12. Halangan pertama : Lepas

Drama Series 114354

“Kau yakin ke Reef dengan pilihan kau ni?” soal Fazli tidak percaya ketika mereka berbual melalui telefon. Zhareef menghubungi berkongsi cerita yang sememangnya sudah Fazli tahu.

“Aku yakin. Memang dialah orang yang berjaya cairkan hati aku yang dah lama beku ni, Li," balas Zhareef yakin sambil tangan memutar-mutar pen di tangan.

“Kau tak rasa ke dia tu tua sangat. Beza 9 tahun dengan kau kut.” Fazli menduga.

“Kau rasa?” soal Zhareef meminta pendapat.

Fadzli tarik nafas panjang. Kalau dia berterus-terang adakah Zhareef akan berkecil hati. Tetapi kalau dia tak jelaskan mana mungkin Zhareef akan faham. Orang tengah mabuk air masak mana boleh membezakan yang mana baik yang mana buruk.

“Okay. Aku akui bila tengok muka, dia memang nampak muda." Fazli menyambung kata. "Masa kat hotel hari tu sumpah kalau kita tak dengar perbualan cikgu lelaki tu aku anggap dia anak dara lagi. Muka dia. Tubuh dia langsung tak nampak macam nak masuk 40 series. Macam umur dua puluh adalah. Tapi kau kena sedar Reef. Kau nak pakai lama. Bukan setahun dua je." Fazli akhirnya menjelaskan. Biarlah Zhareef nak marah pun. Dia tak kisah.

"Aku tahu Li. Tapi itulah. Hati aku dah tersuka sangat," luah Zhareef tak bersemangat pula.

"Dia pun dah ada anak ramai. Belum tentu nak anak lagi kan. Kau pula. Takkan kau tak nak anak kut." Lagi Fazli mengocak ketenangan hati Zhareef.

"Yang tu kau tak payah nak ajar akulah. Tahulah aku nak buat macam mana. Dia tua ke tak aku dah tahu caranya." Zhareef keraskan suara.

"Aku bukan apa Reef. Aku takut nanti tak sampai setahun dua kahwin kau dah cari yang lain sebab dia tak boleh nak beranak dah. Tak ke naya dia," jelas Fazli gusar tetapi
Zhareef gelak besar pula.

“Kau yang fikir begitu. Aku tak rasa macam tu pun. Insyaallah, aku harapkan perasaan ini akan kekal sampai bila-bila.” Dengan yakin Zhareef luahkan kata.

Fazli tak mampu hendak bawa lari perasaan Zhareef. Itulah Zhareef As'ad. Kalau lelaki tu dah suka jangan cuba nak provoke suruh benci. Sebab itulah dia tak cari yang lain setelah Ayu tiada.

“Umi kau macam mana?” tiba-tiba Fazli teringat dekat emak Zhareef. Wanita berstatus pensyarah itu tegas orangnya.

Zhareef pula pantas menghembus nafasnya dengan kuat.

“Aku kena berusaha pikat cikgu Lateefa dulu. Kalau dah berjaya baru aku inform umi aku.”

Fazli ketawa. Namun dalam hati usah cakap. Dia tak nampak jalan Zhareef akan mudah dan senang.

“Janda macam dia tu susah nak pikat, Reef.”

Zhareef kerutkan kening tidak faham.
“Maksud kau?”

“Dia tu limited edition, Reef. Dengar cerita yang aku dapat dari informer aku dah banyak lelaki yang usha dia tapi satu pun tak jalan. Cikgu sama sekolah dia pun dia tak layan. Jiran depan rumah dia pun pernah try jugak tapi tak dapat. Agak-agak kau... cair tak hati dia dengan ayat power kau nanti?” Duga Fazli sengaja.

Tiba-tiba sahaja Zhareef hamburkan ketawa besar.
“Buat apa nak guna ayat power bagai. Aku dah ada cara aku sendiri.”

Kini giliran Fazli pula yang ketawa. Kepala digeleng-geleng tanda tidak faham dengan orang yang sudah angau tahap gaban ni.

“Pandai-pandai kaulah Reef. Harap-harap kau berjaya. Tapi kalau aku lah kan, aku lebih suka kau cari anak dara.”

Tawa Zhareef pun mati. Terus suaranya jadi serius.
“Aku dah jatuh hati sangat dengan dia, Li. Tak kisahlah siapa pun dia. Sepanjang empat tahun aku menyendiri, dialah satu-satunya perempuan yang berjaya buat mata aku ni terpaku. So, kau doakanlah agar aku berjaya. Kau kena sokong aku.”

Fadzli mengangguk faham. Dia kenal sangat dengan lelaki itu.
“Ini kalau Azmir dengan Hairil tahu ni sah-sah dia orang gelakkan kau.” ujar Fazli kesal.

“Lantak kau lah, doa kau orang dah makbul. Nak sangat pintu hati aku ni terbuka kan. So, sokonglah aku bro. Bukan gelak.”

“Ya... aku doakan semoga kau berjaya. Aku ni cuma nasihat yang baik-baik. Harap-harap kau tak kecewalah.”

“Nak kecewa apa pulak?"

“Ya lah, takut dia tak nak dekat kau. Perempuan matang ni lain. Banyak yang dia fikir. Bukan macam perempuan muda. Sekali ayat dah jalan.” Fazli sengaja hendak melemahkan semangat Zhareef. Namun lelaki itu tak mudah menyerah.

“Sebab dia matanglah aku nak kat dia. Sekurang-kurangnya bila aku jauh macam ni taklah aku kena risaukan dia 24 jam.”

“Cheewah, bunyi macam dah jadi bini kau je.”

Zhareef tergelak besar.
“Doakan.”

Fadzli mengangguk. Walaupun dalam hati dia tak setuju dengan pilihan Zhareef namun dia tidak mahu melukakan hati lelaki itu. Sudah lama Zhareef berkurung dalam dunia sendiri. Apabila lelaki itu sudah bangkit merasai untuk menyayangi dia tak sepatutnya menghalang. Jauh di sudut hati dia amat berharap wanita itu akan menerima cinta Zhareef.

Ah, kalau sudah jodoh Zhareef memang dah tak boleh nak kata apa. Jodoh itu kan rahsia Allah belaka.

Bunyi pintu bilik ditolak orang mengejutkan Zhareef. Pantas dia menoleh. Wajah Puan Zarina menerpa ruang mata dengan pandangan bersinar-sinar.

"Li, kita cakap lain kali. Umi aku dah masuk bilik ni. Adalah tu yang dia nak,” bisik Zhareef dan Fazli mengeyakan.

Zhareef pun tamatkan talian apabila uminya sudah berdiri di depan.

“Cakap dengan siapa?” tanya Puan Zarina lantas duduk di atas katil anak bujangnya. Zhareef yang berada di meja kerja pusingkan kerusi untuk memandang wajah uminya.

“Dengan Fazli, mi."

“Oh, lama tak dengar khabar dia. Suka agaknya duduk kat Terengganu tu.”

Zhareef senyum panjang.
“Kalau Reef duduk kat sana jugak umi okay tak?”

Puan Zarina memandang hairan. Cukup pelik dengan kata-kata anaknya. Semenjak balik dari Terengganu perangai anak bujangnya itu nampak lain. Namun dia tidak mahu membuat andaian tanpa usul periksa.

“Kenapa? Dah jumpa calon ke?” Akhirnya Puan Zarina menyoal. Cuba menyiasat. Kalau betullah Zhareef dah jumpa dialah ibu yang paling gembira saat ini.

“Belum lagi, umi.” Bohong Zhareef. Benda masih dalam peringkat awal. Dia tidak mahu memberikan harapan kepada ibunya. Lagipula wanita yang disukainya seorang janda yang 15 tahun muda dari ibunya. Dia bimbang perang akan meletus sebelum sempat kubunya cukup kuat.

“Laa… ingatkan dah jumpa. Kalau macam tu buat apa nak duduk Terengganu. Baik cari sampai jumpa dulu,” pesan Puan Zarina dan Zhareef balas dengan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Kat Terengganu banyak pantai, banyak pulau. Cantik-cantik pulak tu." Zhareef masih mahu menyakat ibunya dan Puan Zarina terus bangkit.

"Rumah Reef kat i-SOHO kan dah ada. Duduklah situ. Kahwin dengan siapapun bawa je duduk dengan Reef. Kenapa Reef pulak yang nak kena pindah. Takkan tak kahwin lagi dah kena control." Sedas Zhareef kena tembak dan terus mukanya berkerut.

“Jomlan turun bawah. Pak Ngah dengan Mak Ngah ada datang tu. Dian pun ada sama. Cepatlah!” suruh Puan Zarina dan barulah Zhareef sedar. Rupanya itulah tujuan utama umi masuk ke dalam.

Nafasnya dihembus kecewa apabila nama Dian disebut ibunya. Nampaknya wanita itu masih mahu mengenenkan dia dengan sepupu sendiri.

“Umi turun dulu. Reef nak mandi jap. Lepas tu Reef turun.”

“Ya lah, jangan lama sangat,” pesan Puan Zarina dan terus menghilang sebaik anak jantannnya melangkah ke ampaian di balkoni bilik.

Zhareef menjenguk. Ada sebuah kereta yang dikenali dipakir di belakang keretanya. Memang sah itu kereta pak ngah. Malasnya nak turun. Namun mengenangkan yang datang itu adik lelaki umi dia turun jugak selepas bersiap ala kadar.

“Reef ni mak ngah tengok makin lama makin handsome. Macam dah ada someone special je,” tebak mak ngah saat Zhareef muncul di depan semua yang sedang berbual-bual di ruang tamu.

Tersengih-sengih lelaki itu macam kerang busuk. Mati kutu hendak menjawab tebakan mak ngah yang memang ramah. Tebakan itu memang tepat.

'Hati ini memang berbunga tetapi belum kembang sepenuhnya, mak ngah.' Sempat hatinya berbisik ceria.

“Handsome ke? Bukan nampak makin tua.” sengaja dia menjawab sambil henyakkan punggung di sebelah abah.

“Ya, handsome tapi kalau dah sedar diri makin tua cepat-cepatlah cari orang rumah. Bila lagi nak kahwin,” sambung mak ngah lagi dan ternyata Zhareef terkena. Kerling uminya yang tersengih-sengih. Padan muka! Jangan nak menjawab sangat dengan mak ngah. Wanita itu memang banyak cakapnya.

Zhareef alihkan pandangan. Lihat abah yang tersenyum-senyum. Sudah dua hari tidak melihat abah. Baru hari ini dia berkesempatan. Nama saja bekerja satu bangunan tetapi nak berjumpa susah. Kalau berjumpa pun sempat bersalam kejap. Lepas tu masing-masing masuk pejabat sendiri.

Tiba-tiba Encik Raisuddin menepuk paha Zhareef dengan lembut. Zhareef balas dengan senyuman. Kemudian dia beralih pula ke mata pak ngah. Orang tua itu pun senyum juga. Hanya umi yang tiba-tiba ketat mukanya saat mak ngah berbisik. Berbisik apa dia tidak tahu. Tentu ada berita yang wanita itu tidak suka telah membirat telinga umi.

“Insyaallah Mak Ngah. Sampai masanya nanti.” Akhirnya Zhareef membalas bicara wanita itu.

“Kita orang lelaki ni kena usaha lebih, Reef. Macam Dian tu. Budak laki yang nak kat dia tu sungguh-sungguh hantar rombongan meminang. Tak adalah nak bercinta lama-lama. Hah, mak ngah tu dah tak sabar nak dapat menantu sulong.” Tiba-tiba pak ngah mencelah.

Pantas mata Zhareef pandang wajah umi. Patutlah muka emaknya yang manis berubah kelat. Anak saudara yang nak dijadikan menantu dah dikebas orang. Alahai umi. Kasihannya. Tak apa umi. Tunggu Reef pergi kejutkan menantu umi yang tengah lena. Dia belum dapat ciuman Reef lagi. Sebab itulah tak terkejut daripada tidur.

Zhareef beri senyum panjang dan kerling Puan Zarina. Kemudian mata kerling Dian yang muncul dari dapur.

“Tahniah Dian!” ucap Zhareef sewaktu Dian menatang sedulang minuman dan dibawa ke meja makan. Gadis itu menolong Zhalia menghidangkan minum petang untuk semua.
Dian mengangguk malu.

Zhareef senyum lagi melihat sepupunya yang baru sahaja menghabiskan pengajian di Politeknik Shah Alam. Gadis itu tersenyum malu. Orangnya memang cantik. Lembut, sopan dan pandai menjaga auratnya dengan baik. Pak ngah dan mak ngah berjaya mendidik anak daranya dengan baik. Tapi sayang hati Zhareef tak berkenan. Tambahan pula mereka berdarah daging.

“Bila nak langsung nya, ngah?” tanya Puan Zarina menyedarkan Zhareef dari lamunan.

“Hujung tahun ni, Kak Long. Sempatlah nak prepare mana yang patut. Itu yang datang jumpa kak long ni. Benda elok macam ni, kak long kena tahu.” Suara pak ngah berbunyi ceria.

Zhareef suka sangat dengan adik umi yang sorang ni. Orangnya baik dan lemah lembut. Paling penting orang tua itu seorang yang berpendidikan agama. Sebab itulah Dian terbentuk menjadi gadis yang solehah. Itu yang umi suka sangat.

“Lepas kahwin Dian terus ke UK. Ikut suaminya, Kira sambung belajar dekat sana terus,” sambung mak ngah pula.

“Bertuahnya Dian!” puji Puan Zarina bangga dan matanya sempat melirik ke arah Zhareef.
Zhareef pula buat-buat tidak tahu. Faham sangat dengan maksud disebalik kata-kata umi.

“Umi... makanan dah siap.” Suara Zhalia yang melaung dari meja makan mengejutkan semua.

“Jomlah. Kita makan dulu. Nanti kita sambung berborak lepas dah kenyang,” pelawa Encik Raisuddin lantas bangkit dan diikuti semua.

Zhareef mengekori semua orang dengan hati yang lega. Hilang satu halangan. Ada beberapa lagi yang perlu dia tempuh. Berharap dia mampu melalui semua cabaran dengan senang.

Dia henyakkan punggung dan sempat kerling ke arah Dian yang tunduk malu sambil menghulurkan cawan kopi kepada pak ngah. Gadis itu memang beradab orangnya. Pakej yang cukup lengkap. Namun wajah itu tidak membekas di tapak hatinya. Hanya wajah Cikgu Lateefa yang berjaya meninggalkan bekas yang begitu dalam.

Pada waktu petang yang damai ini tiba-tiba sahaja terbayang wanita itu di depan mata. Cikgu Lateefa tolong hulurkan kopi. Malah siap dengan pakej memanggilnya abang. Dia terbuai.

"Abang Reef!"

Pap!
Sebuah penampar singgah di paha dan Zhareef tersentak. Bayangan wanita itu pun hilang berganti dengan pandangan mata semua orang.

"Haih, teringat dekat siapa sampai senyum tak sudah-sudah tu Reef?" usik mak ngah dan Zhareef beri senyum cuak. Mendapat. Padan muka. Siapa suruh khayal. Kan dah terkena.

Apabila semua orang kembali menjamu selera dan berbual dengan topik masing-masing suara Zhalia menyentuh gegendang telinganya. Halus berbisik.

"Sabar abang. Sabar. Bawa mengucap," sinis tazkirah sesaat Zhalia dan Zhareef mati kutu.

'Aduhai Cikgu Lateefa. Kenapalah aku tak boleh nak lupakan kau?’ bisik hatinya geram.

"Abang ni memang kena masuk Tanjung Rambutan dah. Teruk benar dah ni," bisik Zhalia lagi.

Ya. Dia memang dah angau teruk. Sungguh dia teramat rindukan wanita itu. Ya Allah, kau lembutkanlah hati dia, ya Allah. Aku benar-benar mahu menghalalkan dia.

Zhareef tarik nafas dalam-dalam dan hembus lemah. Cepatlah masa berlalu. Aku nak jumpa dia sangat. Rindu ini tak tertanggung rasanya.

‘Wahai hati, kau kena kuat. Kau kena sabar,’ pujuk hatinya sendiri.

Itu dulu ya semua pembaca Air mata Kasih. Kita jumpa lagi next chapt. Izinkan kita beralih ke rumah oyen seketika. Muahhh from Guzel. Jangan lupa follow Guzel dekat rumah oyen tauuuu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience