Baru sahaja habis mengajar kelas tahun satu. Dengan longlai Lateefa melangkah ke bilik guru. Rasa tak bersemangat. Entah kenapa dia rasa seram sejuk pula tengah hari begini. Kepala pun terasa berat. Apakah sebab terkena hujan malam Jumaat lepas jadi dia rasa macam nak demam.
Tengah-tengah menggigil begini perut pula tak makan saman. Berasa sungguh lapar sementelah semalam dia tiada selera hendak makan malam. Pantas dia tilik jadual individu yang terlekat di atas meja. Hembus nafas lega kerana masih ada satu jam lagi untuk dia berehat sebelum masuk ke kelas lain pula.
"Atee, kau dah makan?" muncul Fatin tiba-tiba. Lateefa gelengkan kepala dengan lemah. "Jom ke kantin. Aku lapar sangat ni. Kelas pun banyak lagi…," ajak Fatin tergesa-gesa namun terdiam setelah melihat Lateefa memicit-micit kepalanya.
"Kenapa dengan kau ni, sis?" soal Fatin resah.
"Tak ada apa-apalah." Lateefa menjawab senada.
Fatin herotkan senyum. Tidak terkejut dengan jawapan Lateefa kerana dia tahu wanita itu memang perahsia orangnya. Lantas dia menghampiri. Tangan sudah naik ke dahi dan merasai kehangatan tubuh Lateefa.
“Weh, panaslah! Kau demam ni Atee." Wajah Fatin jelas risau namun Lateefa masih nak ukirkan senyuman. Sedaya upaya dia tidak mahu Fatin bimbangkan dirinya.
"Nanti aku tapaukan nasi." Fatin mahu membantu.
"Eh, tak payah. Aku tak demamlah." Terus Lateefa bangkit. Tak mahu Fatin melihat dirinya lemah. Lantas mencapai purse dan mula melangkah.
Fatin mengekori dengan rasa risau. ‘Betul ke wanita itu boleh berjalan?’ soalnya resah namun gadis itu tetap mengekori.
Mereka berdua sama-sama masuk ke dalam kantin dan menuju ke bilik - tempat guru menjamu selera. Sebaik tiba di muka pintu, mata Lateefa terpandang seseorang yang sedang berbual-bual dengan guru besar dan penolong kanan satu.
Pantas dada Lateefa berdegup kencang. Bukankah Itu Encik Zhareef As’ad. Dia buat apa kat sini. Kat sebelah lelaki itu ada seorang lagi lelaki. Tetapi dia tak kenal. Nampak gayanya harapan yang dia taruh dua hari lepas supaya pertemuan mereka berakhir di majlis anak-anak yatim sahaja tidak termakbul. Seram sejuk yang dia dapat bertambah pula. Serasa menggigil tubuhnya saat ini.
Tetapi.... lelaki itu tidak memandangnya. Malah wajah itu serius sahaja. Jadi kenapa dia nak rasa pelik semacam. Lantas dia buat-buat tidak nampak dan melangkah ke meja. Letak purse menanda tempat untuk dia duduk nanti.
"Makan kenyang-kenyang ya, cikgu. Hari ini Encik Zhareef dari Autotech Sdn Bhd. belanja kita semua," ujar guru besar kepada beberapa orang guru di dalam kantin dan juga yang baru masuk ke dalam.
Zhareef ukirkan senyum. Tadi dia sengaja seriuskan muka dan buat-buat tak endah saat wanita yang ditunggu-tunggu berjalan masuk bersama rakannya. Sekarang ketika guru besar sibuk berbual dengan Fazli dia ambil peluang memandang ke arah Lateefa. Wanita itu sedang menyendukkan kuah ke dalam mangkuk. Hatinya teruja namun hanya seketika. Berganti dengan rasa kasihan. Wajah yang dipandang itu nampak tiada seri. Pucat sahaja bibirnya. Terus hati tertanya-tanya. Kenapa dengan wanita itu. Tidak sihatkah?
"Kau tak sihat Atee tapi kau tak nak mengaku," tukas Fatin apabila melihat Lateefa hanya menjamah sedikit sahaja nasi di dalam pinggan.
"Kepala ni sakit sangat. Tubuh pun rasa seram-sejuk." Akhirnya Lateefa mengakui juga dan tangan kirinya naik ke dahi lalu dipicit perlahan.
"Kalau macam tu habiskan dulu nasi. Lepas tu kau naik berehat. Kau ada kelas kejap lagi kan?"
Lateefa mengangguk lemah. Sebut tentang kelas terus dia rasa malas hendak mengajar. Serasa mahu baring dan tidur sahaja. Perut pula masih terasa lapar tetapi tak lalu pula nak makan.
Zhareef di belakang pula sempat mencuri pandang wajah yang telah membuat jantungnya berlagu riang. Kasihan pula melihat wajah itu.
"Aku balik meja dululah, Tin." Lateefa segera bangkit lalu membawa pinggan yang masih berbaki ke singki. Dia letak pinggan ke dalam besan di bawah singki.
Baru siap membasuh tangan namanya dipanggil guru besar.
"Cikgu Atee! Sini kejap," suara guru besar menyapa telinga. Dada tiba-tiba disergah debaran maha hebat. Perlukah dia menghampiri kepala sekolah.
"Ya, cikgu." Akhirnya dia akur.
Mendekati dan hanya tujukan mata kepada ketuanya.
Zhareef pula seriuskan muka. Sengaja. Mahu melihat reaksi wanita itu. Tetapi sayang sekali. Langsung tiada sapaan. Dia pula yang kalut kerana wajah itu tidak seperti yang dia lihat dua hari lepas.
"Tolong inform dekat ajk dewan dan siaraya. Mana-mana ajk yang tak ada kelas saya nak jumpa sekarang. Dekat bilik saya. Pastikan semua boleh hadir. Termasuk Cikgu Atee,” arah guru besar.
"Baik cikgu." Hanya itu sahaja jawapannya. Langsung tiada rasa hendak bercakap banyak.
"Cikgu Atee ada kelas ke? Nanti saya buat relief untuk cikgu," celah penolong kanan pula dan hanya diangguk biasa oleh Lateefa.
"Ada apa-apa lagi cikgu?" soal Lateefa dengan harapan mereka tidak akan panjangkan bicara.
"Cikgu tak sihat ke?" tiba-tiba saja terlontar pertanyaan dari mulut orang yang dia tak sudi lihat. Tetapi dia kena jaga adab. Lantas dia membalas hambar.
"Saya sihat." Dia berbohong.
"Tapi saya nampak cikgu macam tak sihat," sampuk guru besar pula. Mulalah dada Lateefa rasa nak pecah.
"Cikgu Atee demam tu, GB." Tiba-tiba Fatin melaung dari singki. Serta-merta wajah pucat Lateefa berubah warna. Gara-gara mulut Fatin semua orang tahu keadaannya sekarang. Tambah-tambah lagi lelaki yang dia tidak kenali itu.
"Saya keluar dulu, cikgu." Tidak mahu berlama-lama di situ lantas dengan tergesa-gesa menapak keluar meninggalkan kantin. Fatin yang mengekori dari belakang ditinggalkan begitu saja.
"Sis marah ke?" soal Fatin apabila menyedari air muka wanita itu kelat sedari tadi.
"Mulut kau kan. Geram betul aku. Dari sakit terus rasa sihat," omel Lateefa geram lantas Fatin hamburkan tawa kuat.
"Eloklah macam tu. Tak payah makan ubat dah," usik gadis itu lagi dan Lateefa ketap bibirnya geram.
"Aku nak rehat kejap sebelum jumpa GB," ujar Lateefa sebaik sampai di meja. Dia duduk seketika. Tarik telefon yang dia tinggalkan sebentar tadi lalu hantar pesanan yang dimaklumkan ketua sekolah ke dalam group whatsapp.
Tiba-tiba perutnya memulas kuat. Sakitnya usah cakap. Bagaikan isi di dalam ditarik-tarik. Apabila sakit begini barulah dia sedar akan sesuatu. Pantas tangan mengambil diari di dalam beg laptop. Melihat takwim dari atas sampai ke bawah. Sudah lima bulan dia tak rasa macam ni. Patutlah dia rasa macam nak demam. Kepala rasa berdenyut kuat dan kemuncaknya senggugut dia datang.
Rupa-rupanya Tuhan nak bagi dia cuti istimewa yang dah lama dia tak rasa. Selepas cukup eddah cuti bulanannya jadi tak menentu. Dalam dua tahun tanpa peneman seingatnya hanya 4 kali dia bercuti. Dia tidak tahu kenapa jadi begitu. Apakah kerana dia melayan duka akibat kematian suami lalu rahimnya juga turut sama berduka.
Hari ini dalam rasa sakit dia amat bersyukur kerana nikmat menjadi perempuan itu kembali menjelma.
Jam sudah tepat mengarah ke pukul 10.30 pagi. Lalu dengan langkah lemah dia bergerak ke pejabat guru besar. Masuk sahaja ke dalam mata terus menerpa ke arah susuk lelaki yang bernama Zhareef As’ad. Di atas sofa pula hanya ada dua tiga orang AJK sahaja. Lateefa lantas henyakkan punggung di sebelah Firza. Guru yang baru ditukarkan itu mengangkat kening bertanyakan Lateefa tujuan berkumpul. Dia hanya menggelengkan kepala. Dia sendiri tidak tahu.
Guru Besar mula memberi salam dan pendekkan penjelasan kerana tetamu yang hadir tidak dapat duduk lama.
"Kita berbesar hati dengan kedatangan Encik Zhareef mewakili Autotech Sdn. Bhd. dekat KL. Beliau hendak memberikan sumbangan kepada pihak sekolah untuk membaik pulih dewan sekolah kita yang agak uzur. Jadi, saya minta cikgu-cikgu semua selaku Ajk dewan turut meraikan dan mendengar sendiri berita gembira ini," jelas guru besar dalam senyuman gembira.
Lateefa mengangguk faham. Inilah yang dikatakan tuah datang bergolek. Patutlah guru besar hendak sangat dia meneraju acara malam Jumaat lepas. Dia tidak kisah. Jika ia untuk kebaikan sekolah maka dia rela sekali lagi untuk muncul di mana-mana acara.
Dengan kepala yang masih berat dia mendengar segala perbualan dan mencatat butir-butir penting untuk didokumentasikan. Selaku setiausaha, telinga dan tangan perlu peka dan pantas.
"Nanti cikgu hubungi saya kalau ada apa-apa pertanyaan,” pesan Zhareef lantas meletakkan beberapa keping kad bisnes di hadapan guru besar.
Usai berucap Zhareef meminta diri. Semua orang keluar dan bercakap-cakap dengan lelaki itu di luar pejabat. Hanya Lateefa yang melencong ke arah lain.
"Eh, nak ke mana tu. Meh, hantar Encik Zhareef sampai kereta," arah guru besar serius saat Lateefa baru meninggalkan mereka tak sampai semeter jaraknya.
Lateefa berhenti melangkah dan pejamkan mata seraya menghembus nafas dengan rasa geram. Untuk apa dia ikut serta?
"Jangan nak jual mahal."
Tak sangka guru besar mengusiknya begitu. Lalu dengan hati bengkak dia pusingkan badan lantas mengikut dengan terpaksa. Tetapi masalahnya, kenapa orang lain tak diajak sama. Sekarang hanya dia dan lelaki berpangkat ketua itu sahaja yang menemani.
"Terima kasih, cikgu!" ucap Zhareef lantas tarik picu pintu kereta. Lelaki itu dorongkan tubuh ke dalam dan keluar semula dengan sepapan panadol.
"Untuk Cikgu Atee!" terus dihulurkan sepapan panadol kepada Lateefa. Terpisat-pisat Lateefa tidak faham namun tetap menerimanya sambil kerling pandang kawan lelaki itu yang tersenyum di sebelah pintu pemandu.
Alihkan pandangan. Lihat guru besar di sebelahnya yang juga herotkan senyum panjang. Sungguh Lateefa malu.
"Makan ubat tu. Dengan saya tak ada stok. Kalau tak kebah jugak esok pergi klinik. Ambik mc," suruh guru besar macam ayah-ayah.
Lateefa mengetap bibirnya dengan rasa malu. Ingatkan guru besar nak diam saja tetapi tolong menyambung pula. Apa dah jadi. Makinlah dia tak tahu nak kata apa.
"Satu lagi.... "tiba-tiba lelaki itu kembali dorongkan tubuh ke dalam perut kereta dan keluarkan sesuatu. Terus tangan Lateefa tutup mulut yang spontan terbuka.
"Kalau cikgu tak hantar saya sampai sini saya tak akan bagi dekat cikgu. Saya rela simpan untuk saya," usik Zhareef lantas hulurkan purse dan Lateefa hembus nafas kesal. Sejak akhir-akhir ini dia selalu saja terlupa. Gara-gara dipanggil guru besar dekat kantin dia tertinggal dompet sendiri di meja makan. Agaknya Fatin pun tak sedar.
"Terima kasih." Dengan perasaan malu Lateefa ucapkan penghargaan atas budi lelaki itu. Dengan rasa segan juga dia kerling guru besar. Nampak mata orang tua itu bercahaya. Entah apa yang ada dalam kepala ketuanya itu dia tidak tahu.
Zhareef pula pandang Fazli seketika. Kemudian memberi isyarat kepada guru besar untuk beransur pergi.
"Nah, ambik satu." Lelaki berpangkat itu hulurkan sekeping kad sebaik sahaja kereta yang dipandu Fazli hilang dari pandangan. Lateefa terkial-kial tidak faham.
"Untuk apa cikgu?" Dia bertanya bagaikan orang bodoh.
"Buat sup."
Terus terhambur gelak besar Lateefa. Kalau dengan guru besar memang tak kering gusi. Ada-ada saja yang orang tua itu nak jawab. Kepalanya yang berat terus jadi ringan. Namun hati masih berasa malu dengan kejadian yang menimpanya tak bertali arus. Semuanya ada kaitan dengan lelaki yang bernama Zhareef As’ad itu. Lantas dia kendong perasaan malu sehinggalah waktu persekolahan tamat.
***
"Mama, jadi ke nak pergi mall?" tanya Yusuf yang memasukkan beg sekolah ke dalam kereta. Lateefa yang sedia menunggu di bahagian pemandu tegakkan tubuh. Baru hendak berehat sekejap selepas menelan dua biji panadol tetapi tak jadi pula. Ikutkan hati dia tak mahu ke mana-mana. Tetapi sudah terlajak berjanji dengan Yusuf. Hendak tak hendak terpaksa dia angguk. Kalau tidak Yusuf akan merajuk panjang.
"Haah, jadi. Kita tunggu Kak Min dulu. Dia nak simpan beg sekolah dia."
"Kalau macam tu mama, Yusuf main kat luar dululah. Kak Min lambat lagi kan?"
Tanpa menunggu jawapan Lateefa, anak kecil berusia tujuh tahun itu terus menuju ke pondok berdekatan pos pengawal keselamatan dan berbual-bual dengan kawan-kawannya yang sedang menunggu ibu bapa masing-masing datang menjemput.
Lateefa sandarkan kepala di kerusi. Pejamkan mata seketika. Mahu berehat.
"Mama!!!"
Mata Lateefa automatik terbuka apabila suara Yasmin kedengaran kuat memanggil dari tingkap yang terbuka. Tangan naik mengurut dada.
"Yaaasmin!!!"
Lateefa jegilkan matanya tanda tidak suka si anak berbuat begitu namun Yasmin membalasnya dengan meluahkan gelak kecil.
"Mama janganlah marah. Nanti muka tu cepat berkedut. Cikgu Zul tentu tak suka kat mama lagi," usik Yasmin sambil tergelak.
Lateefa gelengkan kepala. Anaknya yang ketiga ini memang kuat mengusik. Makin galak mengusik apabila gadis sunti itu dapat membaca sikap Cikgu Zul yang nampak menyukai emaknya.
Tetapi Lateefa hembus nafas lega. Ukir senyum panjang bersama rasa syukur. Kalau betullah cikgu itu tidak menyukainya kerana kedutan di muka bermakna dia sudah tahu lelaki itu hanya memandang rupa. Lalu dia pejamkan mata seketika seraya menghela nafas panjang.
"Mama... nak duit!" pinta Yasmin sebaik selesai meletakkan beg galasnya ke dalam boot kereta. Mata Lateefa masih tertutup. Tidak menghiraukan permintaan anaknya.
"Mama, nak duit. Min tak cukup duit pagi tadi. Lagipun lepas latihan choral speaking nak join kawan-kawan study group pula." Suara Yasmin sedikit kuat sehingga Lateefa celikkan mata. Seluk poket handbag dan keluarkan not lima ringgit lalu diberikan kepada Yasmin.
"Cukup?" tanya Lateefa.
Yasmin mengangguk bersama senyuman.
"Nanti mama ambil pukul 4.30. Paling lewat pukul 5 ya, ma," pesan Yasmin.
"Ya lah. Belajar betul-betul. Jangan banyak nak main. Yasmin kan periksa tahun ni. Nak masuk sekolah menengah yang hebat kena belajar sungguh-sungguh. Ingat tu," pesan Lateefa pula. Yasmin angguk lantas menyalami tangan Lateefa. Selepas memberikan kucupan cepat-cepat anaknya itu berlari ke dewan hendak berlatih.
"Kak min dah hantar beg dia ke ma?" Muncul Yusuf lantas menyoal sebaik duduk di sebelah Lateefa.
"Dah."
Lateefa pandang anak lelakinya. Kepala sudah terasa ringan namun perut pula yang masih tak makan saman. Nampak gayanya dia benar-benar akan mendapat cuti.
"Yusuf dah solat zuhur?" soal Lateefa sebaik mata menjamah jam tangannya. Apabila Yusuf mengangguk laju terus dia memasukkan gear lalu memandu meninggalkan kawasan sekolah menuju ke pasaraya sebagaimana yang dijanjikan.
Share this novel