2. Bila Hati Terpikat

Drama Series 114354

Zhareef kaget di muka pintu sebaik kakinya tiba di restoren Roselle. Dia ingatkan tempat makan berkelas 4 bintang ini lengang tanpa pelanggan rupa-rupanya dia salah meneka. Tak sangka pula semua meja penuh dengan orang yang datang entah dari mana. Namun melihat kepada pakaian yang tersarung sepertinya ada majlis dari jabatan kerajaan.

"Ramainya." Dia menegur Fazli serta dua orang lagi rakannya. Azmir dan Hairil bangkit lalu hulurkan tangan. Mereka berjabat mesra.

"Ada majlis dari sekolah dekat-dekat sini jugak." Fazli membalas sebaik sahaja Zhareef menghempaskan punggung di depannya.

"Kalau tahu macam ni elok kita jumpa dekat luar." Zhareef megomel. Bukan tidak suka dengan tempat makan mewah begini tetapi dia lebih suka dengan suasana privasi dan sunyi. Barulah segala yang dibualkan akan meresap masuk ke dalam kepala.

"Dah alang-alang aku kerja kat sini kan. Apa salahnya kita lepak kat sini je lah. Lagipun ada dua tiga buah meja yang tak ditempah itu yang aku suruh kau orang datang sini je. Bolehlah kau try makanan kat sini pula. Dia orang tak ganggu kita pun. Kita pun tak ganggu dia orang." Fazli menyambung kata dan pantas diangguk Azmir serta Hairil.

Hendak tak hendak Zhareef mengeyakan. Untuk apa menyinggung perasaan kawan baiknya dengan mengajak ke tempat lain pula. Lalu dia tarik kerusi ke depan sedikit. Tidak mahu jarak antara dia dan meja terlalu jauh. Sementelah di belakangnya ada sekumpulan guru lelaki yang sedang asyik mendengar pengacara majlis meneraju acara. Kalau dia ke belakang tentu akan mengganggu mereka pula.

“How’s life Reef. Berapa orang dah?” tanya Hairil tiba-tiba.

Tercengang Fazli dan Azmir tiba-tiba dengan pertanyaan tak terjangka rakannya itu. Namun Zhareef tidak terkejut langsung. Soalan sebegitu sudah selalu menjengah gegendang telinganya.

“Berapa orang anak ke?” sengaja dia bertanya balik. “Kalau anak sendiri tu tak ada lagi. Tapi kalau anak arnab tu banyaklah.” Selamba dia menjawab dan Hairil tercengang tidak faham. Memang rakan seuniversiti yang seorang ini lambat benar nak menghadam. Jadi Zhareef biarkan saja pertanyaan bagai angin lalu.

“Kau tak kahwin lagi Reef?” Terkejut bukan kepalang lelaki yang sedikit gempal tubuhnya itu. Memang Hairil tidak percaya tetapi apabila Fazli yang buka mulut terus lelaki itu garu kepalanya yang tidak gatal.

“Lain kali rajin-rajinkanlah call kawan kau ni. Barulah tak ketinggalan cerita. Mentang-mentang bergilir rumah sampai hal kawan baik sendiri pun kau zero. Apa ke hey?” Fazli bagi sebiji peluru dan Hairil hamburkan tawa nipis.

“Kalau macam tu aku nak kenenkan kau dengan sepupu akulah,” cadang Hairil namun Zhareef tak menjawab.

“Dah. Tak payah nak susah-susah. Kau ingat Reef ni macam orang zaman dulu ke. Pandai-pandai dialah cari sendiri nanti.” Kali ini Azmir pula mencelah. Dalam erti kata lain tolong back up kawan sendiri.

“Sepupu aku tu cantik weh…. Kalau kau kahwin dengan dia anak kau nanti tentu cantik-cantik belaka.”

Zhareef tunjuk senyum senget.
“Sebenarnya kau nak kata aku tak handsome kan.”

Masing-masing tergelak dengan balasan kata Zhareef namun terhenti apabila terdengar bicara seorang guru lelaki di belakang Zhareef.

"Hisy, janda sorang ni. Pakai baju kurung pun masih nampak bergetah. Dahlah muka tu macam budak sekolah menengah. Kalau bukan sebab dia tu satu sekolah dah lama aku ayat dia jadi bini nombor 3 aku."

Pantas Zhareef dan rakan-rakannya menoleh ke arah pintu masuk restoren.

Tak semena-mena bibir Zhareef terherot senyum panjang. Matanya tak lepas memandang susuk yang tergesa-gesa menghampiri sebuah meja yang penuh dengan guru perempuan. Meja itu terletak tidak jauh dari mejanya.

Itu adalah perempuan yang diselamatkan tadi. Kenapa sewaktu di tangga luar bangunan tadi dia nampak susuk itu biasa-biasa saja. Tetapi apabila sudah duduk dalam kalangan rakan-rakan perempuan yang lain kenapa susuk itu paling terserlah. Walaupun bukan lagi seorang gadis namun peribadi yang menyapa mata buat sesiapa saja tertipu.
Dia akui.

Walau hanya berbaju kurung wanita itu kelihatan benar-benar seperti budak sekolah. Tambah-tambah lagi senyuman yang terukir di bibir saat berbicara dengan rakan-rakannya itu benar-benar padan dengan wajah tersebut.

Hati Zhareef benar-benar terkesima. Senyuman yang seringkali terlempar manis itu buat matanya terus mahu merenung lama.

“Kau tengok apa tu Reef? Dah-dah lah tu,” tegur Fazli.

Zhareef tersentak namun dia tidak memberikan sebarang reaksi. Pandang semula rakan-rakannya dan menyambung perbualan. Tetapi di mana silapnya dia tidak tahu. Matanya masih lagi mahu memandang orang di sebelah sana. Sempatlah dia kerling sekejap. Kelihatan susuk itu fokus pada ucapan yang disampaikan oleh pentadbir sekolah barangkali.

“Macam mana dengan projek yang kita nak usahakan?” soal Fazli tiba-tiba. Terus arah pandangan mata Zhareef berubah drastik. Tatap muka Fazli yang tersengih-sengih macam terlebih makan kek coklat kegemaran. Nasib baik dia cepat alihkan bola mata. Jika tidak teruk di bahan kawan sendiri.

“Tak payah nak cakap pasal kerjalah. Aku nak jumpa dengan kau semua sebab dah lama sangat kita tak makan semeja.” Tak sangka Azmir mencelah.

Zhareef selamat. Tumpukan perhatian pada Azmir. “Kau Reef… baru hari ini aku boleh tengok muka. Nak harapkan aku ke KL bukannya selalu boleh ke sana,” sambung Azmir. Disebabkan lelaki itu tukang yang mengajak tentulah tidak mahu soal kerja yang menjadi tajuk utama.

“Macamlah aku tak tahu. Aku pun kalau bukan sebab abah aku yang suruh turun ke sini tak adanya kita nak duduk sama-sama macam ni," jawab Zhareef lantas berdiri. Rakan-rakannya turut bangun. Dah tahu apa yang Zhareef nak buat.

“Aku lapar sangat. Pagi tadi sempat makan sandwich je,” ujar Zhareef langsung menuju ke meja buffet. Dia selamat kerana waktu itu meja tersebut masih belum dikerumuni para guru. Semuanya masih leka mendengar ucapan.

Di meja pula, Lateefa langsung tersentak saat melihat batang tubuh yang melintasi mejanya sebentar tadi. Terkedu sesaat dan apabila tersedar serta-merta wajahnya menyebu merah. Dada pula berdebar kencang. Entah kenapa perasaan malu tiba-tiba muncul semula. Kejadian di luar bangunan tadi pun kembali menerjah ruang fikirnya. Tetapi akalnya cepat bertindak.
Lelaki itu langsung tidak melihat ke arahnya. Tidak juga curi-curi pandang. Habis tu kenapa dia nak rasa malu pula. Lagipun mereka tidak saling mengenali lalu dia abaikan perasaan yang sempat datang sekejap lalu menekur ke lantai meja. Namun suara dari mikrofon yang memanggil namanya membuat kepalanya dipanggung cepat-cepat. Sungguh dia tidak menduga sama sekali.

“Cikgu Lateefa, dipersilakan ke depan."

Semua orang bertepuk tangan namun Lateefa tidak faham. Dia pandang Fatin meminta penjelasan. Tetapi rakan sepanitianya itu hanya berikan gelak kecil.
Apa yang telah berlaku sampaikan namanya bergema di dalam restoren ini. Orang luar yang tidak tahu siapa pemilik nama pun terus tercari-cari. Lagipun dia cukup tak keruan apabila jejaka sang penyelamat yang sedang mengambil makanan pun ikut serta berpaling. Tercari-cari.

"Pergilah sis!" arah Fatin dengan gelak tak sudah-sudah.

“Apa hal nama aku kena panggil ni, Tin?” soal Lateefa resah dan dia masih tidak faham. Fatin tidak menjawab sebaliknya menembak sedas dua.

"Padan muka! Lain kali berkhayal lagi. Kan dah kena. Kalau kau nak tahu nama kau tu dah dicabut dek GB tadi. Kena buat persembahan nyanyian sempena makan-makna kita sekarang ni."

Lateefa menekup mulut tak percaya. Sungguh dia terkejut besar. Spontan kepalanya digeleng-geleng tanda tidak mahu. Sepanjang hidupnya tak pernah dia menyanyi sebarang lagu di hadapan orang ramai. Setakat di dalam bilik air dengan depan budak-budak darjah satu itu adalah. Kali ini dia disuruh menyanyi di hadapan semua guru. Satu lagi, bukan hanya rakan-rakan sekolah sahaja yang ada dalam restoren ini. Pelanggan lain pun ada juga. Memang tak lah dia nak ikut. Isk, buat malu muka je nanti. Lagipun dia dah tua. Hendak buat persembahan bagai buat apa.

“Persembahan apalah pula ni, Tin?” soal Lateefa apabila menyedari dirinya ditunggu-tunggu untuk munculkan diri di hadapan pengacara.

“Kan dalam mesyuarat dah cakap nak adakan persembahan spontan. Nama-nama kita semua dah ada dalam balang kat atas rostrum tu hah. GB lah tukang cabutnya. Kau lupa ingatan ke, sis?” Fatin menjelaskan dan Lateefa telan liurnya kesat.

Tiba-tiba cikgu Zul selaku peneraju acara hari ini menghampiri Lateefa.

"Cikgu Atee! Cikgu memang insan terpilih hari ini. Cikgu nak nyanyi lagu apa?"

Lateefa gelengkan kepala berulang kali.

‘Bertuahlah sangat. Laki tu ingat ini main tikam-tikam macam zaman kecil-kecil dulu ke. Memang tak lah dia nak ke depan.’

"Please cikgu Zul. Cancel nama saya," bisik Lateefa geram. Mata tajam menikam muka Cikgu Zul. Nak marah betul dengan permainan yang dia tak tahu ini.

Pandang lelaki itu yang buat tak kisah. Jongketkan kening pula tu. Menyarankan Lateefa memberitahu guru besar sendiri. Lateefa pantas ketap bibirnya geram. Macam mana nak cakap kalau guru besar jauh di meja VIP. Kalau dia melaungkan suara nampak sangat tak sopan. Nak buat macam mana lagi.
Tiba-tiba….

"Atee...cepatlah. Saya dah tak sabar nak dengar Atee nyanyi. Lima minit sorang je lagipun tak semua cikgu akan jadi insan terpilih hari ni. Cepatlah Atee!” arah Guru besar dari jauh. Pantas pula Cikgu Zul hulurkan mikrofon.

Dengan rasa berbelah bahagi mikrofon bertukar tangan. Perlahan-lahan Lateefa bangkit lalu menghampiri meja guru besar membawa wajah tebal berlapis-lapis.

"Cikgu, saya tak pandai nyanyilah," ujar Lateefa pada ketua sekolah. Guru Besar julingkan mata ke atas. Dah macam budak kecil pula lagak orang tua itu.

"Buat je macam nyanyi dalam kelas untuk budak-budak," laung Cikgu Zainuddin tiba-tiba hingga tak sempat Guru Besar hendak membalas. Namun sempat juga Lateefa lihat lelaki nombor satu sekolah itu mengangguk setuju dengan kata-kata cikgu Zul merangkap pengacara majlis hari ini.
Membaham merah wajah Lateefa dengan laungan lelaki beristeri dua itu. Apatah lagi apabila lelaki di belakang Cikgu Zainuddin pun turut berpaling.

"Ini first and last saya nyanyi. Lepas ni jangan cabut nama saya lagi. Kalau tidak saya terus isi borang pencen."

Terhambur tawa semua orang dengan ugutan Lateefa tambah-tambah lagi guru besar yang memang terkenal dengan sikap mengusiknya.

"Sebab semua yang ada kat sini adalah cikgu-cikgu jadi dengarkan."

Lateefa mula membuka mulutnya. Sebaik sahaja nyanyian bermula retsoren pun gamat dengan ketawa. Masing-masing terkena dengan suara Lateefa yang dibuat-buat. Hanya Zhareef dan kawan-kawannya sahaja yang diam tak bersuara. Namun mata Zhareef tak lepas merenung wajah di tengah restoran dengan pandangan redup.

Guru Besar hamburkan tawa kuat sebaik Lateefa selesai menyanyi.
"Kenapalah nyanyi lagu ABC. Dahlah tak habis. Sampai huruf Z je. Kan lagu tu ada sambungan lagi," usik Guru Besar dengan tawa yang masih bersisa.

"ABC pun ABC lah cikgu. Janji nama dia menyanyi," celah cikgu Zul sebaik mikrofon bertukar tangan. Lateefa pula mengetap bibirnya geram lantas berlalu ke meja bawa muka yang sudah mengalahkan kulit udang dibakar. Ingatkan dia akan tenang di meja namun siapa sangka cikgu Zul menghampiri dengan membawa sedikit cenderahati.

"Cikgu Atee kita ni saja je kan tak nak tunjuk bakat. Macamlah kami semua tak tahu. Suara emas sekolah, kan GB?"

Guru Besar angkat ibu jari tanda mengeyakan.

Cikgu Zul letakkan cenderahati ke atas meja untuk Lateefa sambil berbisik meninggalkan kata pujian. Namun tetap terdengar di telinga rakan-rakan yang lain kerana lelaki itu terlupa mematikan punat pembesar suara.

Muka Lateefa makin tebal berinci-inci. Hati pula terus dihuni rasa sebak tak terkata. Kenapa lelaki itu perlu memuji begitu. Tidakkah cikgu itu sedar. Di antara semua yang ada di sini tak semuanya menyukai cikgu yang bernama Lateefa. Tambah-tambah lagi semenjak dia memegang status janda; balu anak ramai. Banyak pasang mata yang memang tak senang duduk. Bimbang dia akan mencaras suami mereka.

Hati Lateefa cukup terseksa. Lantas dia alihkan bola mata. Tak sangka terpandang pula wajah cikgu-cikgu lelaki di meja yang tidak jauh darinya. Makinlah hatinya diburu rasa rendah diri.

Fatin tiba-tiba menepuk lembut paha Lateefa. Gadis yang muda setahun daripadanya itu amat memahami. Mereka berbeza ujian tetapi natijahnya tetap sama. Dia kematian suami manakala Fatin masih belum ada rezeki hendak menjadi seorang isteri.

“Apasal kau makan sikit sangat. Tak nak tambah ke?” tukas Fatin. Lateefa gelengkan kepala dengan lemah.

Ah, manalah dia berselera jika majlis yang sepatutnya menceriakan hati sudah tidak bermakna lagi. Makanan yang sedap-sedap semuanya sudah terasa tawar. Akhirnya dia diam sahaja di meja. Hanya menunggu sehingga majlis tamat dan dia akan cepat-cepat berlalu.

“Kau tak nak balik lagi," tegur Fatin dan mengejutkan Lateefa yang sedang melayan perasaan. Dia pandang sekeliling. Nampaknya dia melamun begitu jauh sehingga tidak sedar majlis telah pun tamat dan semua orang sudah balik. Hanya yang tinggal AJK kerja sahaja yang sibuk berbincang apa dia tidak tahu.

"Kau pergi dululah. Aku nak santai kat sini sekejap.” Fatin mengangguk lantas beransur pergi sebaik sahaja Lateefa keluarkan tablet. Fatin sudah maklum apa yang hendak dibuat rakannya itu.

Lateefa pandang layar tablet. Dia kena siapkan skrip yang di di dalam tablet untuk majlis malam esok. Ikutkan hati mahu saja dia pulang cepat hendak bersenang-senang di rumah. Tetapi apakan daya dia ada tugas tambahan yang terpaksa dilakukan.

Dia mengeluh.
Rasa terbeban pula melihat skrip yang sudah siap tetapi belum di edit sepenuhnya. Lantas dia simpan tablet di dalam tas tangan apabila tangannya tak mampu bergerak lantaran kepala yang asyik memikirkan hal tadi. Tak pandang kiri kanan dia terus bergegas ke arah lif.

Lif yang ditunggu cepat pula terbuka luas. Sebaik dia jejakkan kaki ke dalam muncul seorang lelaki dan menerpa masuk ke dalam lantas berdiri di papan nombor. Tiba-tiba saja dadanya berdebar kuat. Malu pun ikut sama kerana lelaki itu adalah sang penyelamat tadi.

Pantas wajahnya dilarikan dan tangan bermain-main dengan tali handbag. Lif berhenti. Pintu terbuka dan masuklah seorang lelaki berusia. Pantas saja lelaki sang penyelamat melangkah menghampiri lalu berdiri di sebelahnya. Serta-merta hidungnya menghidu aroma yang sama seperti di luar bangunan tadi.

Terasa di awang-awangan. Sungguh wangi dan pantas mengingatkan dia akan arwah suaminya yang telah lama pergi. Lelaki yang tercinta itu begitu suka mengumpul pelbagai jenis koleksi perfume sampaikan dia pula boleh mengenali perfume apa yang dipakai oleh lelaki dengan hanya menghidu sahaja.

“Bleu de Chanel?” tiba-tiba mulutnya tanpa sedar meluahkan kalimat itu.

“Apa cik?” tegur Zhareef dan Lateefa tersentak. Dia tersalah bersuara. Pantas mata melirik orang tua berdekatan pintu lif. Nasib tak beri respon.

“Erk, tak ada apa-apa.” Spontan mulutnya ditutup. Ketika itu lif telah berhenti di destinasi yang hendak dituju dan dia pun terus keluar sebaik pintu terbuka. Tak menoleh lagi.

Zhareef di belakang sempat herotkan senyum dengan perasaan bangga. Dia teruja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience