BAB 17

Drama Completed 192

PENCINTA ALAM

Dingin. Terasa membelah suasana pagi. Dari jauh sayup-sayup kelihatan kabus melitupi puncak bukit yang subur menghijau. Suara burung berkicau riang jelas kedengaran memecah alam. Deru air sungai mengalir tenang.

Matahari belum lagi kelihatan di kaki langit. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Segar dan nyaman. Pokok-pokok bergoyangan. Daun-daun bergeseran mengeluarkan irama sungguh merdu. Mengusik jiwa mengikut rentak tiupan angin.

Ditariknya nafas panjang-panjang. Dia memandang dalam-dalam hutan belantara nan hijau. Sungguh indah ciptaan Tuhan! Itulah antara bait-bait kata yang berbisik di hatinya.

“Kenapa kau beria-ia sangat menentang projek pembalakan ni?” Sudin menyoal.

“Demi menyelamatkan alam sekitar,” Kamil sebaliknya menjawab. Dalam suara tenang tapi penuh dengan makna yang mendalam.

“Hutan belantara tu tak ada gunanya pada kita. Balak tu ada hasilnya bila tebang,” ucap Sudin.

“Pembalakan menyebabkan alam sekitar tercemar. Kita tak boleh biarkan perkara ini berlaku. Sebelum menjadi lebih buruk dan bahaya kepada kampung ni,” jelas Kamil pula.

Lamunan Kamil yang jauh melayang itu lantas terhenti seketika.

“Assalamualaikum!” Kedengaran suara gadis memberi salam. Dia kenal dengan suara gadis yang memberi salam itu.

Dia segera berpaling ke arah suara itu. Rosnah. Kelihatan sambil terukir senyuman manis di wajahnya. Ayu dan cantik dengan tudung berwarna biru air laut. Menutupi rambutnya.

“Waalaikumsalam!” jawab Kamil sambil melemparkan senyuman pada Rosnah.

“Maaflah kalau mengganggu awak,” Rosnah berkata.
“Oh! Tak mengapa!” Kamil menggeleng-gelengkan kepala.

“Saya sebenarnya sedang melihat keindahan alam ni,” sambung Kamil lagi.

“Awak nampaknya seorang pencinta alam,” Rosnah bersuara.

“Saya memang cintakan alam ni. Cantik dan menarik bila dipandang. Bersama udara segar dan nyaman. Bagi saya satu kerugian bila tak dijaga,” terang Kamil.

“Awak selalu datang ke sini? Maafkan saya. Banyak pulak soal,” ujar Rosnah tak putus-putus.

“Tak mengapa. Memang saya selalu ke sini. Jiwa saya tenang dan damai. Bila melihat kehijauan alam ini,” jelas Kamil lagi pada Rosnah.

Desiran angin yang bertiup lembut dari arah bukit-bukau terasa nyaman dan segar mengusapi seluruh kampung. Indah dan permai.

Kamil memeluk erat-erat tubuhnya. Sambil melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah hutan belantara. Cuaca perlahan-lahan nampak cerah. Matahari yang tadinya tidak kelihatan beransur-ansur menampakkan cahaya di kaki langit. Menukar suasana dari redup kepada terang-benderang.

“Awak menentang habis-habisan projek pembalakan tu?” tanya Rosnah sambil mengangkat kepala memandang wajah Kamil.

“Ya!” Kamil mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Saya tak mahu kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup ini,” ulang Kamil sebaliknya.

“Alam sekitar dekat dengan jiwa awak,” Rosnah menambah.

“Bukan sahaja dekat. Malah sebahagian daripada hidup saya,” Kamil bersuara.

Sementara itu Sudin berjumpa dengan Orang Kaya Bakar di sebuah restoran di pekan.

“Macam mana, tuan?” Sudin bertanya pada Orang Kaya Bakar.

“Kalau ya pun kau ni sabar ajelah. Aku tengah uruskan dengan pegawai jabatan perhutanan tu. Untuk dapatkan permit balak tu,” jelas Orang Kaya Bakar.

“Boleh dapat ke permit tu?” Sudin tak henti-henti menyoal.

“Aku yakin. Mesti dapat punya. Ini Orang Kaya Bakarlah. Ada cara untuk buat pegawai tu beri permit,” Orang Kaya Bakar menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Sudin itu.

“Maksud tuan ada habuan ke untuk dia meluluskan permit balak tu?” Sudin dapat menangkap maksud Orang Kaya Bakar itu.

“Tahupun kau. Zaman sekarang ni apa-apa pun perlukan duit. Bila ada duit semua yang kita nak senang dapat,” kata Orang Kaya Bakar lagi.

“Betul! Memang betul kata tuan tu. Sungguh bijak tuan ni. Tapi tuan jangan lupa janji tuan pada saya kalau dapat permit balak tu,” ingat Sudin pula.

“Hah, itu kau jangan bimbang. Aku tak akan lupa pada janji. Percayalah. Kau akan dapat habuan nanti. Asalkan kau pastikan tiada siapa yang menghalang projek kita ni,” Orang Kaya Bakar bersuara.

Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti. Pelayan muncul sambil membawa makanan dan minuman. Yang diletakkan di atas dulang.

“Sudah! Perut pun dah lapar ni. Makanan pun dah sampai. Mari kita makan!” ajak Orang Kaya Bakar.

Bunyi kicauan burung-burung jelas kedengaran. Bersama deru tenang air sungai mengalir. Memecah suasana alam semesta menghijau. Ciptaan Tuhan untuk manusia yang hidup sementara sahaja di dunia fana ini. Sebelum kembali ke alam akhirat. Yang kekal buat selama-lamanya. Itulah janji Tuhan kepada manusia yang bernafas di atas muka bumi ini.

Dia mengerti. Alam semesta ini juga macam manusia. Mempunyai hak untuk hidup. Sepertimana yang telah ditentukan oleh Tuhan.

“Nampaknya berita projek pembalakan tu semakin kuat tersebar di kampung ni,” ucap Rosnah. Nada suaranya yang lembut tenggelam bersama deruan angin petang. Yang halus dan gemersik. Menyapu seluruh hutan belantara dan kampung.

“Memang berita yang amat menyedihkan …,” keluh Kamil perlahan. Sambil memandang sayu dan pilu hutan belantara yang bakal menghadapi kemusnahan. Angkara manusia yang tidak menghargai rasa kasih dan cina terhadap alam sekitar.

“Bagi pencinta alam sekitar seperti awak tentu tak sanggup kehilangan sesuatu yang berharga sentiasa dekat di hati awak.” Rosnah seolah-olah dapat membaca. Apa yang tersirat di hati pemuda yang bernama Kamil.

“Saya akan merasa seperti meratapi kematian sekiranya hutan belantara ini musnah akibat projek pembalakan itu,” akui Kamil pula.

“Jadi, apa rancangan awak?” Pertanyaan yang tiba-tiba sahaja keluar daripada mulut Rosnah.

“Saya mesti selamatkan hutan belantara ini. Daripada menjadi mangsa kerakusan manusia. Yang mementingkan diri sendiri. Sehingga hutan belantara yang cantik dan damai menjadi mangsa!” balas Kamil dengan penuh bersemangat sekali.
“Kalau begitu saya sedia membantu awak,” Rosnah menjawab.

“Awak sedia menolong saya?” Kamil sebaliknya berasa sungguh terperanjat. Seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Rosnah itu.

“Ya!” Rosnah membalas cepat dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Macam mana?” tanya Kamil dengan penuh minat.

“Tengoklah nanti!” ujar Rosnah pula.

Keesokan harinya seperti yang dijanjikan Orang Kaya Bakar berjumpa dengan pegawai jabatan perhutanan bagi mendapatkan permit pembalakan.

“Bagaimana dengan permit balak yang saya mohon tu, tuan?” kata Orang Kaya Bakar.

“Masih lagi dalam pertimbangan,” jawab pegawai jabatan perhutanan yang memakai kot dan bertali leher.
Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa menggepung seluruh ruang bilik.

“Lambat lagi ke, tuan?” ucap Orang Kaya Bakar lagi.

“Itu saya tak pasti. Permohonan Encik Bakar saya dah ajukan pada pihak atasan. Terserah kepada mereka untuk meluluskannya atau tidak,” pegawai jabatan perhutanan itu bersuara.

“Tuan! Tolonglah saya. Percepatkanlah permohonan saya tu,” pinta Orang Kaya Bakar.

“Saya minta maaf, Encik Bakar. Kan saya dah kata tadi. Keputusan bukannya di tangan saya,” tegas pegawai jabatan perhutanan itu.

“Macam ni ajelah, tuan. Saya faham apa yang tuan mahukan. Untuk meluluskan permit yang saya minta tu. Dalam envelop ni ada wang tunai sebanyak RM 200,000.00. Kalau tak cukup tuan cakap aje. Berapa nak. Dua kali ganda daripada ni pun saya boleh beri,” ujar Orang Kaya Bakar sebaliknya. Sambil menghulurkan sampul surat yang berisi wang tunai sebagai ganjaran kepada pegawai jabatan perhutanan itu.
“Encik Bakar! Saya tahu Encik Bakar orang yang terkenal. Banyak duit. Tapi ingat, Encik Bakar. Saya ni ada maruah. Dengan segala hormatnya saya minta Encik Bakar tinggalkan bilik ni. Atau saya panggil pihak berkuasa. Sekarang jugak!” pegawai jabatan perhutanan membantah sekeras-kerasnya. Tindakan tidak bermoral Encik Bakar itu. Yang boleh meruntuhkan agama, bangsa dan negara.

Tanpa membuang masa lagi Orang Kaya Bakar bingkas bangun dan meninggalkan bilik pegawai jabatan perhutanan itu. Dengan perasaan marah dan kecewa. Kerana gagal mendapat apa yang dihajatinya.

Suasana petang diwarnai dengan cuaca cerah. Sinar matahari di kaki langit menyimbah ke seluruh kampung. Angin bertiup kencang. Pohon-pohon dan daun-daun bagai menari-nari inang. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Dibuai rentak tiupan angin.

“Awak pemberita rupanya,” kata Kamil setelah membaca rencana mengenai projek pembalakan dan kesannya kepada alam sekitar di kampung ini.

“Rencana ini jugak mendapat perhatian jabatan perhutanan. Mereka akan pastikan Orang Kaya Bakar tidak akan melakukan projek pembalakan secara haram. Sekiranya dia melakukan jugak tindakan undang-undang akan diambil,” Rosnah menambah.

“Macam tu rupanya!” angguk Kamil dengan pantas.

“Kenapa awak memilih cerita projek pembalakan yang melibatkan alam sekitar di kampung ni?” Kamil menyambung sambil memandang muka Rosnah.

“Saya sebenarnya wartawan alam sekitar. Saya dapat berita yang alam sekitar di kampung ini akan terlibat dengan projek pembalakan. Jadi, saya datang ke kampung ini untuk mendapatkan cerita sensasi tentang projek yang boleh memufaratkan alam sekitar. Agar mendapat pembelaan dan perhatian dari pihak atasan. Tak sangka pulak. Bertemu dengan awak. Seorang pencinta alam di kampung ni,” terang Rosnah pada Kamil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience