berani hendak memberitahu hal yang sebenar.
Gugup sungguh hati Zhareef.
Begini rupanya nak melamar anak orang. Takutnya dia sekarang bagaikan ayah Lateefa memegang parang hendak menetak lehernya sekiranya dia tersalah kata. Nak pengsan pun ada. Sungguh mendebarkan. Tak tahu nak buat apa dia pun genggam tangannya silih berganti. Berkira-kira pula.
Patutkah dia melamar sedangkan wanita itu masih berduka lara. Tetapi peluang sudah di depan mata. Lagipun Lateefa tiada sekarang ini. Kalau kena halau dengan orang tua di depan ini tidaklah dia malu sangat. Lalu dia nekad. Tidak boleh mensia-siakan peluang yang sudah terbuka luas. Jika ditangguhkan tidak tahu pula bila akan muncul peluang seterusnya. Jadi dia perlu gunakan sebaiknya.
Poket seluarnya diseluk. Kotak baldu berwarna ungu muda ditarik keluar dan dia letak di atas meja di hadapan Haji Sulaiman.
Orang tua itu pandang Zhaeef penuh tanda tanya.
"Saya nak melamar Lateefa pakcik. Kalau pakcik tiada halangan saya nak kahwin dengan dia secepat mungkin. Tak bertunang pun tak apa." Lancar kata-kata Zhareef namun debar di dada hanya Tuhan saja yang tahu.
Haji Sulaiman ukirkan senyuman. Patutlah. Sejak kelmarin lagi dia sudah dapat merasakan kelainan pada anak muda ini. Mata lelaki muda ini tak lepas memandang Lateefa yang asyik menitikkan air mata. Rupanya ada hajat baik yang tak mungkin dia tolak. Tetapi dia tidak boleh membuat keputusan seorang diri. Yang berhak memutuskan segala hal adalah Lateefa sendiri.
Zhareef pula rasa tak sabar. Menunggu orang tua itu membalas kata ibarat menunggu bulan sabit menjadi purnama. Cukup lama.
Di pihak Haji Sulaiman pula dia hanya diam seribu bahasa. Kotak baldu itu pun tak disentuh. Apa lagi, makin kuatlah dada Zhareef bergendang irama takut.
Ah, dia memang gila dan telah buat kerja gila. Melamar anak orang tanpa teman tanpa keluarga. Sungguh dia berani menempah maut. Bagaimana kalau orang tua itu sudah ada calon untuk Lateefa. Bagaimana pula kiranya Lateefa menolak lamaran ini tanpa memberikan penjelasan. Ah, akhirnya dia gelabah tak tentu arah juga.
Tiba-tiba Haji Sulaiman menarik kotak baldu di depan perlahan-lahan. Orang tua itu tidak membuka kotak tersebut sebaliknya hanya menilik dari luar. Bibirnya mengukirkan senyuman penuh makna. Sebagai orang tua yang sudah banyak makan garam dia cukup bangga dengan anak muda itu. Nampak kesungguhan hendak mengahwini Lateefa.
Dia yakin Zhareef tidak main-main. Lagi bertambah yakin apabila Aishah membuka cerita ketika Lateefa sudah terlena. Kata Aisyah, Zhareef memang bersungguh-sungguh tetapi dipihak Lateefa dia tidak tahu. Adakah anaknya menyukai lelaki itu ataupun tidak dia tidak pasti. Jika Lateefa tidak sudi tentu sekali hati anak muda ini akan hancur berkecai.
"Macam ni lah Reef….” Akhirnya Haji Sulaiman bersuara juga. Dia meletakkan kotak baldu ke atas meja. “Nanti pakcik tanyakan Atee. Dia berhak memilih. Kalau Atee tu anak dara pak cik tak teragak-agak nak paksa. Tapi itulah dia pernah berkahwin jadi hanya dia yang berhak buat keputusan. Harap Reef bersedialah dengan sebarang jawapan.”
Tuk!
Pandai betul Haji Sulaiman berkata-kata. Terpukul Zhareef dengan madah orang tua itu. Nak tunggu keputusan Lateefa entah bila dia akan dapat. Kepalanya sudah tidak mampu duduk diam. Mahu saja dia ke kubur dan jumpa Lateefa sendiri. Tarik wanita itu ke pejabat kadi. Lagi senang.
"Ayah… Chah dah siap hidang makanan. Marilah kita makan dulu." Suara Aisyah yang melaung dari dapur mematikan khayalan Zhareef.
"Mari, Reef. Isi perut dulu sebelum balik KL," ajak Haji Sulaiman ramah.
"Tak nak tunggu Atee dulu ke?" tanya Zhareef. Sengaja melengah-lengahkan masa kerana dia mahu wanita itu duduk sekali dengannya. Rasa rindu benar hendak menghadap wajah itu. Dia takut tak sempat hendak melihat wajah Lateefa dan matanya terus melilau ke luar rumah.
"Kita makan dululah. Kalau nak tunggu Atee sejuk pula nasi tu nanti,” jawab Haji Sulaiman lantas bangkit dan Zhareef akur. Dengan lemah dia berdiri hendak mengekori langkah Haji Sulaiman yang baru bermula. Baru dua tiga langkah bergerak terdengar deruman enjin kereta di laman rumah.
“Panjang umur. Dah sampai pun,” tukas Haji Sulaiman. Orang tua itu menjenguk sedikit dan anak-anak Lateefa yang sudah keluar dari perut kereta berlari masuk ke dalam rumah.
“Uncle!" panggil Yusuf lantas meluru ke arah Zhareef dan memeluk lelaki itu seeratnya.
"Uncle… Yusuf rindu sangat dekat uncle. Tidurlah kat sini malam nanti. Temankan Yusuf main game nak. Dulu Kak Nai yang selalu teman Yusuf main. Sekarang tak ada siapa dah yang nak main ngan Yusuf." suara yang ceria tadi mula kedengaran sayu. Hati Zhareef tersentuh. Dia leraikan pelukan dan pandang wajah Yusuf.
“Uncle dah tak suka dekat Yusuf ke?” lagi anak itu berbunyi dan Zhareef rasa segan hendak membalas kata. Apatah lagi mata Haji Sulaiman tak lepas memandang perlakuan mereka. Dia segan dengan orang tua itu.
Di pihak Haji Sulaiman pula dia suka melihat keakraban Yusuf dan Zhareef. Hati tuanya cukup yakin anak muda itu mampu untuk menjaga Lateefa dan cucu-cucunya dengan baik. Cuma yang menjadi masalah sekarang adalah Lateefa. Adakah anaknya itu mahu menerima lamaran lelaki itu.
“Uncle tidurlah sini.” Lagi sekali Yusuf memujuk dan Zhareef menggaru kepalanya yang tak gatal. Dia tak boleh membiarkan Haji Sulaiman memikirkan yang bukan-bukan.
"Kak Ada dengan Kak Min kan ada. Yusuf boleh main game dengan dia orang," pujuk Zhareef segan. Ah, kalaulah ayah Lateefa tak ada mahu saja dia gunakan anak kecil itu untuk menjerat hati Lateefa.
"Kak Ada tak minat game. Kak Min pula asyik baca komik je. Mana dia nak main dengan Yusuf." Suara Yusuf kedengaran merajuk. Kasihanlah pulak Zhareef dengar.
"Nanti uncle datang lain kali. Uncle bawak Yusuf main game kat mall, nak!" Akhirnya dia berikan jawapan yang tak mejerat dirinya.
"Yeaaa!!!" Yusuf menjerit gembira. Yasmin di sebelah turut melonjakkan tangan. Ikut gembira dengan janji uncle Zhareef.
"Yusuf. Jom sarapan dulu." Muncul Aishah mengajak anak saudaranya setelah melihat Lateefa sudah masuk ke dalam rumah. Yusuf pula pantas menarik tangan Zhareef.
Mengajak lelaki itu untuk makan bersama.
Zhareef mahu bergerak namun langkahnya mati apabila melihat Lateefa sudah berada di muka pintu. Wanita itu melarikan pandangan dan melangkah longlai untuk ke bilik. Hatinya cukup terluka melihat keadaan wanita itu.
Lateefa pula melarikan pandangan saat Zhareef merenungnya dalam. Dia tidak mahu berjumpa sesiapa pun lantas terus menuju ke bilik tidurnya. Buat masa sekarang dia tidak berani lagi hendak menunjukkan muka pada lelaki itu. Dia masih terasa malu dengan segala pertolongan lelaki itu sejak kelmarin. Dia cukup malu. Lelaki yang ditolak itulah yang akhirnya menjadi dahan saat dia hampir tumbang.
"Atee tak nak makan ke?" tanya Haji Sulaiman sebelum anaknya itu hilang di dalam bilik.
"Ayah makanlah dulu. Atee nak rehat." Lemah jawapan Lateefa dan mengundang duka di hati semua orang.
"Dari kelmarin lagi tak makan. Tak lapar ke. Jangan seksa diri. Kalau Atee tumbang siapa nak jaga anak-anak. Kalau tak kasihan dekat orang lain sekalipun kasihan dekat tubuh sendiri. Nak pakai lama tu. Kalau boleh pakai buang macam pampers ayah pun nak cari jugak," omel Haji Sulaiman serius namun mengundang tawa di hati Zhareef dan Aisyah. Dalam lawak yang kedengaran ada makna yang tersembunyi.
Lateefa terasa hati. Malu pula apabila ayahnya bercakap tak pandang kiri kanan. Lalu dia tidak mengendahkan nasihat si ayah. Terus menyembunyikan diri dari pandangan semua.
Zhareef di luar berasa kecewa. Pun begitu dia tetap mengekori langkah Haji Sulaiman sehingga ke dapur.
Perutnya yang lapar sedari tadi jadi kenyang tiba-tiba. Mengingati keadaan Lateefa datang rasa gugup pula. Walaupun makanan yang terhidang di atas meja nampak menyelerakan namun tidak mampu menghalang kepalanya dari memikirkan keputusan wanita itu nanti. Bagaimana jika Lateefa menolak keras lamarannya. Dia tak dapat membayangkan hidupnya di kemudian hari. Sungguh dia tidak mahu menderita seperti dulu lagi.
"Eh, makanlah Reef. Jangan tenung nasi tu. Tak akan bertukar jadi mee kuning. Makan… makan."
Aduh, kan dah kena tembak. Itulah pasal. Melamun depan makanan. Lalu dia pun menyuap nasi ke dalam mulut. Namun kepala tetap memikirkan perihal lamaran sendiri.
Sambil melayan fikirannya dia tetap sambut bicara Haji Sulaiman. Malah tetap melayan Yusuf yang turut bercakap. Dia tidak mahu dikatakan tetamu yang tiada adab. Biar orang tua di depan melihat dia sebagai lelaki baik yang mampu menjadi suami terbaik buat Lateefa.
"Pak cik, Reef gerak dulu. Takut lewat sampai. Lagipun esok Reef kerja,” ujar Zhareef usai menjamu selera. Ikutkan hati Haji Sulaiman dia mahu mereka duduk bersama dan terus berbincang tentang lamaran tadi namun Lateefa sampai ke sudah tak keluar dari bilik. Nampak gayanya memang Zhareef kena menunggu lama.
Mereka bersalaman. Zhareef masuk ke dalam perut kereta.
“Nanti uncle datang lagi tau,” pesan Yusuf dengan muka sedih. Zhareef angguk sambil menghadiahkan senyuman.
Haji Sulaiman sentuh bingkai cermin kereta.
“Harap Reef dapat bersabar. Atee tu masih bersedih lagi. Kalau dipaksa-paksa, pakcik takut jawapan dia semata-mata kerana terpaksa.”
Ya, Zhareef faham. Dia pun tidak mahu Lateefa menerima atas dasar terpaksa. Kalau boleh biar seikhlas hati.
Haji Sulaiman angkat tangan saat Zhareef meminta diri untuk berlalu pergi. Sebaik kereta yang dipandu Zhareef hilang dari pandangan Haji Sulaiman terus berjumpa Lateefa mahukan kepastian.
ketar-ketir kau jumpa bakal pak mentua
Share this novel