BAB 16

Drama Completed 192

DUGAAN

Seperti biasa selepas solat Subuh Abu akan membonceng motosikal buruk ke kebun kelapa. Kesejukan jelas terasa membungkus suasana pagi. Malam tadi hujan turun dengan lebat sekali. Pohon-pohon dan rumput-rumput hijau masih basah lagi.

Setibanya di kebun kelapa kelihatan Tok Ketua menunggu Abu. Masih lagi berketayap putih di kepala, berbaju Melayu warna biru air laut dan berkain pelikat. Mungkin dari surau agaknya yang terletak tidak jauh dari kebun kelapa milik arwah ayahnya. Teka Abu dalam hati. Abu pantas mematikan enjin dan menupangkan motor.

“Assalamualakum, tok,” dia memberi salam sambil berjabat tangan dengan Tok Ketua.

“Waalaikumsalam,” Tok Ketua membalas.

“Ada apa, tok? Pagi-pagi lagi dah datang jumpa saya?” tanya Abu pula.
“Begini, Abu. Ada peraih dari pekan nak beli buah kelapa dari kebun kau ni. Katanya nak jual di pasar,” jelas Tok Ketua.

“Ya ke, tok. Syukur alhamdulillah,” dia membalas dalam nada suara yang gembira.

“Baguslah tu, Abu. Dah rezeki kau. Aku kenal betul dengan peraih tu. Samad namanya. Sama tentera dengan aku dulu. Dia minta aku tanyakan kau. Setuju atau tidak jual kelapa pada dia. Berapa saja harga yang kau minta dia sanggup beri,” kata Tok Ketua.

“Saya tak kisah soal harga, tok. Asalkan hasil daripada kelapa seperti yang dilakukan oleh arwah ayah dahulu dapat menampung harga,” ucapnya.

“Kalau macam tu kejap lagi aku nak ke pasar di pekan. Aku suruh dia jumpa kau. Bincang pasal harga,” Tok Ketua menjawab.

“Eloklah tu, tok. Kalau boleh besok jugak saya nak jumpa dia. Di sini,” ujar Abu.

“Baiklah. Nanti aku beritahu dia. Satu lagi aku nak minta tolong dengan kau. Kebun buah aku tu semak betul. Kau faham ajelah. Aku ni dah tua. Mana larat nak menebas lagi. Boleh tak kau tolong tebaskan? Berapa saja upah aku beri,” Tok Ketua berkata.

“Boleh, tok. Petang ni saya buat,” janji Abu.

“Terima kasih, Abu. Aku betul-betul kagum dengan kau ni. Tak ramai anak-anak muda yang sebaya dengan kau di kampung ni sanggup membuat kerja-kerja kampung.” Tok Ketua menghamburkan kata-kata pujian pada Abu.

“Biarlah, tok. Dah macam tu perangai mereka. Nak buat macam mana. Takkan nak paksa pulak,” Abu berkata.

“Memang betul kata kau tu, Abu. Entahlah aku sendiri pun tak faham. Kalau berbudi pada tanah tentu dapat hasilnya,” Tok Ketua menambah.

“Mereka tak sanggup berpeluh dibakar matahari. Mungkin lebih baik makan gaji,” jawab Abu.

“Lupa pulak aku. Dah pukul tujuh rupanya. Aku balik dulu. Kejap lagi aku nak ke pekan. Jangan lupa datang rumah ambil upah bila dah habis menebas kebun nanti. Assalamualaikum,” mohon Tok Ketua.
“Waalaikumsalam, tok. Insya-Allah. Saya buat,” ulang Abu lagi. Tok Ketua lalu menghidupkan enjin motosikal dan pantas berlalu pergi dari kebun kelapa. Abu pun memulakan kerja-kerja seperti biasa setelah kelibat Tok Ketua hilang daripada pandangan mata.

Kebun kelapa yang diusahakan oleh Abu adalah milik arwah ayahnya. Kehidupan Abu sekeluarga selama ini adalah hasil daripada kebun kelapa. Sayup-sayup kedengaran desiran angin membelah seluruh desa. Pepohonan menghijau bagai menari-nari inang. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin dari arah bukit. Geseran daun-daun hijau mengeluarkan irama sungguh merdu. Menusuk jiwa pabila didengar. Daun-daun kering berguguran di atas tanah.

Bola matahari kian meninggi di kaki langit biru bersama gumpalan awan tebal memutih. Seperti juga desiran angin. Pancaran cahayanya menyimbah ke seluruh alam semesta ciptaan Tuhan Yang Esa. Bahang matahari yang bersinar terang-benderang jelas terasa pedih menggigit-gigit permukaan kulit Abu yang masih muda itu. Dia berhenti seketika. Peluh yang mengalir di dahi lalu disekanya dengan tangan kanan. Abu kemudiannya lalu menoleh ke kanan dan kiri.

Dia pantas menarik nafas panjang dan perlahan-lahan mengatur langkah ke arah pondok kecil. Setibanya di pondok dia terus duduk. Dengan renungan yang kudus dia melemparkan pandangan ke arah pohon-pohon kelapa. Arwah ayahnya pernah berpesan sebelum meninggal dunia.

“Walau apa terjadi sekali pun macam mana susah sekali pun. Sampai tak makan. Sampai minta sedekah. Jangan sekali-sekali kebun kelapa tu dijualkan.” Kata-kata itu masih lagi segar di telinga Abu.

Sebelum pulang ke rumah Abu singgah sebentar di Warung Pak Akob. Udin, Seman dan Yazid juga ada di situ. Abu duduk semeja dengan mereka.

“Kau nak minum apa, Abu?” tanya Pak Akop.

“Bagi teh panas, Pak Akop. Makan tak payahlah,” Abu sebaliknya membalas.

“Macam mana dengan kebun kelapa kau, Abu?” soal Udin pula sambil menghirup sedikit air kopi ‘o’ yang masih lagi panas itu. Asap nipis kelihatan teroleng-oleng naik ke atas. Kemudian perlahan-lahan dia meletakkan cawan itu semula ke bawah.
“Alhamdulillah. Hasil pun baik,” Abu menambah. Tak lama kemudian Pak Akop muncul sambil membawa air teh panas yang dipesan oleh Abu. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja dan cepat berlalu pergi dari situ.

“Hasil baik kata kau? Zaman sekarang tak kaya dengan kebun kelapa. Kau tahu tak?” Seman melontarkan kata-kata yang berdesing telinganya apabila didengar. Namun begitu dia tetap bersabar.

“Tak kaya apa pulak, Seman?” dia menyoal kembali sambil melekat cawan di bibir dan menghirup sedikit air teh yang masih panas itu.

“Yalah. Betul cakap Seman tu. Berapa ringgit yang kau dapat hasil daripada jual kelapa,” sokong Yazid pula.

“Aku tak fikirkan semua tu. Rezeki Tuhan yang tentukan. Lagipun kebun kelapa tu satu-satunya warisan keluarga aku yang ada,” pertahan Abu.

“Kebun kelapa tua tu kau kata warisan? Abu. Setahu aku warisan ni benda bersejarah. Ada harga. Tapi kalau setakat kebun kelapa tu tak nampak pulak aku sebagai warisan pada kau,” bantah Udin lagi.
“Itu tanggapan kau, Udin. Terpulanglah. Tetapi bagi aku hidup atau mati kebun kelapa tu tetap warisan yang aku sayang. Sejak aku lahir sampailah sekarang kebun kelapa tu sudah menjadi sebahagian daripada hidup aku. Selagi aku punya kudrat aku akan terus kerjakannya,” kata Abu lagi.

Setibanya di rumah Abu terus membersihkan diri. Ibunya sibuk di dapur menyediakan hidangan tengah hari. Cuaca masih lagi kelihatan cerah. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon rambutan, jambu, ciku, nangka, serai dan lain-lain lagi seperti menari-nari. Mengangguk-angguk adakalanya ke kiri dan sekejap ke kanan mengikut rentak tiupan angin. Melalui jendela yang terbuka luas angin menerobos masuk dan terasa segar menyapu permukaan kulit. Dapat mencairkan sedikit rasa bahang matahari seperti api menyambar.

Selepas menunaikan solat Zuhur dan menikmati makan tengah hari Abu duduk berehat di serambi rumah. Dengan pandangan yang tajam Abu melontarkan pandangan ke arah dulunya sawah padi yang terletak di depan rumahnya. Tiba-tiba sahaja ingatannya diusik ketika musim menuai.

Meriahnya suasana seperti berpesta. Orang-orang kampung bekerja di sawah padi yang kuning menghijau. Dia masih ingat lagi. Sepanjang bahagian depan sawah padi terdapat sebatang tali air yang digunakan untuk mengairi sawah. Namun begitu semuanya kini hanya tinggal kenangan sahaja. Sawah padi dan tali air telah menjadi kering kontang. Ditumbuhi dengan lalang yang tinggi dan rangka pondok buluh yang telah reput dan menunggu masa untuk tumbang. Termasuk pondok yang dibina oleh arwah bapanya.

“Apa yang kau menungkan tu, Abu?” tegur ibunya yang tiba-tiba muncul dari arah dapur. Kemudian lalu duduk berhadapan dengan Abu. Lamunan Abu yang jauh melayang itu lantas terhenti.

“Tak ada apa-apa, mak. Saya teringatkan waktu jumpa dengan Tok Ketua di kebun kelapa tadi,” Abu menjawab.

“Ada apa dia jumpa kau, Abu?” soal ibunya dengan penuh minat sambil mengangkat kepala tinggi sedikit.

“Dia beritahu ada peraih dari pasar di pekan tu nak beli kelapa dia. Kemudian petang nanti dia suruh saya tebas kebun dia,” jelas Abu pula.
“Syukur alhamdulillah. Bertambah-tambah rezeki kita. Ubi yang kau tanam di belakang rumah tu mak rasa dah boleh gali,” kata ibunya.

“Itulah, mak. Kalau kita rajin berusaha dapatlah habuannya. Saya cadang ubi tu separuh kita makan separuh lagi kita jual pada Pak Kadir. Setiap hari Ahad dia berniaga di pasar minggu,” Abu menambah.

Seperti yang dijanjikan di sebelah petangnya Abu menebas di kebun Tok Ketua. Selesai menebas dia ke rumah Tok Ketua untuk mengambil upah yang dijanjikan. Setibanya di tangga rumah Tok Ketua dia memberi salam. Salam pantas dijawab oleh Tok Ketua.

“Kau rupanya, Abu. Naiklah,” jemput Tok Ketua.

“Macam mana dengan kerja-kerja yang aku suruh tu. Dah siap ke?” tanya Tok Ketua sebaik-baik sahaja duduk di atas kerusi kusyen yang berwarna daun hijau pucuk pisang.

“Selesai, tok. Kalau tok tak percaya pergilah tengok nanti,” Abu membalas.

“Percaya. Aku percaya penuh dengan kau. Sebab itulah aku beri upah menebas kebun tu pada kau. Sedangkan ramai anak-anak muda di kampung ni yang tak bekerja. Nak harapkan pada Udin, Seman dan Yazid. Entahlah. Kerja duduk di warung Pak Akop dari pagi sampai petang,” keluh Tok Ketua.

Perbualan mereka yang rancak terhenti seketika. Mak Som muncul dari arah dapur sambil membawa dulang berisi minuman dua cawan kopi ‘o’ dan sepiring biskut.

“Susah-susah aje Mak Som ni,” ujar Abu pula.

“Tak ada susah-susahnya, Abu. Rezeki ni. Jemputlah minum,” jelas Mak Som sebaliknya sambil meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi dan beralaskan kain berwarna biji kundang.

“Marilah kita minum sekali, Mak Som,” Abu berkata.

“Minumlah, Abu. Mak Som ada kerja nak habiskan di dapur tu. Bang, minumlah,” Mak Som bersuara dan pantas berlalu pergi dari anjung rumah sambil membawa dulang.

“Yalah. Terima kasih, Som!” angguk Tok Ketua pantas.
“Abu. Minumlah!” jemput Tok Ketua. Mereka sama menghirup air kopi ‘o’ yang masih lagi panas itu dan makan biskut. Perbualan yang terhenti buat seketika disambung semula.

“Kan saya dah kata, tok. Gaya hidup mereka macam tu. Tak sesuai dengan kerja-kerja menebas dan menyangkul,” Abu menambah.

“Yalah. Dia orang mesti ingat. Zaman sekarang kerja semua nak kelulusan. Aku bukan nak memperkecilkan mereka. Kelulusan tak tinggi. Kerja nak gaji mewah mana nak dapat. Tambahan pula hidup di bandar besar,” luah Tok Ketua.

“Memang betul cakap tok tu. Saya dah ada pengalaman semua tu. Hidup di kota tak sama dengan desa. Banyak cabaran dan rintangan. Macam mengharung ombak ganas di tengah lautan. Silap-silap boleh karam dan tenggelam. Itulah sebabnya saya sanggup berhenti kerja di Bandar besar tu, tok. Bagi saya lebih baik berbakti di desa yang melahirkan dan membesarkan saya,” akui Abu dengan penuh panjang lebar.

Angin desa menyanyikan lagu yang sungguh merdu dan gemersik. Jiwa yang dilanda sunyi akan aman dan tenteram apabila diusapi. Deruan air sungai mengalir dengan penuh irama ketenangan. Dari hulu hinggalah ke hilir. Menjadi tempat permainan haruan dan keli dengan penuh keriangan. Sekali-sekala buih-buih memutih kelihatan jelas berapungan di permukaan dan hilang semula. Pohon-pohon menghijau yang tumbuh di tepi-tepi tebing sungai menjadikan suasana penuh dengan redup dan syahdu. Membangkitkan rasa dingin dan indah untuk dinikmati.

“Maafkan kalau tok bertanya?” Dengan secara tiba-tiba sahaja kata-kata itu keluar daripada mulutnya.

“Tak mengapa? Apa dia, tok?” soal Abu dengan cepat.

“Mengapa kau berhenti kerja di bandar tu?” Persoalan yang dibangkitkan oleh Tok Ketua kepada Abu.

“Bukan rezeki saya nak kerja selama-lamanya di tempat tu, tok,” jawab Abu dalam nada suara yang tenang. Sebagai orang tua yang berpengalaman dalam asam garam kehidupan Tok Ketua mengerti dengan jawapan yang diberikan oleh Abu itu. Dia enggan bertanya soalan itu lagi.

“Sabarlah, Abu. Setiap yang Tuhan tentukan kepada kita itu ada hikmahnya.” Tok Ketua memberikan kata-kata semangat kepada anak muda kampungnya. Abu sebaliknya diam. Apa yang dikatakan oleh Tok Ketua itu memang benar. Hidup ini adalah satu pengembaraan. Perlu dilalui dengan kuat dan tabah untuk mencapai puncak kejayaan. Tok Ketua kemudiannya lalu mengalih tajuk perbualan yang semakin rancak itu.

“Balik semula pada cerita Udin, Seman dan Yazid. Aku sebenarnya kecewa, Abu. Sepatutnya usia muda mereka digunakan untuk memajukan kampung ni dengan mengusahakan tanah-tanah yang terbiar. Bukannya membuang masa di warung Pak Akop,” terang Tok Ketua sambil membetulkan duduk.

“Mungkin dengan duduk seharian di warung Pak Akop adalah budaya hidup mereka di kampung ni. Sedangkan tak berfaedah langsung seperti yang tok katakan. Tapi bagi saya tidak sekali-kali, tok. Hidup mati saya tetap dengan warisan bertani. Bukan untuk diri saya seorang sahaja. Malahan demi kemajuan kampung ini jua,” ikrar Abu sebaliknya.

Tok Ketua benar-benar berasa kagum dengan azam dan semangat Abu itu. Seorang anak muda yang tidak mengenal erti kecewa dan putus asa dalam hidup. Bangkit membina kekuatan dengan memilih cara mengerah keringat muda di bawah terik demi melihat kampung ini berjaya dan maju setaraf dengan kampung-kampung lain. Menjelang senja Abu pun pulang ke rumah.

Malam. Suasana alam dibungkus dengan kedinginan dan kesejukan. Bulan bersinar indah. Kerlipan bintang-bintang menghiasi dada awan gelap. Angin malam bertiup lembut. Bisikan hembusan merdu angin malam menyusup ke seluruh desa tercinta dan permai. Bunyi cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan mewarnai malam yang pekat.

Di sini dia benar-benar merasa akan ketenangan dan kedamaian. Seolah-olah satu nikmat dirasakannya. Mengalir melimpah-ruah umpama air sungai. Selepas pulang daripada surau Abu duduk di anjung rumah. Dia teringat akan kata-kata Tok Ketua siang tadi. Serentak dengan itu juga dia teringat akan kisah sewaktu dia bekerja di Bandar dahulu. Segar mengais-ngais di ingatannya.

“Saya tak sanggup melakukan kerja ni, Encik Roslan. Ini kerja yang terkutuk. Rasuah salah di sisi undang-undang dan agama!” bantah Abu dengan terang-terang.

“Awak ni, Abu. Dalam dunia perniagaan kita mesti lakukan apa saja. Baru boleh kita maju dan berjaya,” jelas Encik Roslan yang berambut lurus dan berbadan gempal. Berusia dalam lingkungan awal 50-an. Memakai baju kemeja berlengan panjang berwarna merah hati dan bertali leher kelabu.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya terpampan pada dinding batu berwarna merah jambu itu. Abu baru setahun bekerja dan dia benar-benar merasa tersepit. Antara arahan majikan dan perbuatan yang nyata salah di sisi undang-undang negara.

“Banyak lagi cara untuk mendapatkan projek tu, Encik Roslan. Bukannya dengan cara macam ini. Salah. Saya tetap tak setuju!” tentang Abu habis-habisan. Encik merasa sungguh terkejut apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Roslan. Daripada duduk tersandar di atas kerusi pusing dia pantas menarik muka ke depan. Memandang wajah Abu dengan perasaan penuh tidak puas hati.

“Sebagai pekerja awak sepatutnya melaksanakan tugas yang saya beri. Demi kebaikan awak dan syarikat ni jugak. Saya sebagai pengurus syarikat ni saya tahu apa yang terbaik untuk syarikat tempat awak bekerja. Awak tak berhak untuk mempertikaikan tindakan saya!” Dia sebaliknya mengeluarkan nada yang sungguh keras. Abu cuba menjawab namun terhenti. Bunyi ketukan pintu kedengaran.
“Masuk!” sahut Encik Roslan dengan meninggikan kepala untuk melihat siapa yang masuk. Mereka sama-sama berpaling ke arah pintu yang terbuka. Razali muncul sambil mengukir senyuman kecil. Tetapi penuh dengan makna yang hendak disampaikan pada pengurus syarikat itu.

“Awak rupanya, Razali. Hah, duduklah!” arah Encik Roslan pantas. Razali lalu menarik kerusi yang berwarna hitam itu dan duduk. Dia kemudiannya melontarkan jelingan tajam ke arah Abu yang duduk di sebelahnya dan berpaling ke arah Encik Roslan.

“Maafkan saya kalau mengganggu perbincangan, Encik Roslan,” dia bersuara.

“Tak mengapa. Ada apa awak nak jumpa saya. Pasal projek perumahan Taman Mewah tu ke?” soal Encik Roslan pula.

“Memang pun. Saya ada berita baik nak beritahu Encik Roslan ni,” Razali membalas.

“Kita dapat projek tu ke, Roslan?” tanya Encik Roslan lagi dalam nada suara yang penuh gembira.
“Tentulah dapat. Tengoklah Encik Roslan siapa yang uruskan. Tak macam orang lain. Bagi kerja senang macam tu pun tak boleh buat. Lebih baik berhenti ajelah kerja,” ucap Razali dengan penuh bangga dan sombong. Kata-kata sindirannya yang tajam itu juga menyakitkan hati Abu apabila didengar. Sabar! Detik hati kecilnya pula.

“Bagus! Pekerja macam awak nilah saya mahukan. Pangkat pun cepat naik,” puji Encik Roslan. Abu sebaliknya mendiamkan diri. Dia tidak mahu masuk campur dalam perbualan Encik Roslan dan Razali. Lebih senang memilih cara itu. Walaupun pedih seperti ditikam sembilu rasanya. Dilontarkan dengan kata sindiran yang pedas dan tajam oleh pengurus syarikat dan rakan sejawatannya.

“Cara saya dapatkan projek tu mengikut seperti yang diarahkan oleh Encik Roslan,” Razali menambah lagi.

“Tak silap saya ambil awak bekerja di syarikat ni. Ada orang tak sedar dek untung. Masa minta kerja dulu cakap macam-macam. Semua boleh buat. Tapi bila dah ambil kerja melawan pulak!” Encik Roslan bersuara dalam nada suara menyindir yang boleh membuat hilang kesabaran kepada orang yang mendengarnya.
Jam tepat menunjukkan pukul 1:00 tengah hari. Macam biasa Abu dan Hanisah menjamu selera di Restoran Bayu. Masakan kampung menjadi pilihan utama mereka.

“Apa kau nak berhenti kerja? Sungguh ke ni, Abu. Atau kau cuma nak bergurau.” Hanisah berasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Abu.

“Betul, Hanisah. Bukannya gurauan atau olok-olok,” kata Abu pula sambil melekatkan straw ke bibir dan menghabiskan sisa-sisa air teh ‘o’ ais limau. Pinggan yang tadinya penuh berisi dengan nasi putih, gulai ikan sembilang panggang masak cili api, kangkung goreng, sambal belacan, ikan masin dan pucuk ubi rebus telah kosong.

“Kenapa kau ambil keputusan secara tiba-tiba ni, Abu? Kau fikirlah masak-masak. Sekarang ni kerja bukannya senang dapat. Lulusan universiti pun ramai yang menganggur,” tegah Hanisah pula.

“Aku tak nak bersubahat dengan kerja haram. Rezeki yang aku dapat tak berkat. Apatah lagi bila kita dah hidup bersama nanti. Keluarga kita hidup dengan cara duit yang tak betul,” terang Abu pada buah hatinya yang bermuka bujur sirih dan kelihatan ayu dengan tudung berwarna perang.
“Cuba kau jelaskan dengan aku. Apa sebenarnya ni? Aku benar-benar tak fahamlah,” pinta Hanisah sebaik-baik sahaja selesai menghabiskan air limau ais.

“Syarikat tempat aku bekerja tu menjalankan perniagaan dengan cara yang salah. Memberi rasuah dalam mendapatkan tender projek,” Abu bersuara.

“Memang eloklah kau berhenti kerja. Nasib kau pun tak tahu lagi. Silap-silap pihak berkuasa tahu kau pun akan diseret ke muka pengadilan. Tapi kalau kau berhenti nanti kau nak kerja apa?” tanya Hanisah lagi yang sungguh cantik memakai baju kurung berwarna biru muda dengan corak bunga.

“Kerjalah apa yang setaraf dengan kelulusan aku,” kata Abu.

“Bila kau nak masuk meminang ni. Dah lama aku tunggu. Takkan asyik nanti-nanti aje. Macam yang kau selalu cakap.” Hanisah memerangkapnya dengan permintaan yang amat berat untuk ditunaikannya. Tambahan pula dalam keadaan yang dialaminya sekarang.

“Hanisah. Sabarlah. Kalau dah jodoh tak ke mana. Biarlah kedudukan aku tegap dan kukuh dulu. Aku nak pastikan belanja dan wang hantaran betul-betul cukup. Kau takkan tak faham zaman sekarang. Bukannya macam zaman ayah dan mak kita dulu. Jauh sekali bezanya. Umpama langit dan bumi,” Abu sebaliknya menjawab dengan penuh panjang lebar.

“Yalah. Tunggu ajelah. Sampai aku ni jadi anak dara tua. Barulah kau nak masuk meminang agaknya,” rengus Hanisah pula.

“Perli nampak?” dia cepat mencelah.

“Tak ada peril-perli. Kenyataan!” jelas Hanisah sambil melemparkan jelingan manja.

“Semakin kau menjeling semakin cantiklah kau ni. Ni yang buatkan aku sayang dan tak boleh lupakan kau walau sekejap pun,” usik Abu sambil ketawa kecil.

Di luar hujan yang tadinya turun renyai-renyai telah pun berhenti. Matahari belum lagi kelihatan. Langit perlahan-lahan nampak cerah semula. Orang ramai berduyun-duyun di dada aspal jalan menyambung semula urusan yang terhenti akibat daripada hujan yang turun renyai-renyai. Begitu juga dengan kenderaan. Menderu di atas jalan yang licin.

Selang beberapa bulan kemudian dia pun menghantar notis berhenti kerja. Encik Roslan sedikit pun tidak berasa terperanjat dengan keputusan yang diambilnya itu. Memang ternyata khidmatnya tidak diperlukan lagi. Selepas beberapa hari berhenti kerja dia mendapat pekerjaan di sebuah kilang membuat plastik. Namun begitu nasibnya tidak begitu baik. Dia hanya sempat bekerja selama seminggu sahaja. Kilang tempat dia bekerja telah musnah akibat kebakaran. Abu kemudiannya diterima bekerja sebagai pelayan di kedai makan kepunyaan Pak Hussein yang terletak tidak jauh dari rumah yang disewanya.

Tetapi nasib malang terus menimpanya. Dia hanya sempat bekerja selama tiga hari sahaja. Pak Hussein dengan tiba-tiba meninggal dunia secara mengejut akibat diserang sakit jantung. Kedai makannya terpaksa ditutup kerana isterinya tidak mampu untuk mengusahakannya lagi. Berbulan-bulan lamanya Abu terpaksa menjadi penganggur. Puas dia mencari pekerjaan tetapi semuanya tak dapat. Sehinggakan dia terpaksa menjual motosikal untuk mendapatkan perbelanjaan untuk membayar sewa rumah dan mengisi perut. Bak kata pepatah Melayu sudah jatuh ditimpa tangga. Satu hari peristiwa yang tidak diduga sama sekali akan berlaku telah terjadi dalam hidup Abu.

Cuaca kelihatan mendung. Bola matahari tidak nampak langsung. Ditutupi oleh awan dan langit kelabu. Desiran ombak seakan-akan lemah menghempas pantai. Buih-buih memutih seperti tidak bermaya berapungan di gigian pantai. Membasuh butiran pasir halus dan batu-batu kecil. Angin bertiup perlahan menyapu seluruh alam semesta. Pohon-pohon cemara yang tumbuh di tepi-tepi pantai mengikut rentak irama angin. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama dalam nada pilu. Manakala daun-daun kering pula berguguran satu persatu berselerakan di atas butiran pasir yang halus dan putih.

“Sebagai manusia kita tak berdaya untuk menolak takdir Tuhan, Hanisah ….” Abu mengeluarkan nada suara yang lemah dan sayu-sayup tenggelam bersama bunyi deruan ombak yang menghempas pantai.

“Maafkan aku, Abu …. Aku terpaksa menurut kehendak ayah aku …. Menerima Rohaizad sebagai suami …. Anak Pak Cik Jamil kawan baik dia ….” Suara Hanisah teresak-esak menahan tangisan.

Rasa kesedihan jelas membalut jiwanya. Hakikatnya dia amat menyayangi Abu. Dia telah berjanji untuk sehidup semati bersama dengan Abu. Namun begitu apakan daya sudah tersurat. Kasih yang dibinanya dengan Abu hanya seketika sahaja. Ibarat setitis embun pagi yang membasahi dedaunan hijau di pagi hari. Akan kering apabila terbit matahari. Demi tidak mahu dianggap sebagai anak derhaka dia menurut sahaja kehendak ayah dan ibunya.

Bagi Abu pula impian yang disemainya untuk membina mahligai bahagia bersama dengan Hanisah musnah berderai. Umpama kaca yang terhempas ke batu. Tidak mungkin akan dapat bercantum kembali. Sangkanya panas hingga ke petang tapi rupanya hujan di tengah hari. Cinta itu memang indah. Dipenuhi dengan warna-warna berseri. Tapi bila terluka pedihnya sehingga ke akhir hayat. Sukar untuk dilupakan dan bersemadi segar di ingatan buat selama-lamanya.

Dia memandang dalam-dalam seperti lautan biru wajah Hanisah yang dibalut pilu. Titis-titis air matanya yang mengalir membasahi pipinya yang lembut itu bagai hujan yang turun mencurah-curah. Menyirami bumi yang tandus dan gersang. Namun begitu di sebalik gelora kesedihan yang menghiasi jiwanya wajah Hanisah tetap ayu dan jelita diusapi bayu yang bertiup dari arah laut dengan penuh lemah gemalai. Abu pantas menarik nafas panjang dan mendongakkan kepala melontarkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah laut membiru yang tenang.

“Demi kebahagiaan kau dengan pilihan keluarga kau …. Aku relakan perpisahan ini …. Walaupun dengan hati yang berat …. Seperti memikul seketul batu yang besar rasanya …,” rintih Abu dalam nada suara yang sayu dan penuh pilu. Dia tidak mampu menangisi perpisahan ini dengan deraian air mata. Sebaliknya menahan sebak dalam hati.

Hanisah hanya tunduk dan mendiamkan diri apabila mendengar luahan kekasihnya itu. Dia tidak berupaya lagi untuk menyusun kata. Dunianya terasa sepi dan gelap selepas ini tanpa pemuda bernama Abu yang begitu lama dicintainya. Selepas ini dia akan melayari kehidupan dengan insan yang bernama Rohaizad. Tak pernah seumur hidupnya dia mencintai Rohaizad.

Tapi apakan daya. Mahu atau tidak mahu. Begitu juga rela atau tidak rela dia terpaksa menumpahkan kasih pada pemuda itu yang menjadi suaminya. Semata-mata demi memenuhi hasrat dan jauh sekali tidak mahu melukakan hati kedua-dua orang tuanya. Hanisah berpegang teguh pada ungkapan bahawa kekasih hati ramai boleh dicari tetapi ibu bapa yang menjaganya dari kecil sehinggalah dewasa sehingga ke hari ini hanya satu sahaja dalam dunia ini.

Air mata Hanisah semakin banyak tumpah membasahi pipinya dan mengalir turun perlahan-lahan di atas butiran pasir yang halus. Kepiluan ternyata menyiat-nyiat di jiwanya yang kala ini dilanda kosong dan pasrah. Meratapi kehilangan Abu yang amat dicintainya dan amat berat baginya sebagai seorang wanita untuk menerima kenyataan ini. Namun begitu sebagai insan di dunia yang sementara ini dia terpaksa akur. Benar kata Abu. Ini semua adalah suratan takdir. Harus diterima dengan hati yang penuh redha.

Sementara itu langit semakin hitam. Hujan lalu turun dengan lebat. Seolah-olah bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan kekasih ini. Abu akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Bagi mengubati dan menghilangkan hatinya yang kecewa dalam kehidupan dan percintaan. Biarlah ia menjadi sejarah dan kenangan buat selama-lamanya. Selagi dia masih lagi bernafas di atas muka bumi. Siang melihat matahari dan malam melihat rembulan. Tetap terpahat dan tidak akan terpadam.

Jauh benar Abu mengelamun. Mengenangkan kisah-kisah lalu.
Seharusnya ia tidak perlu dikenang lagi. Umpama air sungai yang mengalir biarkan sahaja ia mengalir. Tiada gunanya dikenangkan lagi kerana ia sudah terjadi. Tetapi bagi Abu tidak kerana ia mengandungi banyak pengajaran dan teladan. Darinya akan membina kekuatan untuk terus melangkah dalam mengharungi arus kehidupan. Biarpun disedari seperti menapak kerikil-kerikil tajam di jalanan. Perlu dengan ketabahan dan kesabaran agar kaki tidak luka dan sampai ke tempat yang dituju. Sedar-sedar hari sudah larut malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience