25. Ada Penyokong

Drama Series 114354

“Umi tak setuju!”

Zhareef tersentak. Suara umi terlontar kuat membangkang sehingga terasa barang di dalam rumah terpelanting jatuh. Memang dahsyat kerana semua orang diam tak berkutik. Apatah lagi wajah umi merah menyala menunjuk amarah yang tak terbendung.

“Dah tak ada anak dara ke sampaikan janda yang kamu nak Reef.” Apabila sudah keluar perkataan 'kamu', itu tandanya umi benar-benar marah.

Zhareef yang asalnya berani sudah tunduk kalah dengan pertanyaan wanita itu. Dia kepal penumbuknya. Kalaulah yang bercakap di depan ini bukan ibu kandungnya mahu saja dia larikan diri dan tak balik-balik lagi. Tetapi itu umi. Segarang mana umi, setegas mana umi sekalipun dia tetap kena akur. Tetapi ini soal hati. Pantaskah dia hendak mendera hati sendiri kerana penolakan umi.

“Umi heran betul. Macam mana Reef boleh berkenan dengan janda. Reef pun cakap dia tua daripada Reef. Beza umur pun banyak sangat. Kenapa Reef boleh pilih dia. Umi tak fahamlah dengan Reef ni.” Suara Puan Zarina sudah sedikit kendur. Langsung dia tak menyangka. Yang dia tak suka itulah yang anaknya pilih.

“Soal hati umi. Reef tak boleh nak sekat.” dia tak boleh berdiam diri. Jika tidak dia yang akan merana. Lantas jawapannya menaikkan kembali amarah Puan Zarina.

“Ya. Sebab hatilah dulu Reef berkawan dengan Ayu. Budak yang entah dari mana. Sampai cakap umi pun Reef dah tak dengar.”

“Umi!!!"
Apabila nama orang yang sudah tiada diungkit, amarah Zhareef muncul juga.

"Jangan nak sebut nama orang yang dah tak ada, umi."

"Umi geram dengan Reef. Macam mana Reef dua kali boleh tersuka dengan perempuan yang entah apa-apa." Puan Zarina sengaja membangkitkan amarah Zhareef. Malah sengaja membuat anak lelakinya kembali mengingati memori lampau.

Encik Raisuddin yang sedari tadi mahu mematahkan bicara sang isteri tak jadi bersuara apabila Zhareef kembali membuka mulut.

“Ini soal hati umi. Reef tak mampu nak tolak.” Nada suara lelakinya mula kendur. Dia tidak kisah sangat kalau umi nak menghina dia tetapi yang dia tidak suka kenapa umi perlu masukkan sekali nama arwah yang sudah lama dia lupa.

“Reef ada akal. Tak boleh ke Reef fikir dengan baik. Hah, apa hebatnya perempuan tu sampai Reef sanggup buat keputusan tanpa bincang dengan umi dulu.”

“Mummy nak sangat kan Reef kahwin jadi Reef dah bersedia. Siapapun dia kalau hati ni dah suka sangat Reef tak dapat nak buat apa.”

Geram sungguh hati Puan Zarina apabila bercakap dengan anak lelakinya. Kenapalah Zhareef boleh bertindak melulu.

“Kalau Reef pertahankan hati Reef, umi pun akan pertahankan hati umi. Umi tak akan setuju dan tak akan pernah restu," luah Puan Zarina kasar dan cukup mengecewakan Zhareef.

“Tapi mi… Reef dah janji dengan dia. Cuti sekolah nanti Reef akan kahwin dengan dia. Dengan ayah dia pun Reef dan bincang.”

Cerlung mata Puan Zarina melihat Zhareef. Sungguh dia tidak menyangka anak jantannya boleh bertindak sesuka hati. Patah hatinya dengan tindakan terburu-buru Zhareef. Malah amarahnya pada perempuan yang disukai anaknya mula meruap.

“Mana Reef jumpa perempuan tu sampai Reef dah pinggirkan umi. Jangan-jangan dia dah guna-gunakan Reef agaknya?” tuduh Puan Zarina dan mengejutkan Zhareef.

Zhalia yang sedari tadi berdiam diri dalam perbincangan ini juga turut terkejut. Sungguh tidak bersetuju dengan kata-kata wanita itu.

“Kak Atee tu baik apa umi. Dia bukan perempuan yang macam umi cakap tapi… kalau abang Reef ni memang betullah sanggup buat apa saja. Tergila-gilakan Kak Atee sampai sanggup drive dari KL ke Terengganu semata-mat nak jumpa Kak Atee.”

“Siapa nama dia?” tanya Puan Zarina keras. Mata itu cerlung memandang Zhalia.

“Zahraa Lateefa umi.” Zhalia menjawab bagi pihak abangnya dan muka Puan Zarina mula berkerut tidak suka. Nama itu buat dia teringat akan perempuan yang digila-gilakan Zhareef suatu waktu dulu.

“Siapa pun dia umi tak akan setuju.” Puan Zarina sekali lagi bertegas dan Zhalia jeling abangnya. Muka abangnya itu dah macam jamban tak siap. Monyok semacam. Aduhai, kasihanlah pulak tengok abang dia macam tu.

"Dah… cukup kita berbincang. Tak payah nak pujuk umi.” Akhirnya Puan Zarina bangkit dari sofa. Dia mahu meninggalkan semua dengan keputusannya namun suara sang suami yang meletus keluar membuatkan punggungnya kembali dihempaskan ke atas sofa sekali lagi.

“Itu pilihan Reef. Janganlah Ina nak halang.”
Dan wajah Puan Zarina kini cerlung pandang suaminya pula.

Encik Raisuddin tidak mengendahkan wajah sang isteri. Apa yang dikisahkan wajah si anak. Melihat muka Zhareef yang tunduk kalah dengan arahan si ibu buat hati lelakinya perlu bertegas juga. Dia adalah lelaki dan pernah muda jadi dia dapat merasakan gelora hati Zhareef sekarang ini.

Kalau tadi dia seriuskan wajah tetapi kali ini dia ukir senyum sambil menggeleng. Lucu pula tengok muka Zhareef yang dah macam cekodok tak siap. Frust menonggeng lah tu.

“Teruskan saja Reef. Dah janji dengan anak orang... dah janji dengan keluarga dia kan. Kalau tak tunai janji, kita yang munafik. Bukan begitu?”

Terus Zhareef dongakkan kepala dan menoleh ke arah Encik Raisuddin. Dia cukup terkejut dengan saranan si abah. Terbit senyuman di bibir apabila abah berpihak kepadanya.

“Betul ke abah sokong?” tanya Zhareef meminta kepastian.

Encik Raisuddin angguk mengiyakan sambil melemparkan senyuman. Zhareef menghembus nafas lega. Dia ada penyokong lalu dia perlu kuatkan hujjah apabila berdebat dengan umi sekali lagi.

Awalnya mati-mati dia ingatkan abah pun sama macam umi. Orang tuanya itu tentu akan menghalang masjid yang mahu dia bina. Rupa-rupanya dia silap. Terasa sinar bahagianya semakin hampir. Namun dia lupa mata uminya memanah geram ke wajah dia dan abahnya.

“Abang!!! Apa ni. Takkan abang nak janda yang jadi menantu kita. Apa orang akan cakap nanti. Abang tak malu ke” Puan Zarina berkeras tidak menyetujui kata-kata suaminya.

“Apahal nak kisahkan sangat dengan cakap orang. Sampai kita mati pun orang tak sudah-sudah akan bercakap pasal kita. Sekarang kena fikirkan kebahagiaan anak kita. Dah dia rasa perempuan tu yang mampu membahagiakan dia jadi abang akan sokong.”

Bungkam Puan Zarina dengan kata-kata suaminya.

“Satu lagi, anak dara belum tentu menjamin keluarga sakinah. Ramai je anak dara kat depan tunjuk perangai elok, kat belakang macam hantu.”

Zhalia tiba-tiba kerling abahnya. Macam mengata dia pulak. Aduh, terkena. Dialah anak dara perangai hantu tu.

Di pihak Puan Zarina pula tak terkata wanita itu mendengar ayat dari mulut sang suami. Terus saja punggungnya terasa panas lantas dia bangkit dari tempat duduk.

“Ikut suka abanglah tapi Ina sesekali tak akan ambil kisah pasal Reef. Ina tak akan ikut ke majlis nanti.” Wanita itu merajuk lantas berlalu ke bilik membawa perasaan geram yang tak sudah.

Sementara di luar Zhareef bangkit dari kerusi lalu merapati abahnya.
“Terima kasih abah sebab dah sokong Reef.”

Encik Raisuddin terangguk-angguk.
“Mana tak sokong kalau muka dah macam ayam berak kapur. Sikit lagi nak masuk wad.”

Zhareef menggaru kepalanya yang tidak gatal. Terkena dengan kata-kata abahnya. Zhalia pula bukan main gelak besar.

“Ini rupanya sebab Reef menjerit masa orang tengah mesyuarat. Hai, memang parah betul anak abah," tukas Encik Raisuddin dan Zhareef tunjuk sengih malu. Dah terkena dengan abah sendiri. Lalu mata dialihkan dan lihat muka Zhalia yang mencebik.

“Hek eleh, sukalah tu," usik Zhalia lalu baling bantal sofa dan Zhareef tangkap dalam senyuman. Apabila abah sudah menyokong dia terus melihat jam tangannya.

Oh, masa. Cepatlah berlalu. Aku sudah tidak sanggup berjauhan dengan dia lagi.

Hahaa... lawaklan si Zhareef ni

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience