BAB 11

Drama Completed 192

SETELAH HUJAN BERHENTI

Awan hitam sudah tidak kelihatan lagi. Langit kembali terang. Hujan telah pun reda. Bahang matahari yang keluar terasa pedih bila menggigit permukaan kulit. Lopak-lopak air bertakungan di atas jalan. Aku lalu mengatur langkah. Ke mana ya? Aku sendiri tak pasti. Kuala Lumpur terlalu besar. Bukan macam desa.

Orang ramai berkeliaran di dada aspal jalan. Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 1:00 tengah hari. Perut sudah mula melagukan keroncong. Minta supaya diisikan. Tanpa berfikir panjang lagi, kakiku lantas menyeberangi jalan untuk menuju ke restoran yang terletak di situ.

Sebaik-baik sahaja aku melangkah masuk suasana tetap tenang seperti biasa menyambut kunjungan pelanggannya.

Pelanggan tidak beberapa ramai hanya boleh dikira dengan jari tetapi jelas sekali mengeluarkan suara labah. Begitu juga dengan tingkah sudu dan garpu. Aku memilih sudut yang paling sepi. Bebas daripada sebarang gangguan.
Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang restoran.

Belumpun sempat aku memanaskan punggung pelayan lalu menghampiri. Aku lalu mengangkat kepala. Orangnya berbadan kurus.

“Pesanan, cik?” tanyanya sambil berdiri tegak di sisi meja. Tanpa berlengah lagi aku lantas mengeluarkan suara:
“Mi goreng.”

“Minum?”

“Teh tarik.” Dia kemudiannya cepat berlalu pergi dari situ. Tanpa berkata walau sepatah pun.

Mataku liar memerhatikan setiap sudut ruang restoran.

Pelanggan nampaknya sudah semakin ramai. Waktu makan tengah hari telah pun tiba.

Aku asyik memerhatikan sebuah lukisan pemandangan banjaran gunung yang menghijau serta sawah padi yang terbentang luas.
Sekali-sekala aku menengadah ke siling. Terasa bosan bila keseorangan. Tanpa seorang yang bernama teman di sisi. Kalau ada Liza .... Sudahlah. Peristiwa yang amat menyakitkan itu buat apalah lagi untuk dikenang. Biarkanlah sahaja ia berlalu.

Lamunanku terhenti buat seketika. Pelayan lalu membawa makanan dan minuman yang dipesan. Dengan penuh tertib dia meletakkannya perlahan-lahan di atas meja. Aku memerhatikan sahaja gelagatnya itu.

“Terima kasih!” ucapku sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sama-sama!” balasnya bersama senyuman ramah.

Tanpa menunggu arahan lagi dia berlalu pergi. Aku menikmati hidangan dengan penuh rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Sisa-sisa mi goreng yang masih tinggal sedikit sahaja lagi turut kuhabiskan. Bukankah Islam amat melarang keras sekali pembaziran? Selepas makan aku tidak lupa untuk mengucapkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran yang tak terhingga di atas rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepadaku.

Aku tetap bersyukur. Negara kita tidak mengalami bencana kebuluran seperti yang dialami oleh negara Ethiopia.

Sedang aku dilambung ombak lamunan, tiba-tiba aku terdengar suara orang menangis teresak-esak. Bunyinya seperti suara seorang perempuan. Dari mana ya? Aku mula mencari-cari. Rupanya ia datang daripada sudut yang paling tepi sekali.

Aneh! Pelanggan yang lain tidak mendengarnya.

Mungkin mereka sedang asyik menikmati hidangan.

Melayani perut yang kosong. Kuamati betul-betul. Orangnya masih muda lagi. Dalam lingkungan usia awal 20-an. Mungkin dia sedang mengalami masalah. Di sisinya terdapat sebuah beg yang berwarna hitam penuh sarat. Mungkinkah dia lari daripada rumah? Entahlah, aku sendiri pun tak tahu? Firasatku tak henti-henti membuat tafsiran.

Baik aku dekati.

Manalah tahu kalau boleh aku menolong. Bukanlah maksudnya aku hendak mengambil kesempatan. Hendak menunjukkan bakat seperti buaya darat. Memang dasar lelaki suka mengambil kesempatan. Di atas sifat wanita yang lemah.

Tanpa tertunggu-tunggu lagi aku lalu mengangkat kedua-dua belah kaki untuk menghampirinya.

Dia kuperhatikan hanya memesan segelas air teh ais limau. Kedua-dua biji matanya bengkak. Berwarna merah seperti biji saga. Mungkin kerana terlalu banyak menangis.

Aku tak henti-henti memerhatikan gelagatnya.

Dia sebaliknya tunduk. Tanpa memandang ke kiri atau kanan pun. Orangnya cantik. Laksana bulan yang jatuh ke riba. Walaupun wajahnya dibelit kesedihan.

Sudah!

Jangan pandang lama-lama sangat. Nanti jatuh cinta pulak. Bermula daripada mata kemudian perlahan-lahan turun ke hati. Tapi, mengapa pula dia jadi begini?

Mulutku dengan tiba-tiba sahaja begitu ringan untuk mengeluarkan kata-kata.

“Maafkan saya saudari ...,” aku bersuara perlahan. Sambil mengukir senyuman yang penuh berbunga.

Dengan lemah dia mendongakkan muka. Bola mata kami saling berlaga. Dia terus diam. Sementara itu, aku masih lagi berdiri di sisi meja.

“Boleh saya duduk?” aku meminta izin.

Dia cuma mengangguk diam.

“Terima kasih,” aku bersuara lagi sambil menarik kerusi. Dan pantas melabuhkan punggung. Hawa dingin termampan di dinding.

“Saudari ....” Aku terhenti buat seketika.

Mataku tunak memandang wajahnya. Sebaliknya dia enggan membalas renunganku. Dengan memalingkan muka ke arah dinding yang pejal. Seperti benci memandang wajahku. Seolah-olah aku berdosa kerana pernah menyakiti hatinya. Namun aku tetap mengerti.
Kemudian aku lalu berkata:
“Nampaknya saudari ada masalah.”

Sambil sempat mencuri pandang pada air yang tidak habis diminumnya. Saudari ....” Aku kembali semula mengangkat muka.

“Saya Kamal. Saudari ....”

“Hasni ...,” dia cepat menjawab dalam nada suara yang lemah.
“Selamat berkenalan!” aku mengangguk pantas.

Dia lalu menarik nafas yang panjang. Agak lama kemudian barulah dia mengangguk diam.

Dengan pantas dia bersuara:
“Maafkan saya di atas perlakuan yang tidak menyenangkan saudara tadi.”

“Oh, tidak mengapa!” Aku mengangkat muka tinggi sedikit.

“Tinggal di mana?” tanyaku bertubi-tubi kali. Umpama muntahan peluru daripada muncung senapang.
Sebaik-baik sahaja soalan itu diajukan, wajahnya pantas disapa bungkam.

“Entahlah ....” Dia kembali diam.

Aku sengaja memberi dia peluang untuk mengutarakan penjelasan.

Dari raut wajahnya aku telah pun dapat membaca. Dia sedang menghadapi masalah yang amat berat sekali. Seperti dihempap oleh seketul batu yang amat pejal dan besar.

“Kalau Hasni nak makan, orderlah. Soal pembayaran jangan khuathir. Saya ada!” Aku memecahkan ruang kebisuan.

“Tak!” geleng.

Selepas daripada reaksi itu aku lalu mendongakkan kepala.

“Baiklah. Cuba Hasni ceritakan kepada saya apa yang sebenarnya telah terjadi?”

Dia tambah ayu bila mengenakan baju kurung yang berwarna biru muda. Serta bersulamkan tompok-tompok bunga kuning keemasan. Kedinginan terasa memeluk seluruh tubuh. Hasni membetulkan rambutnya yang mengerbang sedikit. Akibat disapu oleh hawa dingin.

Kedua-dua biji mataku tidak berkelip-kelip. Kemudian barulah dia bersuara:
“Saya tak berdaya lagi untuk meneruskan hidup ....” Jelas sekali masalah yang sedang dihadapinya menjadikan dia seperti putus harapan.

“Kenapa?” Aku semakin berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi.

“Lelaki,” jawabnya pendek. Dia mengeluarkan nada suara yang malas. Aku telah pun dapat membaca apa yang sedang tersirat di dasar hatinya. Jawapan yang ditemui ialah dia telah dikecewakan.

Tanpa berlengah lagi aku pantas menyampuk:
“Maksud Hasni, gagal dalam bercinta?” Serentak dengan itu aku membetulkan tempat duduk.

Wajahnya berkerut.
“Hidup saya penuh dengan noda dan dosa.” Aku lalu terkesima.

“Apa pula hubung kaitnya dengan percintaan?” Hairan. Aku benar-benar tidak mengerti. Macam berteka-teki pula. Sebaliknya aku berpura-pura seperti menyembunyikan sesuatu.

“Memang dasar lelaki mengibaratkan wanita tak ubah seperti sekuntum bunga. Habis madu sepah lalu dibuang. Dan kelopaknya kekeringan layu satu persatu. Apabila sudah tidak berguna lagi.” Dia meluahkan seribu penyesalan. Yang telah lama terpendam di lubuk hatinya.

Bila mendengar kata-kata itu, aku lalu menggelengkan kepala sebagai tanda membantah.

“Hasni jangan salah tafsiran.”

“Salah tafsiran?” Dia merasa hairan sehinggakan kening dan kepalanya terangkat. Mungkin ungkapan itu menyebabkan fikirannya naik buntu.

“Ya!” aku mengangguk sebagai tanda menyatakan sokongan terhadap pendapat itu.
“Atas alasan apa?” Hasni nyata sekali enggan mengalah terus mempertahankan haknya.

“Tak semua lelaki bersikap begitu.” Aku cuba untuk meyakinkan dirinya. Agar hatinya tidak luntur dan mempercayai semula kata-kata daripada seorang lelaki.

“Tapi, Kamal ....” Dengan tiba-tiba sahaja dia enggan berbicara.

Mulutnya seperti terkunci rapat. Entah mengapa? Aku sendiri tak pasti. Namun dia terpaksa menggagahinya jua.

“Ini adalah suatu kenyataan!” katanya sambil membulatkan kedua-dua biji matanya.

Aku tidak sanggup membiarkan kekusutan terus-menerus melanda jiwanya.

“Baiklah! Hasni, apa yang telah terjadi sebenarnya?” Dia tidak berselindung lagi. Dengan lemah dan longlai dia mengangkat muka tepat ke arahku. Dan bersuara:
“Sebenarnya saya adalah seorang pelacur ....” Dia membuat pengakuan.
Dengan serta-merta aku menjadi terkejut bila mendengarnya.

Namun aku tetap menghulurkan simpati dengan nasib malang yang telah menimpa ke atas dirinya.

“Bagaimana Hasni boleh terjebak ke dalam lembah yang hina ini?” Aku lantas mendekatkan muka. Sambil menarik kerusi ke depan sedikit. Kami duduk bertentangan dengan tepat sekali. Persoalan ini amat menarik perhatianku untuk dibincangkan.

“Saya telah diperdaya,” ulangnya lagi.

“Oleh siapa?” Perasaanku bercampur geram dengan marah. Dalang itu bukannya berhati manusia tapi sebaliknya adalah binatang. Suka mengambil kesempatan ke atas kaum yang lemah. Untuk kepentingan diri sendiri.

“Teman lelaki saya sendiri ....” Dia tidak berdaya lagi.

Aku menggelengkan kepala. Sayang. Bunga yang secantik ini menjadi hisapan kumbang yang ganas.

Kesedihan terus membelit wajahnya.
“Saya amat menyayangi dirinya lebih daripada segala-galanya. Tapi sampai hati ....” Nada suaranya tersekat-sekat. Air matanya perlahan-lahan jatuh membasahi pipi. Kemudian lalu disapu dengan sehelai tisu.

Seluruh tubuhku terasa lemah.

Aku memandangnya ke atas dan ke bawah. Amat kasihan melihat dirinya. Aku merenung lama wajahnya yang jelita itu. Hidupnya telah tercemar oleh noda dan dosa. Aku lalu memilih untuk diam membisu seribu bahasa. Untuk memberi kesempatan kepada dia meluahkan segala pengakuan. Nampaknya dia tidak keberatan. Seolah-olah memahami apa yang sedang tersirat dalam isi hatiku.

“Dia amat bijak sekali menggunakan pujuk rayu.”

Aku mengeluh diam. Kemudian perlahan-lahan menarik nafas yang panjang. Bukan sebenarnya mencari ilham.

Memang demikian sifatku memahami sesuatu butir percakapan dahulu sebelum membuat hujah.
Percakapan haruslah bernas. Agar isi benar-benar diterima oleh semua orang. Bukannya kosong semata-mata. Batin yang kosong dan tak berguna langsung.

“Mengapa Hasni mengikut telunjuknya yang kejam itu?”

“Saya terpaksa.” Dia mengangkat kepala tinggi sedikit. Dari raut wajahnya jelas sekali terbayang bahawa dia sudah lama menanggung penderitaan ini.

“Untuk dijadikan boneka!” protesku lagi.

“Kamal tak faham!” dia menggelengkan kepala.

“Saya akan dipukul dan diseksa dengan teruk jika tidak melakukan apa yang disuruhnya,” terangnya. Sebaliknya aku diam membisu seribu bahasa. Sambil mencemikkan bibir. Manakala fikiranku terus berputar ligat bak kipas angin yang mengeluarkan hawa dingin memikirkan hal tersebut.

Agak lama kemudian barulah aku bersuara:
“Hasni melakukan kegiatan ini sepenuh masa?” aku tak henti-henti menyaol. Tak ubah seperti seorang pemberita yang menemuramah seorang tokoh politik yang terkenal.

“Ya ....”

“Selalunya golongan mana yang Hasni pilih?”

“Atasan,” balasnya selamba sahaja. Aku tak putus-putus menyoroti persoalan itu.

“Bagaimana dengan soal bayaran pula?”

“Bahagi dua. Dan selalunya dia mendapat bahagian yang lebih,” jelasnya.

“Oh, begitu!” aku cuma mengangguk.

“Kenapa tak lari sahaja?” sambungku.

“Dah cuba tapi gagal!”

“Tapi sekarang?”
“Saya terpaksa mengopakkan tingkap rumahnya.” Aku mengeluh panjang.

Kerana dia terpaksa menggunakan kudrat seorang lelaki untuk meloloskan diri.

“Kamal ...,” dia merayu. Menagih rasa simpati daripadaku. Dengan harapan yang menggunung tinggi terbenam di lubuk hatinya.

“Saya takut! Dia pasti sedang memburu saya sekarang. Dia pernah berkata kalau saya terlepas dia akan tetap mencari saya sampai dapat hidup-hidup. Hingga ke lubang cacing sekalipun.”

Wajahnya semakin cemas. Aku memandang tepat ke arahnya. Dan lantas berkata:
“Jangan bimbang, Hasni. Saya ada.” Dia sebaliknya berdiam diri. Seperti menunggu arahan yang selanjutnya daripadaku.

“Tinggalkan segera kota yang penuh cabaran ini. Dan pulanglah semula ke tempat asal kelahiran Hasni iaitu kampung halaman,” aku memberi cadangan.

“Tapi Kamal, bagaimana pula tentang keselamatan saya?” dia terus menyanggah. Aku tanpa mengenal erti jemu dan bosan tak kunjung padam menguatkan semangatnya agar tidak pupus. Akibat dibayangi ketakutan.

“Hasni, jangan khuathir. Saya akan temankan Hasni hingga ke Pudu Raya. Percayalah!” Aku memberi jaminan lagi. Dia mengangguk diam sahaja. Sebagai tanda setuju tanpa membantah walau sedikit pun.

Kemudian dia bersuara lagi:
“Kamal .... Masihkah ada peluang untuk saya kembali semula ke pangkal jalan ....” Dia benar-benar merasa insaf. Dengan menyedari diri amat kerdil di sisi-Nya.

Aku lalu menarik nafas yang panjang.

Sambil merenung sinar matanya dengan penuh dalam bak lautan nan luas.

“Hasni, bertaubatlah dengan membersihkan diri daripada segala noda dan dosa. Dan kembali semula ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah itu Maha pengampun,” nasihatku lagi.
Perlahan-lahan dia merunduk layu sambil menahan rasa pilu di hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience