19. Rahsia terbongkar

Drama Series 114354

Lateefa memeluk tubuhnya kemas. Suasana pagi ini yang cukup sejuk mencengkam sehingga ke tulang hitam. Padahal jam sudahpun menganjak ke jam 9 pagi. Lagipun dia sudah keluar dari wad dan sekarang sedang berjalan menuju ke tempat parkir untuk memandu pulang.

Entah kenapa dadanya terasa lapang. Meninggalkan Nailufar yang sedang lena hatinya sedikit sebanyak berasa tenang. Sejak semalam Nailufar dalam keadaan tenang. Wajah pucat itu terlihat manis dan dia berharap wajah anaknya itu akan selalu manis sepanjang masa. Lalu dia tinggalkan anak gadisnya untuk pulang mengambil Warda.

Hari ini dia meminta tolong Warda untuk temankan Nailufar di wad kerana ada urusan di sekolah yang perlu dia selesaikan. Justeru dia akan balik mengambil Warda dan menghantarnya ke hospital. Selepas itu dia akan ke sekolah semula. Selesai saja urusan di sekolah dia akan bawa Yasmin dan Yusuf ke hospital untuk melawat Nailufar. Lagipun kedua-dua orang anaknya itu sejak semalam mahu berjumpa kakaknya. Walhal kelmarin dia sudah membawa mereka berjumpa Nailufar.

Dalam perjalanan pulang kepalanya asyik teringatkan Nailufar. Sejak semalam jugalah anaknya tak jemu bercerita tentang percutian di Kuala Lumpur baru-baru ini. Paling menyentuh hatinya apabila Nai cakap Nai rindukan Uncle Zhareef. Nai mahu makan dengan lelaki itu dan bergelak ketawa bersama adik beradiknya. Itu yang Nailufar cakap dia tak sempat buat. Mukanya masam sahaja saat lelaki itu cuba berdamai dengannya. Terus hati Lateefa patah relai apabila soal lelaki itu yang dibicarakan anaknya.

Bagaimana dia hendak mengulang benda yang tak mungkin akan terjadi lagi. Dia sudah menolak lelaki itu. Sudah menghalang lelaki itu dari mendekati keluarganya. Namun dengan keadaan Nailufar yang bercakap seolah-olah mahu berjumpa dengan lelaki itu buat dadanya sesak.

Apakah sememangnya Nailufar mahu berjumpa lelaki itu tetapi tidak berterus-terang. Kalau benar dialah orang yang paling terluka. Haruskah dia menunjukkan dirinya kepada lelaki itu. Dia yang menolak dan dia jugakah dengan muka tak malu akan menghubungi. Tidak. Dia tidak mahu dan dia tak mampu hendak menunaikan permintaan anak gadisnya.

Lalu pada pagi Jumaat yang indah ini dia perlahankan kereta saat masuk ke lorong untuk ke rumahnya. Cuaca yang terang dan angin yang berhembus lembut buat Lateefa rasa mahu berehat seketika. Letih tubuhnya sudah tak tertampung lagi.

Sewaktu hampir tiba dia melihat ada sebuah Honda Civic Grey Metallic diparkir betul-betul di depan rumahnya. Kereta siapa dia tidak tahu. Barangkali kereta saudara mara jirannya yang tumpang parkir di depan rumahnya.

Lateefa berhentikan kereta di depan pintu pagar dan Warda pula keluar membukakan pintu pagar untuknya.

Enjin kereta dimatikan dan Warda menolong mengambil beg berisi pakaian kotor lantas masuk ke dalam rumah.

Lateefa pula pejamkan mata seketika. Dia mahu lepaskan penat sesaat dua. Selepas ini dia harus memandu lagi sekali. Apabila terasa sudah bertenaga dia menapak keluar dengan memegang telefon bimbit. Saat-saat begini dia tidak mahu langsung berenggang dengan telefonnya.

Dia membelakangi pintu pagar dan menekan punat kunci kereta. Baru saja hendak melangkah masuk ke dalam rumah terdengar suara memanggil namanya.

Terus dia berpaling.
Matanya terbuntang.

“Awak!” Hampir luruh jantungnya dengan kemunculan lelaki itu tanpa sebarang berita. Terus matanya ditalakan ke arah kereta di depan rumah. Rupanya ia milik lelaki itu.

Zhareef pula tidak menyahut sebaliknya menilik keseluruhan wajah yang ada di depan. Dia cukup terperanjat dengan apa yang dilihatnya. Betapa kurusnya wanita itu. Tidak seperti ketika mereka bergembira bersama di Kuala Lumpur. Wajah itu juga pucat tidak bermaya dan nampak sedikit cengkung.

Betapa Lateefa malu apabila lelaki itu melihatnya begitu. Namun dia perlu menghalau lelaki itu pergi. Dia tidak mahu pertemuan ini berpanjangan.

“Awak buat apa kat sini?” soal Lateefa takut-takut. Matanya melirik ke arah kereta lelaki itu. Dia nampak ada seorang lelaki di bahagian penumpang. Tidak keluar untuk menyertai mereka.

Tiba-tiba wajah Zhareef serius pula dan hati Lateefa melompat mahu melarikan diri. Pertama kali melihat wajah serius itu hatinya ketakutan.

“Erk… macam mana awak boleh sampai sini. Macam mana awak boleh tahu saya tinggal kat sini?” soalnya bertalu-talu dan matanya dilarikan apabila lelaki itu masih menilik wajahnya.

“Demi awak saya akan usahakan. Sekali saya mahukan awak beribu kali saya akan berusaha untuk dapatkan awak.”

Jawapan Zhareef membuat dada Lateefa dicengkam sebak. Benar. Zhareef lelaki yang tidak pernah berputus asa. Melihat seriusnya wajah itu dia mula yakin yang lelaki itu layak untuk menjadi suaminya. Namun sedikit sangsi masih beraja di hati. Keadaan sekarang tidak mengizinkan diri untuk bergembira. Dia masih perlu memberi perhatian kepada Nailufar.

Lateefa alihkan pandangan dan ternampak Warda yang buru-buru muncul mendekatinya. Pastinya Warda juga terkejut dengan kemunculan Zhareef yang tiba-tiba sahaja.

“Baik awak balik. Untuk apa awak datang ke sini. Awak hanya akan dapat letih, penat. Tak berbaloi awak datang cari saya.”

Zhareef mendekati.
“Saya tak kisah. Janji saya boleh jumpa awak dan saya akan tahu masalah apa yang awak sedang sembunyikan dari saya sampai dua minggu awak diam tak cakap apa-apa.”

Tiba-tiba hati Lateefa mendidih geram.
“Awak buat kerja sia-sia. Awak layan saya macam kekasih. Awak tahu tak semua tu sia-sia. Tak berbaloi awak buat semua tu.” Kuat suara Lateefa meluahkan kata namun
Zhareef tidak kisah. Sekali dia masukkan gear usaha hendak mendapatkan wanita itu sesekali dia tidak akan reverse balik.

“Tolonglah jangan seksa diri. Awak balik,” arah Lateefa keras dan sebelum sempat Zhareef membalas telefon di tangan berbunyi nyaring.

Dada Lateefa berkocak hebat. Melihat nombor wad Nailufar detak jantungnya berlari laju tanpa penamat.

Suara jururawat di talian tiba-tiba melemahkan urat-sarat Lateefa dan air matanya turun serta-merta.

“Nai….”
Hanya itu sahaja yang mampu keluar dari mulutnya dan serentak itu tubuhnya terus melurut ke bawah dan sempat di tangkap Zhareef.

“Sayang kenapa?”
Bahu wanita itu di cengkam kuat. Bimbang Lateefa akan jatuh tersungkur. Airmata wanita itu pula mengalir laju. Dia sudah tidak menghiraukan lelaki itu. Malah lelaki yang berada di bahagian pemandu juga tergesa-gesa merapati mereka. Dia tak hiraukan. Dia hanya mahu meluahkan rasa hati dengan tangisan.

“Kenapa sayang?” soal Zhareef resah dan tak semena-mena Lateefa sembamkan muka ke dada Zhareef dan hamburkan tangisan semahunya.

“Kenapa mama?” Kali ini Warda pula yang merapati dengan mata berkaca-kaca. Pantas dia meleraikan pelukan dan memandang anak sulongnya hiba. Dia cengkam bajunya agar rasa yang berat ini akan berlalu pergi namun dia masih tak mampu kuatkan diri.

“Ma… cakap ma!” suruh Warda hiba.

“Nai… Nai… Ada. Nai….” Suaranya tersekat-sekat.

Warda tidak faham lantas tarik tangan Lateefa.

“Nai dah tak ada. Nai dah tinggalkan mama. Nai dah tinggalkan kita,” jerit Lateefa bersama linangan airmata yang tak sudah-sudah. Warda melopong dan tak lama hamburkan tangisan semahunya.

Zhareef pula tersentak. Dia tidak percaya. Dadanya berdegup kencang. Namun sebaik Lateefa tiba-tiba sahaja diam tidak berbunyi dan melurut ke bawah dia yakin Nailufar benar-benar sudah tiada.

Pantas tubuh wanita itu ditarik dan disembam ke dadanya. Lateefa pengsan dan dia penasaran.

Ah, sedihnya

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience