BAB 2

Drama Completed 192

KEINSAFAN

Angin yang datang dari arah bukit-bukau menghijau bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon dan daun-daun bagai menari-nari. Mengikut rentak tiupan angin.

“Zakri dah balik, tok,” kata Hussein.

“Ya! Aku tahu,” Tok Ketua sebaliknya menjawab.

“Kita kena hati-hati, tok. Dia dah balik ke kampung ni,” ingat Hussein pula.

“Kenapa pulak kena hati-hati,” Tok Ketua menambah. Rasa hairan jelas kelihatan pada wajah tuanya itu. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Hussein itu.

“Apa? Tok dah lupa ke. Kan ke dia tu bekas penagih dadah. Tok tak ingat ke. Sampai duit tabung masjid pun dia curi. Sebab nak beli dadah,” ucap Hussein lagi.
“Itu dulu. Aku yakin. Dia dah bertaubat. Kembali semula ke pangkal jalan,” balas Tok Ketua.

“Tak ada taubatnya, tok. Penagih dadah ni sekejap aje jadi baik. Lepas tu mulalah buat perangai lama balik,” ujar Hussein.

“Kau ni, Hussein. Tak baik cakap macam tu. Penagih dadah macam dia tu manusia jugak. Sama seperti kita ni. Yang tak menagih. Tak lari daripada membuat salah dan silap. Aku percaya. Pengalaman sewaktu ditahan di pusat serenti banyak mengajar dia. Agar menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” Tok Ketua bersuara dengan penuh panjang lebar.

“Itu kata, tok. Saya yakinlah, tok. Dia takkan berubah. Tok tengoklah nanti!” dia membantah sekeras-kerasnya akan kata-kata Tok Ketua itu.

Tok Ketua lalu beristighfar dan menggeleng-gelengkan kepala sambil memandang tepat wajah Hussein.

“Hussein …! Hussein …! Apa dah jadi dengan kau ni. Sepatutnya kita bersyukur kerana dia dah insaf. Kita harus beri dia kekuatan dan terima dia semula kembali ke pangkuan masyakarat dan bukannya memandang buruk pada dia. Semata-mata dia terjebak ke lembah yang hina,” ulang Tok Ketua.

“Sudahlah, tok. Malaslah saya nak bercakap hal dia dengan tok,” keluh Hussein. Seolah-olah berasa bosan dengan Tok Ketua. Yang langsung tidak mahu menerima kata-katanya. Supaya menolak Zakri yang telah keluar dari pusat serenti.

“Hah, elok benarlah tu. Waktu maghrib pun dah nak masuk ni. Mari kita pergi ke masjid berjemaah,” ajak Tok Ketua pula.

“Tok …. Pergilah dulu …. Saya nak balik ke rumah …. Saya minta diri dulu …,” Hussein membalas dalam nada suara yang tersekat-sekat.

“Yalah!” Tok Ketua mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku pergi dulu. Assalamualaikum!” sambungnya sambil memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Hussein. Tok Ketua pantas menghidupkan enjin motosikal menuju ke masjid.
“Tak apa. Satu hari nanti tok ketua akan percaya jugak dengan kata-kata aku. Zakri akan keluar dari kampung ni,” Hussein berkata setelah bayangan Tok Ketua hilang daripada pandangan mata.

Matahari yang tadinya cerah lalu bertukar warna. Macam buah pinang masak. Langit kelihatan kelam. Senja melabuhkan tirainya menyambut malam. Kicauan burung-burung tidak lagi kedengaran. Melagukan alam semesta nan indah ciptaan Tuhan. Sebaliknya berterbangan pulang semula ke sarang.

“Mak. Saya nak ke masjid,” kata Zakri yang bersongkok, berbaju Melayu warna biru dan berkain pelekat.

“Alhamdulillah. Kau nampaknya dah banyak berubah. Sejak keluar dari pusat serenti,” Mak Yam ibunya membalas.

“Tuhan telah memberi saya hidayat, mak. Kan sembahyang jemaah lebih besar pahalanya daripada sembahyang sendirian. Saya pergi dulu, mak. Assalamualaikum,” mohon Zakri.

“Waalaikumsalam,” Mak Yam ibunya menjawab.

Selepas menunaikan solat Maghrib Tok Ketua dan Zakri berbual-bual di masjid.

“Apa perancangan kau lepas ni, Zakri?” soal Tok Ketua.

“Entahlah, tok. Bekas penagih macam saya ni siapalah yang sudi nak ambil bekerja.” Dia sebaliknya merendah diri menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Tok Ketua itu.

Di kaki langit hitam yang pekat bulan kelihatan terang-benderang. Bersama kerlipan cahaya bintang. Angin bertiup perlahan. Segar dan dingin. Membelai seluruh kampung bersama dengan kepekatan malam.

“Jangan cakap macam tu, Zakri. Tak semestinya bekas penagih tak boleh diambil bekerja. Yang sudah tu sudahlah. Tak usahlah dikenang lagi. Binalah kehidupan yang baru.” Tok Ketua memberikan kata-kata semangat pada Zakri.

“Saya bercakap adalah berdasarkan daripada kenyataan, tok,” celah Zakri pula.

“Kenyataan apa, Zakri?” Tok Ketua cepat memotong sambil mengangkat kepala tinggi sedikit. Merenung wajah Zakri. Anak muda di kampungnya yang suatu ketika dahulu terlibat dengan dadah. Kini telah sedar dan insaf. Setelah menjalani pemulihan di pusat serenti.

“Saya ni sampah masyarakat, tok. Tak berguna ….” Dia mengeluarkan nada suara yang lemah. Sebagai tanda penyesalan di atas perbuatan terkutuk yang dilakukannya dalam usia muda.

Perlahan-lahan Zakri menundukkan kepala. Tok Ketua sebaliknya menarik nafas yang panjang apabila melihat gelagatnya itu.

“Zakri ….” Tok Ketua menepuk lembut bahunya.

“Setiap kejadian yang Tuhan berikan pada kita ada hikmahnya. Bersyukurlah. Kerana Tuhan masih sayangkan kau. Dengan taufik dan hidayatnya juga maka kau dapat kembali semula ke pangkal jalan. Setelah sesat dengan dadah yang hampir menghancurkan hidup kau,” nasihat Tok Ketua lagi.

Keesokan paginya selepas bersarapan Zakri keluar dari rumah.

“Kau nak ke mana ni, Zakri?” Mak Yam menyoal sambil berdiri di muka pintu.

“Saya nak cari kerja, mak,” dia membalas.

“Kerja apa, Zakri?” tanya ibunya lagi tak henti-henti.

“Yang bersesuaian dengan kemahiran saya waktu di pusat serenti dulu. Saya pergi dulu ya, mak,” dia memohon izin daripada ibunya.

“Yalah!” angguk ibunya pula.

Ketika dalam perjalanan dia bertemu dengan Hussein.

“Kau nak ke mana ni? Awal pagi lagi dah keluar,” Hussein bersuara sebaik-baik sahaja mematikan enjin motosikal.

“Aku nak cari kerja,” balasnya.

“Oh, nak cari kerja. Kerja apa yang boleh kau buat?” Hussein menambah.

“Apa saja asalkan halal,” jawab Zakri.

“Halal. Sekarang ni baru kau tahu tentang halal. Selama ni benda haram yang menjadi darah daging kau tak kau fikirkan pulak!” Dia melemparkan kata-kata pedas pada Zakri.

“Apa makna cakap kau ni, Hussein?” Menyirap darahnya apabila mendengar kata-kata yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut Hussein itu. Namun begitu dia tetap bersabar.

“Sudahlah, Zakri. Kau jangan nak berpura-pura dah insaf. Aku dah banyak tengok. Orang macam kau ni akan kembali semula menagih,” tingkah Hussein lagi.

Semakin menyirap darah Zakri apabila dicabar oleh Hussein dengan kata-kata itu. Dia kemudiannya lalu menghidupkan enjin motosikal dan pantas berlalu pergi dari situ.

Seharian dia berada di pekan untuk mencari kerja. Namun begitu tak dapat. Kedengaran azan zuhur. Dia lalu menuju ke masjid di pekan untuk menunaikan solat. Sewaktu melangkah keluar dari masjid dia terdengar suara orang memanggil namanya.

Zakri segera menoleh ke arah suara itu. Rosli rupanya. Rakannya sewaktu di pusat sehenti dahulu. Mereka segera bersalaman dan berpelukan.

“Kau dari mana ni, Zakri?” ujar Rosli.

“Cari kerja,” dia membalas.

“Dapat?” tanya Rosli lagi sambil mengangkat kepala memandang wajah kawannya itu. Sewaktu bersama dengan pusat sehenti dahulu. Kini dia dan Zakri sudah dibebaskan.

“Tak dapat …,” dia sebaliknya mengeluh hampa sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Sabarlah, Zakri. Orang macam kita ni susah nak diambil bekerja.” Dia menenangkan kawan yang senasib dengannya itu.

“Memang betul kata kau,” ulang Zakri pula.

“Mari kita ke restoran sana. Perut aku dah laparlah. Aku belanja,” ajak Rosli.
“Yalah!” Zakri sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala. Tidak menolak dan menurut sahaja ajakan kawannya itu.

Dia dan Rosli lalu menuju ke restoran di seberang jalan berhadapan dengan masjid.

“Kau kerja apa sekarang, Rosli?” Zakri bersuara.

“Aku macam kau jugak. Mana ada kerja. Tapi aku buat kerja amal,” jelas Rosli pula.

“Kerja amal?” ulang Zakri.

“Ya!” dia pantas mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku beri ceramah pada belia. Agar menjauhi dadah. Berdasarkan daripada pengalaman yang aku lalui,” terang Rosli.

Petang itu Tok Ketua bertemu dengan Hussein dalam perjalanan pulang dari masjid selepas menunaikan solat Asar.

“Tok. Kita mesti hati-hati. Takut nanti ramai anak-anak muda di kampung ni terlibat dengan dadah,” ingat Hussein.
“Ya! Itu aku tahu. Sebagai ketua di kampung ni aku akan pastikan perkara buruk ini takkan berlaku,” dia sebaliknya menambah.

“Saya bimbang, tok. Perkara yang boleh merosakkan nama baik kampung kita ini akan terjadi juga. Lebih-lebih lagi bila Zakri dah balik!” tegas Hussein.

Tok Ketua berasa sungguh terkejut. Apabila mendengar tohmahan yang dilemparkan oleh Hussein itu pada Zakri. Dia lalu beristighfar dan menggeleng-gelengkan kepala.

“Hussein …! Hussein …! Aku pelik betul dengan kau ni. Tak habis-habis berprasangka buruk dengan Zakri. Tak baik.” Dia cuba menasihatkan Hussein.

Rasa bosan jelas terpancar pada wajah Hussein. Usahanya untuk menghasut Tok Ketua agar membenci Zakri yang pernah terlibat dengan wabak penagihan dadah masih gagal.

“Tok ni selalu sebelahkan dia. Tapi tak ape. Tok jangan menyesal nanti. Kalau apa yang saya katakan benar-benar terjadi di kampung ni. Berpunca daripada Zakri.” Dia mengingatkan Tok Ketua.
“Aku pun nak ingatkan kau jugak, Hussein. Berhentilah daripada membuat kerja yang tak berfaedah ni. Tak elok buat fitnah dan tohmahan yang bukan-bukan. Buat dosa aje. Dekatkanlah diri dengan masjid,” Tok Ketua bersuara.

“Susah bercakap dengan tok ni!” Dia mengeluarkan nada suara yang berasa tidak puas hati terhadap Tok Ketua.

Hussein kemudiannya lalu menghidupkan enjin motosikal dan berlalu pergi dari situ. Membawa bersama perasaan marah. Tok Ketua diam sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat Hussein itu.

Sementara itu Zakri berjumpa lagi dengan Rosli di pekan.

“Tak rugi kita buat kerja amal. Dengan berceramah mengenai bahaya dadah kepada remaja. Insya-Allah. Kerja yang baik diberkati oleh Allah SWT,” ucap Rosli pula.

“Ceramah yang kau buat tu setakat ni dapat sambutan ke?” Zakri sebaliknya menyoal dengan penuh minat. Muka Rosli dipandangnya dalam-dalam.

“Memang menggalakkan. Aku rasa puas dan seronok. Sekurang-kurangnya anak bangsa kita sedar dan benci pada dadah. Yang bahayanya bukan sahaja merosakkan diri malahan juga negara,” Rosli berkata.

“Benar kata kau, Rosli. Belia macam kita ni harapan negara. Macam mana kita nak memimpin negara ni satu hari nanti kalau kita terlibat dengan dadah. Sudah menjadi tanggungjawab kita yang pernah terlibat dengan dadah agar menyedarkan mereka tidak mensia-siakan usia muda dalam memastikan negara terus maju ke depan,” sokong Zakri pula.

“Baguslah kalau kau punya semangat macam tu. Oh ya! Sebelum aku terlupa. Aku nak ajak kau buat kerja amal dengan berceramah mengenai bahaya penggunaan dadah. Hah, macam mana? Setuju?” dia mempelawa Zakri.

“Kerja yang baik aku setuju!” Zakri menjawab sambil senyuman kecil jelas kelihatan pada wajahnya.

Dengan tiba-tiba sahaja seluruh kampung gempar dengan kecurian di rumah Pak Hassan.
“Kan saya dah kata pada tok. Kejadian macam ni akan berlaku di kampung kita. Tapi tok tak nak terima cakap saya. Sekarang tengok. Apa dah jadi? Rumah Pak Hassan yang jadi mangsa!” ucap Hussein dalam nada suara yang keras.

“Sabar dulu, Hussein. Jangan bertindak terburu-buru. Kita serahkan perkara ni pada polis,” balas Tok Ketua pula.

“Nak sabar apalagi tok. Dah terang-terang kita tahu orang yang melakukan kerja ni,” Hussein cepat mencelah.

“Jadi, kau tuduh Zakri yang baru keluar dari pusat sehenti tu buat kerja ni?” ujar Tok Ketua.

“Siapa lagi kalau bukan dia, tok? Bekas penagih dadah ni nampak aje baik lepas keluar dari pusat sehenti. Tapi tabiat buruk yang ada pada dia mana boleh ditinggalkannya. Terpaksalah mencuri untuk dapatkan duit beli benda jahanam tu,” jelas Hussein.

“Kita tak boleh tuduh dia melakukan perkara ni. Lagipun kita tak ada bukti. Sudah. Itupun polis datang. Biar mereka menyiasat sampai tertangkapnya mereka yang melakukan kerja jahat ni!” tegas Tok Ketua.
Sementara itu Zakri dan Rosli giat membuat kerja amal dengan memberikan ceramah untuk membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan remaja. Kegiatan mereka ini mendapat liputan meluas di akhbar dan televisyen.

“Syukur alhamdulillah, Zakri. Kerja amal yang kita lakukan ini mendapat perhatian orang ramai,” Rosli berkata dalam nada suara gembira.

“Tuhan sentiasa memberkati kebaikan yang kita lakukan. Sekurang-kurangnya kita dapat membuktikan kepada masyarakat yang bekas penagih macam kita ni masih berguna lagi untuk menakburkan bakti pada agama, bangsa dan negara,” sokong Zakri lagi.

“Hah, sebelum aku terlupa. Aku sebenarnya ada berita baik,” jelas Rosli.

“Apa dia, Rosli?” Zakri cepat memintas. Dia bagaikan tidak sabar-sabar untuk mendengarnya.

“Ada pihak yang bersetuju untuk menaja persatuan bagi bekas penagih macam kita untuk terus membantu menghapuskan penyalahgunaan dadah di kalangan belia,” dia menerangkan pada Zakri.
“Alhamdulillah. Kita rancang pelbagai aktiviti yang sihat untuk bekas penagih lain selain daripada ceramah. Aku yakin. Persatuan ini mampu membantu pihak berkuasa menangani dadah yang menjadi musuh utama negara,” cadang Zakri pula.

Sementara itu lain pula halnya dengan Hussein. Dia telah ditahan oleh polis.

“Apa? Hussein kena tangkap?” Zakri berasa sungguh terkejut apabila Tok Ketua memberitahunya.

“Ya, Zakri! Dia terlibat dengan kegiatan jenayah. Mencuri dan mengedar dadah. Dialah yang telah memecah masuk ke rumah Haji Hassan baru-baru ini. Pihak polis juga telah menemui banyak bungkusan dadah di rumahnya,” Tok Ketua bersuara.

“Dia jugak pengedar dadah?” Sekali lagi dia berasa terperanjat apabila mendengar kegiatan jahat yang dilakukan oleh Hussein.

“Benar, Zakri. Dia cuba menjualnya kepada budak-budak muda di kampung ni. Mujurlah salah seorang daripada mereka telah melaporkannya kepada polis. Itu pun setelah mendengar ceramah daripada kau,” ucap Tok Ketua lagi.
Zakri hanya mendiamkan diri. Apabila mendengar penjelasan daripada Tok Ketua itu. Dalam hatinya dia melafazkan penuh rasa kesyukuran yang tak terhingga. Dia berjaya menyelamatkan anak-anak muda di kampungnya daripada hanyut dalam dunia dadah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience