“Yehaaa, dah sampai!"
Yusuf menjerit kegembiraan apabila kapal terbang sudah mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.
Lateefa lorekkan senyum buat anak-anaknya. Hatinya turut ceria melihat telatah si anak yang sudah lama tidak dibawa bercuti.
“Mama, kita terus pergi hotel ke?” tanya Yusuf tidak sabar. Lateefa mengeyakan lantas menarik tangan anak lelakinya keluar dari kapal terbang setelah semua penumpang seorang demi seorang mulai turun. Anak-anak daranya pun ikut mengekori dari belakang.
“Kita tunggu beg kita dulu. Lepas dapat beg mama pergi dapatkan teksi,” ujar Lateefa. Anak-anaknya mengangguk faham. Lima belas minit berlalu akhirnya bagasi yang ditunggu pun tiba.
“Tak bestlah Cik Su tak dapat nak ambik kita kat sini. Min rindu sangat kat Cik Su.” Tiba-tiba Yasmin bersuara saat mereka berjalan keluar dari balai ketibaan. Lateefa menyentuh bahu anak ketiganya lantas bersuara,
“Cik Su kan ada kerja. Petang nanti dia akan datang hotel. Jumpa kita semua,” pujuk
Lateefa dengan rasa puas hati. Puas hati kerana dapat memenuhi permintaan anak-anak.
Melihat pula Warda dan Nailufar yang asyik merakam gambar masing-masing hatinya makin puas. Anaknya seronok sangat apabila dapat keluar dari zon pembelajaran. Setelah puas mengambil gambar, masing-masing berbual pula. Begitulah dengan dua orang anak daranya itu. Apabila dapat berkumpul bersama banyaklah yang nak diceritakan. Tambah-tambah lagi apabila jarang berjumpa dan umur mereka pun hanya berselang setahun sahaja.
“Anak-anak mama tunggu kat sini dulu. Mama nak pergi dapatkan tiket,” ujar Lateefa setelah melepasi balai ketibaan. Mereka berhenti seketika di penjuru pintu.
"Kejap ma." Tiba-tiba Yusuf hulurkan tangan.
"Nak apa?" soal Lateefa tidak faham.
"Nak telefon." Yusuf meminta-minta. Tangan itu bergoyang-goyang mahu Lateefa berikan telefon.
"Nak ambik gambar ke?" soal Lateefa. Itu sahajalah yang ada dalam kepalanya setakat ini.
Tangan terus menyeluk poket blouse lantas mengeluarkan telefon dan dihulurkan kepada Yusuf.
Wajah Yusuf sungguh ceria dan Lateefa masih belum dapat membaca makna di sebalik air muka anaknya. Namun sebaik terdengar panggilan yang keluar dari mulut Yusuf terus matanya terjegil keluar.
Bibirnya digigit geram.
"Uncle... Yusuf dah sampai." Ceria sungguh suara Yusuf tetapi hati Lateefa diserbu rasa serba tak kena. Apa yang dah dibuat Yusuf. Dia terpinga-pinga tidak faham. Namun apabila Yusuf serahkan telefon lantas berlari ke arah seseorang hatinya dipagut kesal. Malah risau pun datang bersama. Dia risaukan pandangan mata anak daranya. Entah apa yang mereka fikir.
“Uncle!!!” jerit Yusuf keriangan lantas memeluk lelaki itu.
Terpana Lateefa dengan susuk yang telah menjadi begitu akrab dengan Yusuf semenjak pertemuan dulu. Kakinya kaku. Tak mampu nak bergerak. Malah matanya terkesima dengan penampilan lelaki itu yang kacak dengan tshirt putih dan jeans biru.
Zhareef memimpin tangan Yusuf lantas melangkah menghampiri wanita yang diigau setiap hari sejak di Terengganu lagi. Wanita itu simple dengan blouse hitam dan kepala berbalut tudung berwarna peach. Nampak menawan dan dada Zhareef tak mampu duduk diam. Bergendang irama gembira tak terkata. Setelah mendidik hati supaya bersabar akhirnya hari yang ditunggu-tunggu tiba juga. Wajah itu mampu dia tatap sepuasnya dan akan dia simpan untuk menemani tidurnya malam nanti.
Lateefa pula hanya mampu melihat. Mulut tiba-tiba saja jadi bisu. Hanya kerdipan matanya yang berkata-kata. Betapa dia tidak menyangka akan ada lagi pertemuan selepas dia tak jemu berdoa agar tidak ada lagi sebarang pertemuan selepas hari itu.
Namun dia pelik dengan diri sendiri. Tak jemu pula memandang lelaki itu bagaikan itulah putera yang ditunggu-tunggu sekian lama untuk mengisi ruang kosong hatinya. Lagi bertambah kaget sebaik haruman lelaki itu menyusup masuk ke rongga hidung. Itu adalah haruman yang akan dia ingat sampai bila-bila.
Pandangannya terganggu sebaik tangan Yasmin menggoncang lengannya. Terus dia kerling anaknya yang nampak teruja. Tak pernah lagi dia lihat wajah Yasmin sebegitu rupa.
“Erk… macam mana boleh tahu kami ada kat sini.” Akhirnya dia sedar dirinya telah jauh dibawa lari oleh kesempurnaan lelaki itu.
Zhareef ukir senyum panjang. Tangan menyentuh rambut Yusuf. Anak lelaki Lateefa masih memeluknya.
“Yusuf.” Hanya sepatah yang dibalas lelaki itu tetapi sudah cukup untuk memberikan 1000 jawapan kepada Lateefa. Terus bibirnya diketap geram dan mata terjegil nak marah. Lateefa kemudian tarik nafas panjang apabila Yusuf buat muka tak bersalah.
"Jangan marah, Yusuf!" tukas Zhareef apabila sedar air muka Lateefa sudah berubah.
"Kalau Yusuf tak bagitahu uncle nanti kat sini Yusuf nak kawan dengan siapa. Semua perempuan. Yusuf pula tak ada adik lelaki."
Entah siapa yang ajar. Pandai pula anak kecil itu berkata sehinggakan muka Lateefa sudah membahang merah. Zhareef lebarkan senyum. Keleteh Yusuf yang cerdik buat jalannya terasa mudah. Dia lega dan kali ini matanya beralih ke arah anak-anak dara Lateefa pula.
Lateefa perasan.
Ya, lelaki itu hanya kenal akan Yusuf. Anak-anaknya yang lain belum lagi lelaki itu kenali.
Lateefa pun jatuhkan pandangan kepada anak daranya.
“Ini anak sulong saya, Warda." Lateefa memperkenalkan.
Warda mengangguk dan Zhareef balas dengan senyuman. Nampak air muka anak sulong Lateefa tenang sahaja.
"Yang ini yang kedua. Nailufar."
Nailufar pula hanya berdiam diri. Wajahnya langsung tidak ceria dan Zhareef rasa sesuatu. Lateefa tahu apa yang lelaki itu rasa. Nailufar adalah anaknya yang pendiam lalu dia alihkan mata ke arah anak di sebelah pula.
"Dan yang kecil ni, Yasmin. Nombor tiga.” Lateefa sudah memperkenalkan kesemua anak daranya kepada lelaki itu. Zhareef senyum dan anggukkan kepala.
“Panggil uncle Zhareef.” Lalu dia perkenalkan dirinya.
Warda sunggung senyum penuh makna. Ini rupanya lelaki yang selalu dihubungi Yusuf. Nama lelaki itulah yang selalu meniti bibir adiknya di rumah ketika dia pulang dari asrama. Tadi dia kaget sebentar kerana lelaki ni nampak macam muda belia. Lantas matanya melirik emaknya yang nampak cuba melarikan mata ke arah lain. Sebagai anak yang sudah faham apa itu perasaan suka dia pun rasa teruja dengan apa yang dia lihat.
Namun tafsirannya terganggu apabila suara Yasmin keluar dengan teruja.
"Uncle ni handsomelah. Min nak kawan dengan uncle jugak, boleh?" Mulut Yasmin memang tak pandai nak dikawal lalu segera mendekati Yusuf dan adiknya menarik Zhareef menjauh dari Yasmin.
"Perempuan dengan perempuan. Lelaki dengan lelaki," marah yusuf dan Yasmin buat muka.
Zhareef terhibur dengan keleteh kedua-duanya namun hatinya tetap bergendang lemah. Ada irama yang sukar difahami setelah melihat wajah anak kedua Lateefa yang tidak beriak. Tiba-tiba saja dia rasa jalan yang nak dilalui terasa payah pula.
“Jomlah, saya hantarkan.”
“Erk… ke mana?” soal Lateefa tidak faham.
“Nak pergi hotel kan? Yusuf cakap malam ni tidur hotel.”
Lagi sekali Lateefa ketap bibirnya geram. Entah apalah yang sudah diceritakan Yusuf. Menyesal pula benarkan Yusuf menghubungi lelaki itu sebelum sampai ke sini.
“Saya dah sampai sejauh ni. Still tak nak saya tolong?” soal Zhareef kesal.
Segan sungguh Lateefa apabila lelaki yang dia sendiri masih belum kenal sepenuhnya menawarkan khidmat.
“Tak susahkan awak ke?” Akhirnya terpaksa dia mengalah. Demi menjaga air muka lelaki itu dan juga dirinya. Dia pun terpaksa bersaya awak dengan lelaki itu. Takkan dia nak panggil encik di hadapan semua anak daranya. Apa pula kata mereka nanti. Takkan baru kenal lelaki sudah pandai bertemu jauh-jauh begini.
Zhareef senyum bangga dengan perubahan wanita itu.
“It's okay. Yusuf awal-awal dah inform. Lagipun hari ini saya tak ada kerja.” Zhareef berbahasa. Kalau tuah dah datang bergolek takkan dia nak duduk diam sahaja. Tentulah dia dah rancang sesuatu. Kalau nak fikir pasal kerja memang tak akan habis. Setakat pergi jenguk-jenguk kedai motor dia hari lain pun dia boleh buat.
“Jom Yusuf!” ajak Zhareef. Pantas Yusuf genggam tangannya. Zhareef senyum dan tarik bagasi di tangan Warda.
“Biar uncle tolong,” pintanya ikhlas dan Warda lepaskan handle. Dia dan Yasmin mengekori lelaki itu sehingga ke tempat parkir dengan hati ceria. Hanya seorang sahaja yang kelat mukanya.
“Siapa tu mama?” tanya Nailufar tidak puas hati. Dia tidak puas hati sebab dia tak suka mana-mana lelaki dekat dengan mamanya. Dia bimbang orang yang dekat dengan wanita kesayangannya hanya sekadar mahu mengambil kesempatan.
Lateefa pula lelah mecari idea. Bagaimana hendak dijelaskan kepada Nailufar yang lelaki itu bukan siapa-siapa. Kawan bukan. Kenalan jauh sekali. Mereka hanya bertemu sekali dua sahaja. Itupun secara tak sengaja. Disebabkan yang tak sengaja itulah Yusuf menjadi rapat dengan lelaki itu pula.
“Kawan mama.” Akhirnya hanya itu yang mampu mulut luahkan.
“Kawan? Bukan ke mama cakap mama tak ada kawan lelaki.” Duga Nailufar sambil mara melirik sinis ke arah Lateefa.
Lateefa kehilangan kata.
“Nanti kita cakap kat hotel ya, Nai," balas Lateefa cuba mengelak. Tambah-tambah lagi mereka sudah sampai di depan kereta lelaki itu. Yusuf nampak begitu gembira dan terus hendak masuk ke dalam namun terhenti seketika apabila susuk seorang gadis muncul dari sebelah penumpang.
"Tadaaa!" Zhalia keluar dari perut kereta. Sengaja menunggu di sini sahaja kerana hendak kejutkan Yusuf. Sememangnya Yusuf gembira lalu memeluk Zhalia erat. Lateefa ukir senyum lega. Nasib baik ada Zhalia. Tidaklah dia kekok nanti nak berdua-duaan dengan abang gadis itu.
"Aunty. Yusuf rindu aunty." Begitu erat pelukan Yusuf sampaikan Zhalia bertambah sayang dengan anak itu.
"Kak Atee... akhirnya kita berjumpa lagi," sapa Zhalia sebaik Yusuf leraikan pelukan. Lateefa angguk dan terus memeluk cium gadis itu. Selepas itu anak-anak dara Lateefa pula yang bersalaman dengan gadis itu.
"Jom, masuk kereta. Uncle hantarkan," pelawa Zhareef. Terus Zhalia tarik Yusuf duduk dengannya di kerusi tengah bersama anak sulong Lateefa.
Nailufar pula memandang tidak puas hati. Entah kenapa dia tidak selesa dengan lelaki dan gadis yang baru muncul itu. Terus dia masuk ke dalam perut kereta dan duduk di kerusi belakang bersama Yasmin. Bawa muka ketat macam skru.
Lateefa mahu masuk dan duduk bersama Yasmin tetapi Zhareef pantas bukakan pintu depan.
"Seat depan untuk mama kesayangan Yusuf dan...."
Bulat mata Lateefa menunggu kata terakhir lelaki itu namun Zhareef hanya tamatkan dengan senyuman. Segan sungguh hendak sebaris dengan lelaki itu. Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang ada dalam dadanya sekarang. Rasa bersalah dan teruja saling bertimpa. Sikap lelaki itu sedikit demi sedikit hampir menggoyahkan tekadnya.
“Hotel mana?” tanya Zhareef sebaik sahaja Lateefa sudah masuk ke dalam. Dia mula memandu keluar dari parkir lapangan terbang.
“Vista Alam,” jawab Lateefa teragak-agak.
Zhareef angguk teruja. Dekatlah juga dengan kondonya di i-SOHO. Ah, senang kerjanya nanti.
"Kenapa tak cari hotel lain?" sengaja Zhareef bertanya. Mahu berbual. Jika dia diam macam mana dia nak kumpul maklumat.
Soalannya itu membuat Lateefa memandangnya lama.
“Dekat dengan rumah adik. Senang dia nak datang jumpa anak buah dia. Selalunya kalau bercuti kat sini kami memang akan duduk kat Vista Alam. Anak-anak suka sebab besar dan selesa. Muatlah untuk kami yang ramai.”
Entah kenapa ringan pula mulut Lateefa bercerita.
“Oh, ada adik kat Shah Alam.”
“Haah. Dia dekat Seksyen 13.”
Senyum Zhareef makin lebar.
“Awak tinggal kat mana?” tanya Lateefa. Tiba-tiba rasa ingin tahu sementelah melihat lelaki itu tidak kekok memandu membelah jalan yang bersimpang-siur.
“Seksyen 7”
“Dekat mana?” tanya Lateefa seolah-olah dia tahu semua area di Shah Alam.
“Family dekat Bukit Jelutong tapi saya tinggal dekat area i-CITY.”
“i-CITY.” Tiba-tiba Yasmin di belakang menyampuk. Zhareef mengeyakan.
“Mama, nanti kita pergi i-CITY tau. Dulu masa lawatan sekolah Min tak sempat pun nak masuk kat dalam tu, yang ada salji tu. Best tengok kawan-kawan masuk dalam tu.”
“Insyaallah.” Lateefa menjawab sepatah. Malu pula bila perbualan anak beranak disertai lelaki yang tak dikenali.
“Nanti uncle bawa. Min nak main salji?” Tiba-tiba lelaki itu berjanji.
“Nak. Nak. Bestnya.” Yasmin letak tangan di pipi. Yusuf ikut menjerit kegembiraan. Hanya Nailufar yang buat muka tawar-hambar.
Entah kenapa dia tidak berapa suka dengan kebaikan yang ditonjolkan lelaki itu. Serasa lelaki itu sengaja hendak menjerat ibunya.
Lateefa pula mengetap bibirnya kesal. Baru sahaja berharap budi lelaki itu sampai di sini sahaja. Alih-alih lelaki itu berjanji dengan Yasmin pula. Makinlah hatinya resah tak terkata.
Sedar tak sedar Welfire hitam lelaki itu sudahpun berhenti di petak parkir di hadapan bangunan Vista Alam.
“Saya temankan,” pinta Zhareef saat dia hentikan kereta. Lateefa tidak menjawab sebaliknya dia menoleh ke belakang. Saat itu Yusuf sudah terlena di paha Warda.
“Kak Atee pergilah check in dulu. Biar Lia jaga dia orang kat dalam." Zhalia berbunyi dan Lateefa terpaksa mengeyakan. Iyalah... orang dah sudi takkan dia nak berkeras lagi lalu dia terus keluar dan diiringi Zhareef.
Rasa sungguh tidak selesa berdua-duaan dengan lelaki itu di luar begini. Tiba-tiba....
“Eh, janganlah macam ni.” Halang Lateefa apabila Zhareef sudah hulurkan kad kredit kepada receptionist di situ. Lelaki itu tolong menyelesaikan harga studio yang ditempah Lateefa.
“Tak apa. Saya belanja budak-budak tu.”
Tergamam Lateefa tak tahu nak kata apa dengan sikap lelaki itu. Rasa tak tahu nak letak kat mana mukanya. Namun hati berasa sungguh geram dengan tindakan lelaki itu.
Terus dia ketatkan muka dan Zhareef perasan dengan perubahan air muka wanita itu. Namun dia hanya senyum. Hari ini dia sudah banyak kali menang.
Lateefa pula menonong pergi selepas mendapatkan kunci serta mendengar arahan dari receptionist Vista Alam. Sakit hatinya dengan sikap lelaki itu. Namun dia berhenti seketika dan berpaling memandang lelaki itu yang ada di belakangnya.
“Please. Jangan treat saya dengan anak-anak macam ni. Saya tak selesa.”
“Tapi saya ikhlas.” Pantas Zhareef menjawab.
“Ikhlas atau tidak bukan masalahnya. Yang jadi masalahnya saya tak kenal awak. Malah kita tak rapat dan kita bukan siapa-siapa.”
“So, terima saja perkenalan saya hari tu. Terus kita akan saling mengenali dan makin rapat.”
“Perkenalan?” Lateefa tidak ingat.
Zhareef mengangguk dan cuba mengingatkan wanita itu akan permintaannya dulu.
"Awak tak ingat. Saya pernah minta izin nak kenal awak. Sekarang sudi?”
Lateefa kerutkan kening.
“Untuk apa?”
“Kahwin.”
Terus wajah Lateefa berubah tona. Dia tersentak.
“Kahwin?” soalnya tidak faham.
Zhareef tergeleng-geleng menahan senyum. Nampaknya wanita itu masih tak dapat menangkap kehendak hati lelakinya.
“Saya bukan main-main. Saya betul-betul nak kenal awak dan target saya biar kita berdua jadi kahwin.”
Lateefa hilang kata. Gila ke apa lelaki ni.
“Awak nak kenal macam mana. Nak profile saya ke. Boleh jenguk FB saya tapi tak ada yang menarik.” Akhirnya dia menjawab. Zhareef pula hamburkan tawa kecil.
"Saya bukan nak jadi kawan FB awak. Saya nak jadi teman sehidup semati. Awak tak nak?"
Lateefa resah.
"Awak melamar saya ke?" soalnya bodoh. Nama saja cikgu tetapi bab cintan-cintun dia jadi murid paling tak pandai.
Zhareef jongketkan kening.
“Saya tak melamar. Ini permintaan. Saya nak kenal awak. Kalau nak melamar saya tak akan buat macam ni.”
Lateefa akhirnya sudah faham.
"Maaf Encik Zhareef. Saya rasa Encik Zhareef dah salah orang. Sepatutnya encik berkenalan dengan perempuan muda. Saya tak sepadan dengan encik." Lateefa sudah menukar panggilan pada lelaki itu.
Zhareef tidak kisah. Namun dia masih mahu mencuba.
"Tak sepadan macam mana tu?" tanya lelaki itu sekadar menguji.
"Umur kita jauh beza. Saya terlalu tua untuk Encik Zhareef."
"Saya tak kisah. Umur? It's small matter."
Lateefa malas hendak berbalas kata dengan lelaki itu. Kalau dilayan bimbang akan melarat sampai ke malam.
"So, macam mana. Accept my salam perkenalan?"
Lateefa gelengkan kepala.
"Jadi saya akan berusaha sampai awak setuju."
Lateefa makin malas hendak melayan.
"Up to you!" jawabnya lantas bergerak ke kereta.
Zhareef teruja. Jawapan sebegitu memberi ruang besar kepadanya untuk terus berusaha. Akhirnya dia senyum menang.
okay. adalah sweet tu
Share this novel