BAB 9

Drama Completed 192

GANJARAN ILAHI

Kehidupan sesungguhnya penuh dengan pelbagai rintangan dan dugaan. Kita harus tempuhinya sama ada suka atau tidak. Bukan hidup namanya kalau tidak berani menempuh cabaran.

"Kau kena tolong aku, Amir. Aku dah tak ada tempat nak mengadu lagi. Kaulah satu-satunya kawan aku," rayu Marzuki.

"Kenapa syarikat kau boleh bankrap? Bukankah syarikat kau banyak dapat projek yang besar-besar," tanya Amir kehairanan.

"Entahlah, mungkin dah nasib aku agaknya," kata Marzuki bersuara lemah.

Amir memandang dalam-dalam wajah sahabatnya. Dia benar-benar simpati dengan apa yang menimpa Marzuki.

"Kau nak minta aku tolong apa?"

"Sebenarnya aku segan nak beritahu kau."
"Yalah, kalau kau tak beritahu aku perkara sebenarnya macam mana aku nak tolong kau."

"Begini, aku nak pinjam duit dari kau untuk bayar hutang. Aku janji akan bayar balik bila aku ada duit nanti," jelas Marzuki.

"Berapa kau nak pinjam?"

"Cuma RM 800,000.00 saja."

Cuaca kelihatan cerah. Di kaki langit matahari bersinar indah. Pohon-pohon bergoyangan dan daun-daun hijau bergeseran mengikut rentak tiupan angin, mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Jiwa yang dilanda sepi jadi terhibur.

"Apa? Dia nak pinjam RM 800,000.00?" Sofia terperanjat besar mendengar cerita suaminya.

"Ya!" kata Amir sambil mengangguk lemah.

"Dia minta tolong sangat, nak bayar hutang. Syarikatnya dah bankrap," tambah Amir.
"Abang! RM 800,000.00 tu bukannya sikit. Mampu ke dia bayar balik."

"Itu abang tahu, tapi dia berharap sangat, Sofia. Dah tak ada orang lain lagi nak tolong dia."

"Amir menarik nafas panjang sambil memeluk tubuh. Dia terus melayan fikirannya. Hidup ini umpama lautan biru. Nampak tenang dengan desiran ombak tak putus-putus menghempas pantai. Tapi, adakalanya bergelora sehingga boleh menghanyutkan.

"Kau mesti ingat, Amir. Kau tolong orang belum tentu orang akan tolong kau." Kata-kata Yazid masih lagi segar di telinganya.

"Tak apalah, Yazid. Aku ikhlas tolong. Tak harapkan balasan pun. Biar Tuhan saja menentukannya," kata Amir.

"Apa yang kau cakap tu betul tak rugi tolong orang. Hidup kita ni macam roda, sekejap di atas, sekejap kita di bawah. Bila di atas kita berasa megah. Tidak memandang ke bawah. Bila kita di bawah baru kita tahu langit tu tinggi sebenarnya. Mulalah kita memandang balik ke bawah," kata Yazid bermadah.
"Benar, Yazid. Hidup ini tak ke mana sebenarnya. Semua yang kita miliki hanyalah sementara. Hari ini kita rasa senang. Orang lain pula rasa susah. Esok lusa belum pasti lagi nasib kita," tambah Amir.

Pepohonan seakan-akan mengangguk setuju dengan kata-katanya. Amir menyingkap kembali sejarah hidupnya. Sebelum bergelar usahawan berjaya banyak ranjau terpaksa dihadapinya.

"Apa? Kau nak pinjam duit buat berniaga?" tanya abangnya, sungguh terkejut.

"Ya, bang! Saya perlu tambah RM 2,000.00 lagi. Bila ada untung nanti saya bayarlah balik duit abang," kata Amir merayu pada abangnya.

"Amir, kau tahu ke selok-belok berniaga ni, hah. Kau ingat berniaga ni senang, macam beli ikan kat pasar tu!" bidas abangnya menyindir.

"Saya tahu, bang. Kata orang kalau berani makan garam kenalah berani menelan masinnya. Saya yang buat pilihan saya berani tanggung apa juga akibatnya," ucap Amir dalam nada lembut, penuh mengharap.
"Kau bercakap sedap mulut aje. Kau ingat senang aku nak beri RM 2,000.00. Untung berniaga belum tentu, duit aku pulak yang hangus!" sindir abangnya lagi.

"Abang, kita ni kan adik-beradik, takkan abang tak percaya dengan saya!" Amir merayu.

"Sudah! Macam mana kau merayu sekalipun aku tak akan bagi. Kau ingat kau seorang aje nak pakai duit. Aku pun nak pakai duit buat modal tender yang aku masuk tu," ujar abangnya dengan keras.

Amir meninggalkan rumah abangnya dengan penuh kecewa. Apakan daya, abang sendiri tidak mahu membantu. Tak mengapa, ini semua dugaan yang harus ditanggungnya. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

"Dunia sekarang ni pelik. Kerana duit adik-beradik boleh bergaduh. Tapi kau jangan risau, Amir ini perkara kecil aje. Aku boleh tolong kau," kata Omar.

"Tolong? Tak payah susah-susahlah, Omar. Duit yang aku perlukan tu banyak. Kau sendiri pun bukannya ada kerja tetap. Macam mana kau nak beri aku," jawab Amir sambil tersenyum kecil.
"Itulah kau, belum apa-apa lagi dah tak percayakan aku. Sungguh ni, aku nak tolong kau. Aku gerenti kau akan dapat RM 2,000.00. Lebih pun kau boleh dapat," Omar meyakinkan Amir.

"Macam mana caranya?" Amir makin minat mengetahui lebih lanjut lagi sambil mendongakkan kepala memandang Omar.

"Esok kau ikut aku jumpa kawan aku," terang Omar.

"Siapa kawan kau tu?"

"Ah! Kau ikut ajelah nanti, tak usah banyak tanya. Bila kau dah jumpa dia nanti tahulah."

Amir terdiam. Dalam hatinya tertanya-tanya siapa sebenarnya kawan Omar ni, begitu mudah boleh beri pinjam duit.

"Amir! Siapa dia tu tak penting, yang penting dia dapat beri RM 2,000.00 buat modal kau tu. Hah! Mari minum aku belanja!" Omar seperti dapat membaca apa yang terpancar di wajah Amir.

Keesokannya seperti yang dijanjikan Omar membawa Amir berjumpa kawannya itu. Dia rupanya ceti haram. Mujurlah Amir tidak terpengaruh meminjam wang daripadanya.

Amir tidak patah semangat. Dia terus berusaha membina perniagaan tanpa mendapat bantuan sesiapa. Berkat usaha gigih dan kesabarannya dia akhirnya berjaya menjadi usahawan. Berbeza dengan abangnya. Dia ditahan pihak berkuasa atas tuduhan cuba merasuah pegawai atasan untuk mendapatkan tender.

“Buat apa nak tolong Abang Khalid tu. Salah dia sendiri juga. Abang tak ingat ke dulu masa abang nak pinjam RM 2,000.00 buat modal berniaga sikit pun dia tak beri,” Sofia membantah.

“Sofia, kita tak boleh buat macam tu. Macam mana buruk dia sekalipun Abang Khalid tu tetap abang saya, darah daging saya sendiri. Kalau orang lain susah saya boleh tolong, takkan dia susah saya tak boleh tolong,” jelas Amir.

Abang Khalid benar-benar malu dan menyesal. Dulu Amir nak pinjam duit modal berniaga dia tak beri. Tapi adiknya inilah yang menjaminnya.
“Amir, aku minta maaf! Kalau kau tak ada tak tahulah macam mana nasib aku,” kata Khalid dengan nada sebak, terputus-putus.

“Sudahlah bang, saya sikit pun tak ada perasaan dendam pada abang. Kita ni kan adik-beradik, air dicincang takkan putus,” balas Amir.

Dia terus melayan fikirannya mengenangkan kembali kisah lampau yang pernah dialami dalam hidupnya.

“Terima kasihlah banyak-banyak, Amir. Kaulah satu-satunya kawan aku di dunia. Tak tahu macam manalah aku nak balas budi kau tu,” kata Marzuki dengan rasa penuh lega sebaik sahaja mendapat wang RM 800,000.00 daripada Amir.

“Sudahlah tu, Marzuki, tak usah kau puji-puji aku. Pertolongan aku ni ikhlas, bukannya harapkan balasan. Lagipun aku nak tengok kau berjaya dalam perniagaan,” Amir menambah.

“Aku betul-betul bangga dan terharu mempunyai kawan seperti kau. Selalunya kawan ketawa ramai, kawan menangis seorang. Tapi kau mahu menangis bersama aku,” luah Marzuki pula.
“Yalah. Dah jadi resam dunia, Marzuki, nak buat apa. Tak guna namanya aku ni kawan baik kalau ak dapat tolong masa kau susah,” tambah Amir.

Dengan bantuan Amir akhirnya Marzuki dapat menyelesaikan hutang syarikatnya malah syarikatnya bangun semula daripada jatuh.

“Macam mana ni, Encik Amir? Kewangan syarikat kita semakin merosot. Silap-silap kita tak mampu bayar gaji pekerja,” kata Tina, akauntan syarikat.

“Apa … merosot?” Amir terkejut.

“Ya, Encik Amir!”.

“Dah dekat hujung bulan ni, kita kena cari duit nak bayar gaji pekerja,” ingat Tina.

Amir diam seketika mendengar kata-kata wanita muda itu yang hampir tiga tahun bekerja sebagai akauntan di syarikatnya. Dipandangnya wajah Tina dalam-dalam dengan penuh makna dan harapan. Tina yang tercegat memerhatikan sahaja gelagat Amir. Perlahan-lahan dia menarik nafas panjang sambil melihat wajah Tina.
“Tak apalah, Tina. Terima kasih kerana mengingatkan saya. Awak jangan bimbang, saya akan usahakan duit untuk gaji pekerja,” Amir bersuara tenang.

“Baiklah, Encik Amir.”

Sebaik Tina berlalu, Amir menengadah ke siling sambil tersandar lesu di atas kerusi pusing memikirkan nasib syarikatnya.

Semua ini dugaan Tuhan, harus diterima dengan reda dan tabah untuk menguji kekuatan dan kesabaran hamba-Nya. Itulah antara bait-bait kata yang berbisik di hatinya.

Amir berjumpa dengan Marzuki meminta pertolongan menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikatnya.

“Apa, syarikat kau dah tak mampu bayar gaji pekerja?” Marzuki terkejut mendengar cerita Amir.

“Ya, Marzuki! Aku harap kau dapat tolong aku,” kata Amir penuh pengharapan.

“Aku bukannya tak nak tolong kau, Amir. Tapi syarikat aku pun ada masalah,” dalih Marzuki.

“Setahu aku syarikat kau semakin maju sekarang,” ujar Amir.

“Betul!” Marzuki cepat mengangguk kepala.

Amir terdiam.

“Syarikat aku macam kau juga. Biasalah dunia bisnes macam kita ni, untung dapat pun mana cukup. Bayar gaji pekerja lagi, bayar hutang lagi. Kau faham-faham ajelah,” Marzuki memberi alasan.

“Jadi, kau tak dapatlah tolong aku?” tanya Amir sambil memandang tepat muka Marzuki.

“Aku minta maaf banyak-banyak, Amir. Aku memang tak dapat tolong kau. Ada apa-apa lagi tak? Aku ada mesyarat penting ni,” kata Marzuki seolah-olah menghalau Amir.

Kehampaan terpancar di wajah Amir sebaik sahaja keluar dari pejabat Marzuki.
Selagi hayat masih ada aku tidak boleh berputus asa, aku tidak boleh patah semangat. Amir bernekad. Dia sedar, setiap masalah yang dihadapi ada jalan penyelesaiannya. Dia yakin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian Tuhan yang menimpa syarikatnya.

Amir tak henti-henti bermunajat siang dan malam. Dia mengerti semua ini ketentuan Tuhan, bukan kehendaknya. Dia mohon ditunjukkan jalan keluar daripada masalah ini.

Tiba-tiba dia teringat kata-kata dalam hidup ini biar kita menyerah asalkan jangan kalah dengan sebarang rintangan mahupun halangan yang datang. Entah dari mana datangnya kata-kata semangat itu dia sendiri tak pasti. Tiba-tiba sahaja muncul dalam dirinya.

Mungkin berkat doanya, ketabahan dan kesabarannya menghadapi ujian dan dugaan Tuhan. Amir pantas bersemangat mengemudi syarikatnya yang kini ibarat telur di hujung tanduk.

“Encik Amir suruh saya dapatkan tender perumahan tu?” Fuad pegawai pemasaran syarikat berasa sungguh terperanjat dengan arahan Amir.

“Ya, Fuad!” kata Amir.
“Tapi Encik Amir syarikat kita sedang goyang sekarang.”

“Itu saya tahu. Kita cuba masuk aje. Insya-Allah, kalau ada rezeki dapatlah syarikat kita nanti,” ulang Amir, penuh keyakinan.

Fuad mengangguk, menurut arahan majikannya.

Amir melepaskan pandangan ke arah laut membiru ciptaan Tuhan untuk manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Bayu yang bertiup dari arah laut brsama pohon-pohon hijau yang bergoyangan seolah-olah membisikkan kata-kata azimat kepada Amir supaya terus berusaha sehingga berjaya menyelamatkan syarikatnya yang sekian lama dibina daripada jatuh tersungkur dan terus berkubur buat selama-lamanya seperti kematian.

Lamunan Amir yang jauh melayang di permukaan laut terhenti oleh deringan telefon bimbitnya. Dia melihat, tertera nombor telefon Fuad.

“Hello! Waalaikumsalam, ya Fuad ada apa?” Dada Amir berdebar.

“Apa, kita dapat tender tu? Alhamdulillah!” ucap Amir penuh kesyukuran.
Sesungguhnya Tuhan itu tidak akan mensia-siakan doa orang yang sabar dan ikhlas berusaha tanpa mengharapkan ganjaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience