BAB 3

Drama Completed 192

SUNGAI KEMBALI JERNIH

Deru air sungai mengalir tenang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaunan hijau mengeluarkan irama sungguh merdu. Apabila bergeseran di antara satu sama lain. Pepohonan hijau bagai menari-nari. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin.

Suara dedaunan dan pepohonan hijau yang tumbuh di tepi tebing sungai menjadi nyanyian alam. Gemersik membelai jiwa yang dilanda sepi.

Kicauan burung jelas kedengaran riang. Bebas berterbangan ke sana dan ke sini. Sekali-sekala hinggap di atas pepohonan rendang membuat sarang.

Cuaca kelihatan cerah. Bersama pancaran cahaya terik matahari di kaki langit biru dan gumpalan awan tebal memutih. Bahangnya terasa bagai api menyambar.

Rimbunan pepohonan menghijau bersama sejuk air sungai yang mengalir menjadikan suasana nyaman dan dingin. Panas matahari tak terasa. Jalur-jalur cahaya lurus kelihatan menembusi celah-celah dedaunan hijau memancar ke seluruh alam semesta.

Demikianlah indahnya ciptaan Tuhan. Buat makhluknya yang hidup buat sementara waktu sahaja di atas muka bumi ini.

“Di sini sudah tiada lagi keindahan. Hilang segala-galanya. Ibarat kematian tanpa nisan …,” keluh Pak Anjang dalam nada suara lemah.

“Dalam sekali kata-kata Pak Anjang tu,” celah Azri pula.

“Pak Anjang tak boleh berpisah dengan sungai ni. Dari Pak Anjang lahir hinggalah ke tua. Sungai ni banyak mengajar Pak Anjang erti kehidupan,” dia menambah.

“Kehidupan? Apa kaitannya dengan Pak Anjang?” Azri sebaliknya menyoal dengan penuh minat. Wajah tua Pak Anjang itu direnungnya dalam-dalam.

“Cuba Azri tengok air sungai yang mengalir tu. Tak putus-putus dari hulu hinggalah hilir. Tenang tidak bergelora,” jelas Pak Anjang pada Azri.

“Pak Anjang seorang pencinta alam rupanya,” Azri bersuara.

“Sungai ni banyak kenangan yang tak boleh Pak Anjang lupakan sehingga ke akhir hayat. Tempat bermain dengan kawan-kawan masa kecil dulu. Ikan pun banyak,” dia berkata sambil menarik nafas yang panjang.

Azri diam. Dia memerhatikan sahaja wajah tua Pak Anjang yang memandang sungai. Bunyi deru air sungai yang mengalir jelas kedengaran menyelubungi seluruh alam semesta yang menghijau dan damai.

Angin yang datang dari arah bukit-bukau yang jelas di pandangan mata bertiup lemah-gemalai. Seolah-olah mengerti dengan apa yang bermain di ingatan Pak Anjang ketika ini.

“Saya dapat membayangkan betapa indahnya waktu itu,” ucap Azri pula memecahkan kesenyapan yang melanda.
“Memang indah, Azri. Tapi …. Seperti yang Pak Anjang katakan tadi kini semuanya telah musnah. Air sungai ni tak lagi bersih. Kotor. Ikan semua mati. Semuanya berpunca daripada kilang kelapa sawit tu …,” keluh Pak Anjang dalam nada suara yang lemah.

Rasa kekecewaan yang teramat sangat jelas kelihatan terpancar di wajah tuanya itu. Kilang kelapa sawit telah membunuh sungai yang disayanginya.

“Jadi, sungai ni telah dicemari dengan bahan buangan kilang kelapa sawit?” Dia berasa sungguh terkejut apabila mendengar penjelasan daripada Pak Anjang itu.

“Ya, Azri …!” Pak Anjang mengangguk-anggukkan kepala perlahan.

Keesokan harinya Azri berjumpa dengan pengurus kilang kelapa sawit.

“Ada apa awak nak jumpa saya? Kalau nak minta kerja minta maaf. Kilang ni tak ada kerja kosong,” kata Encik Khalid dalam nada bongkak dan sombong.

“Bukan begitu maksud saya, Encik Khalid ….” Dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.

“Habis tu? Apa yang awak nak sebenarnya?” Encik Khalid yang memakai baju kemeja lengan panjang berwarna merah dan bertali leher hitam.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya termampan pada dinding yang dicat dengan warna putih.

“Saya adalah pelajar universiti yang membuat kajian tentang sungai kampung ni. Malangnya ia telah dicemari dengan bahan buangan kilang kelapa sawit. Encik Khalid sebagai pengurus harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkara ini,” jelas Azri pula.

Serta-merta Encik Khalid naik berang apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Azri itu.

“Awak ni siapa, hah? Awak nampaknya nak tutup perniagaan saya!” Dia meninggikan suara sambil memandang wajah Azri. Namun begitu Azri sedikit pun tidak takut dan sebaliknya bertenang.

“Saya bukannya nak tutup perniagaan Encik Khalid. Lagipun saya bangga melihat usahawan Melayu macam Encik Khalid punya kilang kelapa sawit yang besar macam ini. Tapi ini adalah soal alam sekitar. Encik Khalid tahu kan. Perbuatan mencemar alam sekitar adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” dia sebaliknya mengingatkan Encik Khalid dengan panjang lebar.

“Sudah! Awak tu budak mentah. Jangan nak mengajar saya!” bantah Encik Khalid dengan sekeras-kerasnya.

“Encik Khalid …,” dia terhenti.

“Cukup saya kata! Saya ada banyak kerja. Jangan ganggu saya. Faham!” Encik Khalid pantas mencelah sambil mengeluarkan nada suara yang kasar.

Azri lalu meninggalkan bilik Encik Khalid. Sebaik-baik sahaja bayangan Azri hilang di pandangan mata dia lalu memanggil Norain setiausahanya masuk ke bilik.

“Ada apa, Encik Khalid?” tanya Norain.

“Lain kali kalau budak tu datang jangan benarkan dia jumpa saya. Awak faham?” Encik Khalid menjawab.

“Faham, Encik Khalid!” angguk Norain.

“Kurang ajar punya budak. Berani dia nak hancurkan perniagaan aku,” rungut Encik Khalid lagi.

Norain hanya mendiamkan diri dan melihat sahaja gelagat Encik Khalid itu. Di raut wajahnya jelas nampak rasa marah dan tidak puas hati. Apabila Azri datang berjumpa dengannya.

Bagi Norain yang sudah tiga tahun menjadi setiausaha kepada Encik Khalid dia tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku. Terdetik juga di hatinya untuk bertanya pada Encik Khalid. Punca yang menyebabkan dia berasa marah sangat pada Azri dan tak mahu berjumpa. Namun begitu dipendamkannya sahaja. Biarlah Encik Khalid sendiri yang menceritakannya pada dia.

“Ada apalagi, Encik Khalid?” Norain bersuara.

“Tak ada! Awak boleh pergi,” arah Encik Khalid.
“Baik, Encik Khalid!” ucap Norain sambil bingkas bangun dan berlalu pergi meninggalkan bilik.

Petang itu Azri pergi ke rumah Pak Anjang.

“Assalamualaikum,” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam. Oh, Azri. Jemputlah naik,” Mak Tijah isterinya menjawab salam dan muncul di muka pintu.

“Terima kasih, Mak Tijah. Pak Anjang ada di rumah?” kata Azri lagi.

“Tak ada. Pak Anjang ke sungai,” Mak Tijah membalas.

“Ke sungai? Tak apalah, Mak Tijah. Biar saya ke sungai. Cari dia,” ujar Azri pula.

Dia kemudiannya lalu meninggalkan rumah Pak Anjang dan menuju ke sungai. Cuaca masih lagi kelihatan cerah sejak dari pagi tadi. Tiada tanda-tanda hujan akan turun.
“Sungai ni juga ada warisan sejarah.” Nada suara tua Pak Anjang tenggelam bersama deru air sungai yang setia mengalir tanpa hentinya saban hari. Dari dahulu sehinggalah sekarang.

“Warisan sejarah apa, Pak Anjang?” Azri menyoal dengan penuh minat untuk mengetahui sambil membetulkan duduk.

“Menurut cerita arwah atuk Pak Anjang sungai ni pada satu ketika dahulu adalah laluan utama para pedagang,” terangnya pada Azri.

“Sudah semestinyalah ia dijaga dan dipelihara. Untuk ditatap oleh generasi hari ini seperti saya. Oh, ya! Sebelum saya terlupa beritahu Pak Anjang. Tadi saya pergi jumpa pengurus kilang kelapa sawit tu,” ucap Azri pula.

“Buat apa Azri pergi jumpa dia?” Pak Anjang mengangkat muka tinggi sedikit memandang wajah pelajar universiti yang datang ke kampung ini untuk membuat kajian mengenai sungai.

“Pasal sungai ni yang dah tercemar,” dia berkata.

“Apa kata dia?” tambah Pak Anjang.
“Susah, Pak Anjang. Dia tak nak bertanggungjawab langsung. Dahlah tu. Dimarahnya pulak saya. Dituduhnya saya nak tutup perniagaannya,” Azri menerangkan pada Pak Anjang.

“Inilah akibatnya terlalu mengejar keuntungan. Sungai ni menjadi mangsa …,” keluh Pak Anjang dalam nada suara yang lemah dan tak bermaya. Bersama rasa kecewa dan hampa terukir di wajahnya.

Air sungai yang mengalir dengan penuh ketenangan direnungnya dalam-dalam. Azri mengerti apa yang sedang berkocak di perasaan tuanya itu.

“Sabarlah, Pak Anjang. Sama-samalah kita berdoa. Moga satu hari nanti sungai ini akan kembali semula seperti apa yang Pak Anjang impikan,” pujuk Azri.

Dia sebaliknya mendiamkan diri apabila mendengar kata-kata Azri itu. Wajah Azri dipandangnya dengan penuh harapan. Semoga Tuhan akan memakbulkan apa yang dikatakan oleh Azri.

Rasa gembira sedikit demi sedikit terbit di wajah tuanya. Anak muda seperti Azri mengerti dan berdiri teguh bersama dengannya. Menghargai sungai anugerah Tuhan untuk penduduk kampung ini.
“Betul kata, Azri. Insya-Allah. Tuhan akan merestui setiap perbuatan yang baik kita lakukan di atas muka bumi ini,” yakin Pak Anjang pula.

“Saya berjanji. Melalui kajian ini saya akan membantu perjuangan Pak Anjang melindungi sungai ini daripada tercemar. Agar dapat dilihat oleh cucu cicit Pak Anjang dan generasi akan datang di kampung ni,” ikrar Azri sambil memegang bahu Pak Anjang. Orang tua di kampung ini. Yang dikenalinya semasa membuat kajian mengenai sungai.

Bertambah gembira bukan kepalang hati Pak Anjang. Dia kemudiannya mendongakkan kepala ke atas memandang langit. Matahari yang tadinya cerah menyinari seluruh kampung beransur-ansur bertukar warna. Seperti buah pinang masak. Burung-burung telah pun pulang ke sarang. Tiada lagi kedengaran kicauan riang mendendangkan alam semesta ciptaan Tuhan untuk makhluknya yang sementara di atas muka bumi ini.

Malam akan melabuhkan tirainya. Segala suka duka yang kita layari hari ini dihimpunkan menjadi pengalaman. Untuk mendewasakan kita dalam kehidupan. Demikianlah kata pujangga.

“Hari pun dah nak senja. Marilah kita balik,” ajak Pak Anjang.
“Yalah!” ujar Azri dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Mereka bingkas bangun dan beredar meninggalkan sungai. Malam itu selepas menunaikan solat Isyak di masjid Pak Anjang dan Tok Ketua berbual-bual di tempat letak motosikal.

“Siapa budak yang selalu bersama dengan kau di sungai?” Tok Ketua yang memakai ketayap putih, berbaju Melayu warna biru air laut dan berkain pelekat bertanya pada Pak Anjang.

“Azri. Dia dari Kuala Lumpur. Dia masih belajar lagi di universiti. Datang ke kampung ni nak buat kajian tentang sungai,” terang Pak Anjang pada Tok Ketua.

“Oh, begitu! Dia tinggal dengan kau ke?” Tok Ketua tak henti-henti menyoal.

“Tak! Dia menumpang di rumah pakciknya di pekan,” jelas Pak Anjang lagi.

“Sungai tu tak macam dulu lagi. Kau ingatkan masa kita kecik-kecik dulu. Jernih dan bersih airnya. Tapi sekarang …. Entahlah …,” Tok Ketua mengeluh.
“Ini semua berpunca daripada bahan buangan kilang kelapa sawit tu. Azri dah pergi jumpa pengurusnya. Tapi tak diendahkannya,” dia mengadu pada Tok Ketua.

“Susah kalau orang yang tak punya rasa kasih terhadap alam sekitar ni,” tambah Tok Ketua.

“Azri dah berjanji. Akan membantu kita mengembalikan semula keindahan sungai melalui kajiannya,” Pak Anjang menjelaskan lagi pada Tok Ketua.

“Baguslah macam tu. Itulah yang kita harapkan dari orang terpelajar macam dia. Untuk membantu kita mengatasi masalah macam ni. Aku balik dululah, Anjang. Assalamualaikum,” mohon Tok Ketua sambil menghidupkan enjin motosikal.

“Waalaikumsalam,” Pak Anjang membalas dan bersalaman dengan Tok Ketua.

Kedengaran bunyi pintu diketuk. Encik Mustapha yang sedang asyik menulis lalu berhenti.

“Masuk!” arahnya.
Pintu lalu terbuka dan muncul Azri sambil membawa bahan kajian sungai di kampung.

“Assalamualaikum, Encik Mustapha,” dia lalu memberi salam.

“Waalaikumsalam. Hah, Azri. Jemput duduk,” pelawa Encik Mustapha sambil bersalaman dengan Azri.

“Terima kasih, Encik Mustapha!” Azri membalas.

“Macam mana dengan kajian awak?” tanya Encik Mustapha lagi sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang wajah Azri.

“Alhamdulillah. Ini separuh daripada bahan kajian yang telah siap. Untuk Encik Mustapha semak dan pembentulan dari segi fakta.” Azri menyerahkan bahan tersebut kepada pensyarahnya.

Dia lalu menyambut bahan yang dihulurkan oleh Azri dan meletakkannya di atas meja.

“Nanti saya tengok. Pelajar yang selalu mendapat markah tinggi dan komited macam awak ni saya rasa tak ada masalah buat tugasan luar macam ni. Apa yang awak dapat hasil daripada kajian tu?” Encik Mustapha bersuara.

“Sedih sekali dengan sungai di kampung tu, Encik Mustapha. Dicemari dengan bahan buangan kilang kelapa sawit. Pengurus kilang tu tak mengambil berat langsung tentang masalah pencemaran alam sekitar. Saya nak adukan perkara ini pada pihak berkuasa. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk lagi,” ucapnya.

“Itulah yang sebaik-baiknya. Awak lakukanlah demi kepentingan alam sekitar kepada penduduk kampung tu!” Encik Mustapha mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda sokongan kepada usaha yang dilakukan oleh Azri itu.

Selepas bertemu dengan Encik Mustapha dia pergi ke kantin universiti untuk berjumpa dengan Rodiah. Sambil minum mereka rancak berbual-bual.

“Pejam celik pejam celik sedar-sedar dah semester akhir. Masa begitu cepat berlalu. Aku rasa baru aje masuk. Kau tak terasa ke?” ucap Rodiah yang kelihatan ayu bertudung dan berbaju kurung.
“Macam mana nak terasa. Kita asyik belajar. Zaman sekarang tak macam zaman dulu. Setahun sekejap saja. Ini kan pulak sebulan dan seminggu,” jelas Azri pula.

“Betul kata kau tu. Macam mana dengan kajian sungai kau? Dah siap ke?” Rodiah menyoal.

“Baru separuh. Tadi aku dah hantar pada Encik Mustapha untuk penyemakan. Sama ada menepati tajuk yang dia beri atau tidak,” dia menerangkan pada Rodiah.

“Aku pun macam kau jugak. Baru separuh siap,” Rodiah bersuara.

“Tentu menarik kan tajuk kajian kau berkenaan kes juvana di kalangan remaja,” kata Azri.

“Ya! Memang menarik seperti yang kau katakan!” Rodiah menambah sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Contohnya?” soal Azri dengan penuh minat.
“Ada seorang remaja tu. Umur dia kalau tak silap aku 18 tahun. Dia dimasukkan ke sekolah pemulihan kerana terlibat dengan jenayah,” Rodiah berkata.

“Apa puncanya?” ujar Azri lagi.

“Perceraian ibu bapa. Hidupnya terumbang-ambing. Tambah pulak dia anak sulung. Dia terpaksa melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri untuk menyara adik-adiknya yang masih bersekolah lagi,” Rodiah menjawab.

“Golongan remaja memang mudah terdedah dengan kegiatan tidak sihat seperti ini. Akibat tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa dan desakan hidup. Sama seperti dadah. Negara akan kerugian sekiranya jenayah juvana tidak diperangi habis-habisan. Mereka adalah harapan negara di masa depan. Untuk membawa kejayaan pembangunan,” Azri menambah.

Malam. Azri menengadah ke siling sambil baring di atas katil. Fikirannya berputar ligat seperti kipas. Memikirkan perjuangan Pak Anjang seorang tua pencinta alam sekitar. Keangkuhan dan kesombongan Encik Khalid. Pengurus kilang kelapa sawit. Terlalu mementingkan keuntungan dan kemewahan hidup. Sehingga sanggup menodai alam sekitar pemberian Tuhan.

Setelah lama berfikir dalam larut malam yang hampir menjangkau ke pagi akhirnya dia menemui jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Sebaik-baik sahaja mendapat jawapan itu matanya lalu terasa mengantuk dan tidur lena sehingga ke pagi.

Pagi itu selepas sarapan dia menaiki motosikal menuju ke rumah Pak Anjang. Dia menyatakan pada Pak Anjang jalan penyelesaian yang ditemuinya untuk mengatasi masalah sungai yang tercemar.

Pak Anjang bersetuju sekali dengan cadangan Azri itu. Dia pun mengajak Pak Anjang pergi ke rumah Tok Ketua. Untuk membincangkan perkara ini.

“Gotong-royong untuk membersihkan sungai. Eloklah tu. Tepat sekali dengan perumpamaan. Bulat air kerana pembentung bulat kata kerana muafakat,” sokong Tok Ketua pula.

“Lagi satu, tok. Biar saya tambah. Hidup berkampung. Ibarat aur dengan tebing. Sandar-menyandar saling bantu-membantu. Yang keruh jadi jernih. Yang kusut jadi terurai,” Pak Anjang mencelah.
“Harap begitulah, tok. Sama-samalah kita berdoa. Semoga Tuhan merestui usaha murni kita ni. Sungai yang tercemar akan bersih semula. Melalui kerjasama begini juga akan mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan penduduk kampung,” Azri sebaliknya bersuara.

“Insya-Allah. Saya yakin niat baik kita ni akan berjaya. Esok saya akan berjumpa dengan Yang Berhormat Dato’ Nordin. Untuk mendapatkan peruntukan gotong-royong ni,” ucap Tok Ketua.

“Mudah-mudahan, tok. Saya kenal dengan Yang Berhormat tu. Dah lima penggal dia menjadi wakil rakyat di kawasan kita. Kalau perkara macam ni dia pasti bantu,” tambah Pak Anjang.

Tak lama kemudian muncul Mak Tipah isteri Tok Ketua sambil membawa dulang berisi minuman.

“Jemput minum!” pelawa Tok Ketua pada Pak Anjang dan Azri.

Ternyata gotong-royong yang dicadangkan oleh Azri mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung. Lebih daripada itu Yang Berhormat Dato’ Nordin telah menghulurkan bantuan kewangan bagi membiayai gotong-royong ini. Majlis perasmian juga dilakukan oleh beliau dengan mendapat liputan meluas di televisyen dan surat khabar.

Sementara itu Encki Khalid telah dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Sungai yang tercemar kini bersih dan jernih semula. Pak Anjang tersenyum riang memandang wajah Azri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience