BAB 23

Drama Completed 192

SUNGAI INI WARISAN BERSEJARAH

Suatu ketika dahulu sungai ini pernah digunakan sebagai laluan oleh para pedagang. Maka ia menjadi laluan bersejarah. Sebagai yang dinamakan laluan bersejarah maka sewajarnyalah ia kekal dan dipelihara. Untuk tatapan generasi muda pada hari ini.

Amin. Seorang penyelidik bebas sejarah. Bertekad untuk menyelamatkan warisan ini. Yang semakin hari semakin pupus. Lama-kelamaan akan hilang. Tak boleh diganti malah jauh sekali untuk dicari. Ia tetap satu atas nama warisan bersejarah. Satu kerugian yang amat besar. Apabila kehilangan yang bernama warisan.

Dunia boleh berubah dengan sekelip mata. Namun warisan tidak boleh dibiarkan hanyut. Seperti dibawa arus deras air sungai. Dia lalu menarik nafas yang panjang. Bila memikirkan betapa pentingnya menjaga warisan.

Sungai yang menjadi laluan bersejarah itu lalu dipandangnya dalam-dalam. Menurut cerita selain daripada menjadi laluan para pedagang ia juga menjadi laluan angkatan perang. Desiran angin jelas terasa bertiup perlahan. Kedengaran bunyi daun-daun bergeseran. Pohon-pohon rendang yang tumbuh di tepi sungai bagaikan mengangguk-angguk ditiup angin. Seolah-olah menyatakan sokongan. Dengan apa yang diperjuangkan Amin. Di kaki langit matahari kelihatan cerah. Menyinari seluruh alam semesta.

Rasa kesepian menyelubungi deruan air sungai. Jelas nampak mengalir. Amin amat memahami akan keadaan itu. Sebuah kematian tanpa nisan. Itulah yang dapat digambarkan. Pada laluan yang penuh bersejarah ini.

Dia memeluk erat tubuhnya. Sambil berdiri di tepi sungai. Suasana nyaman dan dingin jelas terasa. Sewajarnyalah warisan bersejarah dihayati dan dihargai. Sesuatu bangsa itu seharusnya berasa amat bangga. Memiliki dengan apa yang dikenali sebagai khazanah warisan bersejarah. Amat tinggi nilainya dan tiada tolok bandingnya.

Pak Kadir. Orang yang paling tua dalam kampung ini. Tahu cerita tentang laluan bersejarah ini.

“Sungai ini adalah jalan utama yang digunakan oleh pedagang. Untuk ke negeri yang bernama Cenderasari,” kata Pak Kadir.

“Ketika itu negeri Cenderasari amat terkenal dan menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari negeri lain. Kapal-kapal dagang yang lalu di sungai ini akan dikenakan cukai. Hasil daripada kutipan cukai itu telah memberikan kekayaan kepada kampung ini,” sambungnya lagi.

“Siapa nama penghulu di kampung ini pada waktu itu?” tanya Amin pula sebaliknya dengan pantas.

Di luar jelas kedengaran suara angin mendayu-dayu. Yang datang dari arah bukit-bukau. Berhadapan dengan rumah Pak Kadir. Begitu juga dengan pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumah Pak Kadir. Menari-nari. Sekejap ke kiri. Sekejap ke kanan. Mengikut rentak tiupan angin.

“Penghulu Alang namanya,” jawab Pak Kadir.

“Angkatan perang dari negeri mana yang pernah menggunakan sungai ini sebagai laluan?” dia tak henti-henti menyoal.

“Negeri Pagar Sakti ketika menyerang Negeri Cenderasari,” Pak Kadir membalas.

Sementara itu tangan Amin ligat menulis di dalam buku catatan. Segala apa yang diceritakan oleh Pak Kadir. Berkenaan laluan bersejarah ini.

“Kenapa Negeri Pagar Sakti menyerang Negeri Cenderasari?” dia bertanya.

“Dari cerita yang Pak Kadir dengar Negeri Pagar Sakti mahu menakluk Negeri Cenderasari yang kaya dengan hasil yang dibawa oleh pedagang-pedagang dari negeri lain. Namun serangan dari Negeri Pagar Sakti itu dapat dipatahkan oleh Negeri Cenderasari,” jelas Pak Kadir.

“Tentu sungai ini pada waktu itu sibuk dengan kapal dan tongkang pedagang dari negeri lain,” ucapnya.

Pak Kadir lalu mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Amin itu.

“Benar!”

“Jalan darat memakan masa yang agak lama untuk ke Negeri Cenderasari. Jadi mereka menjadikan sungai ini sebagai pilihan utama untuk sampai ke sana,” dia menyambung lagi.
Dia merenung dengan sejauh-jauhnya catatan sejarah yang mewarnai sungai ini. Dengan matanya masih lagi lekat memandang air sungai yang mengalir tenang. Selain daripada itu sungai ini juga mempunyai sejarah semasa zaman penjajahan Inggeris, Jepun dan darurat akibat daripada kekejaman komunis. Sepertimana yang diceritakan oleh Pak Kadir kepadanya.

“Di sungai ini juga telah berlaku pertempuran antara Pendekar Majid dan pengikut-pengikutnya dengan askar-askar Inggeris. Pendekar Majid menentang Inggeris kerana tidak mahu kampung ini dijajah. Pertempuran antara angkatan perang pimpinan Pendekar Majid dan askar-askar Inggeris berlaku dengan sungguh sengit. Angkatan perang pimpinan Pendekar Majid telah dapat mengalahkan askar-askar Inggeris. Sehingga mereka terpaksa berundur. Namun akhirnya Inggeris dapat juga mengalahkan Pendekar Majid dan pengikut-pengikutnya. Pendekar Majid telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman. Kerana menentang Inggeris dan dibuang negeri. Dari cerita yang Pak Kadir dengar kekalahan angkatan perang Pendekar Majid di tangan Inggeris adalah berpunca daripada perbuatan khianat orang-orang kampung.”

“Maksud, Pak Kadir?”

“Memandangkan Pendekar Majid dan pengikut-pengikutnya sukar untuk ditewaskan maka Inggeris pun mencari jalan. Melalui habuan wang yang banyak maka mereka dapat mempengaruhi orang-orang kampung. Supaya memperkuatkan angkatan perang mereka dan membocorkan rahsia kekuatan angkatan perang Pendekar Majid.”

Serta-merta hati Amin jadi tersentuh. Mendengarkan punca Pendekar Majid dan pengikut-pengikutnya dapat ditewaskan oleh askar-askar Inggeris. Disebabkan habuan wang yang lumayan dan demi untuk kesenangan hidup orang-orang kampung sanggup menjadi pengkhianat. Dengan berpaling tadah dan menyokong Inggeris. Untuk menumpaskan Pendekar Majid dan pengikut-pengikutnya. Yang rela mati daripada hidup bertuankan penjajah bernama Inggeris.

Seharusnya mereka bersama-sama dengan Pendekar Majid berjuang sehingga ke titisan darah yang penghabisan. Dengan limpahan darah merah mengalir membasahi sungai ini. Terkorban sebagai bunga bangsa. Sebagai tanda rasa cinta dan setia terhadap kampung. Di mana tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan. Yang juga tanah air mereka. Kalau di sini mereka hidup di sini juga mereka berani mati.

Sewajarnyalah mereka mempertahankan tanah air yang tercinta ini. Bukannya dengan sewenang-wenangnya dijual kepada penjajah. Di mata Inggeris Pendekar Majid dan pengikut-pengikutnya adalah pemberontak. Namun mereka sebenarnya adalah wira yang berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya sejarah memang tidak dapat dipisahkan dalam hidup kita yang bernama manusia. Suka atau tidak. Manis mahupun pahit. Kita harus menerima sejarah. Sebagai catatan peristiwa penting yang telah berlaku.

Tanpa mengira ia diperturunkan kepada kita dalam bentuk lisan atau tulisan. Kerana sejarah mempunyai banyak teladan dan pengajaran yang harus dihayati. Terutamanya oleh generasi muda yang lahir pada hari ini. Inilah yang mahu ditekankan Amin melalui pengkajiannya berkenaan sungai yang tercatat sebagai tempat bersejarah.

Petang diwarnai dengan suasana redup. Matahari masih lagi kelihatan memancarkan sinarnya. Namun tidaklah terik. Bahang panas matahari tidak terasa menyelubungi seluruh kampung. Yang nampak begitu indah dan permai sekali.

Angin petang bertiup lemah-gemalai. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa. Bila angin menyusup masuk bersama suaranya yang bergemersik. Melalui tingkap dan celah papan rumah Pak Kadir. Nyanyian suara angin yang mendayu-dayu sungguh mengusik perasaan pabila didengar. Jiwa yang sunyi jadi terhibur. Demikianlah indahnya desa permai yang tercinta.

Memang tidak dapat dinafikan. Antara kota dan desa mempunyai jurang yang amat dalam. Umpama langit dan bumi. Kota dipenuhi dengan bangunan-bangunan tinggi yang mencakar awan. Menjadi lambang kepesatan pembangunan.

Kesesakan lalu-lintas sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan yang harus dilalui penghuni di kota. Berbanding dengan di desa. Penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Kadir kelihatan seperti melambai-lambai. Apabila ditiup angin petang. Seolah-olah mengajak perantau yang mencari rezeki di kota agar pulang ke desa. Bila ada kelapangan.

Tak lama kemudian muncul Mak Leha isteri Pak Kadir sambil membawa dulang. Yang berisi dua cawan air kopi susu dan sepinggan pisang goreng. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas tikar mengkuang. Asap nipis yang keluar daripada air kopi susu dan pisang goreng yang masih lagi panas itu kelihatan teroleng-oleng naik ke atas. Kemudian lalu menghilang.

“Jemput minum bang, Amin!” pelawa Mak Leha.

“Terima kasih, Mak Leha!” angguknya pula.

“Marilah minum sama!” ajak Amin.

“Amin minumlah dulu. Mak Leha nak selesaikan kerja di dapur.”

Dia kemudiannya lalu beredar dan masuk semula ke dalam. Sambil membawa dulang yang telah kosong.

“Hah, Amin! Jemputlah minum. Sejuk nanti tak sedap pulak,” pelawa Pak Kadir pula.

Dia dan Pak Kadir lalu menikmati air kopi susu dan pisang goreng. Sambil rancak berbual. Mengenai sungai bersejarah. Yang terdapat di kampung ini.

“Semasa Perang Dunia Kedua tentera Jepun dan tentera British telah bertempur di sungai ini. Ramai tentera Jepun dan British yang telah terkorban. Setelah beberapa hari bertempur akhirnya tentera British telah dapat dikalahkan oleh tentera Jepun.”

Amin mendengar dengan penuh minat. Kisah sejarah sungai ini. Sewaktu zaman perang. Yang diceritakan oleh Pak Kadir. Serentak dengan itu juga dia akan menulis ke dalam buku catatan. Segala maklumat berkaitan sejarah sungai yang dikajinya itu.

Pak Kadir menghirup sedikit air kopi susu. Kemudian perlahan-lahan dia meletakkan semula cawan ke bawah.

“Begitu jugak sewaktu zaman komunis. Di sungai itulah tercatat peristiwa pertempuran. Antara penduduk kampung dengan pengganas komunis,” ujar Pak Kadir lagi.

“Menarik sekali sejarah sungai ini,” sambut Amin pula sebaliknya.

“Kerana tidak tahan dengan kekejaman yang dilakukan pengganas komunis maka orang-orang kampung telah berjuang bermati-matian. Untuk menghapuskan mereka. Dengan semangat yang tinggi dan bersatu padu yang ditunjukkan oleh orang-orang kampung pengganas komunis dapat ditumpaskan,” tambah Pak Kadir.

Semangat dan keberanian yang ditunjukkan penduduk kampung ini dalam menentang ancaman pengganas komunis seharusnyalah dijadikan sebagai teladan dan sumber inspirasi. Oleh kita sebagai rakyat di negara ini. Supaya musuh mahupun penjajah tidak dapat menawan negara kita. Serta terus berkekalan mengecapi nikmat kemerdekaan dan kesejahteraan negara. Itulah yang ingin ditekankan Amin. Dalam penyelidikannya terhadap sungai. Yang penuh dengan bersejarah ini.

Profesor Dr. Fuad. Seorang pengkaji sejarah yang terkenal. Turut menyatakan sokongan. Terhadap usaha murni Amin. Membuat kajian sungai ini sebagai laluan bersejarah. Yang perlu diketengahkan kepada masyarakat.

“Sungai yang awak katakan itu memang mempunyai sejarah yang besar. Sebagai laluan para pedagang dan peristiwa yang berkait dengan sejarah negara. Tapi malangnya ia tenggelam. Daripada pengetahuan masyarakat,” Profesor Dr. Fuad bersuara.

“Sayang sekali, professor. Peninggalan sejarah seperti ini dibiarkan terus luput dan dilupakan,” dia mencelah.

“Bukan itu saja, Amin. Malahan juga satu kerugian. Sekiranya pada satu hari nanti ia hilang daripada catatan sejarah negara.” Profesor Dr. Fuad memberikan pandangan.

“Sebelum terlambat saya akan menyelamatkannya. Melalui kajian yang saya jalankan ini,” ikrarnya pula.

“Baguslah macam tu, Amin!” Profesor Dr. Fuad membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Semoga usaha awak untuk menjadikan sungai ini sebagai antara warisan bersejarah yang terdapat di negara ini akan berjaya,” dia menyambung lagi.

“Terima kasih, profesor!” angguknya dengan pantas.

Semangat Amin kian berkobar-kobar. Dia akan berjuang bermati-matian. Umpama seorang tentera di medan perang. Demi untuk memastikan sungai ini diangkat sebagai warisan bersejarah. Oleh pihak yang telah dipertanggungjawabkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience