BAB 12

Drama Completed 192

KISAH SEORANG ISTERI

Kata orang kahwin itu wajib. Islam menggalakkan perkahwinan dengan tujuan untuk membunuh maksiat. Kahwin bermaksud kongsi hidup waktu nikmat. Kalau ikut sunah Nabi, kahwin sampai empat. Itu Nabi. Manusia biasa lain. Nabi dan manusia biasa kan jauh berbeza, mana nak sama sifatnya.

Aku telah berumah tangga hampir empat tahun. Dengan gadis pilihanku sendiri. Ini zaman sains dan teknologi. Bukan zaman feudal lagi.

Kalau di zaman feudal, jodoh anak-anak di bawah bidang kuasa ibu dan bapa. Kami telah dikurniakan seorang cahayamata perempuan. Amirah namanya. Usianya baru menjangkau tiga tahun. Nakal, keletah dan penghibur. Denganku amat manja sekali. Tak pernah dimarah dan dipukul.

Hari itu, aku pulang agak lewat dari pejabat. Terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan.
Sampai sahaja di muka pintu, aku terus membuka stokin dan kasut. Kemudian meletakkannya di atas rak kasut di sudut pintu rumahku. Lampu anjung di ruang tamu masih terang-benderang lagi. Begitu juga dengan rumah-rumah jiranku yang lain. Aku melihat jam di tangan. Baru pukul 9:00 malam rupanya. Amirah telah lama dibuai mimpi. Cuma isteriku yang masih belum tidur lagi. Mungkin dia setia menanti kepulanganku.

“Lambat balik hari ni!” tegur isteriku penuh makna sebaik-baik sahaja aku melangkah ke ruang tamu.

Diam. Aku tidak menjawab. Sebaliknya aku melonggarkan ikatan tali leher yang menjerut leherku sejak dari pagi tadi.

Rimas sekali rasanya. Aku melabuhkan punggung di atas sofa yang lembut berwarna merah hati. Beg hitam yang kubimbit, perlahan-lahan kuletakkan di atas permaidani yang berwarna biru tua. Mataku galak memerhatikan bingkai lukisan dan ayat-ayat suci al-Quran yang melekap di dinding. Aku menarik nafas panjang melepaskan penat kemudian baru menjawab:
“Banyak kerja di pejabat ...,” ujarku lembut.

“Banyak kerja atau ...,” celahnya sambil menjelingku.
“Sudahlah tu. Awak ni fikir yang bukan-bukan. Saya sedar saya dah ada tanggungjawab,” potongku lagi sambil merenung tajam ke arahnya.

“Dahlah tu, bang. Pergilah mandi. Hidangan pun dah siap,” ujarnya lalu beredar ke dapur. Lega rasanya hatiku.

“Baiklah.” Aku bingkas bangun dan membimbit beg yang berwarna hitam naik ke bilikku.

Selepas mandi dan menunaikan solat Isyak aku menikmati hidangan makan malam. Gulai asam pedas ikan cencaru, sayur goreng campur, goreng ikan kering serta pucuk ubi rebus cicah dengan sambal belacan amat menyelerakanku. Bak kata orang, mentua lalu haram tak pandang. Selepas makan aku tidak lupa mengucap syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana mengurniakan rezeki buatku sekeluarga. Kalimah Alhamdulillah kulafazkan.

“Sedap betul Lina masak,” pujiku sambil mengesat tangan dan mulut dengan sehelai tuala kecil.

“Sedap lagi makan di restoran!” sindirnya pula.
Aku cuma tersengih bila mendengarnya. Berdesing juga telingaku. Aku mengambil keputusan untuk memendamkannya. Dengan alasan aku tidak mahu perkara ini berpanjangan. Takut melarat pulak nanti. Nanti susah jadinya!

Dia seolah-olah melepaskan protes yang telah lama bersarang di jiwanya. Memang benar aku jarang balik ke rumah untuk makan tengah hari bersama keluarga. Tak sempat. Terlalu banyak tugas yang perlu dibereskan. Singgah sahaja di mana-mana warung yang sempat.

Kadangkala aku terpaksa pergi out-station hingga meninggalkan mereka berminggu-minggu semata-mata untuk mencari rezeki yang halal. Bukan pergi berfoya-foya atau berhibur. Ini untuk kesenangan dia dan anak-anak juga. Mungkin dia masih belum faham. Namun aku masih menaruh harapan agar suatu hari nanti dia akan menemui sinar pengertian.

Aku masih teringat lagi kata-kata kawanku Majid.

“Kalau nak pilih isteri, carilah yang solehah.” Mukanya bersih. Warak dan sentiasa bertakwa pada Allah. Tugas seorang isteri ialah menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak. Dalam konteks lain perlulah pandai memasak, mengemas rumah, mengaji al-Quran dan menjahit.

Yang lebih zalim ada juga segelintir lelaki yang menganggap wanita hanya untuk mendapatkan zuriat semata-mata. Tidak boleh keluar rumah. Aku tidak setuju sama sekali kerana wanita juga adalah manusia biasa dan mempunyai hak kebebasan.

Bagiku perencah dalam kebahagiaan rumah tangga adalah persefahaman, tolak ansur dan kasih sayang.

Itu pendapatku. Lain orang lain pendapatnya. Masing-masing mempunyai citarasa tersendiri dalam menentukan pilihan.

Tetapi kadangkala terdapat juga perselisihan faham yang kecil. Adatlah tu, pinggan mana yang tak retak. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan.

Leteran seorang isteri tidak ubah macam bertih digoreng. Atau adakalanya seperti suara lebah. Apabila sesuatu yang tak kena dalam rumah atau diri suaminya. Amirah selalu menjadi sasaran kemarahan isteriku apabila dia berasa tidak puas hati. Dicubit dan diherdiknyalah budak tu tak henti-henti. Alamat terpekik terlolonglah budak tu.
“Kenapa awak buat dia macam ni?”

“Jangan manjakan anak bang oi! Nanti dipijaknya kepala!” Itulah jawapan yang kuterima setiap kali aku cuba bersuara. Sepatutnya aku yang menanggung ini semua, bukannya Amirah. Bak kata pepatah, marahkan pijat habis semua kelambu dibakar.

Hari minggu aku tak boleh berehat langsung. Sedangkan seluruh dunia telah memutuskan bahawa hari minggu adalah hari untuk berehat setelah seminggu penat bekerja.

“Bangunlah, bang! Matahari dah tinggi,” sergahnya setiap kali aku menarik kain selimut. Dua tiga kali kata-kata yang sama diulangnya. Kerana tidak tahan dengan hujah-hujahnya yang panjang lebar, aku bingkas bangun. Terus menggosok gigi dan mandi. Selepas sarapan, aku mencuci kereta.

“Kita pergi ke pasar, bang.” Isteriku terjengul di muka pintu sebaik-baik sahaja aku selesai mencuci kereta.

“Baiklah!” anggukku tanda setuju.
Di pasar dia memang pakar dalam memilih barang-barang keperluan dapur. Memang layak dia bergelar seorang suri rumah tangga. Aku hanya tahu menyuap sahaja. Getusku sendirian.

“Bang! Janganlah nak berlenggang saja. Tolonglah angkat bakul ni. Dukunglah Amirah ni!” Kerahnya bertalu-talu. Macam muntahan peluru dari mulut senapang.

“Ya ...,” aku mengalah.

Balik saja dari pasar, aku berehat di ruang tamu sambil menatap akhbar. Kedua-dua belah kaki kusilangkan. Amirah dengan dunianya, berlari keriangan ke sana sini. Dengan alat-alat permainannya. Isteriku menjinjing bakul dan terus membawanya ke dapur untuk memulakan tugasnya. Melihat keadaanku yang senang-lenang, isteriku pun mula berceloteh.

“Bang! Jangan asyik nak duduk aje. Tolonglah saya masak. Buat apa yang patut. Karang awak juga yang nak makan!”

Bila hari raya hampir tiba, aku dan isteriku tak sah kalau tak bertikam lidah.
“Raya tahun ni, kita balik rumah abanglah.” Aku memberi cadangan.

“Balik kampung sayalah,” bantah isteriku.

“Kan tahun lepas kita dah balik. Tahun ni, giliran abanglah pulak.”

“Itu tahun dulu!” sahut isteriku pula.

Tapi hakikat penyudahannya satu pihak perlu mengalah. Bila aku mengambil cuti tahunan, dia pasti mengajak aku pulang ke kampung.

“Bang, tadi saya baru terima surat daripada ayah.”

“Apa katanya?”

“Dia suruh kita bawa Amirah balik. Sekarang ni musim buah.”

“Baiklah!” anggukku setuju. Kadangkala suami perlu bertoleransi.

Sekali-sekala aku mahu lari daripada suasana hiruk-pikuk di kota dan mencari ketenangan serta kedamaian di kampung. Itulah ubatnya apabila hidup diulit dengan kebosanan. Dan bonet keretaku akan sarat dengan buah durian, rambutan, langsat, manggis dan macam-macam lagi.

Walau apa pun yang ditafsirkan, dia tetap menjadi isteriku yang sah. Aku sentiasa memunajatkan doa ke hadrat Allah s.w.t agar hidup kami diberkati dan dirahmati-Nya. Dan moga kami dapat hidup bersama buat selama-lamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience