Zhareef pandang pantulan diri melalui cermin sisi. Betulkan rambut. Kemudian pakai songkok. Terpaksa dia berpuas hati dengan apa yang tersarung ditubuhnya malam ini demi air muka abahnya.
"Abang Reef memang dah handsome. Pakai warna macam ni lagilah menyerlah. So, jangan bimbang. Bila Lia datang nak ambil Abang Reef, Lia tahu abang akan senyum tak berhenti." Zhalia di luar memujuk. Bagaikan abangnya itu budak tadika.
Zhareef balas dengan menarik hidung adiknya. Pantas Zhalia menolak kuat. Menyuruh abangnya segera keluar kerana beberapa orang penyambut tetamu sudah siap menunggu di luar.
Zhareef ukir senyum geram. Pandai bagi idea macam-macam tapi bab temankan abang sendiri hampeh. Rela habiskan masa dekat pasaraya. Bila majlis dah tamat barulah Zhalia akan datang semula. Itu janji Zhalia. Geram dengan adiknya tak habis lagi tapi dia tetap lemparkan senyum kepada wakil acara sebaik keluar dari perut kereta. Riak muka mesra ditunjuk agar orang yang menunggu tidak berasa segan.
"Maaf lambat sampai," ucap Zhareef kesal. Gara-gara bergaduh dengan Zhalia masa pun berlalu begitu saja.
"Tak apa Encik Zhareef. 8.30 baru majlis mula. Jadi tak lewat dah." Wakil tersebut membalas mesra. Lalu Zhareef kumpulkan semangat serta lebarkan senyum.
Dengan penuh wibawa dia melangkah masuk ke dewan Gamelan bersama beberapa orang tetamu VIP. Masing-masing segak berbaju melayu. Dia pun tak terkecuali. Baju melayu berwarna dusty green yang dipilih adiknya rasa kena pula dengan kulitnya yang tak gelap dan tak putih sangat. Pakaian kebangsaan itu tersarung kemas di tubuh dan tiba-tiba sahaja dia rasa bersemangat. Apatah lagi kemunculannya disambut dengan suara alu-aluan yang begitu merdu. Pantas sahaja dia tujukan mata ke arah pengacara majlis di pentas utama.
Tidak nampak kerana dia masih lagi jauh. Tak sabar pula hendak melihat wajah pemilik suara. Sebelum benar-benar tiba di mejanya sempat dia kerling wajah pengacara majlis. Tak berjaya di tangkap apabila tetamu di meja hulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Zhareef ukirkan senyum seraya berjabat mesra. Sebaik labuhkan punggung dia pandang ke kiri dan ke kanan. Menghadiahkan senyuman kepada anak-anak yatim yang diraikan.
Alunan suara pembukaan yang mendayu-dayu begitu memanggil-manggil hatinya. Pantas matanya diarah ke pentas utama. Kelihatan susuk di depan rostrum seakan dikenalinya. Apabila pemilik suara berundur ke belakang memberi laluan kepada seorang ustaz untuk membaca doa,dadanya mula berdegup kencang. Saat wanita itu diam menadah tangan sambil mengaminkan doa hatinya berbunga rasa gembira.
Zhareef tak berkelip melihat. Orang lain khusyuk menadah tangan mengaminkan doa dia pula tujukan mata ke arah pengacara majlis. Ada debaran kuat menyentak dada apabila bibir wanita itu tersenyum sebaik meraup muka.
Detak yang muncul tak beri kerjasama. Dia tidak mahu faham tetapi debaran sebegini mengingatkan dia akan debaran cinta yang pernah dia kuburkan bertahun-tahun lamanya. Nampaknya perasaan ini kembali muncul setelah wajah yang jauh di depan sana tak mampu dia buang.
Dia yakin itulah wanita yang dia selamatkan di tangga bangunan hotel. Suara itu dia tidak cam kerana kelmarin ia dibuat-buat. Tetapi saat ini dia cukup teruja. Alunan yang terlontar keluar buat dia tak senang duduk. Bahkan solekan yang melatari wajah itu membuat matanya tak mahu berkelip. Apatah lagi pakaian yang membalut tubuh susuk berkenaan seperti raja sehari.
Serta merta bibirnya tersenyum penuh makna. Melihat warna pakaian mereka yang sama pula terus dadanya bergendang irama gembira tak terkata. Lantas kepalanya mula mengingati insiden yang telah berlalu.
Adakah ini jodoh yang di tunggu-tunggu. Setelah sekian lama dia matikan rasa untuk bercinta alih-alih malam ini dia merasakan sesuatu yang sukar untuk dijelaskan.
Dia lorekkan senyuman apabila wajah itu tiba-tiba sahaja memanah matanya saat menyebut namanya lalu menghadiahkan sekuntum senyuman. Terus jantungnya jatuh bergolek dan hilang entah ke mana.
Betapa dia terjatuh suka tiba-tiba. Namun suara guru lelaki di belakangnya kelmarin menyentak tangkai hati.
Wanita di depan itu adalah janda. Bukankah itu kenyataan yang dia dengar sendiri. Beranikah dia hendak mencuba. Wanita yang pernah berkahwin itu lebih matang berbanding yang belum bersuami. Apatah lagi kalau sudah beranak-pinak.
Tetapi janda atau tidak itu bukan alasannya. Kalau hati dah suka teruskan saja. Hatinya berperang sendiri. Nampaknya dia memang dah gila. Masih mahu terus menatap wajah itu sehinggalah namanya dipanggil untuk memberikan ucapan dan seterusnya menyampaikan sumbangan.
Dia melangkah penuh gaya dan sewaktu melintasi sang pengacara sempat dia berikan jelingan penuh makna. Muka itu nampak terkejut tetapi cepat-cepat dikawal. Dalam hati tertawa lucu. Pastinya wanita itu tercari-cari. Di mana pernah melihat wajahnya.
Sebaik sahaja selesai dengan tugasnya sekali lagi dia melintasi tempat pengacara berdiri dan bisikkan ayat yang membuat mata wanita itu menekur ke bawah kerana malu.
"Dusty green suits you well. "
Dengan rasa bangga dia melangkah kembali ke meja. Terus duduk di situ bagaikan punggungnya digam dan dipaku. Asalnya dia mahu terus angkat kaki apabila selesai mewakili abah memberikan sumbangan kepada pertubuhan anak-anak yatim. Dek kerana bunga cantik ada di depan mata apa salahnya dia menunggu sehingga majlis tamat.
*****
Lateefa keluar dengan rasa tidak percaya. Rupanya awan gelap tengahari tadi muncul di sini dan menumpahkan hujan yang cukup lebat. Entah bila hujan yang turun akan berhenti. Dia tidak tahu. Nampak gayanya lambat lagilah dia dapat kembali ke rumah.
"Lebat pulak hujan?" Sapaan seseorang mengejutkan Lateefa lantas dia berpaling. Melihat susuk tubuh yang berbaju senada dengannya sudah berdiri di sebelah terus sahaja perasaan malu menerjah muka. Apatah lagi pujian lelaki itu di dalam tadi singgah semula di telinga. Namun cepat-cepat dia buang segala rasa dengan harapan perkenalan singkat ini hanya setakat malam ini saja.
"Haah, Encik Zhareef. Tak sangka pula hujan lebat macam ni. Kat dalam tadi tak dengar pula." Ramah dia menjawab sapaan lelaki yang dikenali namanya di dalam majlis tadi. Sempat matanya kerling beberapa orang penyambut tetamu yang berlalu pergi setelah menghantar lelaki itu sehingga ke sini.
Kembali memandang hujan yang mencurah-curang tak berhenti.
Zhareef lempar senyum. Nampak gayanya wanita itu ramah orangnya. Terus teringat insiden petang kelmarin. Pertemuan yang tak terduga berlanjutan sehingga ke saat ini. Dek kerana itu dia mahu memanjangkannya tetapi dia nampak wanita itu resah.
Memang Lateefa rasa resah-gelisah. Mata sekejap-sekejap pandang jam tangan. Sudah hampir 12 tengah malam. Seriau pula rasanya hendak memandu seorang diri dalam hujan lebat begini.
"Cikgu tunggu suami ambil ke?" sengaja Zhareef bertanya begitu padahal dia sudah tahu. Harap jawapan orang di sebelah tidak mengecewakan hatinya.
Lateefa ketap bibir sebelah dalam. Gara-gara hal kelmarin statusnya sebagai guru bukan lagi rahsia.
"Saya drive sendiri. Tapi itulah hujan lebat sangat. Kereta pula kat bawah pokok sana." Mata Lateefa menyoroti tempat parkir di pintu masuk kawasan hotel. Gelap. Hanya disirami cahaya lampu jalan.
Zhareef senyum. Baru nak berlama-lama tiba-tiba sahaja kereta yang dipandu adiknya tiba dan berhenti betul-betul di hadapannya. Zhareef melangkah ke boot belakang dan mengeluarkan sekaki payung berwarna hitam berjalur emas.
"Guna payung ni. Kalau nak tunggu hujan berhenti lambatlah boleh balik."
Lateefa tersentak. Dia ingatkan lelaki itu sudah mahu beredar. Tak sangka pula muncul membawa payung untuknya. Teragak-agak dia hendak menyambut huluran lelaki itu. Tetapi terpaksa juga dia terima budi itu apabila hujan semakin lebat menjirus bumi.
Tiba-tiba guruh berdentum kuat. Sepantas kilat Lateefa dekatkan diri dan mencengkam lengan lelaki itu. Matanya terpejam rapat. Nampak sungguh takut dan Zhareef hanya membiarkan sahaja. Namun dadanya usah cakap. Bergetar satu perasaan yang tidak mampu dia luahkan.
Sesaat dua berlalu dan Lateefa mula tersedar yang dia telah memalukan diri sendiri sekali lagi.
"Maaf," ucapnya kesal. Namun lelaki itu hanya memerhati.
"Cikgu okay ke?" tanya Zhareef mendapatkan kepastian.
"Saya okay," jawab Lateefa lantas alihkan pandangan ke arah lain. Kulit mukanya terasa sungguh tebal. Dua kali tangannya bertindak spontan. Manalah dia tak malu.
"Saya gerak dulu. Dah lewat sangat ni. Cikgu okay ke kalau saya tinggalkan cikgu sorang-sorang kat sini?" soal Zhareef berat hati.
"Okay. Insya Allah, saya tak apa-apa. Encik balik lah," jawab Lateefa yakin. Lalu Zhareef mengangguk mengeyakan. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah pintu pemandu dan dari dalam pula Zhalia segera beralih ke kerusi sebelah. Tanpa menurunkan cermin gelap kereta gadis itu menilik wajah wanita yang berbual dengan abangnya tadi.
"Comellah akak tu abang long. Kalau...."
"Dah, diam. Tak payah nak cakap banyak," potong Zhareef. Tak mahu melayan ulah Zhalia. Kalau dah datang mood murai tu susah nak berhenti nanti.
Zhareef bunyikan hon tanda ingin berlalu dan Lateefa balas dengan senyuman hambar.
Sebaik kereta itu menghilang dari pandangan dia tilik payung di tangan lalu membukanya cepat. Dengan lafaz bismillah dia melangkah laju ke tempat parkir dengan diteduhi payung pemberian lelaki itu.
Tanpa dia sedari lelaki itu menghentikan kereta di suatu sudut untuk menanti dia masuk ke dalam perut kereta dengan selamat.
Share this novel