Lateefa pandang kotak cincin di atas meja kopi dengan rasa sebak. Lelaki itu memang tak lelah berputus asa.
“Cincin tu tanda lamaran dari Zhareef. Ayah nak Atee fikir betul-betul sebelum buat sebarang keputusan. Tapi jangan lama sangat fikir. Kasihan si Zhareef tu nanti. Dia pun manusia biasa. Sabar dia pun ada batasnya," pesan Haji Sulaiman serius.
Lateefa hanya berdiam sambil merenung kotak baldu tanpa membukanya.
"Kalau tak nak, Atee cakap tak nak. Senang dia nak ubati hati dia bila dah kena tolak. Tapi… kalau Atee terima lamaran dia jangan pula sebab terpaksa. Terima dengan ikhlas hati. Pilihan di tangan Atee. Atee yang kenal dia dulu daripada ayah.” Haji Sulaiman sambung berpesan dan kata-kata ayahnya menusuk jauh di dalam kalbu.
"Atee dah banyak pengalaman. Atee lebih tahu lelaki yang macam mana Atee nak. Lelaki yang macam mana yang boleh jaga Atee dengan anak-anak."
Dia hanya berdiam diri. Ayahnya memang tak jemu memberi kata nasihat.
"Kalau tak mampu membuat keputusan, solat istikharah dulu. Kalau dah dapat jawapan bertawakkallah pada Allah. Sifat hamba memang tak lepas dari bergantung dengan Allah. Dia yang Maha Berkuasa, Atee. Dia yang Maha Menentukan masa depan kita semua."
Lateefa faham. Kerana itulah dia diam sahaja. Dia masih berkira-kira hendak membuka kotak baldu di depan mata. Dia takut dia akan membuat keputusan terburu-buru. Apatah lagi hati tengah bersedih kecewa.
"Bukalah kotak tu, kak. Chah pulak tak sabar nak tengok isi kat dalam." Aisyah yang sedari tadi berdiam diri akhirnya bersuara.
Pertemuan tiga muka petang-petang begini jadi begitu serius. Masing-masing menanti Lateefa bereaksi kecuali anak-anak Lateefa yang berada di luar rumah sedang bermain bola dengan bapa saudara mereka. Tidak mengetahui perbualan orang-orang dewasa di ruang tamu.
Lateefa pandang kotak tersebut lagi sekali. Dia masih berkira-kira. Namun pesanan si ayah buat hatinya sedikit lembut lalu perlahan-lahan dia tarik kotak baldu di depan mata dan membukanya.
Dia terperanjat.
Dua bentuk cincin dalam satu kotak. Hati Lateefa tertanya-tanya. Kenapa melamar sampai nak bagi dua bentuk cincin. Kerana tidak berjaya memujuk dengan air liur lelaki itu cuba menggodanya dengan emas permata pula.
Dia gelengkan kepala.
"Untung orang tu… yang datang melamar bukan orang biasa-biasa." Aisyah cuba mengganggu-gugat hati Lateefa. Namun dia bukan perempuan mata duitan. Tak hiraukan kata-kata Aisyah, terus Lateefa tilik cincin di dalam kotak.
Satu cincin emas model permata selisih. Cukup cantik dan dia terpikat. Satu lagi…. Erk, dia tarik dan tenung dekat.
Cincin platinum bermotifkan sebiji bintang yang memang simple. Dia tenung lama.
Serasa macam pernah nampak cincin ini. Murah tetapi menawan hatinya. Dia gali memorinya. Dahinya berkerut seribu. Rasanya ini adalah cincin yang dia cuba di gerai tepi jalan semasa membeli-belah di jalan TAR. Ketika itu dia perasan Zhareef ada di bekakangnya dengan Yusuf. Ya, dia sudah ingat. Dia mahu membeli cincin tersebut tetapi dek menjawab panggilan dari temannya terus dia lupa tentang hal cincin. Apatah lagi kakinya mengekori langkah Aishah yang sudah masuk ke dalam kedai kain. Dia pun ikut sekali.
Ah, cara Zhareef benar-benar buat dia hilang kata. Cara lelaki itu memikat sedikit sebanyak menggoyahkan pendiriannya.
"Wah, dua bentuk cincin terus abang Reef bagi. Banyak betul duit dia, ya!" usik Aishah tanpa mengetahui cerita sebenar. Gadis itu mahu menarik cincin di dalam kotak namun ditepis Lateefa.
Cepat-cepat Lateefa mengambil cincin emas lalu disarungkan ke jari manisnya. Betul-betul padan dengan jarinya. Pandai Zhareef pilih. Macam tahu-tahu yang dia sukakan barang kemas yang simple sahaja. Bibirnya tak menipu rasa hati lalu sunggingkan senyuman.
Aisyah menyiku lengan si ayah apabila melihat Lateefa asyik merenung jari manis sendiri. Haji Sulaiman pun lorekkan senyuman dengan harapan jawapan Lateefa tidak akan menghampakan sesiapa sahaja.
Namun senyumannya jadi kendur apabila wajah Lateefa berubah corak. Cincin pun sudah di tanggalkan. Masukkan dalam kotak semula lalu Lateefa bangkit tiba-tiba.
"Nak ke mana?" soal Haji Sulaiman apabila Lateefa tergesa-gesa hendak melarikan diri.
"Atee nak duk dalam bilik." Tak tunggu lama terus dia menghilang bawa cincin bersama. Perubahan sikap Lateefa mengundang kecewa di hati Haji Sulaiman.
"Beri Kak Atee masa, ayah," pujuk Aisyah dan Haji Sulaiman akur.
Sementara di dalam bilik Lateefa tenung cincin di dalam kotak.
Hati yang tadi berlagu riang tiba-tiba diserang ketakutan. Layakkah dia untuk menjadi isteri kepada Zhareef yang cukup muda. Dia rasa sangsi pula. Tetapi dia tak mampu menipu diri yang ada benih cinta bercambah dalam hati.
Lama dia merenung cincin tersebut dan akhirnya dia membuat keputusan. Dia akan serahkan semuanya kepada Allah. Dia hanya perlu menunaikan solat istikharah terlebih dahulu. Selebihnya dia akan terima apa saja yang hatinya rasa esok pagi. Dengan itu dia tidak akan kecewa dikemudian hari.
***
Petang yang meresahkan akhirnya berganti malam. Sudah dia tinggalkan pesan kepada Aisyah agar menjaga anak-anaknya malam ini. Dia tidak mahu malamnya terganggu.
Lalu sebelum tidur dia pun menunaikan solat yang dituntut oleh agama jika berdepan dengan kebuntuan. Usai solat dia terus tidur. Lagipun anak-anaknya sudah lena bersama emak saudara mereka.
Tiga malam dia menyendiri meminta pada Ilahi agar hatinya benar-benar yakin dan pendiriannya teguh. Tiga hari jugalah dia matikan telefon agar kepalanya tidak terganggu.
Tepat jam 5 pagi hari ke empat Lateefa tersedar. Terbayang-bayang di tubir mata arwah Nailufar memimpin tangan seseorang dari belakang dan membawa susuk tubuh itu kepadanya. Dua malam dia tidak nampak wajah itu. Namun setelah masuk malam ketiga dia terperanjat. Apabila susuk itu berpaling wajah yang kelihatan adalah wajah Zhareef yang tersenyum manis ke arahnya.
Dia meraup mukanya. Apakah benar ini jawapannya. Nailufar yang asalnya tidak menyukai lelaki itu akhirnya mahu dia mengahwini Zhareef.
Inikah petanda lelaki itulah yang terbaik untuk bersamanya sehingga ke akhir hayat. Pada waktu dinihari ini dia mengucapkan tahmid atas petunjuk yang Tuhan berikan. Lantas Lateefa bangkit dari katil.
Membersihkan diri dan bersiap dengan telekung solat. Dia tunaikan solat sunat dan membaca alquran sementara menunggu azan subuh berkumandang. Sebaik azan berbunyi terus dia laksanakan kewajipan yang satu.
Terasa lapang dadanya saat ini.
Pagi pun cerah dan Lateefa keluar dari bilik menuju ke dapur dengan wajah berseri-seri.
“Wah, cantiknya mama hari ini!” Yasmin menyapa dengan mulut ternganga. Lateefa hadiahkan senyuman untuk semua orang. Pantas dia hempaskan punggung di sebelah Yusuf.
Saat itu matanya masih tak lepas dari memandang wajah Yasmin. Apalah yang mata anaknya nampak sekarang. Dia hanya sekadar memakai dress panjang dan rambutnya dijalin gaya Perancis. Tetapi mata Yasmin tetap terpukau.
“Mama nak pergi mana?” tiba-tiba Yusuf bertanya pula. Ini seorang lagi. Begitulah mata si anak bongsunya. Apabila dia bersiap kemas dan cantik-cantik fikiran anaknya hanya satu. Dia ada hendak ke mana-mana. Atau pun keluar jalan-jalan. Lalu tercetuslah tawa kecil Lateefa dan mengundang ceria di hati masing-masing.
Aisyah memandang ayahnya penuh makna. Mereka saling berbalas senyuman. Terbit nafas lega apabila wajah mendung Lateefa sudah berubah ceria.
“Macam mana?” tanya Haji Sulaiman ketika mereka selesai bersarapan. Dia tahu anaknya sudah menemui jawapan kerana sikap Lateefa benar-benar berbeza pagi ini.
Lateefa diamkan diri. Tidak menjawab pertanyaan si ayah sebaliknya dia memandang anak sulungnya yang sedang membasuh pinggan.
“Ada, duduk dulu," arah Lateefa lembut dan Warda sememangnya anak yang menurut perintah. Anak daranya itu tidak bertanya tetapi terus henyakkan punggung di sebelah Lateefa.
Lateefa pandang wajah ayahnya sekilas sebelum memulakan bicara.
“Ada suka tak Uncle Zhareef?” tanya Lateefa. Sebaik soalan begitu keluar dari mulut Lateefa semua orang memandangnya tak sabar termasuk adik kembarnya yang sedang makan di ruang keluarga. Pantas pula kaki mereka mendekati si kakak.
“Maksud mama?” Warda tidak faham dan soalan sudah bertemu soalan.
“Maksud mama, Ada okay tak dengan Uncle Zhareef?”
Kerana Warda anak yang sudah matang lalu dia perlu mendapatkan pandangan anak daranya itu.
“Okay macam mana mama? Kalau dari segi sikap, Uncle Zhareef tu memang nampak baik. Pertama kali Ada jumpa dia Ada dah sukakan dia. Sikap baik uncle tak dibuat-buat. Lagipun dia suka layan Yusuf. Ada lagi suka kalau ada orang yang boleh layan Yusuf sebab Ada tak reti nak main permainan orang laki-laki. Jadi Ada anggap dia memang baik dan Ada suka dekat uncle.” Jawapan Warda melegakan Lateefa. Dengan kata lain melegakan semua orang.
Lateefa tarik nafas panjang.
“Ada okay tak kalau mama kahwin dengan Uncle Zhareef.”
Buntang mama Warda dengan pertanyaan ibunya. Mulutnya yang ternganga cepat-cepat ditutup. Yasmin pun begitu juga. Dia yang tengah khusyuk makan nasi lemak terus bangkit dan pandang mamanya.
“Maksud mama, uncle akan jadi ayah baru kita orang?” soal Yasmin gembira.
Lateefa angguk mengeyakan.
Haji Sulaiman pula mengurut lega dadanya.
Alhamdulillah, akhirnya Lateefa sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri sekali lagi. Sekarang dia sudah tidak perlu risaukan anaknya lagi.
“Kalau mama rasa uncle tu boleh jadi ayah yang terbaik untuk kitaorang Warda setuju mama.”
Kolam mata Lateefa mula digenangi mutiara jernih sebaik mendengar jawapan Warda. Dia cukup bersyukur kerana anaknya sudah menjadi gadis yang cukup matang walaupun baru berusia 16 tahun.
Dia bangkit lalu memeluk Warda.
“Terima kasih, Ada!” ucap Lateefa sebak. Dia menangis terharu dan Warda pula menangis kegembiraan.
“Alhamdulillah. Bolehlah Atee bagitahu Zhareef. Jangan biarkan dia tertunggu-tunggu,” suruh Haji Sulaiman.
Lateefa mengangguk dan hatinya berdoa semoga semua urusannya akan berjalan dengan lancar.
yang seharusnya dibuat. Istikharah untuk membuat pilihan
Share this novel