BAB 22

Drama Completed 192

GERILA HIJAU

Dari jauh kelihatan banjaran gunung yang menghijau berdiri megah. Kicauan unggas bergema memecah kesunyian alam. Bola mentari kian meninggi. Jalur-jalur cahaya menyinari suasana pagi yang hening itu.

Dia sudah lama berada di situ. Dia terpaksa berkorban, meninggalkan keluarga dan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Tinggal di hutan belantara. Inilah yang dinamakan perjuangan dan dalam perjuangan mesti ada pengorbanan.

Pagi itu cuaca cerah sahaja. Selepas bersarapan dia menyandang senjata.

“Aku ada maklumat baru,” ujar Hussein tiba-tiba. Dengan pantas dia memalingkan mukanya. Matanya tidak berkelip merenung wajah Hussein yang berkumis itu.

“Apa dia?”
“Sebuah trak tentera Jepun yang penuh dengan muatan makanan dan senjata akan melalui Simpang Tiga,” balasnya lagi.

“Bila?”

“Tengah hari nanti,” Hussein berkata sambil mendongakkan kepalanya.

“Kita serang!” cadangnya lagi.

“Nanti dulu. Berapa kekuatannya?” soalnya lagi.

Mata Hussein tunak merenung muka Seman.

“Antara 10 hingga 20 orang,” Seman pantas mencelah.

“Kau pasti?”

“Perisik kita yang beritahu,” jawab Hussein pula. Seman membisu buat seketika. Matanya liar melihat pohon jati yang rendang. Hussein terus mendesak agar menurut rancangannya.

“Tunggu apalagi, Man! Kita serang!”
Seman enggan menjawab. Fikirannya berputar ligat. Dia tidak mahu mengambil keputusan yang terburu-buru. Dia perlu berhati-hati agar keselamatan dan nyawa anggotanya tidak melayang dengan mudah di tangan musuh.

“Kau tahu bukan, kita kekurangan senjata?” Hussein bertubi-tubi mendesaknya. Seman menarik nafas panjang. Kemudian berkata:
“Baiklah!” angguknya. Akhirnya dia terpaksa akur juga dengan keputusan Seman.

“Tapi, kita akan berpecah kepada dua kumpulan.”

“Dua kumpulan?” soal Hussein lagi.

“Ya! Aku akan menyerang dari arah utara dan kau akan menyerang dari arah selatan,” rancang Seman. Hussein bersetuju tanpa banyak bantahan.

“Baiklah!” Hussein pantas beredar ke khemahnya. Seman berjalan perlahan-lahan ke arah sebatang pokok meranti yang rendang lalu menyandarkan tubuhnya. Senjatanya perlahan-lahan diletakkan di atas tanah.
Operasi kali ini sungguh mencabar. Pasukannya akan menghadapi kekuatan musuh yang melebihi dua kali ganda daripada mereka.

Namun dia tidak mahu mengangkat bendera putih dengan awal. Dia dan anak-anak buahnya akan tetap berjuang hingga ke titisan darah yang penghabisan. Satu peluru satu musuh! Biar mandi peluh, jangan mandi darah. Kalau gugur biarlah sebagai bunga bangsa. Penjajah mesti diusir dari bumi yang bertuah ini. Portugis, Belanda, British dan kini Jepun pula.

Kalau boleh dia mahu mencontohi semangat perjuangan Leftenan Adnan yang mempertahankan Pasir Panjang hingga ke titisan darah yang penghabisan. Namanya menjadi kebanggaan Askar Melayu. Ia sekaligus mengikis tanggapan bahawa orang Melayu mempunyai daya juang yang lemah.

Secara zahirnya dia tidak pernah menyesal memilih perjuangan dan hal ini memang dituntut dalam hidup manusia. Nabi Muhammad SAW sendiri terpaksa berjuang menentang orang-orang Quraisy dalam menegakkan syiar Islam.
“Jihad adalah jalan yang suci.” Demikian kata Kiyai Omar. Seman mendongakkan kepala ke atas dan kelihatan awan putih menghiasi langit biru.

Hidup di hutan belantara memang memerlukan ketabahan. Makanan adalah masalah utama. Pucuk kayu dan buah-buahan terpaksa ditelan untuk meneruskan kehidupan.

Dia merenung jauh seketika. Semenjak Jepun masuk ke Tanah Melayu, orang-orang kampung hidup penuh derita. Tentera Jepun menyeksa dan memancung orang-orang kampung sesuka hati tanpa usul periksa. Tali barutnya sentiasa ada di mana-mana.

Dulu orang-orang kampung terpengaruh dengan propaganda “Asia Untuk Asia” iaitu membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan British.

Tapi itu rupanya tipu helah semata-mata untuk mengelabui mata orang Melayu agar menyokong mereka. Bila misi mereka berjaya, Tanah Melayu dijadikan tanah jajahan mereka pula.

Lamunannya terhenti seketika bila bahunya ditepuk dan dia menoleh. Ahmad rupanya, kemudian duduk bersebelahan dengannya pula.

“Bila kita akan bergerak?” soal Ahmad sambil mengesat peluh di dahinya. Dengan lemah dia meletakkan senjata di tanah. Seman merenung tajam wajah Ahmad. Orangnya berbadan tegap dan berkulit hitam manis. Dia melihat jam di tangan. Kemudian berkata:
“Tepat pukul 12.00 tengah hari nanti.” Dengan wajah yang berkerut.

“Di mana?”

“Simpang Tiga.” Ahmad terus menyoroti persoalan itu.

“Jepun akan datang dari arah mana?”

“Tapi aku rasa dari arah utara,” sambungnya lagi.

“Jadi kita akan buat serang hendap secara habis-habisan!” celah Ahmad tak henti-henti.

“Ya!” Seman pantas mengangguk.
Ahmad terdiam. Dia turut merasa operasi kali ini amat mencabar.

Namun dia tidak gentar. Dia tidak takut demi tanah air yang tercinta. Dia rela berkorban. Darah satria akan terus mengalir di bumi yang tercinta. Ahmad mempunyai cita-cita yang besar. Dia tidak mengharapkan sebutir pingat pun tersemat di dadanya. Cukuplah dengan sekadar melihat anak cucunya dapat menikmati kemerdekaan.

Seman lalu memberi arahan:
“Kau pergilah berehat.”

“Baiklah!” dia mengangguk dan pantas beredar menuju ke khemahnya. Timah, tiba-tiba wajah itu terdampar di ruang matanya. Seorang isteri yang setia dan rela berkorban. Amin yang berusia 3 tahun terpaksa merasa kehilangan kasih sayang seorang ayah.

“Pergilah, bang. Demi negara yang tercinta. Timah izinkan. Doa timah moga abang akan pulang membawa kejayaan.”

Sememangnya Seman mempunyai semangat nasionalisme yang berkobar-kobar. Dia memang anti-British. Segala hasil bumi dibawa balik ke England. Orang-orang Melayu dibiarkan dalam keadaan kemiskinan. Bila Jepun menyerang Tanah Melayu mereka berundur.
Sebenarnya tanggapan orang Melayu silap. Kekuatan British tidak sehebat mana mereka lemah bila Prince of Wales dan Rupelse tenggelam dibol oleh pihak Jepun di Pulau Tioman.

Jauh benar dia mengelamun tanpa menyedari waktu kian berlalu. Jam di tangan tepat pukul 12.00 tengah hari. Bahang mentari tambah menggigit kulit.

Seman mengangkat tangan.

“Hussein, Ahmad!” Mereka lantas menghampiri Seman yang berada di bawah pohon meranti yang rendang.

“Kita berperang sekarang,” arah Seman. Tanpa berfikir panjang lagi mereka terus bergerak untuk menjalankan misi seperti yang dirancangkan. Mereka terpaksa merentasi sungai, belukar dan paya. Sampai di Simpang Tiga mereka berpecah dua.

Mereka mengambil tempat masing-masing. Suasana di Simpang Tiga senyap sunyi. Angin tetap bertiup sepoi-sepoi bahasa hingga terbabas menyapu permukaan kulit.
Tidak lama kemudian kedengaran bunyi trak melintasi kawasan Simpang Tiga. Jangkaan mereka tepat. Tiga trak tentera Jepun kelihatan bergerak perlahan-lahan.

“Serang!” teriak Seman. Hujan peluru segera dimuntahkan. Akibatnya ramai tentera Jepun yang terkorban. Mereka gagal membalas serangan kerana terkepung. Ledakan mortar bergema memecah kesunyian. Seman dan orang-orangnya berteriak kegembiraan menyambut kemenangan yang besar itu. Bekalan senjata dan makanan berjaya dirampas dan segera dibawa balik ke khemah mereka. Seman bersyukur kerana tiada seorang pun anggotanya yang cedera ataupun terkorban. Dia berasa bangga dengan kejayaan itu.

Sementara di markas tentera Jepun, Jeneral Kamimoto bertambah marah bila mengetahui ramai anggotanya terbunuh. Serangan hendap gerila hijau diketuai oleh Seman berjaya membuahkan hasil. Kedua-dua biji matanya terjojol keluar. Mukanya merah padam seperti udang kena bakar.

“Sarjan!” teriaknya lantang.

“Tuan!” dia sebaliknya menjawab sambil mengangkat tabik hormat.
“Buru pasukan Gerila Hijau sekarang juga. Tangkap ketuanya hidup-hidup!” arahnya.

“Baik, tuan!” Gerombolan tentera seramai 200 orang segera dikerahkan masuk ke hutan. Pasukan Gerila Hijau amat berbahaya kepada tentera Jepun.

Semua tali barut Jepun dikerahkan supaya mencari maklumat mengenai pasukan Gerila Hijau. Pihak Jepun cuba menawarkan hadiah berupa makanan kepada sesiapa yang berjaya memberi maklumat hingga tumpasnya pasukan Gerila Hijau.

“Hussein,” Seman bersuara memecah kedinginan malam. Bunyi cengkerik tidak putus-putus memecah suasana malam. Hussein bingkas bangun dari khemahnya dan menghampiri Seman. Cahaya bulan terang-benderang pada malam itu.

“Ada apa, Man?”

“Besok pagi kau pergi ke pinggir kampung dan cari maklumat yang terbaru dari perisik kita,” arah Seman.

“Baiklah!” Hussein tidak membantah. Kemudian dia beredar semula ke khemahnya. Seman turut mengekorinya. Dengan lemah dia meletakkan senjata di tanah. Kemudian berbaring tetapi matanya enggan lelap. Biarpun malam semakin larut. Anggota Gerila Hijau yang lain telah lena dibuai mimpi. Cuma dua tiga orang saja yang sedang berkawal.

Fikirannya mula melayang. Dia amat benci kepada Jeneral Kamimoto yang terkenal dengan kezalimannya. Hakikatnya peperangan hanya satu pihak saja yang menang. Yang menang akan memerintah dan yang kalah akan diperintah.

Tapi bilakah peperangan ini akan berakhir? Dia tidak pasti. Yang lebih menyedihkan terdapat segelintir anak bangsa yang menjadi tali barut Jepun. Mereka mudah rabun bila disogokkan dengan pangkat dan kesenangan hingga sanggup menggadai maruah bangsa dengan sewenang-wenangnya. Seman tetap bertekad selagi dia bernafas dia akan terus berjuang.

Akhirnya dia terlelap jua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience