BAB 20

Drama Completed 192

WARKAH MERDEKA SEORANG LELAKI TUA

Warkah merdeka ini ditulis oleh seorang lelaki tua. Ditujukan kepada anak-anak cucunya. Ketahuilah bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan bukanlah mudah. Penuh dengan ranjau dan duri-duri yang menyakitkan. Yang terpaksa ditempuhi. Itulah yang dicatatkan dalam warkahnya.

Sejarah tidak dapat dipisahkan dalam hidup kita yang bernama manusia. Suka atau tidak kita harus menerimanya. Sama ada suka atau tidak. Manis atau pahit. Harus kita telan. Kerana sejarah adalah pengalaman yang paling berharga dalam hidup kita. Sebagai catatan peristiwa yang telah terjadi. Dan bukannya rekaan semata-mata.

Demikianlah pesan lelaki tua itu. Kepada cucu-cucunya. Melalui tulisannya dalam warkah merdeka. Agar cucu-cucunya berasa bersyukur. Betapa nikmatnya kemerdekaan. Hidup dalam suasana bebas tanpa dibelenggu penajajah.

Dia menyandarkan harapan pada cucu-cucunya. Dalam usia muda ibarat sehelai daun hijau agar memiliki api semangat yang berkobar-kobar. Untuk membawa negara ini ke puncak kejayaan. Rela mempertahankan tanah air yang bertuah ini. Daripada sebarang ancaman musuh.

Cucu-cucuku perlu sentiasa bersatu. Dalam apa jua yang dilakukan. Hindarkanlah daripada sebarang bentuk perpecahan. Sebab ia boleh menjadikan negara lemah. Maka mudahlah negara dijajah oleh kuasa asing. Atuk tak mahu perkara ini berulang kembali. Pada cucu-cucu atuk hari ini. Cukuplah atuk seorang saja yang mengalaminya. Antara bunyi tulisannya. Yang mengisi warkah merdeka. Untuk dibaca oleh anak-anak cucunya.

Apabila memandang langit yang tinggi janganlah lupakan rumput di bawah. Walau zaman sentiasa berubah namun janganlah lupa jasa dan pengorbanan wira-wira yang telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara. Mereka rela memilih untuk berkorban. Dan mengetepikan kesenangan hidup. Demi tidak sanggup untuk melihat anak-anak cucu mereka. Hidup merempat di tanah air sendiri. Di bawah telunjuk penjajah.

Pada cucu-cucuku ingatlah bahawa tempat kita bernaung sekarang adalah satu-satunya tanah air kita. Tidak ada dua, tiga mahupun banyak lagi tanah air kita. Di sini kita dilahirkan. Di sini kita dibesarkan. Dan di sini juga kita harus berkorban. Mengikut jejak langkah wira-wira terdahulu. Mempertahankan negara yang bertuah ini. Daripada jatuh ke tangan musuh durjana. Demikianlah pesan lelaki tua itu lagi.

Renungkanlah sejarah penjajahan yang berlaku di negara ini. Portugis, Belanda, British dan Jepun. Ingatlah nama-nama kuasa asing itu. Yang telah menjejakkan kaki di bumi yang bertuah ini. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang begitu gah namanya telah diruntuhkan oleh Portugis. Kemudian datang pula Belanda dan seterusnya British.

Campurtangan British di Tanah Melayu benar-benar membangkitkan rasa kemarahan dan tidak puashati di kalangan orang-orang Melayu. Mereka tidak menghormati raja-raja Melayu dan adat resam. Akibatnya orang-orang Melayu telah bangkit menentang British. Nama-nama seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut dan ramai lagi di mata British adalah penderhaka. Kerana menentang mereka sebagai pemerintah. Tetapi tidak bagi orang-orang Melayu. Mereka adalah pahlawan yang berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Demi membela agama, bangsa dan negara. Pada cucu-cucuku jadikanlah semangat dan perjuangan mereka sebagai teladan.
Masih terbayang dalam fikiran atuk betapa pedih dan sengsaranya hidup dalam zaman yang bernama penjajah. Rakyat menjadi hamba di tanah air sendiri. Keringat dan tenaga rakyat diperah untuk mengerjakan ladang getah dan perlombongan bijih timah. Yang menjadi hasil masyghul utama Tanah Melayu pada waktu itu. Untuk memberikan kekayaan dan kesenangan hidup kepada bangsa British. Wahai cucu-cucuku sekalian sedarilah bahawa rakyat Tanah Melayu hidup dalam penderitaan dan penindasan. Dalam zaman penjajahan British.

Atuk juga berasa amat terkilan dengan sikap mereka yang tidak mahu melihat anak-anak Melayu berjaya dalam pelajaran. Golongan bawahan menerima pendidikan setakat peringkat rendah saja. Sedangkan golongan bangsawan atau kelas atasan diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tinggi. Malahan diberikan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan British. Bukan setakat itu saja mereka didik dengan cara hidup barat. Hingga lupa pada agama dan adat resam. Peninggalan nenek moyang yang terdahulu.

Untuk pengetahuan cucu-cucuku mereka mempengaruhi golongan bangsawan atau kelas atasan bagi mendapatkan sokongan kuat untuk terus menjajah negara ini. Mereka sebenarnya takut golongan bawahan akan bangkit menentang mereka sebagai pemerintah apabila berpendidikan tinggi. Akibatnya golongan bawahan tidak berpeluang memegang jawatan dalam pentadbiran Kerajaan British. Berbanding dengan golongan bangsawan atau kelas atasan. Golongan bawahan terus menjadi petani. Dihimpit dengan derita kemiskinan. Jelas British bersikap tidak adil dalam memberikan pendidikan kepada rakyat. Fikirkanlah cucu-cucuku akan nasib yang telah menimpa bangsa kita. Sewaktu dijajah oleh British.

Zaman pemerintahan Jepun adalah penuh dengan penderitaan dan kesengsaraan. Masih segar lagi dalam ingatan atuk. Rakyat terpengaruh dengan janji Jepun. Untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka telah memerintah Tanah Melayu. Setelah British berjaya dikalahkan dalam peperangan.

Masih terbayang lagi dalam fikiran atuk yang tua ini. Akan kezaliman Tentera Jepun. Yang menjatuhkan hukuman pancung. Kepada mereka yang didapati menentang pentadbiran Tentera Jepun pada waktu itu. Kebuluran berlaku dengan begitu berleluasa sekali. Sehingga zaman pemerintahan Jepun juga dikenali dengan zaman ubi kayu. Menggantikan nasi sebagai makanan utama. Alangkah beruntungnya cucu-cucuku tidak hidup pada zaman tersebut. Berbeza dengan zaman yang dilalui oleh cucu-cucuku pada hari ini. Mewah dengan pelbagai makanan.

Peperangan Dunia Kedua menentang Jepun mengingatkan atuk seorang perwira tanah air bernama Leftenan Adnan bin Saidi. Yang telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Bersama dengan anggota-anggotanya. Mempertahankan Bukit Candu. Ada yang mengatakan kerana bertuankan British Leftenan Adnan bin Saidi sanggup menggadai nyawa. Bertempur dengan Tentera Jepun yang ramai bilangannya. Berbanding dengan pasukan Askar Melayu pimpinannya. Namun bagi atuk apa yang dilakukan oleh Leftenan Adnan bin Saidi adalah semata-mata rasa kecintaannya terhadap tanah air. Kepada cucu-cucuku jadikanlah perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Leftenan Adnan bin Saidi sebagai teladan. Demi mempertahankan maruah negara. Daripada sebarang ancaman musuh durjana. Lelaki tua itu meniupkan kata-kata semangat. Pada anak-anak cucunya menerusi warkah merdeka.

Rakyat tambah kecewa dengan sikap British. Yang tidak mahu mempertahankan Tanah Melayu. Apabila diserang oleh Jepun. Mereka jelas mementingkan diri sendiri. Dengan meninggalkan Tanah Melayu. Dan pulang ke negara mereka. Untuk menyelamatkan diri. Daripada terlibat dalam kancah peperangan.
Kekalahan British di tangan Jepun sebenarnya membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat. Bahawa British tidaklah sekuat mana yang disangka selama ini. Ia meningkatkan lagi semangat rakyat. Untuk menentang penjajahan British. Yang selama ini bertapak kuat di Tanah Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah setelah Bandar Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan atom oleh Amerika Syarikat British kembali semula ke Tanah Melayu dan mahu menukar pentadbiran dengan Malayan Union. Ia mendapat tentangan daripada orang-orang Melayu. Kerana ia mahu menghapuskan kuasa raja-raja Melayu dan Dato’ Onn bin Jaafar telah menyatukan orang-orang Melayu di bawah UMNO untuk menentang Malayan Union habis-habisan.

Akibat tentangan kuat daripada orang-orang Melayu maka British terpaksa melupakan cadangan untuk menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu. Atuk berasa amat terhutang budi pada Dato’ Onn bin Jaafar. Yang telah berjuang mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang-orang Melayu. Pada cucu-cucuku hargailah jasa anak kelahiran Johor ini. Sematkanlah dalam diri kalian akan rasa kecintaan yang tebal terhadap raja dan bangsa sendiri. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Dato’ Onn bin Jaafar.

Bila bercakap tentang merdeka tidak lengkap rasanya kalau atuk tidak mencoretkan dugaan negara dalam menghadapi zaman darurat menerusi warkah ini. Ia dicetuskan oleh komunis. Kekejaman komunis menyebabkan ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa pembunuhan mereka. Tujuan utama perjuangan mereka adalah untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu. Namun ditolak oleh rakyat. Disebabkan mereka menggunakan kekerasan.

Paling yang menyayat hati dan terpahat dalam lipatan sejarah hitam negara sehingga ke hari ini adalah Peristiwa Bukit Kepong. Mereka bukan saja membunuh anggota-anggota polis malahan juga membakar hidup-hidup kaum keluarga anggota-anggota polis. Ancaman komunis akhirnya dapat dipatahkan hasil daripada kerjasama rakyat dan pasukan keselamatan. Syukur alhamdulillah. Cucu-cucu atuk tidak hidup dalam zaman huru-hara yang bernama darurat. Oleh itu tolaklah perjuangan komunis. Walaupun ia tidak wujud lagi pada hari ini. Dan tinggal menjadi sejarah. Nasihat atuk pada cucu-cucu sekalian pilihlah perjuangan yang memberi manfaat dan faedah pada negara.

Pesan atuk lagi pada cucu-cucu sekalian sentiasalah ingat akan jasa putera raja kelahiran Negeri Kedah Darul Aman iaitu Tuanku Abdul Rahman Putra Alhaj. Atau lebih terkenal dengan gelaran Bapa Kemerdekaan. Tokoh ini telah memberikan sumbangan besar. Dalam mendapatkan kemerdekaan negara daripada tangan British melalui rundingan. Ketahuilah cucu-cucuku sekalian bahawa cara negara kita memperolehi kemerdekaan adalah amat istimewa sekali. Berbanding dengan negara jiran kita Indonesia. Yang terpaksa melakukan pertumpahan darah dengan Belanda. Untuk mencapai kemerdekaan.

Walaupun Tuanku Abdul Rahman Putra Alhaj tidak lagi bersama dengan cucu-cucu sekalian tapi atuk harap sebagai generasi muda cucu-cucu sekalian teruskanlah mewarisi perjuangan yang telah ditinggalkannya. Akhir sekali sebelum menamatkan coretan dalam warkah ini ingatlah pesan atuk bahawa janganlah sesekali gadaikan maruah kemerdekaan negara yang kita miliki. Kerana ia bukanlah satu jalan yang mudah. Untuk sampai ke puncak yang bernama merdeka. Seperti yang anak-anak cucu rasai nikmatnya pada hari ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience