BAB 15

Drama Completed 192

KISAH DI SEBUAH NEGARA YANG BERNAMA PAWANA JINGGA

Rasuah. Semakin menular di kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Di sebuah negara yang bernama Pawana Jingga. Rasuah salah di sisi undang-undang. Malahan dilarang keras oleh agama.

Kalau hendak mencari rezeki carilah dengan cara yang halal. Barulah berkat hidup. Bukannya dengan cara yang haram. Yakni rasuah. Itulah yang diajar oleh agama. Demikianlah yang sering ditekankan oleh Imam Besar Negara Pawana Jingga. Kepada pegawai-pegawai kerajaan. Setiap kali dalam kuliah mahupun ceramah agama yang disampaikannya.

Disebabkan rasuah negara boleh runtuh. Imej negara tercalar di mata dunia. Ibarat penyakit yang merbahaya. Perlu dicegah dengan segera. Sebelum ia menjadi lebih merbahaya lagi. Pesanan Ketua Intergriti dan Amanah Negara Pawana Jingga. Kepada pegawai-pegawai kerajaan.

Ketua Negara Pawana Jingga bernama Dato’ Orang Kaya Laksamana. Baginya rasuah adalah perkara biasa. Di mana-mana negara pun dalam dunia ini ada rasuah. Lagipun apa salahnya pegawai-pegawai kerajaan mendapat habuan. Hasil daripada susah payah mereka memberikan tender kepada syarikat-syarikat untuk melaksanakan projek-projek mewah di Negara Pawana Jingga. Setelah mendapat kelulusan daripada dia. Sebagai ketua negara. Itulah jawapan yang diberikannya. Apabila dinasihatkan oleh Ketua Intergriti dan Amanah. Supaya mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Yang terlibat dengan rasuah.

Hari ini Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga akan diadakan di pejabat Dato’ Orang Kaya Laksamana. Ia diadakan pada setiap minggu. Permuafakatan atau dalam bahasa mudahnya bermaksud mesyuarat diadakan adalah bertujuan untuk membincangkan hal-hal berkaitan dengan Negara Pawana Jingga.

Seperti biasa sebelum mesyuarat bermula Setiausaha Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga akan berjumpa terlebih dahulu dengan Dato’ Orang Kaya Laksamana. Selaku pengerusi mesyuarat. Untuk membincangkan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat. Yang mana untuk diluluskan. Dan yang mana untuk ditolak. Mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Dalam Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga.
“Apa agenda utama mesyuarat hari ni?” tanya Dato’ Orang Kaya Laksamana. Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang biliknya itu.

“Mengenai pembelian senjata canggih, dato’,” jawab Setiausaha Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga.

“Dah lantik syarikat?” soalnya lagi.

“Setakat ni baru mesyuarat sebutharga. Ketua Tentera yang pengerusikan,” jelas Setiausaha Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga kepada Dato’ Orang Kaya Laksamana.

“Baiklah!” dia pantas mengangguk-anggukkan kepala. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Setiausaha Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga itu.

“Kita akan putuskan dalam mesyuarat nanti. Awak boleh pergi,” kata Dato’ Orang Kaya Laksamana.

Setiausaha Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga lalu meninggalkan bilik Dato’ Orang Kaya Laksamana. Pembelian senjata canggih mengingatkan dia pada Syarikat Teguh. Di mana pemiliknya adalah Tuan Sidek. Jutawan yang terkenal di Negara Pawana Jingga.

“Dato’ cakap. Berapa saja saya akan beri. Asalkan dapat tender ni,” Tuan Sidek berjanji pada Dato’ Orang Kaya Laksamana.

Kata-kata Tuan Sidek itu membuatkan dia tergelak kecil.

“Kenapa?” Tuan Sidek pantas mengangkat kepala. Apabila melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Dato’ Orang Kaya Laksamana itu.

“Dato’ tak percaya cakap saya!” dia menyambung lagi. Sambil menggeleng-gelengkan kepala dan memandang wajah Dato’ Orang Kaya Laksamana. Yang duduk berhadapan dengannya.

“Bukan begitu maksud saya!” Dato’ Orang Kaya Laksamana juga menjawab dengan gelengan kepala.

“Dah tu?” Tuan Sidek bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas memotong.

“Tender ni mahal harganya, Tuan Sidek,” ujarnya.
“Jadi, dato’ nak habuan dua kali ganda atau lebih daripada harga tender tu.” Dia cepat menangkap bayangan yang diberikan oleh Dato’ Orang Kaya Laksamana itu.

“Awak maklum ajelah, kan. Kalau awak dapat tender mewah, saya sebagai kuasa pelulus harus juga mendapat habuan mewah.” Dia tidak malu untuk berterus terang pada Tuan Sidek.

“Itu tak jadi masalah, dato’. Dapat aje bayaran daripada tender ni saya akan beri habuan tiga kali ganda. Sepertimana yang dato’ minta,” tambah Tuan Sidek.

Tersenyum Dato’ Orang Kaya Laksamana apabila mendengar janji yang ditaburkan oleh Tuan Sidek itu. Dalam kepalanya sudah terbayang. Akan kehidupan mewah dengan rasuah. Benar kata orang. Kepimpinan sebenarnya adalah melalui teladan. Itulah sebabnya pegawai-pegawai kerajaan Negara Pawana Jingga kuat mengamalkan rasuah. Kerana ketua negaranya begitu juga. Malahan menggalakkan lagi amalan rasuah di kalangan mereka.

Sebelum mesyuarat bermula Dato’ Orang Kaya Laksamana memanggil Ketua Tentera ke biliknya. Seperti ada perkara sulit. Yang hendak dibincangkannya dengan Ketua Tentera. Dia baru saja dilantik memegang jawatan itu. Menggantikan Ketua Tentera yang sebelum ini telah tamat tempoh perkhidmatannya.

“Ada apa dato’ panggil saya?” dia menyoal.

“Berkenaan dengan pembelian senjata canggih. Saya difahamkan awak dah buat mesyuarat sebutharga. Untuk melantik syarikat dalam tender tu,” Dato’ Orang Kaya Laksamana bersuara.

“Benar! Kenapa, dato’?” ulangnya lagi.

“Ada tak nama Syarikat Teguh masuk dalam tender ni?” dia bertanya kepada Ketua Tentera.

“Ada!” Dengan pantas dia mengangguk-anggukkan kepala. Menjawab pertanyaan ketua negaranya itu.

“Lantik syarikat ni!” arahnya.

“Tapi, dato’ harga yang dikemukakan oleh Syarikat Teguh adalah terlalu mahal. Berbanding dengan Syarikat Kiambang.” Ketua Tentera memberikan penjelasan kepada Dato’ Orang Kaya Laksamana.
“Maksud awak Syarikat Kiambang lebih layak untuk mendapatkan tender ni?” Dia mengangkat kepala melihat muka Ketua Tentera.

“Benar, dato’!” angguknya.

“Ahli Jawatankuasa Sebutharga telah memutuskan dalam mesyuarat untuk melantik Syarikat Kiambang. Saya dah pun siapkan laporan. Untuk dibentangkan dalam Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga,” ucap Ketua Tentera pula sebaliknya.

“Tapi awak mesti ingat. Sebagai Pengerusi Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga kuasa untuk memilih syarikat dalam sebarang tender adalah di tangan saya. Bukannya di tangan awak. Faham!” Dia mengeluarkan nada suara yang keras. Marah. Ketua Tentera yang baru dilantik ini seperti mempertikaikan kuasa yang ada padanya.

Ketua Tentera lantas terkejut apabila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Dato’ Orang Kaya Laksamana itu.

“Ini sudah melanggar dasar negara kita, dato’. Setiap perlantikan syarikat dalam tender hendaklah disokong terlebih dahulu oleh ahli-ahli Permuafakatan Ketua-ketua Berjawatan Negara Pawana Jingga. Sebelum diluluskan oleh dato’ sebagai kuasa pemutus. Dia mengingatkan ketua negaranya itu.

Api kemarahan Dato’ Orang Kaya Laksamana semakin marak apabila mendengar kata-kata Ketua Tentera itu.

“Sudah!” tengkingnya dengan sekuat-kuat hati sambil menghentak meja. Seluruh bilik terasa seperti bergegar.

“Ini adalah arahan. Sekarang awak pilih. Nak ikut arahan atau awak saya pecat!” ugutnya.

“Saya rela meletakkan jawatan. Daripada bersengkongkol dengan dato’. Melanggar dasar negara yang telah dipegang selama ini!” Ternyata Ketua Tentera tidak berasa gentar dengan ugutan Ketua Tentera Negara Pawana Jingga itu.

“Baiklah!” sambut Dato’ Orang Kaya Laksamana pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau itu yang awak pilih, silakan!” katanya lagi.

“Tapi sebelum tu izinkan saya untuk bercakap sesuatu,” celah Ketua Tentera.

“Apa dia?” dia pantas memotong kata-kata Ketua Tentera itu.

“Saya sungguh kesal. Kerana terdapat kroni dalam pemilihan tender. Saya harap dato’ hentikanlah perbuatan yang tak elok ini. Rasuah mencemarkan nama baik Negara Pawana Jingga,” nasihatnya.

“Kurang ajar!” herdik Dato’ Orang Kaya Laksamana.

“Awak tahu tak awak bercakap dengan siapa. Sudah! Keluar! Hantar surat perletakan jawatan awak sekarang jugak!” dia menghalau Ketua Tentera.

Tanpa membuang masa lagi Ketua Tentera pantas bangun daripada kerusi. Dan meninggalkan bilik Dato’ Orang Kaya Laksamana.

Disebabkan menjadi hamba rasuah Dato’ Orang Kaya Laksamana sanggup mengubah dasar negara. Demi untuk memenuhi impiannya menikmati kesenangan dan kemewahan hidup. Sementara itu wabak rasuah di kalangan pegawai-pegawai kerajaan semakin merebak. Sehingga ke peringkat bawahan. Sukar untuk dibendung.
Ketua Intergriti dan Amanah lalu mengemukakan pelan tindakan. Kepada Dato’ Orang Kaya Laksamana. Dengan harapan Ketua Negara Pawana Jingga itu akan menerima kertas cadangannya itu. Sebagai penawar yang paling mujarab. Kepada penyakit rasuah. Yang sedang hangat melanda. Di kalangan pegawai-pegawai kerajaan di Negara Pawana Jingga.

“Dato’ telitilah kertas kerja ni. Kita kena bertindak segera. Jangan disebabkan rasuah menjadikan rakyat hilang keyakinan pada kerajaan,” terangnya kepada Dato’ Orang Kaya Laksamana. Mengenai isi kandungan kertas kerjanya itu.

Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri dan membaca kertas kerja yang dibuat oleh Ketua Intergriti dan Amanah.

“Ini semua mengarut!” dia membalas. Sebaik-baik saja selesai membaca kertas kerja itu. Dan meletakkannya di atas meja.

“Mengarut kata, dato’?” Ketua Intergriti dan Amanah berasa amat terkejut. Bila mendengar apa yang dikatakan oleh ketua negaranya itu.

“Kertas kerja awak ni lebih elok dibuangkan ke dalam tong sampah aje!” dia berkata dengan rasa penuh sombong dan bongkak.
“Tapi ini soal maruah Negara, dato’,” sampuk Ketua Intergriti dan Amanah pula.

“Cukup!” bentaknya.

“Walau apa pun yang awak cadangkan untuk memerangi rasuah di negara ini saya tak akan terima!” putus Dato’ Orang Kaya Laksamana.

Ketua Intergriti dan Amanah berasa amat kecewa dengan tindakan ketua negaranya itu. Yang tidak mahu menerima pelan tindakan yang dirangkanya itu. Untuk memastikan Negara Pawana Jingga bebas daripada rasuah. Dia kemudiannya lalu mengikut jejak langkah Ketua Tentera. Mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Ternyata Dato’ Orang Kaya Laksamana menggunakan kuasa yang ada padanya sebagai Ketua Negara Pawana Jingga dengan sewenang-wenangnya. Sesiapa yang didapati anti-rasuah akan dipecat. Atau disuruh untuk meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, pemilihan ketua negara baru yang diadakan setiap dua tahun sekali mengikut perlembagaan Negara Pawana Jingga akan diadakan tidak lama lagi.
Kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Dato’ Orang Kaya Laksamana untuk terus mengetuai Negara Pawana Jingga semakin hilang. Ditambah pula dengan kempen yang dijalankan oleh bekas Ketua Intergriti dan Amanah untuk memerangi rasuah. Di mana mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat. Sehingga dia dicalonkan untuk bertanding dengan Dato’ Orang Kaya Laksamana. Bagi pemilihan jawatan Ketua Negara Pawana Jingga. Bekas Ketua Intergriti dan Amanah bukan saja mendapat sokongan daripada rakyat. Malahan juga daripada Ketua-ketua Berjawatan dan Ketua Tentera yang telah dipecat.

“Rasuah adalah satu perbuatan yang terkutuk dan keji. Marilah kita sama-sama membersihkan negara ini daripada rasuah. Agar hidup kita sentiasa sejahtera dan dirahmati Tuhan. Dan menikmati kesejahteraan serta kemakmuran negara selamanya!” Kata-kata semangat yang dilaungkan oleh bekas Ketua Intergriti dan Amanah. Setiap kali dalam kempen. Disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh rakyat. Sebagai tanda sokongan.

Berbanding dengan Dato’ Orang Kaya Laksamana. Penyokong-penyokongnya terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai kerajaan.

“Saya yakin. Jawatan saya tak akan dapat dirampas oleh lawan saya!” dia berkata dalam nada suara yang berbunyi angkuh.
“Tuan-tuan nak tahu kenapa saya berani berkata begitu?” Dia memandang wajah penyokong-penyokongnya yang ada di dalam dewan.

“Nak!” sahut mereka beramai-ramai.

“Sebabnya adalah dengan menggunakan wang, mereka akan terus memilih saya sebagai Ketua Negara Pawana Jingga. Tuan-tuan tahu, kan. Dengan wang kita boleh membeli segala-galanya. Termasuk sokongan rakyat!” tambahnya lagi dengan lantang.

“Hidup Dato’ Orang Kaya Laksamana! Hidup Dato’ Orang Kaya Laksamana! Hidup Dato’ Orang Kaya Laksamana!” pekik penyokong-penyokongnya. Seluruh dewan gamat dengan bunyi suara mereka.

Kegembiraan jelas kelihatan di wajahnya bersama rasa keyakinan yang tinggi. Untuk terus kekal memegang jawatan Ketua Negara Pawana Jingga. Buat tiga penggal berturut-turut.

Akhirnya waktu yang ditunggu pun tiba. Seluruh rakyat Negara Pawana Jingga pun keluar beramai-ramai. Untuk menjalankan kewajipan. Bagi memilih ketua negara yang baru. Sebelum hari mengundi berlangsung Dato’ Orang Kaya Laksamana menjalankan dengan apa yang telah dirancangnya. Dengan menaburkan wang. Untuk memancing undi. Agar rakyat terus memilihnya. Sebagai Ketua Negara Pawana Jingga.

Namun apa yang diharapkannya itu tidak menjadi kenyataan. Rakyat menolak mentah-mentah tawarannya itu. Akibatnya dia tewas kepada bekas Ketua Intergriti dan Amanah. Dalam pemilihan Ketua Negara Pawana Jingga yang baru.

Sebaik-baik sahaja dia dilantik sebagai Ketua Negara Pawana Jingga yang baru langkah pertama yang dilakukannya adalah memerangi rasuah dengan habis-habisan. Orang pertama yang ditangkapnya ialah Dato’ Orang Kaya Laksamana. Seterusnya pegawai-pegawai kerajaan. Mereka kemudiannya telah dibicarakan di mahkamah. Dan dijatuhkan hukuman penjara. Atas kesalahan rasuah.

Melalui tirai tembok besi Dato’ Orang Kaya Laksamana termenung jauh memikirkan nasibnya bersama rasa penyesalan di atas kesalahan yang telah dilakukannya selama ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience