BAB 6

Drama Completed 192

IKUT HATI

Petang itu Haji Hambali telah dipilih oleh orang-orang kampung sebagai pengerusi masjid yang baru. Haji Usop yang sudah tiga kali memegang jawatan pengerusi masjid gagal mempertahankannya. Dia terus pulang ke rumah.

Setibanya di rumah dia lalu duduk tersandar di atas kerusi kusyen di ruang tamu rumah. Di luar cuaca begitu panas sekali. Angin bertiup perlahan. Menyapu seluruh kampung yang indah dan permai. Pohon-pohon bagai menari-nari. Meliuk-liuk dengan sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Daun-daun yang bergeseran di antara sehelai sama lain seperti bernyanyi-nyanyi. Mengeluarkan irama yang sungguh merdu membelah jiwa dan memecahkan suasana.

Melalui jendela yang terbuka luas Haji Usop melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah bukit-bukau yang subur menghijau. Berhadapan dengan rumahnya. Memikirkan kegagalannya mempertahankan jawatan pengerusi masjid.
Entah di mana silapnya! Orang-orang kampung tidak lagi memilih dia untuk memegang jawatan pengerusi masjid. Buat kali yang keempat. Lamunannya pantas terhenti. Mak Kiah isterinya muncul.

Dia mengalihkan pandangan ke arah isterinya sambil menarik nafas yang panjang. Mak Kiah lalu duduk bertentangan dengannya.

“Cepat abang balik. Macam mana dengan pemilihan pengerusi masjid tadi?” tanya Mak Kiah.

“Sudah!” Haji Usop pantas melenting. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut isterinya itu.

“Awak jangan sebut lagi perkara tu. Mulai hari ni awak sembahyang aje di rumah. Tak usah pergi lagi ke masjid tu!” sambung Haji Usop lagi. Semakin keras nada bunyi suaranya.

“Eh! Kenapa dengan abang ni? Angin tak tentu pasal. Balik-balik terus aje marah. Cuba abang cerita. Apa sebenarnya dah berlaku ni,” Mak Kiah berkata dengan rasa yang penuh hairan.

“Pasal pemilihan pengerusi masjid tadilah,” terang Haji Usop pula.
“Kenapa pulak, bang?” Mak Kiah menyoal suaminya. Dengan rasa penuh minat. Untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku. Membuatkan suaminya naik angin apabila pulang ke rumah.

“Ada ke Haji Hambali yang dilantik sebagai pengerusi masjid yang baru. Dia tu apa yang tahu tentang hal masjid. Lainlah macam saya ni. Dah tiga kali memegang jawatan pengerusi masjid. Sepatutnya saya yang terus dipilih,” Haji Usop bersuara.

“Dah tu kehendak orang kampung. Terima ajelah. Takkanlah kerana tak dipilih lagi sebagai pengerusi abang jadi marah. Sampai tak nak jejakkan kaki ke masjid,” tambah isterinya.

“Sedapnya awak bercakap. Awak ingat jadi pengerusi masjid ni senang ke? Tanggungjawabnya berat tahu tak. Saya takut nanti Haji Hambali nama aje pengerusi. Tapi tak dapat mengimarahkan masjid. Macam yang saya buat,” jelas Haji Usop.

Cuaca cerah menyinari seluruh kampung. Bersama deru angin yang jelas terasa perlahan dan nyaman. Selepas menunaikan solat Asar Haji Hambali, Tok Ketua dan Tok Imam duduk di luar masjid.
“Alhamdulillah. Ramai juga orang datang berjemaah di masjid ni setiap waktu,” Haji Hambali berkata. Sambil memandang wajah Tok Ketua dan Tok Imam. Yang duduk berhadapan dengannya.

“Harap-harap begitulah. Apa rancangan haji untuk mengimarahkan masjid ni. Bila dah dilantik sebagai pengerusi?” tanya Tok Ketua.

“Betul jugak kata Tok Ketua tu. Macam mana kita nak tarik orang selalu datang ke masjid ni selain daripada menunaikan sembahyang berjemaah,” Tok Imam mencelah.

“Saya bercadang mengadakan pelbagai program keilmuan agama dan menjadikan masjid ni sebagai tempat penduduk kampung untuk hidup bermuafakat dan menghindarkan perpecahan seperti yang dituntut dalam agama Islam,” ucap Haji Hambali.

“Bagus sekali cadangan haji tu. Sama-samalah kita berdoa. Moga usaha murni kita ni diberkati Allah hendaknya,” sokong Tok Ketua pula.

“Insya-Allah!” Tok Imam mengangguk-anggukkan kepala.
“Kalau kita ikhlas berbuat kebaikan tanpa mengharapkan ganjaran akan diberkati Allah SWT di dunia dan akhirat,” tambah Tok Imam lagi.

Awan putih tebal dan langit biru tidak lagi kelihatan. Sebaliknya bertukar menjadi kelabu. Matahari masih lagi kelihatan di kaki langit. Bersama warna seperti buah pinang masak. Tanda senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam.

Demikianlah perjalanan hidup ini. Begitu pantas masa berlalu. Datang dan pergi tanpa disedari. Baru tadi pagi menjelma. Bertukar ke tengah hari dan beransur petang. Tak lama lagi malam akan menjelma.

Mahu atau tidak hari ini terpaksa ditinggalkan. Esok hari baru akan bermula. Hidup ini yang seperti perjuangan mesti diteruskan. Selagi diizinkan bernafas oleh Tuhan di atas dunia yang sementara ini.

“Kau nak ke masjid ke, Imran?” tanya Haji Usop. Apabila melihat anaknya lengkap dengan bersongkok, berbaju Melayu dan berkain pelikat.

“Ya, ayah! Kan waktu maghrib dah nak masuk ni. Marilah kita pergi, ayah!” ajak Imran.
“Tak payah kau pergi ke masjid!” Haji Usop bersuara sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak payah? Eh! Kenapa pulak, ayah? Kan sembahyang berjemaah di masjid lebih besar pahalanya,” Imran menjawab.

“Itu betul. Tak payah kau nak mengajar ayah. Dah! Lebih baik kita sembahyang jemaah di rumah,” ujar Haji Usop.

“Biarlah dia nak ke masjid. Buat apa nak ditahan, bang. Imran! Pergilah!” kata Mak Kiah.

“Yalah, mak! Ayah! Saya pergi dulu!” mohon Imran.

“Itulah awak. Manjakan anak sangat. Sampai cakap saya pun dia tak dengar.” Haji Usop melepaskan rasa tidak puas hati pada isterinya.

“Kenapa dengan abang ni, hah? Sejak dari tak dilantik lagi menjadi pengerusi langsung tak mahu menjejakkan kaki ke masjid,” isterinya berkata.

“Dah seminggu Haji Hambali dilantik menjadi pengerusi masjid. Satu program pun tak dibuatnya. Untuk mengimarahkan masjid. Harap orang datang sembahyang aje. Tak macam saya dulu. Macam-macam program saya buat. Lebih-lebih lagi bulan puasa,” terang Haji Usop.

“Dalam membuat ibadah hendaklah ikhlas. Bukannya menunjuk-nunjuk dan disebut-sebut. Allah tak suka sifat macam tu,” Mak Kiah menasihatkan suaminya.

“Awak ni sama macam Imran!” Haji Usop dengan tiba-tiba sahaja naik berang apabila mendengarkan kata-kata isterinya itu.

“Bang …!” Mak Kiah terhenti.

“Saya ni suami. Awak tu isteri. Jangan nak mengajar saya. Apa? Awak ingat saya ni dah lupa. Mana yang baik. Mana yang buruk dalam agama!” suaminya pantas memotong dengan mengangkat kepala tinggi memandang wajah Mak Kiah. Haji Usop kemudiannya pantas bangun dari kerusi dan meninggalkan Mak Kiah di ruang tamu yang terus diam.

Malam. Di kaki langit awan yang hitam jelas kelihatan rembulan bersama kerlipan bintang yang indah. Kedinginan. Jelas terasa membelah suasana. Desiran angin membisikkan irama merdu. Membuai kesyahduan. Jiwa yang dibalut kesepian jadi terhibur. Apabila angin malam mengusapi pohon-pohon dan daun-daun.
Kemerduan bunyi tiupan angin yang membelah malam jelas terasa nikmatnya apabila dihayati. Semua ini adalah anugerah Tuhan sebagai pencipta untuk makhluknya. Di alam fana ini. Kesyukuran. Sesungguhnya itulah yang perlu diungkapkan.

Haji Hambali, Tok Ketua, Tok Imam dan penduduk kampung selesai menunaikan solat Isyak. Setelah bersalaman dengan semua jemaah Imran mengatur langkah menuju ke pintu masjid.

“Imran!” panggil Haji Hambali.

“Hah, pak haji rupanya. Ingatkan siapa tadi,” Imran membalas.

“Seorang aje?” Haji Hambali menyoal.

“Ya, pak haji!” angguk Imran dengan cepat.

“Sebenarnya pak haji ni ada hal nak bincang dengan Imran ni,” jelas Haji Hambali.

“Bincang? Bincang apa, pak haji? Macam ada perkara penting aje nampaknya.” Imran sebaliknya seperti berasa pelik apabila mendengar permintaan pengerusi masjid yang baru itu.
“Imran ada hal ke? Kalau Imran nak balik tak apalah. Lain kali ajelah,” ucap Haji Hambali pula.

“Tak adalah, pak haji. Cakaplah. Apa dia?” tanya Imran pada Haji Hambali.

“Begini. Pak haji bercadang nak buat gotong-royong. Cat baru masjid. Jadi, pak haji nak minta bantuan Imran. Sebagai pengerusi persatuan belia. Libatkan belia di kampung ni dalam gotong-royong tu,” kata Haji Hambali.

“Bagus sekali cadangan pak haji tu. Ada jugak aktiviti persatuan belia di kampung ni. Besok saya akan adakan pertemuan dengan ahli persatuan. Beritahu perkara ni,” Imran membalas.

“Alhamdulillah, Imran!” Haji Hambali mengangguk-anggukkan kepala sambil memegang lembut bahu Imran.

Mak Kiah membawa dulang berisi secawan air teh dan sepinggan keledek goreng. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Asap nipis air teh dan keledek goreng nampak naik ke atas melenggang-lenggang dan kemudiannya hilang. Haji Usop kelihatan leka membaca suratkhabar.
“Minum, bang!” pelawa Mak Kiah.

“Yalah!” Haji Usop sebaliknya menjawab sambil melipat suratkhabar dan meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi dan beralaskan kain berwarna pucuk daun hijau muda.

Haji Usop perlahan-lahan menghirup air teh yang masih panas itu. Di luar cuaca kelihatan redup. Angin yang datang dari arah bukit bertiup perlahan. Pokok-pokok dan daun-daun seperti menari-nari. Mengikut rentak angin. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa. Menyapu seluruh suasana petang. Yang nampak tenang dan damai.

“Imran mana?” tanya Haji Usop sambil meletakkan semula cawan ke bawah.

“Dia jumpa ahli persatuan belia. Hah! Itu pun dia. Imran! Mari minum. Nanti mak ambilkan cawan,” ucap Mak Kiah dan bingkas bangun menuju ke dapur.

“Apahalnya kau berjumpa dengan ahli persatuan belia?” Haji Usop menyoal anaknya.

“Haji Hambali nak libatkan belia kampung ni dalam gotong-royong mengecat baru masjid,” terang Imran.

“Apa? Cat baru masjid? Itulah dia. Pengerusi apa namanya ni. Macam mana nak imarahkan masjid!” bantah Haji Usop dengan sekeras-kerasnya akan hasrat murni pengerusi baru masjid itu.

“Eloklah tu, bang. Dengan cara tu jugak dapat mengumpulkan orang-orang kampung dan anak-anak muda. Gotong-royong kan amalan mulia. Masjid pun jadi imarah,” celah Mak Kiah sambil meletakkan cawan yang berisi air teh di atas meja.

“Yang awak ni tak tahu hujung pangkal tiba-tiba aje menyampuk ni pasal apa?” Haji Usop memandang wajah isterinya dengan rasa yang tidak puashati apabila turut menyokong apa yang dilakukan oleh Haji Hambali.

“Betul kata mak tu, ayah. Hidup berkampung ni hendaklah bermuafakat dan tolong-menolong. Yang berat sama dipikul. Yang ringan sama dijinjing. Seperti yang dituntut dalam agama,” celah Imran pula.
“Masjid dibina bukan sahaja tempat beribadat. Perlu diimarahkan jugak. Kau orang muda. Perlu tahu semua tu. Jangan sedap aje bercakap!” Haji Usop jelas enggan mengalah.

“Entahlah, Imran …. Tak tahulah ayah kau ni. Sebut aje masjid dengan Haji Hambali terus melenting. Ada aje yang tak kena. Tak fahamlah, mak …,” keluh Mak Kiah.

“Apa tidaknya saya bangkang. Cara Haji Hambali mengimarahkan dengan bergotong-royong mengecat baru masjid tu saya dah buat dulu. Takkan cara yang sama. Dia sepatutnya buat sesuatu yang baru. Kalau betul orang-orang kampung lantik dia untuk buat perubahan dia kena buktikan. Jangan sedap aje pegang jawatan. Tapi hasil tak ada!” tegas Haji Usop lagi.

Pagi. Matahari kelihatan beransur-ansur meninggi di kaki langit.

“Tok! Tok perasan tak. Dah lama Haji Usop tak datang ke masjid. Yalah! Sejak tak dilantik lagi menjadi pengerusi masjid,” Haji Hambali bersuara.

“Ya tak ya jugak. Saya pun perasan. Apa, dia tak sihat ke?” tambah Tok Imam pula.
“Entahlah ….” Tok Ketua sebaliknya mengeluarkan nada suara yang perlahan.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Pak Abu muncul sambil membawa dulang yang berisi makanan dan minuman yang dipesan. Dengan perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Haji Hambali memilih air kopi, Tok Ketua memilih air teh o manakala Tok Imam pula memilih Nescafe.

Setelah meletakkan makanan dan minuman di atas meja Pak Abu pantas beredar dari situ. Sebelum menjamah makanan dan minuman yang dipesan doa dibaca terlebih dahulu oleh Tok Imam.

“Apa yang saya tahu dia kecewa. Sebab tak dilantik lagi. Menjadi pengerusi masjid,” jelas Tok Ketua pada Haji Hambali dan Tok Imam.

“Ya ke? Kenapa sampai begitu sekali? Saya tak ada niat nak merampas jawatan tu dari dia. Orang-orang kampung yang melantik saya. Kenalah saya pikul tanggungjawab yang diamanahkan walaupun berat. Umpama memikul seketul batu besar!” Haji Hambali berasa sungguh terkejut. Apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh Tok Ketua itu.
“Bagi saya Haji Usop bagus sewaktu menjadi pengerusi masjid. Macam-macam dia buat untuk mengimarahkan masjid. Sampaikan masjid kita ni pernah dipilih sebagai masjid contoh. Tapi …. Kenapa dia jadi begitu. Sampai tak jejakkan kaki lagi ke masjid,” Tok Imam menambah pula.

“Apa kata kita jumpa dia. Kita pujuk dia. Datang semula ke masjid. Kalau kita tak buat macam tu nanti dia anggap kita memang nak menyingkirkan dia. Sebagai pengerusi masjid. Mudah-mudahan dia berubah bila kita berjumpa dia. Bagi saya kita tidak boleh biarkan keadaan ini berlaku. Disebabkan tidak lagi menjadi pengerusi masjid seorang jemaah kita mencari jalan untuk berpecah-belah,” cadang Haji Hambali dengan panjang lebar.

“Memang elok cadangan haji tu. Ini baru dia seorang. Saya takut. Lama-kelamaan nanti ada pulak pengikutnya. Susah kita nanti,” sokong Tok Ketua sambil menikmati nasi lemak dan teh o.

“Kita mesti bertindak segera untuk menangani perkara ni. Perkara yang baik mesti disegerakan. Takut datang perkara buruk pulak nanti. Apa kata lepas asar nanti kita ke rumah dia,” Tok Imam mencelah.

“Elok benarlah tu, Tok Imam. Lepas asar nanti dari masjid kita terus ke rumah Haji Usop,” Haji Hambali bersuara.

Panas terik terasa hingga ke petang. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Menyirami seluruh kampung.

Langit biru bersama awan tebal memutih jelas kelihatan. Terang-benderang. Angin yang datang dari arah bukit-bukau yang subur menghijau tidak menentu. Adaketikanya kencang. Adakalanya perlahan.

Rasa bahang panas tak terasa. Apabila angin bertiup kencang. Membelah seluruh kampung dan hutan rimba. Sebaliknya angin yang bertiup perlahan tidak dapat mengurangkan rasa bahang panas. Dari cahaya yang menyimbah keluar dari matahari di kaki langit tinggi.

Selepas menunaikan solat Asar seperti yang dijanjikan Haji Hambali, Tok Ketua dan Tok Imam menaiki motosikal masing-masing menuju ke rumah Haji Usop.

“Di mana saya nak beribadat itu hak saya. Tak semestinya di masjid. Di rumah pun boleh. Lagipun saya ni dah tak dilantik lagi menjadi pengerusi masjid. Buat apa datang. Malu aje!” Haji Usop berkata.
“Apa yang nak dimalukan haji. Dalam masjid kita semua sama. Tak ada beza pangkat dan darjat,” nasihat Haji Hambali pula.

“Dahlah tu, haji. Buang semua tu. Sebagai bekas pengerusi masjid segala pandangan dan buah fikiran haji masih lagi kita perlukan. Untuk mengimarahkan masjid. Seperti yang haji lakukan dulu. Sebab itulah kami dating berjumpa dengan haji,” Tok Ketua sebaliknya mencelah.

“Kan Haji Hambali ni dah dilantik sebagai pengerusi masjid yang baru. Saya ni cuma bekas pengerusi aje. Orang-orang kampung termasuk Tok Ketua dan Tok Imam tak nak saya pegang jawatan tu lagi. Apa yang boleh saya buat.” Haji Hambali menyatakan pendiriannya. Tidak mahu bekerjasama dengan Haji Hambali. Pengerusi masjid yang baru.

Tok Imam pantas beristighfar dan berasa terkejut. Sebaik-baik sahaja mendengar apa yang diperkatakan oleh Haji Usop itu.

“Kenapa sampai begitu sekali anggapan haji. Tak semestinya yang baru akan Berjaya memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Tanpa sokongan dan bantuan. Dari yang lama. Macam selalu yang disebut dalam pepatah. Kalau tak ada yang lama. Mana mungkin ada yang baru,” ujar Tok Imam.
“Benar kata Tok Imam tu, haji. Saya hormat haji sebagai bekas pengerusi masjid. Saya masih baru memegang jawatan. Saya kenal haji. Arif tentang tugas seorang pengerusi dan berjaya mengimarahkan masjid. Saya kagum dengan haji. Bagi saya haji adalah contoh terbaik sebagai seorang pengerusi. Banyak berkorban tenaga dan masa. Demi kesejahteraan dan perpaduan umat Islam di kampung ni,” celah Haji Hambali pula. Dalam nada suara yang lembut dan penuh makna apabila dihayati.

Entah mengapa! Dengan tiba-tiba sahaja Haji Usop jadi terdiam. Kata-kata Haji Hambali itu benar-benar melenturkan hatinya yang selama ini keras. Hanya berpunca tidak lagi dilantik sebagai pengerusi masjid.

“Itulah sebabnya Haji Hambali ajak saya dan Tok Imam jumpa haji. Bagi kami tak sepatutnya haji dipinggirkan. Apabila tidak lagi dilantik sebagai pengerusi masjid. Sudahlah tu, haji. Seperti yang dikatakan oleh Haji Hambali tadi demi perpaduan umah yang telah sekian lama kita bina di kampung ni saya merayu haji kembalilah semula. Meneruskan perjuangan mengimarahkan masjid yang haji tanamkan semasa menjadi pengerusi dulu. Walaupun sudah bertukar pucuk pimpinan persefahaman dan kerohanian yang haji tinggalkan kepada para jemaah masih lagi kukuh dan bertahan biarpun pengerusi sekarang adalah Haji Hambali,” ucap Tok Ketua pula sambil memandang dalam-dalam wajah Haji Usop. Bersama harapan yang menggunung tinggi.

“Sama-samalah kita berdoa. Moga apa yang haji semaikan akan terus hidup dan subur. Bagi kita menunaikan amanah Allah untuk menegakkan syiar Islam. Insya-Allah!” Tok Imam menambah sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Haji Usop terus mendiamkan diri. Dia menarik nafas yang panjang. Wajah Haji Hambali, Tok Ketua dan Tok Imam dipandangnya silih berganti. Perasaannya benar-benar tersentuh.

Jasa dan sumbangannya semasa menjadi pengerusi masjid masih lagi dikenang. Tidak lagi memegang jawatan pengerusi masjid. Namun Haji Hambali pengerusi masjid yang baru menagih buah fikiran dan sokongan darinya. Sebagai orang yang memegang jawatan selama tiga penggal.

Rasa terharu dengan tiba-tiba sahaja menyelubungi jiwanya. Harapan dan kepercayaan! Masih lagi diletakkan di atas bahunya. Walaupun sekarang bergelar bekas pengerusi masjid. Dia berasa bersalah. Sekiranya menghampakan harapan Haji Hambali dan ahli jawatankuasa masjid.

“Saya minta maaf. Kalau apa yang saya, Tok Ketua dan Tok Imam katakana menyinggung perasaan haji. Tapi kami lakukan semua ini demi kebaikan bersama jugak,” Haji Hambali bersuara.

Berat mulut Haji Usop untuk membalas apa yang diperkatakan oleh Haji Hambali, Tok Ketua dan Tok Imam. Apa yang bersarang di fikirannya adalah merenung akan kebenaran kata-kata mereka itu. Tak lama kemudian Mak Kiah muncul sambil membawa dulang berisi empat cawan air teh dan sepinggin kuih cekodok pisang. Menjelang lewat petang barulah Haji Hambali, Tok Ketua dan Tok Imam meninggalkan rumah Haji Usop.

Keesokan harinya Haji Usop mengajak anak dan isterinya menunaikan solat Subuh di masjid. Di wajah Mak Kiah dan Imran jelas tergambar rasa penuh kesyukuran dan kegembiraan. Haji Usop telah berubah. Kembali menjejakkan kaki semula ke masjid.

Bukan Haji Usop yang tiba-tiba jauh hati dari masjid. Kerana gagal mempertahankan jawatan pengerusi masjid yang telah disandangnya sebanyak tiga kali. Setibanya di masjid dia bersalaman dan berpelukan erat dengan Haji Hambali, Tok Ketua dan Tok Imam.

“Maafkan saya, haji. Kerana terlalu mengikutkan rasa kecewa. Hingga memusuhi haji,” kata Haji Usop pada Haji Hambali.

“Sudahlah tu, haji. Lupakanlah apa yang telah berlaku. Yang penting kita sembahyang berjemaah semula di masjid ni,” Haji Hambali membalas. Senyuman dan rasa gembira jelas terukir di wajah pengerusi masjid yang baru itu.

“Memang benar apa yang diperkatakan oleh Haji Hambali tu. Tak usahlah dikenangkan lagi apa yang telah berlaku. Saya harap haji akan memberikan sokongan dan bantuan untuk mengimarahkan masjid ni,” Tok Ketua menambah pula.

“Insya-Allah, tok!” angguk Haji Usop dengan pantas.

“Saya akan curahkan sepenuh tenaga dan sokongan demi masjid ni. Selagi diberi nafas oleh Tuhan. Saya bersyukur. Dapat datang semula ke masjid ni. Terima kasih haji, Tok Imam dan Tok Ketua kerana telah menginsafkan saya,” sambung Haji Usop lagi.
“Alhamdulillah! Eh! Asyik berbual aje ni terlupa pulak kita. Waktu subuh pun dah masuk. Marilah kita ke dalam!” Tok Imam sebaliknya mengajak.

Mereka lalu mengatur langkah masuk ke dalam masjid. Tak lama kemudian kedengaran azan subuh dilaungkan oleh Borhan bilal masjid.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience