Lateefa di dapur kalut menyiapkan hidangan tengah hari. Walaupun ringkas sahaja tetapi banyak pula yang perlu dimasak. Warda dan Nailufar yang ada di asrama menyuruhnya membawakan makanan untuk mereka. Jadi dia ikut saja permintaan anak-anak. Mereka terlalu rindukan air tangannya.
Maka jenuhlah dia ke hulu ke hilir menyiapkan cheeskut dan sapggeti carbonara untuk Warda. Nailufar pula nak makan oden dengan ayam korea. Kerana kedua-dua orang anaknya itu berlainan citarasa terpaksalah dia membuatnya sendiri. Dia cukup penat namun puas hati kerana mampu memenuhi kehendak anaknya tanpa bantuan lelaki yang bergelar suami.
Tiba-tiba sahaja kolam matanya bergenang.
Suami!
Sudah lama kenangan bersama suami dia tinggalkan tetapi tak tahu di mana silapnya. Hari ini boleh muncul pula bermain-main di dalam kepala. Sudah dua tahun dia sendiri tanpa peneman. Malah dia tenang tanpa seorang lelaki. Namun kemunculan tiba-tiba lelaki yang bernama Zhareef As'ad itu mengocak segala keharmonian hatinya.
Entah kenapa sikap lelaki yang dia jumpa secara kebetulan itu buat dia rasa pelik. Tak faham dengan apa yang ada di dalam dada.
Apa yang ada pada dirinya sampaikan lelaki itu nampak benar mahu memikatnya. Baru dua tiga kali bertemu. Itupun secara tak sengaja tetapi lelaki itu sudah pandai masuk dalam hidupnya. Bukan dia tidak tahu. Dia sudah terlalu matang untuk menilai sikap lelaki itu. Sudah terlalu banyak pengalaman tentang lelaki. Bahkan sudah ramai lelaki yang datang meluahkan rasa.
Dia tidak mahu lelaki muda. Lelaki yang terlalu tua pun dia tidak mahu. Apatah lagi suami orang. Kalau duda akan dia pertimbangkan. Namun semuanya dia tolak kerana di antara kesemua anak-anaknya Nailufar yang sukar menerima. Sebab itulah dia tidak mahu berkahwin lagi. Kalau semua anaknya memberikan persetujuan dia tidak akan menolak.
Kenapa hendak menolak. Dia perempuan yang lemah. Kuat pada zahirnya tetapi hatinya masih perlukan belaian seorang lelaki bergelar suami. Dia juga mengharapkan ada lelaki yang akan menjaganya apabila anak-anak sudah besar dan pandai berdikari. Jadi dia tidak pernah menutup pintu hatinya cuma dia masih belum berjumpa yang sesuai untuk dirinya malah yang disukai anak-anak. Itu sahaja.
Azan zuhur yang berkumandang dari corong pembesar suara surau berdekatan rumah mematikan khayalan Lateefa. Cepat-cepat dia sudahkan tugasnya. Sambil membungkus makanan untuk Warda dan Nailufar dia mengintai dua orang lagi anaknya. Kelihatan Yasmin sedang bermain game di komputer. Yusuf pula sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu.
"Yusuf...dah siap ke kerja sekolah tu?" jerit Lateefa dari dapur. Walaupun sedikit tersorok dia tetap nampak sipi-sipi badan Yusuf. Anaknya yang berada di ruang tamu menjawab perlahan.
Tanpa Lateefa sedari Yusuf melangkah ke arah kabinet tv yang berada di ruang keluarga. Apabila yakin mamanya tidak akan ke mari dia dengan senyap-senyap mengambil telefon Samsung milik wanita itu lantas menyusup ke ruang tamu semula.
Dia buka telefon. Senang hatinya kerana wanita itu tidak mengunci telefon dengan password. Lantas dia tatal layar skrin mencari nama pakcik yang dirinduinya.
Melihat nama Encik Zhareef dalam ruangan daftar pemanggil bibir itu mula tersenyum gembira. Nama itu ditekan sekali dan dia menunggu dengan tidak sabar.
Zhareef yang sedang leka meneliti laporan bulanan kedainya terkejut apabila melihat nama pemanggil yang telah tersemat kukuh di dalam hati muncul di layar skrin. Dia bangkit cepat. Dada berdetak kuat. Biar betul. Baru pagi tadi dia teringatkan Lateefa alih-alih petang ini dia dihubungi wanita itu.
Kerana rasa terujanya dia tidak sempat menjawab panggilan itu. Namun sesaat dua nama wanita itu muncul kembali. Lalu dia tidak melengahkan masa lagi. Pantas icon hijau itu diseret ke tepi.
"Assalamualaikum uncle."
Terkejut besar Zhareef kerana bukan suara Lateefa yang kedengaran tetapi suara sang anak kecil yang menjengah gegendang telinganya.
"Uncle, ini Yusuf."
Zhareef mengangguk kerana dia kenal anak itu.
"Yusuf call uncle ni mama tahu ke tak?" soal Zhareef resah.
"Tak tahu," jawab anak kecil itu separuh berbisik.
"Nanti kena marah kat mama macam mana?"
Zhareef masih lagi resah namun Yusuf hanya balas dengan tawa kecil.
"Uncle… Yusuf rindukan uncle," ucap anak itu jujur. Hati Zhareef rasa kasihan pula mendengar suara anak yatim itu.
"Uncle pun rindu Yusuf," balas Zhareef namun rindunya lagi mendalam pada mamanya Yusuf. Dia akhirnya tersenyum sendiri.
"Yusuf, kerja sekolah dah siap ke belum?" Tiba-tiba suara Lateefa kedengaran dan membuat jantung Zhareef berdegup pantas.
"Dah mama," laung Yusuf kuat.
"Kalau dah. Simpan buku lepas tu mari makan!" arah Lateefa dari dapur.
Terubat juga rindu Zhareef apabila mendengar suara itu.
"Kejap, ma." Yusuf mengintai. Takut mamanya tahu apa yang dia buat sekarang.
"Uncle, minggu depan kita semua nak pergi KL." Tiba-tiba saja Yusuf bercerita.
Zhareef terkedu.
"Minggu depan?" Namun Zhareef kurang yakin. Entah boleh dipercaya atau tidak kata-kata anak kecil.
"Mama cakap cuti sekolah nanti. Cuti sekolah yang dekat ni," jelas Yusuf dengan suara perlahan. Pantas Zhareef tarik kalendar. Dia cek betul-betul. Akhir bulan lima memang ada cuti sekolah selama dua minggu.
"Betul ke Yusuf?" soalnya teruja.
"Betul. Mama dah janji nak bawak kita orang semua jalan-jalan kat sana. Nanti bolehlah Yusuf jumpa uncle."
"Of course, Yusuf."
"Datang dengan apa?" soal Zhareef lagi. Dia benar-benar berharap berita yang dia dapat ini bukan omongan kosong anak kecil. Justeru dia perlu gali betul-betul.
Tidaklah dia berharap sangat nanti.
"Naik flight uncle. Pagi sabtu nanti."
Zharif buat kira-kira. Kalau betul apa yang dikatakan bermakna ada seminggu lagi. Mulalah hatinya tidak sabar hendak menunggu masa itu tiba.
"Nanti Yusuf dah sampai airport yusuf bagitahu uncle ya."
Yusuf terangguk-angguk bagaikan lelaki di corong sana dapat melihatnya.
"Yusuf!!!"
Suara lateefa yang sedikit tinggi mengejutkan anak kecil itu. Bahkan Zhareef pun ikut sama terkejut. Namun rasa terkejut itu disulami bunga-bunga teruja.
Yusuf segera menyorokkan telefon yang masih belum diputuskan taliannya ke belakang badan apabila susuk mamanya sudah berdiri di depan. Wajah wanita itu serius memandang ke arahnya.
"Mama panggil makan tengahari kenapa tak bergerak lagi."
Yusuf ketakutan. Manakala Zhareef pula hanya mendengar sahaja. Dia yakin Yusuf sedang menyembunyikan perbualan mereka.
"Ke... kejap, ma!" jawab Yusuf tergagap-gagap.
"Jangan berlengah. Lepas ni kita nak pergi jumpa Kak Ada dengan Kak Nai kan. Kalau lewat nanti tak boleh masuk dalam," ujar Lateefa dengan cuak. Diperhatikan sikap Yusuf yang nampak gelisah. Tangan kanan ada di bekakang badan. Dia tahu anaknya sedang menyorokkan sesuatu.
"Apa kat belakang tu. Yusuf sorokkan apa?" tanya Lateefa mahu tahu.
Yusuf menggeleng cemas. Tentu sahaja Lateefa rasa pelik dan curiga sehingga dia rasa tidak puas hati. Yusuf mana pernah buat perangai. Apa-apa masalah sekalipun dialah orang yang akan menjadi tempat mengadu. Tetapi sekarang ini Yusuf nampak pelik sangat.
"Yusuf buat apa?" soalnya dengan rasa nak marah. Lantas dia ke belakang. Melihat Yusuf memegang telefon terus dada dipalu kuat. Dengan cepat dia tarik telefon di tangan Yusuf. Tak tersedar tangannya tersentuh icon merah dan talian pun putus serta merta.
"Yusuf!!!"
Tinggi suara Lateefa kedengaran. Geram dengan kelakuan anaknya dia ke senarai panggilan yang dibuat. Melihat saja nama yang dihubungi anaknya terus darahnya naik menyirap.
"Kenapa nak call orang yang kita tak kenal?" soal Lateefa garang. Mata Yusuf sudah berair.
"Kalau tak kenal kenapa mama simpan nombor telefon uncle?"
Tak terjawab soalan anaknya. Perlukah dia jelaskan kepada anak yang baru berusia tujuh tahun itu. Fahamkah Yusuf kalau dia cakap semuanya sebab kerja. Dia bukan saja-saja nak simpan nombor lelaki itu. Lelaki itu penyumbang besar dana baik pulih dewan sekolah. Lelaki itu berduit dan tentu dia boleh meminta sumbangan lain pula untuk projek sekolah yang akan datang.
"Yusuf rindu uncle," luah anak lelakinya tiba-tiba dan Lateefa genggam telefon kuat. Dia faham sangat dengan apa yang ada di dalam dada anaknya. Yusuf rindukan arwah babanya. Yusuf satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Anak lelaki yang dipuja-puja arwah suaminya. Namun saat anak menjengah usia empat tahun orang yang disayangi diambil Ilahi. Apalah yang anak kecil itu tahu. Menangis dan mengongoi sahaja sepanjang masa. Berbulan-bulan lamanya si anak menangis sehinggakan terpaksa dibawa berjumpa ustaz di Darul Syifaa. Barulah Yusuf kembali menjadi anak yang riang dan aktif.
Kali ini Yusuf sudah berjumpa dengan seorang lelaki yang Lateefa tidak mahu kenali. Namun tegakah dia hendak melukakan hati anaknya lagi. Pantaskah dia hendak melihat Yusuf kembali sakit.
Tidak sama sekali namun lelaki itu telah membawa pergi hati anak kecil itu sehingga tidak mampu hendak diambil semula. Lalu dia perlu jelaskan semuanya agar Yusuf faham. Lelaki itu bukan siapa-siapa. Perkenalan mereka terlalu singkat. Justeru Yusuf tidak pantas untuk menyayangi lelaki itu.
"Dia bukan siapa-siapa pun pada kita, Yusuf. Jangan buat orang luar macam saudara kita. Lain kali jangan call uncle tu suka-suka hati." Terpaksa Lateefa bertegas. Namun amaran Lateefa tidak difahami Yusuf.
"Yusuf rindukan baba." Akhirnya Yusuf luahkan juga apa yang terbuku di hati. Terus saja air mata Lateefa merembes ke pipi. Hatinya tercarik luka dengan luahan jujur Yusuf.
"Uncle Zhareef tu baik macam baba. Yusuf rindukan baba."
Yusuf terus menangis sehingga Lateefa tidak mampu berbuat apa-apa. Dadanya sebak. Dia sapu air mata cepat-cepat. Dia tidak boleh tunjuk lemah di depan Yusuf. Dia kena kuat. Lantas dia tarik Yusuf dan dipeluknya erat.
"Yusuf... dengar baik-baik. Uncle tu orang luar. Dia bukan boyfriend mama macam yang Yusuf cakap hari tu. Kawan mama pun bukan. Jadi jangan ganggu uncle. Mungkin dia banyak kerja nak buat. Satu lagi jangan susahkan hati mama dengan call uncle tu. Jangan cakap dengan uncle. Faham."
Yusuf mengangguk sambil lap air mata di pipi.
Tiba-tiba telefon di tangan berdering kuat. Terperanjat Lateefa melihat nama si pemanggil. Gusar pula hatinya. Baru tadi dia berpesan kepada anaknya agar jangan bercakap dengan lelaki itu. Apa yang perlu dia buat. Perlukah dia menjawab panggilan lelaki itu. Deringan kembali senyap dan dia hembus nafas lega. Namun hanya sesaat dan ia kembali bergema di ruang tamu.
Akhirnya....
"Maaf atas perangai Yusuf tadi," ucap Lateefa sebaik sahaja menyambut panggilan lelaki itu. Dia tidak sampai hati hendak mengecilkan hati orang. Tambah-tambah lagi hati Yusuf.
"Its okay. Saya tak kisah pun dia call. Lagipun ada sebab dia call saya. Jangan marah dia," pesan Zhareef dan Lateefa hanya mampu berdiam.
"Saya nak cakap dengan Yusuf sekejap, boleh?"
Lateefa pantas menekan icon pembesar suara
"Maafkan Yusuf uncle sebab dah ganggu uncle tadi,” ucap Yusuf sedih.
"Tak apa. Yusuf boleh call uncle bila-bila masa saja tapi minta izin mama dulu," pesan Zhareef dan air muka Yusuf terus berubah ceria.
"Baik uncle. Tadi Yusuf call sebab Yusuf rindu sangat dekat uncle. Uncle tak rindukan Yusuf ke?" Begitu jujur seorang Yusuf sehinggakan Lateefa rasa mahu sahaja tamatkan perbualan. Entah kenapa hati dia pula yang rasa sesuatu. Cukup pelik.
"Mestilah uncle rindu?"
Yusuf lebarkan senyum. Mata kerling mama di depan.
"Uncle rindu tak dekat mama?"
Tercengang Lateefa dengan pertanyaan anaknya. Pantas sahaja mukanya berubah tona.
"Laaagi uncle rindu."
Memang merah padam wajah Lateefa dengan pengakuan balas lelaki itu. Sungguh tak terjangka. Perbualan kedua-duanya mengundang debar tak sudah di dalam dada. Dia tidak mahu anaknya terus berbual lantas dia perlahankan pembesar suara.
"Okaylah Encik Zhareef. Terima kasih sebab dah bercakap dengan Yusuf. Assalamualaikum." Cepat-cepat Lateefa putuskan talian. Sesak nafasnya dengan ayat lelaki itu yang sungguh tak berlapik.
"Jom, kita lunch dulu!" ajak Lateefa dengan dada yang masih berdebar. Yusuf pula mengikuti langkah ibunya dengan wajah ceria.
Sementara di pihak Zhareef, dia masih lagi merenung telefon sendiri. Tidak percaya dia boleh luahkan rasa rindu kepada mama Yusuf dengan lancar.
Fuh... dia lega.
Senyum ditarik panjang dan wajah Lateefa yang ayu terbayang di ruang mata.
Sah!
Dia memang sudah angau.
Teruk!
oppss.... memang baguslah yusuf ni
Share this novel
En zhariff angau tahap gaban dah niii.