18. Inikah KetentuanMu

Drama Series 114354

Terasa susut tubuhnya seminggu dua ini. Berulang alik dari rumah ke hospital menjaga Nailufar. Awal pagi hantar Yusuf dan Yasmin ke sekolah. Petang pula terpaksa menghantar anaknya transit di taska berbayar. Tiada siapa yang dapat menjaga kedua-duanya sementelah Warda perlu tinggal di asrama. Lagipun tahun depan Warda akan menduduki peperiksaan SPM.

Dia tidak mahu pelajaran anak daranya terganggu. Malam pula terpaksa dia tinggalkan Yasmin dan Yusuf pada Lili, jiran sebelah yang masih bujang. Mujurlah gadis itu faham keadaan dirinya. Lelahnya tidak terucap dibibir.

Sudah dua minggu juga dia ambil cuti separuh gaji untuk menjaga Nailufar. Anaknya pula makin hari makin teruk keadaannya. Nailufar semakin kurus. Rambut pula cepat benar gugur. Hati ibu mana yang tak hancur luluh melihat keadaan si anak. Dia masih dalam fasa menerima semuanya dengan reda. Terasa ujian ini datang tiba-tiba.

Lamunannya terhenti apabila telefonnya berdering. Dia seluk poket handbagnya. Telefon dikeluarkan. Melihat sahaja nama pemanggil terus dia masukkan semula telefon ke dalam beg tangannya.

Zhareef!
Lelaki itu sejenis yang tidak berputus asa. Sudah dia pesan agar jangan menghubungi namun lelaki itu seperti batang kayu. Tidak ada telinga dan kepala hendak mencerna. Saban waktu menghubunginya tanpa jemu. Lateefa tidak pernah menyambut panggilan lelaki itu. Apabila tidak dijawab pesanan pula yang dihantar lelaki itu.

‘Awak, jangan skip makan.’
‘Kalau tak sihat cepat-cepat makan ubat.’

Setiap masa ada sahaja pesanan lelaki itu. Sedikit sebanyak buat hati wanitanya tersentuh. Kasihan Zhareef, tapi apakan daya. Dia lakukan semua ini kerana dia tidak yakin untuk memberikan hatinya pada lelaki itu. Dalam keadaan berserabut dia tidak boleh membuat sebarang keputusan. Bimbang keputusan yang diambil akan membuat semua orang merana. Terutama sekali Nailufar.

Dia mengeluh.
Sama sekali tidak menyangka dia akan mengeluh panjang. Ujian yang datang turut sama menguji hatinya. Berbelah bahagi dengan lamaran lelaki itu. Awal-awal dia tolak namun apabila diri berada dalam keadaan berserabut datang pula rasa mahu menerima. Tetapi kembali hadir rasa tidak suka. Tambahan pula dia sudah berjanji dengan Nailufar yang dia tidak akan berkahwin lain kerana Nailufar tidak mahu ada lelaki lain dalam rumah mereka. Lalu di akhirnya dia korbankan perasaan yang sedikit demi sedikit bercambah ini demi Nailufar.

Dia adalah wanita yang mempunyai sekeping hati yang lembut. Kesunyian ini seakan terisi dengan kemunculan lelaki itu. Malah dia hampir goyah dengan bicara lelaki itu tetapi melihat wajah Nailufar pantas saja dia buang jauh-jauh nama Zhareef.

Akhirnya dia tersedar.
Lima belas minit di dalam perut kereta melayan khayalnya masa terbuang begitu sahaja. Tentu Nailufar resah menunggu makanan yang diidamkan. Nasi ayam yang dimasak sendiri oleh Lateefa. Itu yang Nailufar nak makan setelah dua minggu lidah anak daranya tidak mampu menerima apa-apa makanan. Dia pula sudah lama gantung kuali gara-gara kepenatan. Lalu demi Nailufar dia gagahkan diri memasak.

Mujurlah Yusuf dan Yasmin juga sukakan nasi ayam. Kasihan pula bila teringat kedua-dua anaknya yang terpaksa dia tinggalkan sendirian di rumah kerana transit tidak dibuka pula hari ini. Nasib baik Warda akan pulang petang nanti. Dia meminta jasa baik kawannya yang juga guru subjek Warda agar menghantar Warda ke rumah. Dapatlah anak sulongnya itu menjaga adik-adiknya.

Lateefa keluar dari perut kereta dengan membimbit mangkuk tingkat menuju ke wad. Masuk saja ke dalam wad dia dikejutkan dengan keadaan Nailufar yang mengalami sawan. Sambil menangis dia menjerit-jerit memanggil jururawat yang bertugas. Lencun airmatanya melihat keadaan Nailufar.

Kalaulah penyakit itu boleh dipindahkan biar dia saja yag merasa sakitnya. Tidak sanggup melihat keadaan Nailufar yang selalu muntah. Malah hari ini tak sangka pula akan mendapat sawan. Seksanya hati hanya Tuhan saja yang tahu.

“Nai….” panggil Lateefa bersama juraian airmata. Nailufar tidak menyahut kerana dia tertidur akibat terlalu letih. Nampak betapa lemahnya tubuh Nailufar.

Lateefa menarik kerusi lalu menyembamkan wajah di tepi paha anak daranya. Sedar tak sedar dia tertidur. Berapa lama dia tidak tahu.

“Ma….” Tangan yang nampak kering itu mengusap lemah kepala Lateefa yang dibaluti tudung.

Lateefa tersedar.
“Mama dah solat?” tanya Nailufar lemah.

Pantas Lateefa gelengkan kepala.
“Mama cuti.”

Dan Nailufar ukirkan senyum.

Lateefa bangkit dengan rasa sedikit pelik.
“Nai nak makan?” Terus dia ke arah almari sisi dan bekas berisi nasi ayam di buka.

Nailufar mengangguk dalam senyum yang tak habis lagi. Baru beberapa suapan dia berhenti apabila jururawat datang memberitahu, doktor yang merawat Nailufar mahu berjumpa dengannya.

“Nai, mama keluar kejap ya.”

Nailufar mengangguk lemah. Sebaik mamanya keluar telefon yang berada di pahanya berdering kuat. Dengan lemah Nailufar tarik telefon tersebut. Sebaik melihat nama Zhareef di layar skrin telefon Nailufar ukir senyum panjang.

****

Zhareef tumbuk tilam dengan rasa geram.
Begitu susah sangat hendak lembutkan hati Lateefa. Puas dia menelefon namun wanita itu langsung tidak mahu menjawab. Pesanan pun sekadar dibluetick sahaja.

Kali ini dia tidak berputus asa juga. Didail nombor Lateefa sekali lagi dengan harapan wanita itu akan menyahut dan hatinya terus bergetar apabila panggilannya tiba-tiba bersambut.

“Hello, sayang!” ucap Zhareef teruja.

Betapa dia rindu dengan wanita itu sehingga terus memanggilnya sayang tanpa memberi salam.

“Sayang, sudah seminggu senyap. Saya call tak jawab. Jangan buat saya macam ni. Saya betul-betul ikhlas nak kahwin dengan sayang.”

Zhareef pandang layar skrin dengan pelik. Tiada respon dari pihak sebelah sana. Namun sesaat dua suara di sana mula kedengaran.

“Assalamualaikum uncle.”

Zhareef tersentak. Akhirnya dia tidak keseorangan. Namun suara yang membalas panggilannya kedengaran lemah tidak bermaya. Tetapi itu bukan suara Lateefa.

“Ini Nai… uncle.”

Pantas Zhareef elus rambut sendiri. Kerutkan muka kerana sudah terlajak kata. Malah kesal juga kerana telah bertindak di luar kawalan. Tentulah Nailufar sudah berfikir macam-macam tentang dirinya.

“Nai. Maaf. Uncle… uncle ingat… mama yang jawab tadi.” Tiba-tiba dia gagap pula hendak teruskan bicara.

Ya. Dia gagap kerana anak Lateefa yang ini bukankah nampak sangat tidak menyukai dirinya tetapi kenapa kali ini suara itu sedikit mesra walaupun kedengaran lemah tidak bermaya.

“Maafkan uncle. Nai sihat?” tanya Zhareef berbahasa. Nampaknya kali ini dia perlu hadap Nailufar untuk sampai kepada Lateefa.
Nailufar hembus nafas perlahan.

“Kenapa Nai? Nai ada apa-apa masalah yang nak share dengan uncle ke?” soal Zhareef gelisah. Dia sedaya-upaya cuba mengambil hati anak gadis itu.

“Betul ke uncle sayangkan mama?” Tiba-tiba Nailufar bertanya soalan yang tak terjangka.

Zhareef terkejut. Untuk apa soalan sebegitu di tanya. Haruskan dia berbohong atau nyatakan isi hatinya yang sebenar. Tetapi jika dia berbohong anak itu tentu sudah tahu apa yang ada di dalam hatinya. Bukankah tadi bukan main lagi dia bersayang-sayang.

“Ya, uncle betul-betul sayangkan mama Nai tapi kalau Nai tak izinkan uncle akan mengundur diri.”

Hah, sudah. Dia mula bermain dengan emosi anak dara itu. Dan tiba-tiba saja Nailufar menangis. Tak keruan hati seorang lelaki milik Zhareef mendengar esak tangis gadis kecil itu.

“Selama ini Nai tak suka mama dekat dengan uncle. Nai takut mama akan terluka. Mama akan dikhianti. Kalau uncle janji akan jaga mama dengan baik Nai izinkan uncle kahwin dengan mama kerana mama berhak untuk bahagia.”

Zhareef lega tetapi suara Nailufar yang lemah berserta tangisan yang tak sudah itu buat hati lelakinya risau. Kenapa dengan gadis itu.

“Janji dengan Nai. Jaga mama dengan adik beradik Nai betul-betul. Jangan sesekali lukakan hati mama. Kalau mama nangis uncle kena cepat-cepat pujuk mama tau.”

Zhareef tidak faham namun dia tetap juga akur.

“Ya, uncle janji. Tapi… kenapa Nai nangis? Nai masih tak kebah dari demam ke?” soalnya dengan seribu persoalan. Kepalanya mula dihinggapi pelbagai andaian dan andaiannya tidak bertemu jawapan apabila panggilan diputuskan tiba-tiba.

Hatinya berasa sungguh tidak keruan. Apakah memang betul Lateefa sedang sembunyikan sesuatu darinya. Wanita itu tidak mampu memberikan jawapan yang terbaik pada lamaran yang dia hulurkan kerana ada sesuatu yang menghalang wanita itu. Duga Zhareef dan dia rasa dia perlu siasat.

Segala andaian terus mengganggu diri sehinggalah malam menjelma. Dia berkira-kira. Lantas ke almari pakaian dan mengemas sedikit baju ke dalam beg sandang. Bersiap ala kadar lantas tergesa-gesa turun ke bawah. Kunci kereta yang diam di atas kabinet TV di capai cepat.

“Eh, Reef nak pergi mana?” soal Puan Zarina pelik. Dia yang sedang menunggu azan isyak tersentak. Zhalia yang juga baru turun ke bawah tertanya-tanya.

“Abang Reef nak pergi mana?” Pantas Zhalia mendekati. Melihat wajah abangnya yang nampak sungguh risau hatinya turut berlagu resah.

Zhareef menggunakan bahasa mata. Menyalurkan jawapan kepada pertanyaan Zhalia. Namun Zhalia tidak faham.

“Nanti abang cakap.”

“Eh, macam ada hal yang umi tak tahu. Reef nak ke mana?” soal Puan Zarina mahu tahu.
Lalu Zhareef mendekati Puan Zarina. Tangan wanita itu dikucup mesra.

“Reef nak ke Terengganu sehari dua ni mummy. Mummy doakan Reef selamat dan minta dengan Allah supaya segala urusan Reef dipermudahkan.”

Terkebil-kebil Puan Zarina tidak faham dengan sikap anaknya. Dia pandang pelik namun mulut tetap ringan membalas.

“Ya, umi selalu doakan yang terbaik untuk anak umi tapi kenapa tergesa-gesa sangat ni. Ada hal penting ke? Abah dah tahu ke belum?”

Zhareef gelengkan kepala.
“Umi jangan risau. Balik nanti Reef cerita dekat umi. Kirimkan Salam Reef dekat abah ya,” pesan Zhareef. Tak tunggu lama terus melangkah keluar dari rumah dan masuk ke dalam Honda Civic kesayangannya.

“Abang nak jumpa Kak Atee ke?” soal Zhalia yang muncul tiba-tiba. Zhareef turunkan cermin kereta.

“Doakan semoga abang baik-baik je Lia,” pesan Zhareef lantas memandu keluar dari kawasan rumah dan terus meluncur laju ke Terengganu. Zhalia sentuh dadanya. Entah kenapa hati mula rasa serba tak kena. Namun dia tetap berdoa agar abangnya akan pergi dan balik dalam keadaan selamat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience