BAB 7

Drama Completed 192

MASIH ADA SINAR

Melalui jendela yang terbuka luas Dato’ Bakri melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah bukit-bukau yang subur menghijau dalam suasana petang yang kelihatan redup.

“Minum, Bakri!” pelawa Kak Lijah sambil membawa dulang berisi secawan air kopi ‘o’ dan sepinggan kuih koci. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja.

Lamunan Dato’ Bakri lantas terhenti. Dia lalu mengatur langkah ke kerusi dan duduk berhadapan dengan Kak Lijah. Air kopi ‘o’ yang masih lagi panas itu dihirupnya dengan perlahan-lahan.

“Saya dah ambil keputusan, kak,” kata Dato’ Bakri.

“Keputusan apa, Bakri?” Kak Lijah sebaliknya menyoal. Rasa hairan jelas kelihatan di wajahnya. Apabila mendengar kata-kata adiknya itu.
“Saya akan terus menetap di kampung ni. Saya tak akan balik lagi ke Kuala Lumpur. Saya akan terus melupakan syarikat. Mulai dari hari ni,” jelas Dato’ Bakri.

“Macam mana pulak dengan Fatimah isteri kau dan Hafiz anak kau? Apa yang sebenarnya dah terjadi ni, Dato’ Bakri?” tanya Kak Lijah tak putus-putus. Dipandangnya wajah adiknya itu dalam-dalam. Seperti laut biru yang luas.

Dato’ Bakri hanya mendiamkan diri. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang. Di luar angin bertiup perlahan dan nyaman. Mengiringi cuaca redup. Yang menyinari petang.

“Mungkin semua ini adalah balasan Tuhan …,” Dato’ Bakri bersuara lemah.

“Apa yang kau dah buat, Bakri?” Dengan cepat Kak Lijah mencelah. Perasaan ingin tahu apakah yang telah menimpa adiknya sehingga mengambil keputusan tinggal terus di kampung semakin kuat menebal dalam dirinya.

“Selama ini saya asyik mengejar kemewahan dunia. Sehingga melupakan amal ibadat. Saya gagal membentuk keluarga. Menjadi insan yang sempurna. Syarikat saya bankrap. Kerana menanggung banyak hutang. Fatimah tinggalkan saya. Hafiz pula masuk pusat pemulihan kerana terlibat dengan dadah,” Dato’ Bakri berkata dengan panjang lebar.

Rasa sayu jelas kelihatan di wajah Dato’ Bakri. Kak Lijah terdiam. Sebaik-baik sahaja mendengar penjelasan adiknya itu.

Malam. Di sebalik kaki langit hitam bulan bersinar dan bintang berkerlipan indah.

“Saya benar-benar menyesali, Tok Imam. Barulah saya tahu kini. Hidup ini ibarat putaran roda. Sekejap di atas. Sekejap di bawah. Nikmat hidup yang saya miliki selama ini hanyalah pinjaman cuma. Seperti juga hidup di atas dunia ini. Sampai masa Tuhan akan ambil kembali,” ucap Dato’ Bakri.

Tok Imam berasa sungguh simpati apabila mendengar luahan Dato’ Bakri itu.

“Syukurlah, Dato’!” angguk Tok Imam pula sebaliknya.
“Apa yang Dato’ alami sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi. Allah SWT masih sayangkan lagi Dato’. Membuka pintu taubat. Sebelum terlambat,” sambung Tok Imam lagi.

Perlahan-lahan Dato’ Bakri menundukkan kepala. Barulah dia tahu kini. Dia hanya seorang hamba yang lemah. Tuhan sahaja yang berkuasa ke atas segala-galanya di dunia ini.

Tak lama kemudian kedengaran azan isyak dilaungkan oleh bilal masjid.

“Dato’ …,” Tok Imam berkata perlahan sambil menepuk-nepuk lembut bahu Dato’ Bakri.

“Waktu pun dah masuk. Marilah!” ajak Tok Imam.

Dato’ Bakri lalu mengangkat kepala dan menggangguk-angguk memandang muka Tok Imam. Kemudian dia dan Tok Imam lalu masuk ke dalam masjid.

Sementara itu lain pula halnya Datin Fatimah isterinya.

“Mana semua dokumen syarikat milik Dato’ Bakri?” Datin Fatimah meninggikan suara pada Encik Azam peguam syarikat.

“Maafkan saya, Datin. Saya pegang amanah Dato’. Dokumen tu tak boleh diserahkan kepada sesiapa,” Encik Azam menjawab.

“Habis siapa yang berhak untuk memilikinya bila Dato’ dah tak ada nanti?” tanya Datin Fatimah lagi. Dengan rasa penuh sombong dan bongkak.

“Itu Datin kena tanya Dato’ sendiri. Sebagai peguam syarikat saya hanya menjalankan tanggungjawab. Apa yang diamanahkan oleh Dato’,” balas Encik Azam. Suaranya tenggelam bersama deruan alat penghawa dingin. Yang mengepung seluruh ruang bilik.

“Awak tahu tak. Dalam dokumen syarikat tu ada harta Dato’. Sebagai bekas isteri saya ada hak menuntutnya!” ujar Datin Fatimah dalam nada suara sekeras-kerasnya.

Pagi masih muda lagi. Cuaca nampak baik dan cerah. Walaupun matahari belum nampak di kaki langit. Angin yang bertiup dari arah bukit berirama sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon dan daun-daun hijau bagai menari-nari. Meliuk-liuk. Sekejap ke kanan. Sekejap ke kiri.
“Apa perancangan kau bila dah menetap di kampung ni?” soal Kak Lijah.

Dato’ Bakri sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar soalan kakaknya itu.

“Apalagi, kak. Jadi orang kampunglah. Syarikat pun dah tak ada lagi,” Dato’ Bakri membalas. Dalam nada suara yang bunyinya bergurau.

“Itu kakak tahu. Kau kan dah biasa bekerja. Menguruskan syarikat yang besar. Takut nanti kau bosan. Bila duduk aje di rumah,” tambah Kak Lijah.

“Kakak ni. Tanah kebun peninggalan arwah ayah kan ada. Saya kerjakanlah. Dapat jugaklah hasilnya nanti,” terang Dato’ Bakri.

Datin Fatimah tak henti-henti meneruskan rancangannya untuk mendapatkan dokumen syarikat milik bekas suaminya.

“Macam mana, Fatimah? Dapat dokumen tu?” tanya Dato’ Faizal. Rakan kongsi Dato’ Bakri. Yang turut terlibat sama dalam konspirasi. Menjatuhkan syarikat milik Dato’ Bakri.
“Tak!” Datin Fatimah bersuara hampa dan kecewa sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Apa ni, sayang? Benda senang macam tu takkan tak dapat,” keluh Dato’ Faizal.

“Aku dah minta pada Encik Azam peguam syarikat. Dia kata Bakri dah amanahkan dokumen tu tak boleh beri pada sesiapa walaupun dia dah bankrap,” jelas Datin Fatimah.

“Kau tahu kan. Dokumen syarikat tu amat berharga buat kita. Walau apa cara sekalipun kita mesti dapatkannya. Sayang. Ini untuk masa depan kita,” kata Dato’ Faizal.

“Habis? Apa rancangan kau?” Datin Fatimah menyoal sambil memandang muka Dato’ Faizal. Yang duduk berhadapan dengannya.

“Serahkan pada aku, sayang. Aku tahulah apa nak buat. Lepas tu barulah kita kahwin,” ujar Dato’ Faizal lagi sambil memegang erat jari-jemari Datin Fatimah.

“Bagaimana pulak dengan isteri kau kalau dia tahu perkahwinan kita nanti,” Datin Fatimah menambah.
“Itu urusan aku. Kau tak usah risau. Yang penting kita hidup senang dan mewah bila dapat dokumen syarikat bekas suami kau itu. Sudah. Mari kita makan. Aku belanja,” ucap Dato’ Faizal dan kemudiannya pantas memanggil pelayan untuk memesan makanan dan minuman.

Kesedihan menyelubungi hati Dato’ Bakri apabila Kak Lijah bercerita mengenai tanah kebun milik arwah ayahnya.

“Bukan tanah kebun arwah ayah saja. Tanah kebun orang-orang kampung yang lain pun nak diambilnya ….” Nada suara Kak Lijah berbunyi sayu dan pilu.

Dato’ Bakri lantas terdiam. Angin bertiup lemah membelai seluruh kampung. Seolah-olah mengerti dengan perasaan yang melanda Kak Lijah.

“Itulah satu-satunya harta pusaka peninggalan arwah ayah yang ada. Kalau dah diambil oleh orang kaya dari Kuala Lumpur tu apalagi yang kita ada, Bakri …,” rintih Kak Lijah.

“Dulu saya pun macam orang kaya tu jugak, kak.” Dato’ Bakri membuat pengakuan sambil menarik nafas panjang dan menundukkan kepala.

Apabila mendengar sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut adiknya dengan serta-merta sahaja dia berasa sungguh terperanjat.

“Apa maksud kau ni, Bakri?” Dengan pantas Kak Lijah menyampuk. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi. Apa sebenarnya yang tersembunyi di sebalik tindakan orang kaya dari Kuala Lumpur itu mengambil tanah pusaka milik arwah ayahnya dan orang-orang kampung yang lain.

Berat rasa mulutnya untuk menceritakan perkara yang sebenarnya. Namun digagahkannya juga. Demi adik-beradik. Tak perlu dirahsiakan.

“Saya dengan sesuka hati mengambil tanah orang. Untuk menambah kemewahan dan kekayaan dalam hidup. Tambahan dengan wang yang banyak saya boleh membeli segala-galanya. Sekarang bila tanah arwah ayah nak kena ambil barulah saya sedar. Macam mana perasaan mereka,” terang Dato’ Bakri pula.
Dato’ Faizal dan Datin Fatimah pergi ke pejabat Encik Azam untuk mendapatkan dokumen syarikat milik Dato’ Bakri.

“Saya minta maaf, Datin. Kan saya dah kata. Dato’ dah minta pada saya selaku peguam syarikat. Dokumen tu tak boleh diserahkan pada sesiapa. Ini bukti surat perjanjian antara Dato’ dengan saya sebagai pemegang amanah,” kata Encik Azam sambil menghulurkan surat perjanjian berserta dengan tandatangan Dato’ Bakri dan Encik Azam.

Surat yang dihulurkan oleh Encik Azam itu lalu diambil oleh Datin Fatimah dan membacanya dengan penuh teliti isi kandungannya. Dato’ Faizal yang duduk di sebelahnya turut sama membacanya. Datin Fatimah kemudiannya lalu menyerahkan semula surat itu kepada Encik Azam.

“Tapi persoalannya sekarang dia dah bankrap. Tak layak memegang dokumen tu. Dia seharusnya menyerahkan dokumen syarikat tu pada saya. Kan saya dah ingatkan awak sebagai bekas isteri saya berhak menuntutnya. Awak sebagai peguam sepatutnya tahu perkara ni,” Datin Fatimah sebaliknya mengingatkan Encik Azam.

“Itu memang benar, Datin!” Encik Azam menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dah tu? Apa masalah awak susah sangat nak beri dokumen tu pada saya?” Datin Fatimah mengangkat kepala tinggi memandang wajah Encik Azam yang memakai cermin mata dan masih lagi berusia muda.

“Datin tentu tahu kan. Dato’ masih ada lagi harta simpanan. Biarpun kita tahu yang dia dah bankrap. Dia layak untuk memutuskan siapa yang berhak memiliki dokumen syarikat tu seperti yang terkandung dalam surat perjanjian. Perkara yang telah tertulis hitam putih dan ada tandatangan saya sebagai peguam tidak boleh melanggarnya dengan sewenang-wenangnya. Saya harap Datin hormati pendirian saya ini,” Encik Azam bersuara.

Rasa kecewa bercampur marah jelas kelihatan di wajah Datin Fatimah. Disebabkan kegagalan mendesak Encik Azam untuk menyerahkan dokumen itu.

“Begini ajelah, Encik Azam. Saya tak berniat untuk masuk campur. Tapi atas sebagai seorang kawan saya membantu Datin Fatimah untuk menyelesaikan perkara ni. Tak guna dipanjang-panjangkan. Buang masa aje. Hari ni jugak kita selesaikan.” Dato’ Faizal yang selama ini berdiam diri tiba-tiba mencelah.

“Maksud, Dato’?” tanya Encik Azam yang duduk di atas kerusi pusing dengan berkot dan bertali leher. Kata-kata Dato’ Faizal itu benar-benar menarik minatnya untuk mengetahui apa sebenarnya yang tersirat.

“Begini, Encik Azam. Mudah aje untuk selesaikan perkara ini. Encik Azam ubah semua perjanjian dalam surat tu. Dengan dokumen hak milik syarikat adalah atas nama Datin Fatimah. Sebagai bekas isteri untuk memilikinya. Setelah Dato’ Bakri jatuh bankrap. Encik Azam cakap. Berapa habuannya saya sanggup bayar,” terang Dato’ Faizal.

“Betul tu apa yang dicakapkan oleh Dato’ Faizal. Rahsia ni antara kita bertiga aje. Tak ada orang lain yang tahu,” sokong Datin Fatimah pula.

“Kebetulan saya ada bawa cek RM 500,000. Sebagai permulaan. Kalau tak cukup saya tambah lagi. Hah. Ambillah!” Dato’ Faizal menghulurkan cek pada Encik Azam.
Tawaran yang dihulurkan oleh Dato’ Faizal itu dipersetujui oleh Encik Azam. Dia akan mengambil cek itu apabila pemalsuan dokumen yang diarahkan oleh Dato’ Faizal siap.

Dengan tiba-tiba sahaja Dato’ Bakri berasa rindu pada anaknya. Hafiz. Yang kini berada di pusat pemulihan dadah. Dia lalu pergi menemui anaknya.

“Apa khabar, Hafiz?” Dato’ Bakri menyoal anaknya.

“Alhamdulillah. Papa pulak macam mana?” balas Hafiz pula.

“Baik!” balas Dato’ Bakri sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Macam mana Hafiz sekarang?” sambung Dato’ Bakri lagi.

“Hafiz benar-benar rasa tenang di sini. Diajar mengenal Tuhan. Mengenal diri sendiri. Dibentuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” jelas Hafiz pada ayahnya.

“Baguslah macam tu, Hafiz,” tambah Dato’ Bakri.
“Hafiz benar-benar insaf, papa. Cukuplah sekali. Bila keluar nanti Hafiz tak mahu lagi terlibat dengan dadah,” janji Hafiz dengan bersungguh-sungguh.

“Bila Hafiz dijangka keluar?” ujar Dato’ Bakri sambil memandang wajah anaknya.

“Bulan depan, papa. Oh ya lupa pulak. Papa datang seorang aje ke. Mama mana?” Dengan tiba-tiba sahaja persoalan itu diajukan oleh Hafiz kepada ayahnya.

Dato’ Bakri lalu terdiam. Berat. Jelas nampak di mukanya. Untuk menjawab pertanyaan yang keluar daripada mulut anaknya itu. Hafiz dapat membaca. Apa yang tersirat di jiwa ayahnya. Seperti ada sesuatu yang tak kena. Cuba disembunyikan oleh ayahnya. Apabila menyebut ibunya.

“Kenapa, papa? Mana, mama? Kenapa dia tak ikut sekali datang ke sini?” desak Hafiz.

Tunduk jua akhirnya dengan desakan anaknya itu. Dato’ Bakri menceritakan perkara sebenar yang telah terjadi.
“Mama dah tinggalkan papa, Hafiz …,” Dato’ Bakri bersuara perlahan dan tenang.

“Tinggalkan, papa? Kenapa mama tinggalkan papa?” Hafiz pantas berasa terkejut apabila mendengar jawapan ayahnya itu.

“Syarikat papa dah bankrap. Banyak hutang. Semua ni pun punca daripada mama. Belanja boros. Papa selalu ikutkan kehendaknya. Gunakan duit syarikat. Sampaikan gaji pekerja pun papa tak dapat nak bayar ….” Dato’ Bakri mengeluarkan nada suara lemah dan pilu.

Mulut Hafiz bagaikan terkunci erat mendengar penjelasan bapanya itu. Langit kelihatan cerah. Demikianlah harapan anak muda yang bapanya seorang ahli perniagaan bergelar Dato’. Semoga langit hitam yang selama ini membayangi dirinya akan berlalu pergi.

Kepiluan yang jelas nampak di wajah Dato’ Bakri lantas dihilangkannya. Direnungnya dalam-dalam wajah anaknya dengan rasa penuh kasih dan sayang.

Baginya biarlah dia seorang sahaja yang menanggung penderitaan ini. Tak perlu dikongsi bersama dengan Hafiz. Dato’ Bakri lalu menukar tajuk perbualan.
“Mama ada datang tengok Hafiz?” Dato’ Bakri bertanya pada anaknya.

“Tak!” geleng Hafiz dengan pantas.

Sekali lagi rasa kekecewaan menyelubungi perasaan Dato’ Bakri dengan sikap isterinya itu. Baik atau buruk. Hafiz tetap anaknya. Seharusnya dia datang melihat dan memberikan semangat kepada Hafiz. Yang telah insaf dan kembali semula ke pangkuan masyarakat.

“Agaknya mama sibuk. Sehingga tak ada masa nak tengok Hafiz. Tak apalah, Hafiz. Papa ada. Papa akan selalu tengok. Bila keluar nanti papa akan datang ambil Hafiz,” Dato’ Bakri memujuk anaknya agar tidak berasa kecil hati dengan sikap ibunya itu.

“Maafkan Hafiz, papa. Kerana memalukan papa dan mama. Memilih dadah yang menjadi musuh utama negara.” Hafiz meluahkan rasa penyesalan pada ayahnya.

“Papa juga begitu, Hafiz. Ini semua terjadi kerana silap papa. Terlalu asyik mengejar harta kekayaan dan kemewahan. Sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dengan memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang pada Hafiz,” tambah Dato’ Bakri pula.

“Sudahlah, papa. Ini semua adalah ujian Tuhan. Yang harus kita terima dengan redha dan tabah,” Hafiz mencelah.

Dato’ Bakri dan anaknya lalu berpelukan erat sambil saling menitiskan air mata keinsafan dan kegembiraan. Rasa kesyukuran terungkap di hati Dato’ Bakri. Kerana Tuhan masih lagi menyayangi dirinya dan anaknya. Untuk kembali semula ke pangkal jalan setelah jauh tersesat selama hidup di atas dunia yang sementara ini.

Dia memunajatkan doa ke hadrat Tuhan Yang Esa. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi rintangan dan dugaan dalam hidup ini. Terasa seperti meniti kerikil-kerikil tajam. Pedih dan membangkitkan rasa luka berdarah. Namun begitu harus diterima dan ditempuhi sama ada suka atau tidak.

Ketentuan. Manusia yang hidup di dunia ini bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian telah ditentukan nasibnya oleh Tuhan. Senang dan susah. Bagi Dato’ Bakri dia perlu tabah dan cekal dalam menghadapi apa yang telah ditakdirkan oleh Tuhan ke atas dirinya.
Keesokan harinya tersiar berita yang menggemparkan di dada akhbar. Dato’ Faizal dan Datin Fatimah telah ditangkap kerana cuba merasuah Encik Azam agar memalsukan dokumen syarikat milik Dato’ Bakri.

Mereka telah diperangkap oleh Encik Azam melalui perbualan yang dirakamkan dalam pita rakaman sebagai bahan bukti. Rupanya Encik Azam sentiasa memasang pita tersebut untuk membanteras penggunaan rasuah di kalangan pelanggan yang mendapat khidmat guamannya. Penangkapan Dato’ Faizal dan Datin Fatimah turut membongkar hubungan sulit mereka selama ini tanpa pengetahuan Dato’ Bakri. Dato’ Faizal dan Datin Fatimah bersubahat menjatuhkan syarikat Dato’ Bakri sehingga bankrap. Pegawai kewangan syarikat Dato’ Bakri juga ditahan atas tuduhan melakukan penyelewengan duit syarikat yang diarahkan oleh Datin Fatimah untuk disalurkan ke dalam syarikat Dato’ Faizal sebagai tambahan bayaran kepada pengambilan tanah arwah ayah Dato’ Bakri dan orang-orang kampung yang lain.

Dato’ Bakri lalu beristighfar panjang apabila mengetahui semuanya ini. Disangkanya isterinya setia selama berkongsi hidup dengannya tapi curang di belakangnya menjalinkan hubungan sulit dengan rakan kongsinya sendiri Dato’ Faizal.
Tidak disangkanya selama sekali isteri yang dicintainya dengan menurut segala kehendaknya tergamak bersama dengan kekasihnya itu menjatuhkan dan mahu merampas segala harta miliknya yang telah disimpannya sebagai persediaan sekiranya apa-apa berlaku kepada syarikatnya nanti. Dato’ Bakri lalu bertemu dengan Encik Azam.

“Dato’ belum bankrap lagi. Harta Dato’ masih banyak. Sebab itulah Datin Fatimah dan Dato’ Faizal beria-ia untuk mendapatkannya,” Encik Azam berkata.

“Sungguh saya tidak menduga. Mereka berdua sanggup menganiaya saya. Lebh-lebih lagi isteri saya sendiri. Syukurlah. Tuhan telah menunjukkan kebenaran. Dato’ Faizal dan Datin Fatimah telah menerima balasan yang setimpal di atas perbuatan jahat mereka tu,” celah Dato’ Bakri pula sebaliknya.

“Seharusnya perbuatan mereka ini dijadikan ikhtibar kepada kita semua, Dato’. Yalah! Seperti yang dijanjikan oleh Tuhan. Buat baik dibalas dengan baik. Buat jahat dibalas dengan keburukan. Ini baru di dunia. Belum lagi di akhirat. Oh ya! Baru saya teringat. Macam mana dengan semua dokumen syarikat yang mengandungi harta-harta syarikat tu?” ujar Encik Azam dengan mengangkat muka melihat wajah Dato’ Bakri yang duduk berhadapan dengannya.
“Begini, Encik Azam. Sebenarnya dokumen harus diserahkan kepada Hafiz anak saya sebagai pewaris tunggal apabila saya tiada nanti. Tapi saya ada perancangan lain untuk dia,” terang Dato’ Bakri.

“Maksud, Dato’?” Encik Azam pantas memotong.

“Saya bercadang untuk mengusahakan projek pertanian di kampung bersama dengan anak saya apabila keluar dari pusat pemulihan nanti. Jadi, dokumen yang berharga tu saya minta Encik Azam pindahkan ke tabung masjid di kampung saya, rumah-rumah anak yatim dan badan-badan kebajikan. Rahsiakanlah nama saya sebagai penderma. Dengan cara ini diharap dapat menebus segala dosa-dosa yang selama ini,” Dato’ Bakri bersuara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience