BAB 21

Drama Completed 192

WASIAT

Pagi itu cuaca cerah sahaja. Di kaki langit bola matahari kian meninggi dari arah ufuk timur. Sinarnya memancar seluruh alam Kampung Mengkuang. Tompok awan putih dan biru kelihatan amat jelas sekali. Kicauan unggas riang bersahut-sahutan memecah kesenyapan.

Di luar pokok rambutan, pisang, ciku, sukun dan lain-lain lagi, mengangguk-angguk perlahan ditiup angin. Sekali-sekala angin yang berhembus, terbabas lalu menyapu permukaan kulit Azlan yang lembut. Perasaannya benar-benar dicakup dengan kegelisahan.

Di sini sudah tiada lagi erti kemanusiaan, kedamaian, ketenangan dan keamanan. Getus hati kecil Azlan.

Azlan mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke jendela yang memang terbuka luas. Fikirannya dilontarkan di balik gunung dan sawah padi yang luas umpama hamparan permaidani yang hijau.

“Begitulah ceritanya, Lan ….” Tiba-tiba Mak Senah bersuara. Lemah dan tak bermaya. Mungkin menagih simpati dan pengertian.

Lamunan Azlan lalu terhenti seketika. Seperti rancangan yang tergendala di kaca TV, kemudian dia menoleh lalu menghampiri ibunya. Perlahan-lahan melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang yang telah usang itu.

“Bagaimana dengan Tok Ketua, mak?” soal Azlan. Kedua-dua biji matanya tajam menikam wajah Mak Senah. Rambutnya telah dipenuhi uban. Dan garis-garis kedut menghiasi setiap permukaan kulitnya. Nampak benar dia sudah dimakan tua. Seperti daun hijau juga, pasti akan bertukar menjadi warna kuning apabila sampai masanya.

Mak Senah lalu menjawab dalam nada suara yang perlahan:
“Dia tak ubah macam boneka ….”

“Boneka!” Azlan tersentak bila mendengarnya. Ibunya mengangguk.

“Siapa sebenarnya yang lebih berkuasa, mak,” desak Azlan lagi. Umpama muntahan peluru yang tak henti-henti daripada muncung senapang.
Diam.

Mak Senah cuma tunduk. Dan Azlan bagai tidak sabar lagi menanti jawapannya. Kemudian Mak Senah perlahan-lahan mengangkat mukanya dan merenung tepat wajah anaknya itu.

“Busu!”

“Busu? Orang dari bandar tu?” Azlan terperanjat sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Ya …!” anggukkan ibunya kian lemah.

Azlan pantas menarik nafas yang panjang dan mengambil keputusan untuk diam seketika.

Sejak suaminya meninggal dunia, Mak Senah tak ubah macam seorang jeneral. Dialah yang menjadi ketua keluarga, menyara kehidupan dan perbelanjaan sekolah anak-anaknya. Dia rela berpanas dan berhujan. Pagi-pagi lagi, dia sudah pergi menoreh getah bertemankan unggas.

Bila petang pula, dia akan turun ke bendang.
Mak Senah tak kisah dengan lumpur dan pacat yang hinggap di kakinya. Tapi kini dia sudah tua dan kudratnya sudah tidak berdaya lagi. Saudara-maranya yang lain tidak ambil peduli dengan kesusahannya.

Adatlah tu. Hidup manusia kalau kaya-raya, kita akan disayangi dan didekati sebaliknya jika miskin pula pasti akan dijauhi malahan lebih teruk hingga dibenci atau dihina.

Namun Mak Senah kini boleh tersenyum bangga.

Dia telah berjaya membuka mata orang-orang kampung dan saudara-maranya yang lain. Segala jerih-perihnya tidak sia-sia. Azlan telah berjaya dan membalas pengorbanannya dengan balasan yang setimpal. Azlan telah berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti dalam bidang undang-undang.

Air mata Mak Senah mengalir tanda terharu apabila Azlan naik ke pentas untuk menerima segulung ijazah.

Mungkin ada dua perkara yang ditangisi oleh Mak Senah. Pertama kerana terharu dengan kejayaan Azlan dan yang kedua kerana sedih kerana arwah suaminya tidak dapat bersama-sama merayakan hari yang penuh gemilang dan bersejarah itu.

Kata-kata Ana, kekasihnya masih melekat lagi di ingatannya.

“Ana cukup hairan dengan sikap abang,” ujarnya sambil membetulkan rambutnya yang mengerbang ditiup angin. Sekali-sekala terasa angin sayup-sayup berbisik.

“Hairan? Hairan macam mana pula?” balas Azlan. Dia melirik tepat wajah Ana.

Orangnya memang cantik dan manis.

Rambutnya panjang mengerbang hingga mencecah paras bahu. Kulitnya putih berseri umpama kilauan mutiara di dasar lautan.

“Kenapa abang tak mahu berhijrah ke kota?” Suaranya tenggelam dalam apungan deru air sungai yang mengalir.

Azlan tersenyum kecil bila mendengar kata-kata Ana itu sambil berkata:
“Abang lebih sayangkan kampung ini, Ana. Penuh dengan ketenangan dan kedamaian.”

“Tapi abang punya kelulusan, kan?” bantah Ana lagi.

“Tak semestinya abang mempunyai kelulusan, abang harus mencari pekerjaan yang berpakaian kemas, bertali leher, berhawa dingin dan duduk di kerusi pusing,” terang Azlan pula.

“Tapi anak-anak muda di kampung ini, semuanya berlumba-lumba berhijrah ke kota dengan tujuan memburu kesenangan dan kemewahan.”

“Ana jangan samakan abang dengan mereka semua tu.” Pohon-pohon nyiur turut mengangguk tanda setuju. Antara kota dan desa memang jauh berbeza. Kota berlandaskan ciri-ciri yang serba moden. Cuma desa yang masih mengamalkan ciri-ciri hidup tradisional.

Azlan mengamati aliran sungai dengan tenang dan setia.

Dulu sewaktu dia masih kecil bersama teman-teman sebaya dia sering mandi dan menjala ikan. Airnya bersih, jernih dan dingin. Kelihatan anak-anak ikan keli berenang-renang dengan riang.
Tapi kini semuanya telah berubah semenjak Busu mendirikan kilang simen di hujung kampung.

Ia telah dinodai. Airnya kotor dan dipenuhi dengan lumpur serta lanar. Ikan-ikan banyak yang mati. Tidak dapat lagi mencari hari-hari mindanya yang terbuka.

Padahal mereka adalah tiang negara. Kalau mereka lemah negara akan roboh dengan senang.

“Kita mesti tinggalkan cara hidup kuno. Hidup dengan cara hidup yang moden,” tegas Busu. Dengan sombong dan angkuh. Orangnya berbadan gempal. Berkumis lebat dan berambut keriting. Kulitnya hitam manis.

Hidup cara moden hingga melupakan terus nilai-nilai tradisional.

Begitu! Berontak Azlan dalam diam. Menggelegak. Umpama api yang membakar. Mereka sudah tidak menghormati orang tua lagi. Persatuan belia sudah tidak aktif lagi menjalankan projeknya. Akibatnya banyak tanah yang terbengkalai dan terbiar tidak seperti dulu lagi.

Diri mereka juga sudah tidak terurus lagi. Mereka berambut panjang mengerbang tak ubah macam perempuan. Bajunya pula dipenuhi gambar-gambar yang menakutkan. Manakala seluar mereka ketat dan koyak rabak pula.

Mereka lebih suka membuang masa di kedai kopi, tolak dam dan berbual kosong. Dari pagi hingga ke subuh besoknya. Kalau ada konsert rock anjuran Busu, mereka akan berpusu-pusu menontonnya hingga sanggup bergaduh.

Adakalanya mereka akan berlonggok di tepi jalan dan mendendangkan lagu dengan iringan gitar kapuk. Memekik dan melolong macam orang hilang pedoman. Tak ketinggalan juga mengusik anak dara yang lalu di situ. Surau juga kekurangan syaf untuk berjemaah. Yang tinggal hanya orang tua saja.

Dua tiga orang saja, boleh dikira dengan jari.

Sedangkan dalam usia begini adalah peluang terbaik bagi mereka menambah amal ibadat di dunia dan akhirat. Tapi sayang usia muda mereka disia-siakan begitu saja.

Yang lebih menyedihkan terdapat sebilangan kecil anak-anak muda yang terbabit dalam penagihan dadah. Markas mereka ialah di sebuah pondok yang terletak di hujung kampung. Mereka dilambung khayal dan mata mereka merah menyala seperti biji saga.

Ini dikesan oleh Lebai Deraman.

Kerana pondok tersebut berhampiran dengan dusunnya. Puntung-puntung rokok, beberapa batang lilin, jarum, sudu dan beberapa bungkus serbuk dadah yang telah digunakan didapati bertaburan di atas lantai pondok itu.

Lebai Deraman kenal dengan benda-benda itu semua yang menjadi musuh nombor satu negara.

Kau zalim, Busu! Kaulah manusia yang bertopengkan syaitan! Kau telah merosakkan akhlak anak-anak muda di kampung ini. Kau telah menjadikan kampung ini sebagai tanah jajahanmu! Geram hati Azlan.

Azlan lalu merenung langit yang kosong. Harapannya mahu mencari jawapan itu. Namun hampa. Saat-saat ayahnya menghembuskan nafas terakhir masih segar lagi dalam ingatannya. Dia merasakan baru saja berlalu.

Di waktu itu wajahnya pucat. Cekung dan tak bermaya. Bertahun-tahun dia terlantar sakit.

“Lan ….” Suaranya lemah.

“Ya, ayah,” ucapnya sambil merenung tajam wajah ayahnya yang sedang nazak. Tangan kanan Azlan menggenggam erat tangan ayahnya. Kuat melekat. Dan sukar untuk dilepaskan.

“Jagalah tanah air ini baik-baik. Sebarang pencerobohan perlu ditangkis dan kemerdekaan tanah air mestilah dipertahankan ….” Suara ayahnya tersekat-sekat tetapi penuh dengan semangat nasionalisme.

Azlan berketurunan pahlawan. Benar kata pepatah: Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Ini adalah wasiat! Dan aku perlu menunaikannya. Ucap Azlan dalam diam.

Matahari merangkak perlahan-lahan. Azlan menanamkan sebuah pengharapan. Kini terpahat kukuh dalam sanubarinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience