BAB 5

Drama Completed 192

ANUGERAH

Kehidupan. Terasa seperti suatu pengembaraan. Tidak diketahui di mana perhentiannya. Siang dan malam. Datang dan pergi silih berganti. Laut membiru. Tenang bersama desiran ombak. Yang tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih memutih berapungan. Lelaki bernama Ramdan menyamakan kehidupan macam laut. Pasang dan surut. Hidup ini penuh dengan warna-warna suka dan duka. Atau adakalanya hidup yang dilayari selagi masih bernafas di dunia ini ibarat putaran roda. Sekejap berada di atas. Sekejap berada di bawah.

Angin yang datang dari arah laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Segar dan dingin. Membelah seluruh suasana. Bersama hening cuaca. Matahari belum lagi kelihatan di kaki langit. Pohon-pohon dan daun-daun bergoyangan mengikut rentak tiupan angin. Mengeluarkan irama merdu mengusik jiwa.

Dia memandang sedalam-dalamnya desiran ombak yang sentiasa setia mengalun pantai. Setiap waktu dan ketika. Tanpa rasa bosan dan jemu. Itu sudah ketentuan dari Tuhan. Alam semesta ini dicipta untuk manusia. Yang hidup sementara di atas muka bumi yang bulat ini.
Hidup ini terlalu luas pengertiannya. Penuh dengan liku-liku rintangan dan cabaran. Ada ketikanya seperti meniti kerikil-kerikil tajam. Sama ada suka atau tidak terpaksa ditempuhi. Apa yang pasti bukan hidup namanya kalau tidak menghadapi masalah.

Ramdan menarik nafas panjang. Sambil memeluk seerat-eratnya tubuh. Berdiri memandang laut biru. Suasana masih lagi dibaluti keheningan. Bersama suara ombak menghempas pantai. Jelas kedengaran membelah suasana.

Dalam keasyikan dia melayani fikiran tiba-tiba perutnya terasa lapar. Baru dia teringat. Dia belum bersarapan. Tak elok dibiarkan perut kosong. Nanti masuk angin. Sakit. Diri sendiri jugak yang susah nanti. Ramdan lalu bergerak mengatur langkah ke arah gerai yang berhampiran dengan pantai.

Setibanya di gerai dia lalu memesan secawan teh dan sepinggan nasi lemak. Memang enak menjamu selera sambil menikmati pemandangan indah pantai dan udara nyaman. Selepas bersarapan Ramdan lalu mengambil keputusan untuk bersiar-siar di tepi pantai. Untuk menenangkan fikiran. Damai dan tenang. Terasa menyelubungi jiwanya apabila melihat laut dan desiran ombak.
Cuaca yang tadinya dibungkus keheningan bertukar cerah. Matahari kelihatan di kaki langit. Cahayanya menyinari seluruh alam semesta. Menjadikan seluruh suasana terang-benderang. Sambil bersiar-siar di tepi pantai Ramdan tidak putus-putus memikirkan tentang kehidupan yang dilaluinya di dunia ini. Dugaan. Segala yang dialaminya dan harus diterima dengan penuh sabar dan tabah.

“Apa makna semuanya ni, Intan?” tanya Ramdan.

“Maafkan saya, Encik Ramdan. Ini adalah arahan Encik Badrul. Dia suruh saya ambil semua fail dan kemaskan barang-barang Encik Ramdan. Dia kata Encik Ramdan tidak ada hak lagi dalam syarikat ni,” jelas Intan pula.

“Oh, begitu!” Ramdan sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Intan itu.

“Tak apalah, Intan. Awak menjalankan arahan. Kenalah ikut ya, tak?” sambung Ramdan lagi sambil mengangkat kepala. Memandang wajah Intan.

Dia kemudiannya lalu beredar dari situ menuju ke bilik Badrul. Kelihatan sedang asyik menyemak fail syarikat. Segak bergaya memakai kot dan bertali leher di atas kerusi pusing.

“Aku dah lama tunggu nak jumpa kau,” kata Badrul pada Ramdan yang tercegat berdiri.

“Ya ke? Maafkan aku kerana terlambat. Sebab sibuk mengemaskan barang.” Ramdan mengeluarkan kata-kata sindiran pada Badrul. Dalam nada suara yang tenang. Tapi penuh dengan makna yang mendalam.

“Kau nak tahu jawapannya?” Badrul memandang muka Ramdan.

“Silakan, Encik Badrul. Aku sedia mendengarnya,” Ramdan membalas sambil tercegat berdiri.

“Kau dah tak diperlukan dalam syarikat ni!” tegas Badrul.

“Sebabnya?” Ramdan tak henti-henti menyoal. Kerana berasa tidak puashati dengan jawapan yang diberikan oleh Badrul. Yang juga adik tirinya.
“Kan aku dah kata tadi. Kau tak perlu lagi berada dalam syarikat ni. Aku harap kau faham!” jawab Badrul.

“Terima kasih banyak-banyak, Badrul. Aku terima dengan hati yang terbuka. Tak payahlah kau panggil pengawal keselamatan. Sekarang dengan segala hormat jugak aku keluar dari pejabat ni. Tapi sebelum tu aku nak cakap sikit dengan kau,” Ramdan bersuara.

“Hah, apa dia?” ujar Badrul dengan rasa penuh sombong dan bongkak. Mengeluarkan nada suara kuat. Mendongakkan kepala tinggi melihat wajah Ramdan.

“Kita tengok nanti. Siapa yang benar. Siapa yang salah nanti.” Kata-kata yang diluahkan oleh Ramdan. Sebelum meninggalkan bilik Badrul.

Ramdan terhenti seketika apabila terkenangkan dia disingkirkan daripada Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. Milik arwah Datuk Malek ayahnya. Dia sama sekali tidak menyangka boleh terjadi sebegini. Setahu dia arwah ayahnya telah berwasiat bahawa syarikat dikendalikan bersama dengan Badrul. Apabila dia sudah meninggal dunia.
Bayu laut yang tadinya bertiup lemah-gemalai tiba-tiba bertukar rentak menjadi kencang. Bunyi pohon-pohon yang bergoyangan dan daun-daun yang bergeseran jelas kedengaran kuat bagai bernyanyi-nyanyi menyapu seluruh alam semesta ciptaan Tuhan. Ramdan bukan sahaja berdepan dengan cabaran hidup. Malahan juga kesepian. Tanpa ayah dan ibu. Dia kini kehilangan segala-galanya. Kasih dan sayang. Sepertimana yang diidamkan oleh setiap manusia yang hanya hidup menumpang di atas dunia ini. Hidupnya bertambah sunyi apabila ditinggalkan wanita yang bernama Diana kekasihnya.

“Aku dah ambil keputusan muktamad, Ramdan,” ujar Diana.

“Untuk tinggalkan aku, bukan?” Ramdan seperti dapat menduga akan maksud Diana itu.

“Ya!” angguk Diana dengan pantas.

“Kau tak perlu beritahu aku jawapannya. Mudah saja. Sebab lelaki yang kau cintai ni dah tak ada duit lagi,” dengan cepat Ramdan memotong.

Dunia zaman sekarang materialistik. Terlalu memandang pada kemewahan dan kesenangan hidup. Tiada siapa yang boleh disalahkan dalam hal ini. Dia amat menyayangi Diana. Tapi apakan daya cinta Diana cuma pada ketika dia memiliki segala-galanya yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Yang melimpah ruah tiada hentinya. Macam air sungai yang mengalir.

Kawan ketawa memang ramai. Tapi kawan menangis hanya seorang diri. Memang benar kata-kata itu bagi manusia yang hidup di dunia ini. Ramdan kini benar-benar berasa seorang diri. Dalam melayari hidup ini. Tanpa kawan-kawan apabila disingkirkan daripada Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. Mereka semua menjauhkan diri. Kerana menganggap Ramdan sekarang bukan Ramdan yang dulu. Mudah mendapat pertolongan terutama apabila kesempitan wang.

Seminggu selepas dia tidak lagi bersama dengan Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. dia telah menerima panggilan telefon daripada Intan. Badrul mahu berjumpa dengannya di pejabat.

“Aku kasihan dengan kau,” Badrul bersuara dalam kesejukan alat penghawa dingin yang mengepung seluruh bilik.

“Tak perlulah kau kasihankan aku. Apa nak buat? Dah nasib aku, kan?” jawab Ramdan sebaliknya dengan tenang.

“Apa kau buat sekarang?” Badrul menyoal Ramdan.

“Kau perlu tahu ke?” Dengan pantas Ramdan membalas.

“Walaupun aku adik tiri kau aku tak boleh biarkan kau hidup merempat. Nanti apa pulak kata orang. Aku ni Pengerusi Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. Sebuah syarikat yang terkenal. Tapi abangnya hidup sebatang kara. Tak ke malu aku namanya tu,” jelas Badrul pula.

“Terima kasihlah di atas kemuliaan hati kau. Kerana masih ingatkan aku lagi. Ingatkan dah berpatah arang berkerat rotan,” ucap Ramdan pada Badrul.

“Lebih baik aku berterus terang pada kau. Maafkan aku. Hari tu aku terlupa nak serahkan bahagian kau dalam syarikat ni.” Badrul menyatakan tujuan sebenarnya mahu berjumpa dengan Ramdan.

“Tak sangka, ya. Aku masih ada lagi bahagian dalam syarikat ni. Ingatkan dah tak ada apa-apa lagi,” Ramdan menjawab.

“Kau jangan nak sindir aku, Ramdan!” Nada suara Badrul sebaliknya berbunyi tidak puashati. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Ramdan itu.

“Macam ni ajelah Tuan Badrul Pengerusi Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. Aku tak perlukan bahagian tu. Kau ambillah semuanya. Tentang hidup aku tak usahlah kau kisahkan. Tahulah aku nak hidup macam mana. Sekali lagi terima kasih banyak-banyak,” Ramdan berkata.

“Baik!” Badrul menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi kau jangan menyesal. Datang sini balik. Bila hidup dah betul-betul merempat nanti!” ingat Badrul pada Ramdan pula.

“Itu kau jangan bimbang. Sekalipun menadah tempurung kerana nak makan namanya untuk minta tolong dengan kau tidak sekali-kali!” tegas Ramdan sebaliknya.

“Kau mencabar aku nampaknya. Baik! Kita tengok nanti. Apa yang akan berlaku selepas ni,” Badrul bersuara.

“Ada apalagi? Rasanya bilik ni aje sejuk tapi panas rupanya. Tak guna kita bertengkar. Biarpun kita berlainan ibu tapi ayah kita tetap Arwah Datuk Majlid. Sedarah sedaging. Aku minta diri dulu,” mohon Ramdan.

“Sebelum tu aku nak beritahu kau satu perkara. Harap kau jangan marah,” Badrul mencelah.

“Apa dia?” kata Ramdan.

“Tak lama lagi aku dan Diana akan berkahwin,” ujar Badrul.

“Ya ke! Itu berita gembira. Aku dengan Diana dah pun putus. Baguslah macam tu. Dia telah pun berjumpa dengan lelaki yang terbaik macam kau. Sepertimana yang dia impikan. Tahniah buat kau orang berdua. Semoga hidup bahagia buat selamanya,” Ramdan membalas. Badrul sebaliknya hanya mendiamkan diri. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Ramdan itu. Dia kemudiannya pantas berlalu pergi meninggalkan bilik Badrul.

Rasa kecewa semakin menebal di hati Ramdan. Sudahlah dia dipecat dari syarikat kini kekasihnya pula dirampas oleh adik tirinya sendiri. Namun begitu dia tetap redha. Ini semua adalah ujian dari Tuhan. Untuk menguji sejauhmana kesabaran dan ketabahannya mengharungi gelombang kehidupan yang telah ditentukan buatnya di dunia yang sementara ini. Sama seperti manusia lain begitu juga dengan dia. Yang telah ditentukan sejak dari azali lagi. Bermula dengan kelahiran tangisan seorang bayi ke dunia ini dan berakhir dengan kematian.

Apakan daya dia hanya seorang manusia yang lemah di sisi Tuhan. Tak berdaya untuk menolak suratan takdir. Hanya mampu berserah nasib diri. Apakan daya bukan rezekinya bersama dengan Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. Meskipun bapanya telah berwasiat. Setelah ketiadaannya menerajui bersama-sama dengan Badrul. Apakan daya bukan jodohnya dengan Diana. Sungguhpun saling cinta-menyintai dan sayang-menyayangi. Sehati sejiwa dan telah berjanji melayari bahtera kehidupan bersama. Bagi dia segala yang ditentukan oleh Tuhan kepadanya ada hikmah di sebaliknya. Dia sentiasa bermunajat pada Tuhan. Supaya diberikan kekuatan dan dikurniakan cahaya untuk keluar daripada kegelapan yang menyelubungi hidupnya.

Jauh sekali di sanubarinya menyimpan dendam terhadap Badrul. Doanya semoga Tuhan akan menunjukkan jalan yang benar. Ramdan mahu melupakan terus kisah hitam yang menimpa hidupnya. Dengan membawa diri ke sini. Sebuah kawasan peranginan yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Bila melihat laut dan desiran ombak jiwanya benar-benar berasa damai dan tenang. Kekecewaan yang bertapak menggunung tinggi dalam perasaannya lantas hilang. Bagai buih-buih memutih yang timbul seketika di gigian pantai apabila dipukul ombak dan kemudiannya pantas hilang.

“Macam mana, Badrul? Dia ambil tak bahagiannya dalam syarikat?” Datin Mariah menyoal anaknya.

“Tak, mama!” Badrul menggeleng-gelengkan kepala.

“Bagus macam tu. Kita ambil bahagian. Biarkan dia rasa hidup tak berharta. Tak berwang ringgit,” kata Datin Mariah lagi.

“Badrul tak sangka. Mama ni bijak orangnya. Sampai Ramdan kena singkir dari syarikat. Hebat. Mama memang hebat,” Badrul memuji ibunya. Datin Mariah tersenyum lebar apabila anaknya menghamburkan kata-kata pujiannya.

“Ini Datin Marialah. Kalau tak pandai membuat rancangan mana kan dapat syarikat dan harta arwah Datuk Malek. Siapa yang tak kenal. Seorang usahawan yang terkenal,” Datin Mariah bersuara dengan penuh rasa sombong dan bongkak.

“Tapi Badrul bimbanglah, mama,” ucap Badrul pula sebaliknya.

“Bimbang apa pulak?” tanya Datin Maria dengan wajah hairan jelas kelihatan.

“Dia menuntut balik haknya. Badrul yakin, mama. Ramdan menyimpan dendam dan marah dengan apa yang kita buat ni. Walaupun tidak ditunjukkannya. Manalah tahu dalam diam-diam.” Badrul mengingatkan ibunya.

“Badrul! Dia ingat kita ni bodoh ke. Ramdan tak akan dapat haknya. Mama dah pastikan itu semua tak akan berlaku,” Datin Mariah membalas.

“Maksud, mama?” Badrul berkata dengan penuh minat. Sambil mengangkat kepala memandang muka ibunya. Yang duduk bertentangan dengannya.

“Segala surat dan dokumen berkaitan hak milik syarikat mama dah uruskan dengan peguam. Kalau dia tuntut dengan membawa ke mahkamah sekalipun dia tak akan menang. Nama dia dah tak ada lagi dalam syarikat. Mana dia ada hitam putih. Percayalah!” tambah Datin Mariah.

Perbualan Datin Mariah dan Badrul yang rancak lantas terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit Badrul.

“Siapa pulak ni. Ya, Intan. Ada apa? Apa? Ramli kena tangkap. Ok! Ok! Macam ni nanti saya telefon awak balik ….” Nada suara Badrul berbunyi cemas.

“Kenapa, Badrul?” ujar Datin Mariah.

“Ramli …. Ketua pegawai pemasaran kita …. Kena tangkap …. Atas tuduhan cuba merasuah untuk mendapatkan tender …,” Badrul menjawab dengan terputus-putus. Kerana berasa takut apabila mendengar berita buruk itu.

Tak lama kemudian kedengaran suara orang memberi salam dan mengetuk pintu. Datin Mariah segera menjawab salam dan mengarahkan pembantu rumahnya warga Indonesia untuk membuka pintu dan melihat siapa yang datang. Kelihatan dua orang lelaki yang berbadan tegap seperti pihak berkuasa.
“Maafkan saya. Boleh saya berjumpa dengan Encik Badrul,” kata salah seorang daripada lelaki itu.

“Ya! Saya Badrul. Ada apa, encik?” Badrul berkata pada lelaki itu.

“Saya Aminuddin pegawai dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia,” ujar lelaki itu sambil menunjukkan kad kuasanya.

“Encik Badrul sila ikut saya ke pejabat sekarang. Kami dah tahan Encik Ramli kakitangan Encik Badrul kerana cuba merasuah. Untuk mendapatkan tender Taman Perumahan Desa Indah. Dia beritahu kami yang Encik Badrul suruh dia beri rasuah pada pegawai yang menjaga tender tu,” sambungnya lagi.

“Nanti dulu, Encik!” Datin Mariah cuba menahan.

“Minta maaf, Datin. Saya terpaksa tahan Encik Badrul untuk siasatan. Mohon kerjasama Datin. Supaya jangan mengganggu kerja kami. Encik Badrul boleh kita pergi sekarang!” pinta Encik Aminuddin.
“Mama! Macam mana ni, Mama? Tolonglah Badrul, mama. Badrul kena tangkap ni,” Badrul sebaliknya merayu pada ibunya.

Keesokan harinya berita penahanan Badrul kerana cuba merasuah pegawai untuk mendapatkan tender tersebar luas di dada akhbar. Mungkin sudah balasan Tuhan. Tidak cukup dengan itu beberapa bulan kemudian peguam yang memalsukan surat dan dokumen Badrul sebagai pemilik syarikat setelah ayahnya meninggal dunia telah terlibat dengan kemalangan ngeri dan menemui ajal di tempat kejadian.

Begitu juga dengan nasib Datin Mariah. Dia tiba-tiba menjadi gila. Mahkamah telah mendapati Badrul bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara bersesuaian dengan kesalahan yang telah dilakukannya. Sementara itu Syarikat Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. telah jatuh bankrap. Angkara Badrul semasa menjadi Pengerusi menggunakan duit syarikat untuk berfoya-foya dan belanja boros ibunya.

Pandangan Ramdan bagaikan melekat pada permukaan laut biru. Dengan tiba-tiba sahaja dia teringatkan ungkapan apabila burung-burung pulang ke sarang maka senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam. Segala suka duka yang kita layari hari ini akan kita himpunkan menjadi pengalaman. Untuk mendewasakan kita apabila fajar menyingsing pada keesokan harinya. Dia mengamati dalam-dalam kata-kata itu. Teringat dia akan satu ungkapan lagi yang sungguh menarik. Menjadi pembakar semangat apabila jatuh dan bangun sebagai pemenang. Dalam hidup ini biar kita mengalah asalkan jangan kalah. Tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya berbunyi.

“Hello! Waalaikumsalam. Ya, datuk. Nak jumpa saya? Adahal penting. Baiklah. Insya-Allah. Waalaikumsalam!” dia menjawab panggilan itu.

Ramdan segera ke rumah penginapan dan berkemas. Petang itu juga dia kembali semula ke Kuala Lumpur. Besok dia ada temujanji dengan Datuk Muzamir. Rakan karib ayahnya.

“Saya nak serahkan hak Ramdan balik,” Datuk Muzamir bersuara. Sambil menyerahkan surat dan dokumen Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. milik Datuk Muzamir kepada Ramdan.

“Hak saya?” ujar Ramdan dengan rasa penuh terkejut.

“Biar saya jelaskan. Saya dan arwah Datuk Malik bukan sahaja berkawan baik. Malahan juga macam adik-beradik. Hubungan kami amat rapat. Dia telah berwasiat sekiranya terjadi apa-apa terhadap Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. dia mahu saya mengambil awak bekerja. Saya amat bersetuju dan menambah lagi akan menyerahkan syarikat ini kepada Ramdan. Seperti yang Ramdan tahu saya tak punya anak. Saya dah tua dan tak larat lagi nak kendalikan syarikat ni. Lalu saya mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkannya kepada Ramdan. Saya yakin dengan kebolehan Ramdan dan memiliki sifat jujur dalam perniagaan macam arwah Datuk Malek,” jelas Datuk Muzamir dengan panjang lebar.

“Kalau saya tolak macam mana, Datuk,” kata Ramdan. Yang berasa macam bermimpi dengan keputusan yang diambil oleh Datuk Muzamir. Menyerahkan Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. kepadanya.

“Ramdan anggaplah ini adalah anugerah daripada kesabaran dan ketabahan mengharungi ujian Tuhan. Sesungguhnya Tuhan itu maha adil. Lihatlah apa yang terjadi pada Datin Mariah dan Badrul kerana menganiaya Ramdan. Kebenaran ternyata berpihak pada Ramdan. Tolonglah, Ramdan. Jangan hampakan harapan saya. Anggaplah saya ini sebagai arwah Datuk Malek. Ramdan seperti anak saya. Terimalah Syarikat Kembang Holdings Sdn. Bhd. yang pengerusi barunya Ramdan bin Datuk Malek,” Datuk Muzamir menambah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience