BAB 26

Drama Completed 192

SIDANG PAK PANDIR, PAK KADUK, LEBAI MALANG DAN SI LUNCAI

Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang dan Si Luncai adalah empat watak yang terkenal dalam cerita jenaka Melayu. Hari ini mereka akan bersidang untuk membincangkan masalah yang melanda negara dan mencari jalan penyelesaian. Persidangan ini dipengerusikan oleh Pak Pandir.

“Siapa di antara kamu bertiga yang hendak mulakan dulu?” tanya Pak Pandir sambil memandang muka Pak Kaduk, Lebai Malang dan Si Luncai silih berganti.

“Saya!” kata Pak Kaduk dengan pantas.

“Baiklah, Pak Kaduk. Silakan!” ujar Pak Pandir dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Terima kasih, tuan pengerusi. Saya ingin mengemukakan masalah rasuah dan salah guna kuasa yang sering berlaku di negara. Kita tak boleh membiarkan ia berlaku dengan berleluasa. Kerana boleh meruntuhkan dan menjejaskan imej negara di mata dunia,” jelas Pak Kaduk.

“Memang benar apa yang dikatakan Pak Kaduk itu!” sokong Lebai Malang pula sebaliknya.

“Rasuah dan salah guna kuasa adalah ibarat sejenis penyakit yang amat merbahaya. Perlu dicegah sebelum menjadi lebih parah lagi,” sambungnya lagi.

“Bagi saya kita harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membanteras gejala ini habis-habisan sehingga ke akar umbi. Kita mesti tanamkan dalam diri kita agar membenci rasuah dan penyelewengan kuasa. Sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama bahawa mencari rezeki yang halal untuk anak, isteri dan keluarga adalah lebih mulia. Daripada memperolehi rezeki yang haram dan tidak diredhai Allah SWT. Agar mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” tambah Si Luncai dengan panjang lebar.

“Sesiapa pun tidak boleh terlepas daripada menerima hukuman jika didapati terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa,” Lebai Malang mencelah.

“Saya amat bersetuju sekali dengan apa yang dikatakan Lebai Malang itu,” Pak Kaduk bersuara.

“Selain daripada penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada kesedaran juga perlu sentiasa dipertingkatkan di kalangan penjawat awam di negara ini atau sesiapa sahaja melalui kempen, ceramah, motivasi dan lain-lain agar menjauhkan diri daripada rasuah,” tekannya lagi.

“Sungguh bernas pandangan dan cadangan kamu bertiga dalam menangani gejala rasuah dan penyelewengan kuasa. Saya akan mengusulkan kepada pihak atasan untuk mengkaji dan mengambil maklum perkara yang kita bincangkan ini. Baiklah! Selesai isu pertama yang kita bincangkan dan saya membuka semula kepada kamu bertiga untuk mengetengahkan masalah yang hangat melanda negara ketika ini,” ucap Pak Pandir.

“Saya ingin mengetengahkan gejala merempit di kalangan remaja,” Lebai Malang bersuara.

“Baiklah! Silakan, Lebai Malang,” balas Pak Pandir.

“Kegiatan merempit di kalangan remaja perlu dibendung habis-habisan. Kerana aksi yang merbahaya telah mengakibatkan mereka menemui maut dan ada juga yang mengalami cacat seumur hidup!” tegas Lebai Malang lagi.

“Keselamatan pengguna jalan raya yang lain juga terancam. Kita mesti banteras gejala yang tidak sihat ini. Mereka seharusnya melakukan kegiatan yang berfaedah dan bermanfaat,” Si Luncai menyampuk.

“Dalam hal ini ibu bapa juga harus memainkan peranan dengan memberikan didikan sempurna kepada anak-anak. Supaya menjadi insan yang berakhlak mulia serta berguna pada agama, bangsa dan negara,” nyata Pak Kaduk.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa gejala merempit di kalangan remaja adalah masalah sosial yang dihadapi oleh negara. Namun sebagai rakyat kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengatasinya. Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat di negara ini untuk bekerjsama dan berganding bahu dengan mereka untuk memastikan para remaja tidak terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat,” ulas Pak Pandir.
“Benar apa yang pengerusi katakan itu!” Si Luncai menyambut dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Harus diingat bahawa golongan remaja adalah pewaris kepimpinan negara di masa depan. Maju atau mundurnya negara adalah terletak di tangan mereka untuk menentukannya. Bayangkanlah nasib negara kalau remaja tidak mempunyai wawasan. Sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa dengan berseronok berlumba di jalan raya,” katanya lagi.

“Sudah pasti pembangunan dan kesejahteraan seperti yang dinikmati pada hari ini akan lenyap. Jadi kita mesti menyedarkan mereka akan bahaya kegiatan merempit dan menanamkan ke dalam diri mereka tanggungjawab yang harus digalas apabila pemimpin yang ada pada hari ini akan bertukar ganti pada satu hari nanti,” ucap Lebai Malang pula.

“Saya yakin sekiranya usaha ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mendapat kerjasama daripada semua pihak negara kita akan bersih daripada gejala merempit di kalangan remaja dan terbentuk keperibadian yang mulia dalam diri mereka. Itulah rumusan daripada perbincangan berkenaan isu ini. Setuju semua untuk menerimanya?” Pak Pandir memandang ke arah Pak Kaduk, Lebai Malang dan Si Luncai.

“Setuju!” sahut Pak Kaduk, Lebai Malang dan Si Luncai serentak.

“Baiklah! Terima kasih kepada Lebai Malang kerana mengetengahkan isu ini. Seterusnya kita beralih kepada masalah yang ketiga. Silakan!” Pak Pandir bersuara.

“Kadar jenayah di negara ini juga berada di tahap yang membimbangkan. Seperti rompakan, bunuh, ragut, peras ugut dan bermacam-macam lagi. Paling menakutkan dengan kes bunuh menggunakan senjata api yang dilakukan oleh pembunuh upahan. Begitu juga dengan kongsi gelap sehingga negara ini dianggap tidak selamat untuk didiami dan mendatangkan ketakutan kepada pelancong luar. Kita sebagai rakyat harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mencegah jenayah daripada berlaku dengan berleluasa,” kata Si Luncai.

“Saya menyokong pandangan yang diberikan oleh Si Luncai itu. Melalui jalinan kerjasama dengan pihak polis dapat mengurangkan kadar jenayah sepertimana yang telah ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” Pak Kaduk menambah.
“Kita harus ingat bahawa jenayah membawa padah dan kita harus bersungguh-sungguh untuk membanterasnya. Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat di negara ini memberikan kerjasama dan sokongan terhadap usaha yang dilakukan pihak berkuasa untuk membendung apa jua bentuk jenayah yang berlaku,” nyata Lebai Malang pula.

“Memang kita tidak dapat nafikan peningkatan kadar jenayah di negara ini dari sehari ke sehari berada di tahap yang membimbangkan. Namun saya percaya dengan cadangan yang kamu semua usulkan tadi akan membawa kejayaan dan menepati matlamat dalam memastikan penurunan kadar jenayah di negara ini tercapai sepenuhnya. Kita juga harus memberikan sokongan padu terhadap Ops Cantas yang dilakukan pihak berkuasa dan ternyata telah membuahkan hasil di mana ramai penjenayah telah dapat diberkas,” Pak Pandir selaku pengerusi persidangan memberikan ulasan.

“Kecekapan pihak polis dalam menyelesaikan kes-kes jenayah yang terjadi di negara ini juga menarik perhatian dunia,” Si Luncai berkata.

“Kita seharusnya berasa bangga dan menghargai tugas yang dilakukan pihak polis sehingga mendapat pengiktirafan daripada pihak luar. Sehubungan dengan itu kita harus sentiasa mengingatkan rakyat bahawa masalah jenayah di negara ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu membentuk kesepakatan erat bukan sahaja dengan pihak polis malahan dengan semua pihak agar ia tidak menjadi ancaman besar kepada negara,” ujar Pak Pandar.

“Dalam usaha membasmi kadar jenayah di negara ini pelbagai usaha boleh dilakukan terutamanya melalui program dan aktiviti yang boleh meningkatkan kesedaran dan membangkitkan semangat di kalangan rakyat di semua peringkat untuk menghapuskan jenayah,” Lebai Malang bersuara.

“Satu cadangan yang baik daripada Lebai Malang dan saya sokong sepenuhnya. Keberkesanannya akan dapat dilihat melalui kempen yang giat dijalankan pada setiap masa. Hasilnya kita akan dapat lihat nanti apabila negara ini diisytiharkan bersih daripada jenayah,” Pak Pandir mencelah.

“Satu pencapaian yang amat membanggakan kepada negara kita sekiranya ia dapat dilaksanakan,” ucap Pak Kaduk.

“Memang itulah yang menjadi harapan kita sebagai rakyat yang hidup dalam keadaan makmur dan sejahtera di negara ini. Kita harus akur bahawa masalah memang tidak dapat dielakkan dan sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang kita lalui sebagai manusia. Ibarat orang Melayu makan nasi tidak lengkap kalau tanpa sambal belacan. Begitu juga halnya dengan masalah yang dihadapi negara dan tanpa mengira sama ada besar atau kecil ia boleh diselesaikan. Bila kita bersama-sama berusaha dan bersatu mencari jalan penyelesaian. Bak kata pepatah yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Seperti aur dengan tebing saling sandar-menyandar dan saling memerlukan antara satu sama lain pada setiap waktu dan ketika. Di sinilah pentingnya perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa terus dipererat dan diperkukuhkan lagi,” hujah Pak Pandir dengan penuh panjang lebar.

“Semoga apa yang kita cadangkan dalam persidangan akan mendapat perhatian dan dilaksanakan segera oleh pihak atasan,” Lebai Malang membalas pula sebaliknya.

“Insya-Allah! Perkara yang baik dan mendatangkan manfaat bersama pasti akan dilaksanakan pihak atasan. Kita tunggu sajalah nanti keputusannya apabila mereka mendapat laporan perbincangan kita ini,” yakin Pak Pandir.

“Baiklah!” Pak Pandir mengangguk-anggukkan kepala.
“Masalah seterusnya untuk kita bincangkan,” sambungnya lagi.

“Pencemaran alam sekitar juga menjadi masalah utama yang dihadapi negara,” nyata Pak Kaduk.

“Semakin negara menuju ke pembangunan yang pesat nampaknya masih ada lagi yang jahil tentang betapa perlunya menjaga alam sekitar. Akibat daripada pencemaran alam sekitar yang berlaku dengan berleluasa menyebabkan rakyat menghirup udara kotor dan mendatangkan penyakit yang tidak berjangkit seperti batuk dan lelah,” Si Luncai menambah lagi.

“Lebih mendukacitakan kerana terlalu mengejar keuntungan ada yang sanggup mengetepikan penguatkuasaan undang-undang terhadap alam sekitar. Bahana daripada kegiatan pembalakan haram telah menyebabkan pupusnya kawasan tadahan hujan dan ini mengakibatkan banjir besar terjadi apabila berlakunya hujan lebat,” ulas Lebai Malang.

“Bukan itu sahaja pantai turut menjadi mangsa tumpahan minyak kapal dan begitu juga dengan sungai dijadikan sebagai tempat oleh mereka yang tidak mempunyai rasa kasih dan sayang pada alam sekitar,” Si Luncai berkata.

“Perlu kita ingat perbuatan mereka ini bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai malahan juga menjejaskan industri pelancongan di negara kita terutamanya di kawasan pantai,” Pak Kaduk bersuara.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang sewenang-wenangnya melakukan pencemaran. Supaya alam sekitar di negara kita sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan rakyat hidup dalam suasana menikmati udara yang sihat,” sampuk Lebai Malang.

“Bagi saya masalah alam sekitar dapat diatasi sepenuhnya dengan mengambil tindakan drastik. Selain daripada itu rasa kasih dan sayang pada alam sekitar perlu ditanamkan dengan sedalam-dalamnya ke dalam diri setiap rakyat di negara ini. Usaha untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya menjaga alam sekitar sebagai harta yang tinggi nilainya dan sukar dicari ganti apabila ia hilang sentiasa dipergiatkan. Dengan ini akan mendatangkan kesedaran kepada rakyat supaya sentiasa menjaga alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran yang boleh membawa kepada kebinasaan,” Pak Pandir bersuara.

“Tuan Pengerusi saya juga mencadangkan agar diperbanyakkan kegiatan untuk memupuk rasa sayang terhadap alam sekitar di kalangan rakyat. Seperti membersihkan tempat-tempat yang telah dicemari dengan kekotoran sampah-sarap. Terutamanya di kawasan pantai dan sungai yang kerap menjadi mangsa pencemaran,” kata Si Luncai.

“Itulah langkah yang paling baik dilakukan demi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara. Usul ini mesti dipanjangkan kepada pihak atas sebagai jawapan penyelesaian kepada masalah pencemaran alam sekitar yang berlaku di negara ini. Selesai sudah perbincangan kita tentang isu ini dan kita beralih pula kepada isu yang lain. Pak Kaduk, Lebai Malang dan Si Luncai saya jemput untuk mengemukakannya,” Pak Pandir menyambut.

“Saya berasa amat kecewa apabila ada pihak yang mengangkat komunis sebagai wira negara menentang penjajah,” luah Lebai Malang.

“Memang saya marah bila kenyataan itu dikeluarkan dalam akhbar. Tidakkah mereka sedar bahawa wira yang mereka sanjung itu telah menyebabkan ramai anggota keselamatan dan rakyat terkorban. Keganasan yang dilakukan komunis tidak boleh dimaafkan dan seharusnya pihak yang mengiktiraf mereka sebagai wira ini dianggap juga pengkhianat negara,” Pak Kaduk menyampuk dengan pantas.

“Mereka yang mengagung-agungkan dan taksub pada komunis juga sebagai musuh negara. Memang wajar sekali kerajaan mengharamkan mayat pemimpin Parti Komunis Malaya dibawa pulang ke negara ini untuk dikebumikan,” ucap Si Luncai.

“Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan kedamaian kita mesti tolak dan mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang menobatkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan tanah air. Bagi saya mereka sebenarnya buta sejarah dan perlu belajar apa erti sebenarnya perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Mereka seharusnya sedar bahawa komunis bukan sahaja mengancam keselamatan negara malahan juga menyebabkan banyak kerosakan harta benda berlaku sehingga negara terpaksa diisytiharkan darurat,” Pak Pandir bersuara.

“Kerana keganasan komunis isteri anggota keselamatan kehilangan suami manakala anak pula kehilangan bapa. Begitu juga yang cacat anggota dan mereka yang menjulang komunis sebagai wira diharap membuka mata dengan seluas-luasnya dan berfikir. Adakah komunis yang melakukan pembunuhan dan mencedarakan anggota keselamatan dan rakyat yang tidak berdosa dianggap sebagai wira. Saya berharap sekiranya mereka berkeras mempertahankan komunis sebagai pahlawan maka kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap. Supaya rakyat tidak terpengaruh dengan beralih menyokong perjuangan komunis dan dikhuatiri boleh membawa kepada pertukaran pemerintahan di negara ini,” ujar Pak Kaduk.

“Saya ingin membuat rumusan hasil daripada perbincangan kita berkenaan isu ini,” kata Pak Pandir.

“Silakan tuan pengerusi!” Pak Kaduk bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas memotong.

Pak Pandir kemudiannya memalingkan muka ke arah Lebai Malang dan Si Luncai.

“Macam mana pulak dengan kamu berdua?” dia menyoal.

“Teruskan, tuan pengerusi!” Pak Kaduk menjawab.

“Baiklah!” angguk Pak Pandir pula.

“Kamu pulak macam mana, Si Luncai? Ada lagi pandangan yang nak diberikan untuk dikongsi bersama tentang isu ini?” tanya Pak Pandir sambil memandang wajah Si Luncai.

“Saya juga seperti Pak Kaduk dan Lebai Malang. Ingin mendengar rumusan daripada tuan sebagai pengerusi sesi perbincangan ini,” Si Luncai membalas.

“Terima kasih Pak Kaduk, Lebai Malang dan Si Luncai. Mereka yang mengatakan komunis sebagai wira membebaskan tanah air ini daripada cengkaman penjajah mesti ditentang habis-habisan. Sepertimana kita menentang keganasan yang dicetuskan komunis. Mereka sebenarnya menjadikan isu ini untuk mendapat sokongan rakyat demi memenuhi cita-cita mengambilalih tampuk pemerintahan negara ini. Rakyat mesti bangun memberikan sokongan kepada kerajaan dalam membanteras isu yang dinyalakan pihak yang sentiasa mencetuskan huru-hara dan kekacauan di negara ini. Sayugia kita sebagai rakyat hendaklah membuat pilihan yang tepat. Kerajaan yang sentiasa membawa kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat adalah pilihan yang bijak. Dan bukannya kerajaan yang tidak mempunyai hala tuju dengan pemimpin yang berkepentingan peribadi dan gila kuasa,” ulas Pak Pandir pula sebaliknya.

Menjelang lewat petang persidangan pun berakhir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience