BAB 24

Drama Completed 192

DI SEBALIK KAJIAN SEJARAH KEJATUHAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

Putera. Seorang anak muda yang ingin mencari erti sebenarnya sejarah. Sejarah adalah kejadian atau peristiwa yang benar-benar terjadi pada masa lalu. Dalam erti kata yang lain ia bukanlah rekaan semata-mata.

Sememangnya sejarah tidak dapat dipisahkan dalam hidup kita yang bernama manusia ini. Sama ada suka atau tidak mahupun manis atau pahit kita harus menerima sejarah. Dan tidak boleh memadamkannya walaupun zaman sentiasa berubah. Kerana sejarah mempunyai banyak teladan dan pengajaran buat kita. Anak muda yang bernama Putera ini mempunyai rasa akan kasih dan sayang yang tinggi terhadap sejarah.

Justeru itu dia memilih untuk membuat kajian mengenai sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Bagi Putera amat penting sekali dia membuat kajian ini. Melaluinya dia akan menemui jawapan yang sebenar. Terhadap apa yang dicarinya selama ini berkenaan kepentingan sejarah dalam hidupnya yang masih lagi berusia muda ibarat sehelai daun yang masih lagi hijau.

Hasil daripada kajian yang telah dijalankannya dia mendapati banyak faktor-faktor yang telah membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Selepas Tun Perak meninggal dunia jawatan bendahara telah diambilalih oleh Tun Mutahir yang berketurunan India Muslim. Tun Mutahir amat lemah dalam hal-hal pentadbiran Negeri Melaka. Beliau dikatakan mengamalkan sikap pilih kasih sehingga timbul perasaan iri hati di kalangan pembesar-pembesar lain. Akibatnya dia telah difitnah cuba untuk mengatasi kekayaan sultan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh sultan.

Putera lalu menarik nafas yang panjang. Kelemahan pemimpin dan tidak bersikap adil dalam hal-hal pentadbiran boleh mengakibatkan sesebuah negara yang dianggap hebat dan masyhur itu mengalami kejatuhan. Itulah ikhtibar yang diperolehinya dan sebagai generasi pewaris kepimpinan negara di masa depan dia harus memastikan apa yang telah berlaku sewaktu Tun Mutahir mentadbir zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga membawa kepada kejatuhan tidak akan berulang kembali. Dia harus memastikan pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat sepertimana yang dinikmati pada hari ini terus berkekalan.
Kelalaian pemerintahan Sultan Mahmud juga menjadi punca kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Daripada catatan sejarah yang dibacanya Sultan Mahmud telah melantik Raja Ahmad yang tidak cekap dan lemah serta melantik Tun Pepatih Putih yang uzur dan tepok sebagai bendahara. Pada masa yang sama amalan rasuah dan fitnah berleluasa di Negeri Melaka. Begitu juga dengan kadar cukai yang tinggi dikenakan ke atas rakyat jelata.

Sekali lagi dia merenung dalam-dalam akan fakta ini. Rasuah adalah ibarat sejenis penyakit yang amat merbahaya sekali. Sewajarnyalah ia perlu dicegah sebelum menjadi lebih parah lagi. Akibat daripada rasuah negara akan menjadi musnah dalam sekelip mata. Oleh itu rasuah perlu dihindari. Kerjasama dan sokongan harus diberikan kepada kerajaan dalam usaha memerangi rasuah habis-habisan.

Disebabkan fitnah yang berlaku dengan berleluasa juga akan menyebabkan negara mengalami kejatuhan. Malahan di sisi agama orang yang menyebarkan fitnah terhadap orang lain sehingga orang itu mengalami kemusnahan dalam hidupnya disebabkan berasa iri hati dan cemburu maka dia dianggap antara orang yang telah tergolong dalam antara yang melakukan dosa besar. Putera mengambil apa yang telah berlaku sehingga membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka sebagai teladan. Supaya tidak terjadi kepada negara ini pada masa yang akan datang.

Dengan menaikkan kadar cukai yang tinggi adalah dianggap sebagai satu penindasan kepada rakyat. Rakyat mengalami suasana hidup yang penuh dengan penderitaan dan kesengsaraan. Disebabkan oleh pemimpin yang tamakkan kesenangan hidup dan mementingkan diri sendiri. Dengan memerah keringat dan memperhambakan rakyat. Itulah yang ada dalam diri seorang pemimpin yang zalim dan mengamalkan pemerintahan secara kuku besi.

Seseorang pemimpin negara itu dipilih rakyat adalah untuk membela nasib mereka dengan baik dan sejahtera. Pemimpin juga menjadi harapan dan amanah rakyat agar negara terus maju dan membangun. Bukannya dengan sewenang-wenang menggunakan kuasa yang ada untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu. Itulah rumusan yang dibuat oleh Putera. Hasil daripada pengkajian yang telah dilakukannya berkenaan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Dia terus menyelusuri faktor-faktor utama yang telah menyebabkan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Kali ini dia menemui kaitannya dengan kelemahan pasukan tentera Melaka. Menurut catatan sejarah yang dibaca oleh Putera pasukan tentera Portugis lebih terlatih dalam menghadapi peperangan. Berbanding dengan pasukan tentera Melaka. Tambahan pula pasukan tentera Portugis telah mendapat sokongan daripada pangkalan tentera di Goa, India. Pasukan tentera Melaka tidak memiliki senjata perang yang lengkap. Berbeza dengan pasukan pasukan tentera Portugis yang mempunyai senjata yang lebih maju dan lengkap. Selain daripada itu juga tentera upahan Melaka dari Jawa telah melarikan diri sewaktu serangan Portugis.

Pengajaran yang diperolehi Putera di sebalik kelemahan yang dihadapi pasukan tentera Melaka adalah perlunya pasukan keselamatan negara memiliki peralatan perang yang moden dan canggih. Seiring dengan arus pembaharuan yang hebat melanda pada saban hari tanpa hentinya ibarat air sungai yang mengalir. Bagi menghadapi ancaman serangan musuh.

Dalam pada itu jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan negara sepertimana dalam peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sewajarnyalah dihargai dan dikenang sentiasa. Bagi Putera sebagai generasi muda dia perlu menjadikan semangat perjuangan yang telah ditunjukkan oleh anggota pasukan keselamatan itu sebagai sumber inspirasi. Demi memastikan negara terus aman dan tidak jatuh ke tangan musuh.
Kepada generasi muda yang seusia dengannya dia berharap agar dalam diri ditanam akan rasa cinta yang menebal terhadap tanah air. Selain daripada itu juga rakyat di negara ini tanpa mengira agama dan kaum perlu bersatu dan bersama-sama berjuang anggota pasukan keselamatan bagi menghadapi ancaman musuh durjana. Berpegang teguhlah pada kata-kata bahawa di sini kita hidup di sini juga kita berani mati. Lebih baik mati bergalang tanah daripada hidup bercerminkan bangkai. Seinci pun jangan kita serahkan tanah air yang bertuah ini kepada mereka.

Janganlah hendaknya ada di antara kita sebagai rakyat di negara ini menjadi pengkhianat. Bersengkongkol dengan pihak musuh untuk menawan negara ini. Bagi Putera mereka yang mengkhianati negara perlu menerima hukuman. Setimpal dengan perbuatan yang dianggap keji dan hina yang telah mereka lakukan itu. Seharusnya mereka bermati-matian untuk mempertahankan negara ini dan bukannya menjual kepada musuh.

Semangat Putera semakin berkobar-kobar dan menyala seperti api yang membakar. Dia menanamkan nekad dan azam setinggi gunung. Melalui kajian yang telah dilakukannya mengenai sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Untuk meniupkan semangat patriotisme ke dalam diri generasi muda yang sebaya dengannya. Baginya ia amat penting agar dalam dirinya dan setiap generasi muda mempunyai semangat sanggup berkorban untuk mempertahankan negara yang tercinta ini daripada jatuh ke tangan pihak musuh.

Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka juga dikaitkan dengan kedatangan Portugis. Apa yang tercatat dalam sejarah adalah Portugis telah menghantar pasukan peninjau dengan lima buah kapal ke Melaka yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira. Pasukan Portugis ini tiba di Melaka pada 11 Ogos 1509. Diego Lopez de Sequeira telah menghantar salah seorang nakhodanya dengan membawa warkah dan hadiah daripada Raja Portugis untuk dipersembahkan kepada sultan.

Salah seorang nakhoda yang bernama Ruy de Aranjo bersama dengan dua puluh orang kelasi yang tidak bersenjata telah ditangkap oleh orang-orang Melaka ketika membeli barang keperluan. Diego Lopez de Sequeira gagal untuk membebaskan tahanan tersebut. Dia kemudiannya lalu mengambil keputusan untuk berlayar meninggalkan Melaka.

Apabila Alfonso D’Albuquerque, gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur mendapat berita tentang penangkapan Ruy de Aranjo dan dua puluh orang kelasi maka dia telah mempersiapkan sebuah angkatan perang untuk menuju ke Melaka. Dalam catatan sejarah yang dibaca oleh Putera itu angkatan perang Portugis yang dipimpin oleh Alfonso D’Albuquerque ini mengandungi lapan belas buah kapal dengan 1,400 orang anggota yang terdiri daripada 800 orang Portugis dan 600 orang India Malabar. Pada 1 Julai 1511 angkatan perang Portugis telah tiba di pelabuhan Melaka. Tujuan utama angkatan perang Portugis ini datang ke Melaka adalah untuk membuat penaklukan dan menubuhkan sebuah kerajaan baru. Pada 24 Ogos 1511 Melaka telah jatuh ke tangan Portugis. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri ke Kampar dan mangkat di sana. Maka bermulalah zaman penjajahan di Tanah Melayu.

Bagi Putera dia tidak sanggup untuk melihat negara yang telah mengecapi kemerdekaan ini dijajah semula. Itulah kesimpulan yang dibuat oleh anak muda ini. Setelah membaca catatan sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka turut berpunca daripada kedatangan kuasa asing dari Timur yang bernama Portugis. Biar putih tulang jangan putih mata. Tidak rela dia membiarkan rakyat di negara ini untuk hidup kembali dipayungi penderitaan dan berendamkan air mata berpayungkan penjajah.

Perjuangan menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah penuh dengan pahit dan getir. Maka sewajarnyalah segala pengorbanan dan jasa pejuang-pejuang kemerdekaan sentiasa dikenang dan diberikan pengiktirafan. Mereka rela berkorban dan menggadai nyawa demi untuk melihat anak dan cucu-cicit mereka dapat hidup dalam suasana negara yang merdeka dan agama. Perjuangan mereka adalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara. Bukannya mengharapkan nama mereka dijulang sebagai wira dan jauh sekali untuk mendapatkan ganjaran lumayan. Di atas apa yang telah mereka taburkan dan curahkan selama ini.

Sungguh besar pengorbanan dan jasa pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air. Di mata penjajah memanglah mereka dianggap sebagai penderhaka. Namun disebabkan mereka tidak mahu tunduk dan menurut telunjuk penjajah maka mereka bangkit melakukan penentangan habis-habisan. Sehingga ke titisan darah yang penghabisan.

Mereka yang bernama sebagai pejuang kemerdekaan lebih rela memilih untuk mati demi tanah air yang tercinta. Bagi mereka maruah tanah air yang tiada galang gantinya adalah sebahagian daripada hidup mereka. Perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan sekalipun. Termasuk nyawa dijadikan sebagai pertaruhan.

Lalu Putera menyemaikan tekad dalam dirinya. Untuk menyedarkan generasi muda yang seusia dengannya. Bahawa kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini perlu disyukuri dan dihargai. Ia perlu dikekalkan dan dijaga sentiasa sebagai harta yang tinggi nilainya dan andainya hilang sukar untuk dicari ganti. Malahan tidak ddapat ditemui kembali dan tidak sama dengan yang ada sebelum ini. Demikianlah besarnya erti kemerdekaan yang harus kita hargai bersama sentiasa sebagai rakyat yang hidup di negara ini.

Masalah perpaduan juga menjadi antara punca utama yang membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Ia terjadi akibat daripada persaingan antara orang Melayu dengan orang India Muslim dalam mendapatkan pengaruh. Berdasarkan daripada catatan sejarah perebutan pengaruh telah berlaku antara Laksamana Khoja Hassan dengan Tun Mutahir. Raja Mendeliar telah melemparkan tuduhan bahawa Tun Mutahir ingin mengatasi kekayaan sultan.

Putera mendapat gambaran yang jelas bahawa rakyat di negara ini yang terdiri daripada berbilang agama dan keturunan perlu hidup bersatu padu. Seperti dalam satu keluarga dan menghindarkan perpecahan. Harus sentiasa mempunyai semangat bekerjasama dan saling tolong-menolong. Seperti yang disebut dalam pepatah yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Sebarang unsur yang boleh membawa kepada kerosakan perpaduan kaum hendaklah dihindarkan. Andainya timbul kekusutan ataupun masalah hendaklah diselesaikan secara permuafakatan. Setiap masalah dan cabaran yang datang hendaklah diselesaikan secara bersama. Dan bukannya dengan mengambil tindakan yang terburu-buru. Di mana kelak pasti akan merugikan kedua-dua belah pihak.

Tiada masalah yang tidak akan dapat diselesaikan sekiranya rakyat di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan berganding tenaga untuk mengatasinya. Selain daripada itu rakyat di negara ini juga hendaklah sentiasa mengamalkan sikap hormat-menghormati dan saling bertolak ansur antara satu sama lain. Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini hendaklah terus diperkukuhkan dan dipereratkan lagi. Demi untuk memastikan rakyat yang berbilang kaum di negara ini berterusan untuk menikmati suasana kehidupan yang harmoni dan damai. Di samping kepesatan pembangunan yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan turun dan melimpah-ruah tanpa hentinya. Inilah yang ingin diserapkan oleh Putera melalui hasil kajian yang dijalankannya mengenai sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Secara kesimpulannya di sebalik penyelidikan sejarah berkenaan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka banyak teladan dan pengajaran yang diperolehi Putera untuk disebarluaskan kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Bagi dijadikan renungan dan peringatan bersama pada masa hadapan demi untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran berkekalan dinikmati di negara yang penuh bertuah dan tercinta ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience