BAB 19

Drama Completed 192

SURAT SEORANG ATUK KEPADA CUCU-CUCUNYA

Ke hadapan cucu-cucu atuk yang diingati sekalian

Terlebih dahulu atuk menyusun jari sepuluh. Memohon ampun dan maaf. Sekiranya surat yang atuk tulis ini bias mengganggu ketenangan cucu-cucu di ketika ini. Bukannya apa. Atuk sebenarnya berasa bimbang. Dengan apa yang berlaku pada hari ini.

Apa yang atuk perhatikan cucu-cucu mudah terpengaruh. Dan dipergunakan oleh pihak tertentu. Sehingga cucu-cucu dijadikan alat. Demi mencapai cita-cita. Serta kepentingan diri mereka.

Tahu tak betapa hancur luluh hati atuk ini. Disebabkan terpengaruh dengan agenda pihak yang bercita-cita mahu merampas kuasa pentadbiran di negara ini. Maka cucu-cucu bertindak liar dan ganas. Di malam negara menyambut ulang tahun kemerdekaan. Sehingga sanggup memijak-mijak gambar pemimpin. Dan membawa bendera negara yang baru. Akibat didodoi dan dinyanyi-nyanyikan. Oleh pihak yang berkepentingan peribadi.
Ketahuilah wahai cucu-cucu sekalian. Mereka sebenarnya mahu memesongkan pemikiran cucu-cucu. Agar membenci pemimpin. Mahu cucu-cucu menyokong perjuangan mereka. Supaya satu hari nanti mereka dapat berkuasa. Bagi mereka hanya dengan cara itu sajalah. Impian mereka akan tercapai.

Ingatlah cucu-cucu sekalian. Pemimpin harus dihormati. Tanpa kebijaksanaan seorang pemimpin negara kita tidak akan mencapai pembangunan. Seperti yang kita nikmati pada hari ini. Tanamkanlah rasa kesyukuran. Dengan apa yang kita ada.

Sokonglah pemimpin yang membawa kesejahteraan dan kemakmuran. Setelah negara bebas merdeka. Daripada cengkaman penjajah. Bukannya pemimpin yang sanggup melakukan apa saja. Sehingga tergamak mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau. Yang bukannya menjadi pengamalan. Sebagai budaya hidup. Kita rakyat di negara ini. Demi memenuhi kehendak hati mereka. Mengambilalih teraju kepimpinan negara. Nama baik negara pun sanggup dicemarkan.

Ke hadapan cucu-cucu atuk yang diingati sekalian

Kita sebagai rakyat di negara ini telah mencapai kesepakatan. Bahawa itulah satu-satunya bendera negara kita. Ketahuilah wahai cucu-cucu sekalian. Bendera yang kita kibarkan adalah lambang jati diri. Dan maruah negara kita. Mengapa kita harus tukar?

Alangkah sedihnya hati atuk. Akibat termakan hasutan pihak tertentu maka anak-anak cucu mendesak agar menukar bendera. Anak-anak cucu seharusnya berfikiran rasional. Mempertahankan bendera negara kita. Seumpama mempertahankan maruah diri. Dan bukannya menjadikan bendera macam baju. Sesuka hati boleh ditukar ganti.

Marilah kita sama-sama menegakkan bendera. Di bawah satu suara. Satu negara. Satu bangsa. Atuk harap cucu-cucu sekalian akan sentiasa mempunyai rasa hormat. Terhadap bendera negara kita. Bersama semangat dan azam yang tinggi. Untuk memastikan bendera negara kita. Sentiasa terpelihara dan tidak mudah diperlekehkan. Oleh anasir-anasir yang mahu meruntuhkan negara.

Justeru itu atuk berharap anak-anak cucu sekalian janganlah mudah terpedaya dengan hasutan mereka. Sentiasalah berpegang pada pepatah. Yang baik jadikanlah teladan. Yang buruk jadikanlah sempadan. Cucu-cucu sekalian nilaikanlah. Mana yang baik. Mana yang buruk. Supaya sejahtera selalu. Hidup anak-anak cucu sekalian. Penuh dengan manfaat dan faedah. Usia muda tidak sia-sia.
Atuk berharap peristiwa sedih sewaktu menyambut malam kemerdekaan tidak akan anak-anak cucu ulangi pada masa yang akan datang. Seharusnya nikmat kemerdekaan cucu-cucu sambut dengan rasa penuh kesyukuran. Bukannya bertindak ganas dan liar. Itu bukan budaya. Yang atuk perturunkan. Kepada cucu-cucu sekalian.

Ke hadapan cucu-cucu atuk yang diingati sekalian

Sejarah tidak boleh dipisahkan. Dalam hidup kita yang bernama manusia. Selagi kita diberi kesempatan oleh Tuhan. Untuk bernafas di atas muka bumi ini. Suka atau tidak. Manis mahupun pahit. Kita harus menerima sejarah. Sebagai catatan peristiwa. Yang benar-benar telah terjadi.

Dengan sejarah cucu-cucu akan mengenal asal-usul tamadun dan bangsa anak-anak cucu sendiri. Justeru itu atuk minta cucu-cucu atas nama generasi hari ini merenung sejarah penjajahan. Yang pernah berlaku. Di tanah air kita. Pada satu ketika dahulu.

Atuk pernah hidup dalam zaman penjajah. Penuh dengan tangis derita. Hanya Tuhan saja yang tahu. Cucu-cucu sekalian amat bertuah. Kerana hidup dalam zaman yang bernama merdeka. Oleh itu janganlah dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Seperkara lagi atuk nak ingatkan pada cucu-cucu sekalian adalah jangan lupakan jasa mereka-mereka yang telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara ini.

Tanpa pengorbanan mereka cucu-cucu tak akan dapat menikmati suasana hidup dalam sebuah negara yang bebas. Contohilah semangat mereka. Dengan menanamkan sedalam-dalamnya pada diri. Akan rasa kecintaan. Terhadap tanah air yang sungguh bertuah ini. Pertahankanlah negara yang tercinta ini. Sehingga ke titisan darah yang penghabisan. Daripada sebarang ancaman musuh durjana. Sepertimana yang telah dilakukan. Oleh pejuang-pejuang yang terdahulu.

Pada cucu-cucu sekalian atuk juga memohon agar janganlah hendaknya berpecah-belah. Tiada gunanya berpecah-belah. Dan bersengketa sesama sendiri. Kelak akan merugikan diri sendiri. Begitu juga dengan negara. Hiduplah dengan bersatu padu. Jadikanlah tolong-menolong dan saling muafakat sebagai amalan. Dalam semua perkara. Jadikanlah pepatah yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing sebagai pegangan. Nescaya setiap pekerjaan berat akan menjadi ringan. Setiap masalah dapat diselesaikan. Setiap kekusutan mudah dapat dileraikan.

Ke hadapan cucu-cucu atuk yang diingati sekalian
Di tangan cucu-cucu kalianlah terletaknya masa depan negara. Oleh yang demikian maka hendaklah anak-anak cucu sentiasa rajin bekerja. Serta berusaha keras. Untuk memastikan negara yang kita sayangi ini. Terus maju dan membangun. Agar kejayaan dapat dinikmati bersama. Tanpa memandang kaum dan agama. Yang ada di negara ini.

Amalkan nilai-nilai murni dalam bekerja. Jujur dan amanah. Jangan sesekali mendekatkan diri dengan rasuah. Kerana ia boleh menghancurkan negara. Ketahuilah bahawa ada negara-negara di dunia ini yang telah mengalami kejatuhan. Akibat daripada mengamalkan perbuatan rasuah. Justeru itu atuk berpesan kepada cucu-cucu kalian. Supaya menyokong usaha murni kerajaan. Membanteras amalan yang tidak bermoral itu.

Dalam kita mencari rezeki carilah dengan cara yang halal. Cara yang diredhai oleh Tuhan. Penuhkanlah hidup dalam usia yang ibarat sehelai daun hijau. Dengan amal dan ibadat. Dalam melakukan sesuatu hendaklah ikhlas. Tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Mahupun balasan. Supaya mendapat keberkatan hidup. Di dunia dan akhirat.

Patuhlah sentiasa pada perintah Tuhan. Walaupun di mana jua cucu-cucu berada. Solat lima waktu. Setiap hari. Pagi dan malam. Jangan sesekali ditinggalkan. Kerana solat adalah tiang utama agama. Mencegah daripada melakukan sebarang kemungkaran. Semasa kita hidup. Di atas dunia ini.

Kepada cucu-cucu sekalian atuk menyeru. Pertahankanlah habis-habisan. Kesucian agama Islam. Yang menjadi pegangan kita. Selama kita masih hidup. Di atas muka bumi ini. Daripada musuh-musuh. Yang setelah sekian lama bercita-cita. Untuk melihat Islam yang selama ini menjadi agama rasmi di negara ini. Hancur dan musnah. Bangkitlah! Bangunlah! Bersatulah! Berjihadlah! Wahai cucu-cucu sekalian. Atas nama umat Islam. Semangat perpaduan saudara. Sesama Islam. Menentang segala bentuk penghinaan dan cacian. Yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam. Terhadap agama kita.

Ke hadapan cucu-cucu atuk yang diingati sekalian

Biar kita miskin harta. Asalkan kaya budi bahasa. Itulah sifat yang mulia. Dipandang orang. Bila memandang langit. Rumput di bawah jangan dilupakan. Janganlah menjadi seperti si kudung mendapat cincin. Atau seperti kacang lupakan kulit. Apabila sudah berjaya dalam hidup. Lupa diri. Dan berlagak sombong. Takut nanti diri yang binasa. Mendapat balasan daripada Tuhan. Sebaliknya sentiasalah bersyukur. Dengan apa yang telah dikurniakan.
Janganlah hendaknya dipandang hina pada yang tak berada. Bantulah mereka. Semua manusia ciptaan Tuhan yang hidup di atas dunia ini adalah sama. Tanpa mengira kaya atau miskin. Cuma yang membezakannya adalah iman dan takwa. Atuk harap cucu-cucu sekalian renungkanlah kata-kata atuk ini. Demi kebaikan bersama jua.

Cabaran dan dugaan. Ingatlah wahai cucu-cucu sekalian. Bukan hidup namanya. Kalau tidak menghadapi cabaran dan dugaan. Ibarat makan nasi. Tak lengkap rasanya. Kalau tidak ada sambal belacan. Pinggan mana yang tak retak. Bumi mana yang tak ditimpa hujan. Demikianlah diperumpamakan. Cabaran dan dugaan. Yang hadir dalam hidup. Anak-anak cucu sekalian.

Hakikatnya suka atau tidak cucu-cucu harus menerima cabaran dan dugaan. Yang sentiasa datang dalam hidup ini. Tanpa mengira waktu dan ketika.

Nasihat atuk cucu-cucu sekalian terimalah setiap cabaran yang datang dengan tabah dan sabar. Seperti air laut yang membiru. Pasang surut silih berganti. Hidup ini penuh dengan warna-warna gembira dan tangisan.

Apabila membicarakan tentang kehidupan atuk teringat akan kata-kata pujangga. Tiada lagi kedengaran kicauan burung-burung. Yang tadinya riang membelah angkasa nan luas. Sebaliknya berterbangan pulang semula ke sarang. Matahari yang tadinya cerah lalu bertukar warna. Seperti buah pinang masak.

Langit kelihatan kelabu. Tak lama lagi senja akan melabuhkan tirainya. Menyambut malam. Yang bakal menjelma. Tak lama lagi. Segala suka duka yang kita layari sepanjang hari ini kita himpunkan. Menjadi pengalaman. Dalam mendewasakan kita. Sepanjang meniti perjalanan hidup ini.

Pada cucu-cucu sekalian hayatilah sedalam-dalamnya. Apa yang tersirat di sebalik kata-kata pujangga ini. Hidup mesti ada pendirian. Jangan jadi seperti lalang. Melayang-layang. Tanpa arah tujuan. Bila ditiup angin.

Kalau kita berasa tidak bahagia pada hari ini usahlah kecewa. Mungkin Tuhan sudah sediakan esok. Hari bahagia buat kita. Sesuatu yang didatangkan kepada kita itu ada hikmah di sebaliknya. Sebagai yang bernama manusia kita harus redha menerimanya.

Ke hadapan cucu-cucu atuk yang diingati sekalian
Andainya cucu-cucu mengalami kegagalan dalam hidup ini usahlah berasa kecewa. Bangun dan bangkitlah. Jadikanlah kegagalan sebagai perangsang dan semangat. Untuk berjaya dalam hidup ini. Ingatlah wahai cucu-cucu sekalian. Sekali kita jatuh bukan bererti kita akan jatuh buat selama-lamanya.

Ramai orang yang akan bergembira apabila melihat kamu menemui kegagalan dalam hidup ini. Namun tidak ramai yang akan berasa gembira apabila melihat kamu mendapat sinar kejayaan dalam hidup yang dilalui ini. Renungkanlah kata-kata ini. Wahai cucu-cucu sekalian. Atuk sendiri pun tidak tahu. Dari mana datangnya kata-kata mutiara ini. Namun begitu jadikanlah ia sebagai pedoman. Bahawa dalam melakukan apa juaa dalam hidup ini terdapat pelbagai halangan dan rintangan. Yang harus ditempuhi. Di mana perkara yang baik yang kita lakukan sukar diterima orang. Berbanding dengan perkara buruk yang kita buat. Oleh itu diharapkan agar cucu-cucu sekalian agar dapat menerimanya dengan tabah.

Janganlah mudah patah semangat. Bila ada orang yang berasa tidak senang. Dengan perkara baik yang kita lakukan. Teruskanlah. Membuat perkara yang diberkati oleh Tuhan itu. Doa atuk semoga cucu-cucu mendapat keberkatan dan kesejahteraan hidup. Di dunia dan akhirat. Atuk juga berharap supaya cucu-cucu tidak melupakan adat dan budaya. Peninggalan datuk nenek moyang yang terdahulu.

Jaga dan peliharalah ia sentiasa. Seperti kilauan emas permata. Terlalu mahal dan tinggi harganya. Khazanah ini. Tiada tolok banding. Tiada galang ganti. Perturunkanlah kepada generasi yang seterusnya. Janganlah mudah terikut-ikut. Dengan budaya luar. Yang bukan budaya kita. Kerana boleh membinasakan akhlak dan akidah. Yang menjadi pegangan kita selama ini. Kita seharusnya mempunyai rasa bangga. Memiliki adat dan budaya sendiri. Yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman dan bukannya menumpang. Budaya dan adat orang lain.

Nasihat atuk lagi kepada cucu-cucu sekalian dalam hidup ini hendaklah sentiasa berbudi bahasa. Yang tua harus dihormati. Ilmu pengetahuan mestilah penuh di dada. Ia adalah ibarat kerlipan cahaya lilin. Yang menerangi di waktu kita dalam kegelapan. Kekalkanlah keamanan dan keharmonian negara kita sentiasa. Binalah tembok perpaduan. Antara pelbagai kaum di negara ini dengan sekukuh-kukuhnya. Hindarkanlah daripada sebarang anasir-anasir yang boleh menjejaskan. Serta memecahbelahkan perpaduan kaum. Yang setelah sekian lama. Terjalin erat di negara ini.
Akhir sekali atuk berharap cucu-cucu sekalian akan membaca dan menjadikan surat yang atuk tulis ini sebagai pedoman dan azimat. Dalam membentuk rakyat yang mempunyai iltizam, jati diri dan berwawasan. Sebagai kunci utama ke arah kecemerlangan dan kejayaan. Negara yang dicintai. Sehingga harum dan masyhur. Di mata negara-negara dunia yang lain.

Sekian. Wassalam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience