BAB 8

Drama Completed 192

DIULIT KENANGAN

Dia mengimbau semula kisah-kisah silam yang pernah dilaluinya. Segala rintangan dan cabaran yang ditempuhinya dalam hidup ini tidak begitu mudah untuk dilupakannya.

Sesungguhnya hidup di dunia ini telah ditentukan oleh Tuhan Yang Esa. Bermula dengan kelahiran. Berakhir dengan kematian.

Tak siapa di dunia ini yang boleh mengubah apa yang telah ditentukan itu. Hakikatnya yang pasti kehidupan yang dilalui di atas dunia ini hanyalah seketika cuma. Kehidupan kalau digali dalam-dalam mempunyai luas pengertiannya. Selalunya hidup manusia diumpamakan lautan biru yang luas. Pasang surut silih berganti.

Adaketikanya hidup manusia di dunia ini bersama siang dan malam diibaratkan putaran roda. Tidak menentu. Sekejap di atas. Sekejap di bawah.

Apa yang pasti dia mengutip kembali kata-kata pujangga. Yang pernah dibacanya dalam sebuah buku. Dia lupa tajuknya. Kata-katanya amat menarik sekali dan tersimpan kuat dalam ingatannya. Lihatlah burung-burung telah pulang semula ke sarang. Tiada lagi kedengaran kicauan riang burung-burung menyanyikan irama merdu membelah alam semesta dan bebas berterbangan membelah angkasa nan luas.

Matahari telah bertukar warna seperti buah pinang masak. Begitu juga dengan langit. Yang tadinya cerah lalu bertukar warna menjadi kelabu. Itu tandanya senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam. Segala suka duka yang kita layari sepanjang hari ini kita tinggalkan dan dihimpunkan menjadi pengalaman. Dalam mendewasakan kita.

Memang menarik apabila kata-kata itu dihayati. Mempunyai pengertian dan makna yang luas mengenai kehidupan yang ditempuhi oleh manusia di atas dunia ini yang menjadi persinggahan cuma. Sebelum kembali semula ke alam akhirat. Yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Kata-kata itu memang ada kebenarannya. Pengalaman adalah guru yang paling berguna dalam hidup ini.

Ada yang berkata bukan hidup namanya kalau tak ada masalah. Ibarat orang Melayu makan nasi tanpa sambal belacan. Tak lengkap rasanya. Walaupun dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk yang beraneka selera.

Ringkasnya manusia yang hidup secara pinjaman di atas dunia ini diuji dengan masalah. Sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Bukan sekadar mengajar untuk berusaha gigih mengatasinya. Tetapi yang paling utama menjadikan matang dalam mengharungi perjalanan hidup ini. Yang diibaratkan sebuah pengembaraan. Tanpa diketahui di mana perhentiannya yang sebenar.

Mungkin hanya segelintir sahaja manusia yang bernafas di dunia ini yang mengerti akan hakikat itu. Ini bagi mereka yang hidup penuh dengan iman dan takwa. Sebagaimana yang dipperintahkan oleh Tuhan Yang Esa terhadap hambanya. Dengan membuat segala kebaikan. Meninggalkan segala kejahatan. Agar mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Itulah janji Tuhan. Terhadap hambanya yang taat dan patuh pada perintahnya.

Selagi kita yang bernama manusia melihat matahari di siang hari dan rembulan di malam hari selagi itulah perjalanan hidup ini akan diteruskan. Sehinggalah ke nafas yang terakhir.

Begitu jugalah dengan masalah dalam hidup ini. Perlu ditempuhi dengan hati yang redha dan tabah. Bukannya mengeluh. Mengapa orang lain hidup senang tanpa masalah. Sedangkan mengapa aku hidup susah. Dibayangi masalah. Tuhan Yang Esa melarang hambanya mengeluh dan berputus asa. Apabila dilanda masalah.

Sebagai hambanya kita seharusnya mensyukuri apa jua nikmat yang telah dikurniakannya kepada kita. Menyedari bahawa kita yang bernama manusia ini adalah lemah dan tak berdaya. Biarpun ada manusia yang berkuasa dan memiliki harta yang banyak. Melimpah-ruah macam air sungai. Hanya Tuhan Yang Esa sahaja berkuasa ke atas segala-galanya. Di dunia ini mahupun di akhirat.

Segala ujian dan dugaan yang ditentukan oleh Tuhan kepada manusia di dunia ini adalah untuk menguji keimanan dan kesabaran hambanya. Perlu dilalui dengan tabah dan cekal. Begitulah yang terjadi kepada Halim bin Musa. Pelajar bidang Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya. Kisah silam yang dilaluinya boleh dijadikan teladan kepada kita semua.

Mungkin sudah ditentukan oleh Tuhan. Buat anak muda yang bernama Halim ini.
Kejayaannya menjejakkan kaki ke menara gading bukanlah mudah untuk dicapai. Dia terpaksa mengharungi pelbagai pahit dan getir. Seperti meniti kerikil-kerikil tajam rasanya. Pedih dan luka. Sebelum mencapai kejayaan seperti yang dicapainya sekarang. Sepertimana yang diidamkan oleh semua orang. Di alam fana dan berpijak di bumi nyata ini.

“Kenapa ni, Halim? Aku tengok kau macam ada masalah, ya,” kata Rosman.

“Tak ada apa-apalah!” Halim berdalih. Dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Kau jangan nak bohong akulah, Halim. Tengok muka kau aku dah tahu. Kau ada masalah, kan?” desak Rosman lagi. Agar Halim memberitahu perkara yang sebenarnya.

“Hei kau ni!” Halim sebaliknya mengeluh. Sambil mengerutkan muka dan menggeleng-gelengkan kepala.

“Berapa kali aku nak cakap. Tak ada apa-apa. Kau faham tak!” sambung Halim lagi.
“Aku ni kan ke kawan baik kau. Kalau kau ada masalah cakaplah. Mana tahu kalau boleh aku tolong,” Rosman bersuara.

Akhirnya Halim mengalah juga dengan desakan Rosman. Dengan menceritakan perkara yang sebenar.

“Pasal ayah dan emak aku. Mereka dah tak sehaluan lagi. Mereka dah pilih jalan untuk berpisah …,” terang Halim. Dalam nada suara yang lemah.

“Itu hal mereka. Buat apa yang kau risaukan,” tambah Rosman pula.

“Mahu tak risau kata kau,” Halim sebaliknya menjawab.

“Yalah! Kita kan dah dewasa. Kalau ayah dan emak kau berpisah ada untungnya kau tahu tak,” ujar Rosman. Sambil mengangkat kepala memandang muka Halim dalam-dalam.

“Kau tak mengalaminya bolehlah bercakap. Cuba kena kat kau. Hei …. Entahlah …. Buntu kepala aku ni. Buntu. Fikirkannya. Tahu tak!” Halim melepaskan keluhan.
Masalah yang sedang ditanggungnya sekarang macam memikul seketul batu besar. Berat. Terlalu berat. Baginya amat payah untuk ditemui jalan penyelesaian. Rosman terus termenung jauh memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya. Sambil melemparkan pandangan pada blok bangunan sekolah di depannya.

Sahabat baiknya Rosman yang duduk di sebelahnya hanya mendiamkan diri. Hanya mendengar sahaja keluhan yang bersarang di jiwa kawan baiknya itu sehingga menjadi tidak tenteram dan kacau fikirannya. Semuanya kerana ibu bapanya akan berpisah.

Rosman kemudiannya lantas tertawa kecil dan menggeleng-gelengkan kepala. Seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Halim itu.

"Yang kau ketawa ni kenapa, hah? Kau ingat aku saja buat cerita!" Halim nyata berasa tidak senang dengan gelagat yang ditunjukkan oleh Rosman yang duduk di sebelahnya.

"Percaya!" angguk Rosman dengan pantas dan menepuk-nepuk lembut bahu Halim.

"Kalau kau tak percaya, sudah! Kau pergilah. Tinggalkanlah aku seorang. Jangan ganggu aku!" Nada suara Halim berbunyi marah dan kecewa pada Rosman. Diharapnya Rosman menjadi tempat untuk dia mengadu dan bersimpati dengan nasib malang yang menimpa dirinya. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Bagi Halim senyuman kecil yang dilemparkan oleh Rosman itu adalah sendaan. Sedangkan Rosman mengaku sebagai sahabat karib. Seharusnya bila dia ketawa Rosman harus ketawa. Bila dia menangis Rosman juga menangis.

Demikianlah sebenarnya adat persahabatan. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kawan selalunya hanya mahu ketawa bersama sahaja. Sedangkan menangis hanya seorang diri. Dalam erti kata lain sebaik manapun sahabat di dunia ini hanya di waktu kesenangan sahaja. Di waktu kesusahan bukan sahabat sejati namanya bila tidak ditempuhi bersama.

Seharusnya Rosman sebagai seorang sahabat setia memberikannya semangat dan kekuatan dalam menghadapi masalah yang dialaminya. Itulah yang sebenarnya diharapkan oleh Halim.

"Yalah! Yalah! Aku minta maaf. Aku faham masalah kau!" Rosman mengangguk-anggukkan kepala.

"Dah tu? Kau ketawa, kenapa? Lucu sangatlah, ya. Masalah aku ini." Dengan pantas Halim memotong dan masih lagi berasa bengang dengan sahabat karibnya itu. Sambil memandang muka Rosman.

Jelas sekali rasa kecewa dan marahnya pada Rosman masih lagi belum reda. Nampak di raut mukanya.

"Kan aku dah kata tadi. Kita kan dah dewasa. Bukannya kanak-kanak lagi. Perceraian ayah dan ibu kau sebenarnya membuka peluang kepada kau untuk mengatur hidup sendiri," tambah Rosman pula.

"Maksud kau?" tanya Halim dengan penuh minat.

"Betul! Hah, kau tengoklah nanti," kata Rosman lagi.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Kedengaran loceng sekolah berbunyi. Menandakan berakhirnya waktu rehat.

"Hah, tu loceng dah pun bunyi. Jom kita masuk kelas. Nanti kita sambung lagi," ucap Rosman.
"Yalah!" Halim membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Halim dan Rosman bingkas bangun dan kemudiannya mengatur langkah menuju ke kelas.

Terlalu cepat dirasakan waktu berlalu pergi. Sedar-sedar dah pun masuk tengah hari. Baru tadi dirasakan pagi menjelma. Loceng menandakan waktu sekolah bersurai pun kedengaran. Guru-guru dan pelajar-pelajar kelihatan berduyun-duyun keluar meninggalkan kelas.

"Sakit kepala aku! Makin sakit kepala aku!" rintih Halim bercampur geram.

"Hei, Halim! Relaks. Kenapa ni? Tak habis-habis merungut," Rosman mencelah.

"Kau tengoklah Cikgu Faridah masa dalam kelas tadi. Bukan setakat kena leter aje. Sebab kerja rumah Bahasa Melayu yang diberinya tu aku tak buat. Apa kau tak dengar ke? Tambah sakit hati aku. Kalau macam ni cara aku jangankan nak dapat keputusan cemerlang dalam STPM nak masuk universiti pun jauh sekali. Hei! Direndah-rendahkannya aku depan semua orang. Dia cakap senanglah. Tak tahu aku ada masalah keluarga. Macam mana aku nak tumpukan pada pelajaran," Halim bersuara pada Rosman dengan panjang lebar.

Dia benar-benar berasa kesal dan kecewa dengan cara Cikgu Faridah menegurnya kerana mengabaikan pelajaran. Nyata sekali Halim tidak boleh menerima nasihat dan teguran membina Cikgu Faridah itu.

Bila kita kena tegur itu tandanya ada orang sayang dan memberi perhatian pada kita. Bukannya orang benci pada kita. Kalau orang benci pada kita maka kita tak dipedulikan. Perkara yang tidak baik kita lakukan pun tiada yang melarangnya. Sehinggakan kita bebas melakukan apa jua. Sampai membawa kepada kehancuran.

Dalam hal seperti ini juga pelajar lain Cikgu Faridah mahu Halim berjaya dalam hidup. Lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan masuk universiti.

"Alah, apalah yang kau nak hebohkan tu semua. Cikgu Faridah tu memang macam tu. Kau takkan tahu dia. Sudahlah. Bukan kau seorang aje yang kena. Sebab tak buat kerja rumah yang diberinya tu. Aku pun kena. Pedulikanlah. Tak usah kau fikirkan lagi. Nanti bertambah runsing kepala kau. Hah! Marilah kita balik. Malam nanti pukul 8.00 aku jemput kau kat rumah." Rosman sebaliknya meredakan perasaan berkecamuk yang melanda kawan baiknya itu.

"Kau nak bawa aku pergi mana, Rosman?" tanya Halim pula sebaliknya.

"Tenangkanlah fikiran kaulah," Rosman menjawab dengan cepat.

"Kat mana?" Halim tak henti-henti menyoal.

"Kau ikut ajelah. Sudahlah. Jangan banyak tanya. Hah, kau pakai topi keledar ni. Aku hantar kau balik," Rosman membalas. Sambil menghulurkan topi keledar kepada Halim yang pantas menyambutnya. Kemudian lalu disarungnya di kepala dan diikat.

Setelah mengenakan topi keledar Rosman pantas menghidupkan enjin motosikal dan menghantar Halim ke rumah. Setibanya di rumah Halim diberitahu oleh ibunya yang dia baru pulang dari mahkamah syariah. Hakim telah memutuskan yang ibunya sah bercerai dengan ayahnya. Punca perceraiannya adalah mereka tidak sehaluan lagi untuk hidup bersama. Terpaksa memilih berpisah. Sebagai jalan penyelesaiannya.
Serta-merta Halim menjadi diam apabila mendengar penjelasan ibunya itu. Seluruh tubuhnya terasa lemah dan tak bermaya. Dalam ingatannya hanyalah terbayang kegelapan. Memikirkan nasib adik-adiknya yang masih kecil dan bersekolah lagi.

Perasaan sedih dan hiba juga melanda jiwanya yang masih muda itu. Macam sehelai daun hijau. Tidak seperti orang lain. Bahagia dengan hilai tawa keluarga dan belaian kasih sayang daripada ayah dan ibu. Tetapi dia tidak. Kini dia benar-benar berasa kesunyian dan kesepian. Apabila ayah dan ibunya telah ditakdirkan tidak lagi hidup bersama.

Dia enggan melayan perasaannya yang tidak menentu itu. Kata-kata Rosman dengan pantas menjelma di ingatannya. Betul jugak kata Rosman tu. Buat apa difikirkan semua yang telah berlaku. Apa nak buat. Dah keputusan ayah dan ibu. Tidak menyayangi antara satu sama lain. Memilih jalan berpisah. Biarlah. Bukankah lebih baik aku mencari ketenangan di luar. Inilah masa yang terbaik untuk memilih jalan kehidupan sendiri. Tanpa sekatan dan batasan ibu bapa. Betul jugak kata Rosman tu. Lagipun aku dah dewasa. Lama-kelamaan aku terpaksa hidup sendiri jugak. Kenalah aku belajar dari sekarang. Kau memang kawan sejati aku, Rosman! Detik hati kecil Halim.

Seperti yang dijanjikan malamnya Rosman menjemput Halim di rumah. Dia membawa Halim bertemu dengan kawannya. Di sebuah lorong yang sunyi belakang bangunan deretan rumah kedai di kiri kanannya.

"Kenalkan, Murad. Lebih mesra dengan panggilan Abang Murad. Ini, Halim. Kawan satu sekolah. Kawan baik saya!" Rosman berkata.

Halim lalu berjabat tangan dengan Abang Murad. Dari raut wajahnya jelas kelihatan. Berusia masih muda lagi. Dalam lingkungan awal 30-an. Berkereta mewah. Kerja apa agaknya? Getus hati kecil Halim. Abang Murad kemudiannya mengeluarkan sesuatu dari jaketnya yang berwarna hitam. Sekotak rokok.

"Rokok?" Abang Murad menghulurkannya pada Halim. Sambil mengangguk-anggukkan kepala.

"Terima kasih, bang. Saya tak hisap rokok!" geleng Halim pula.

"Apalah kau ni, Halim? Orang dah beri tu. Ambil ajelah," Rosman menyampuk.

"Bukan ke merokok tu membahayakan kesihatan. Lagipun kita kan ke masih belajar lagi," ingat Halim.

"Kenapalah fikiran kau ni cetek sangat, hah? Kita hisap rokok bukannya dalam kawasan sekolah. Tapi kat luar. Hei! Kau belum tahu nikmat hisap rokok ni. Bila kau sedut dan menghembus asap tu keluar fikiran kau yang tengah kacau tu jadi tenang. Kalau kau tak percaya hah cubalah. Percayalah cakap aku!" Rosman seakan-akan mendesak Halim. Supaya melakukan perkara buruk. Yang seharusnya dihindarkan oleh pelajar. Bukan sahaja tidak mendatangkan keuntungan dan faedah. Malahan juga memudaratkan kesihatan.

"Kau kata tadi nak bawa aku ke tempat untuk tenangkan fikiran. Tapi tempat yang kau bawa ni lain macam aje aku tengok. Lorong sunyi. Tempat apa sebenarnya ni, Rosman?" Halim sebaliknya membalas.

"Halim! Halim!" Rosman pula menjawab. Sambil menggeleng-gelengkan kepala. Rasa bosan jelas nampak di mukanya. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut sahabat baiknya itu.

"Kau ni tak faham-fahamlah," sambung Rosman lagi.

"Sudah! Sudah!" Abang Murad yang selama ini berdiam diri pantas mencelah.

"Tak elok bergaduh. Kata kawan baik," Abang Murad menambah.

"Bukan bergaduh, bang. Dia ni banyak soal pulak. Hisap ajelah rokok yang abang beri tu. Tak usahlah tanya tempat ni. Memanglah sunyi. Tempat untuk menenangkan fikiran. Takkanlah nak pergi tempat yang ramai orang pulak. Dengan bunyi bising," terang Abang Murad.

"Dia tak nak hisap tak apalah, Rosman. Hah! Kau hisaplah rokok ni," Abang Murad berkata. Sambil menghulurkan rokok pada Rosman yang kemudiannya pantas menyambut dan menjepit di bibir.

Abang Murad lalu mengeluarkan pemetik api dari poket bajunya dan menyucuhkan api pada rokok yang terjepit di bibir Rosman. Dia lalu menghisapnya dan menghembus asap keluar. Berkepul-kepul kelihatan asap memutih keluar dari hidung dan mulutnya. Halim memerhatikan sahaja kawan baiknya yang nampak leka dan khayal. Dengan kedua-dua belah matanya hamper tertutup. Macam orang yang mengantuk menghisap rokok yang diberikan oleh Abang Murad itu.

Timbul tanda Tanya di fikiran Halim. Dia walaupun belum pernah menghisap rokok tapi ada sesuatu yang pelik apabila melihat Rosman menghisap rokok yang dihulurkan oleh lelaki yang bernama Abang Murad ini. Tidak seperti orang lain yang menghisap rokok. Rosman nampak diam dan lupa segala-galanya. Rokok jenis apakah ni? Baik aku cuba. Nanti dulu! Nanti dulu! Malulah. Tadi kata tak nak. Lepas tu minta pulak. Tengok ajelah Rosman hisap rokok. Kalau Abang Murad beri nanti hah jangan tolak. Hisap ajelah! Bisik Halim dalam diam.

"Hah! Apa macam, Rosman?" Abang Murad menyoal. Dengan mengangkat muka tinggi sedikit. Memandang wajah Rosman dan menepuk-nepuk bahunya.

"Huh! Sedap. Memang sedap. Tak macam rokok biasa. Yang selalu saya hisap. Rokok apa ni, bang?" tanya Rosman pula sebaliknya. Sambil terus menghisap rokok.

"Tak usahlah kau tanya, Rosman. Kau hisap ajelah. Kalau kau nak rokok ni selalu tiap-tiap malam kau datang ajelah jumpa abang di sini. Tapi sebelum datang telefon abang dulu. Takut abang ada di tempat lain pulak," pesan Abang Murad lagi pada Rosman.

"Mesti, bang!" angguk Rosman dengan pantas.
"Saya rasa ketagih dengan rokok ni," jelas Rosman lagi pada Abang Murad.

"Ketagih?" Abang Murad mengangkat muka memandang Rosman dan ketawa berdekah-dekah. Seolah-olah ada sesuatu yang lucu di hatinya. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Halim itu.

"Betul, bang. Saya bukannya main-main. Berapa harga rokok ni, bang?" tanya Rosman dengan rasa penuh minat.

"Rokok ni mahal harganya, Rosman. Terus terang abang cakap. Tak mampu kau beli. Kau pun masih bersekolah lagi. Begini ajelah, Rosman. Abang beri kau percuma dulu hisap rokok ni. Tapi tak boleh selama-lamanya. Tak pun macam ni ajelah. Apa kata kau kerja dengan abang pada waktu malam untuk edarkan rokok ni. Pelanggannya ramai. Abang tak larat nak buat seorang. Lumayan pendapatannya tau. Hah, Halim pun boleh ikut sekali," ujar Abang Murad.

"Ya ke, bang?" soal Rosman dengan rasa penuh minat. Jelas sekali terpengaruh. Dengan kata-kata Abang Murad itu.

"Betul, Rosman! Kau tengok ajelah nanti. Banyak duit kau dapat. Silap-silap kau berhenti sekolah terus," tambah Abang Murad lagi.

"Saya naklah kerja tu, bang. Bila saya boleh mula?" Rosman bagaikan tidak sabar-sabar lagi cepat mencelah. Dalam fikirannya sudah terbayang hidup mewah. Dengan timbunan duit hasil menjual rokok Abang Murad. Hidupnya pasti senang. Tak perlu bergantung lagi pada peperiksaan STPM. Yang akan didudukinya tidak berapa bulan lagi.

"Nanti abang beritahu bila boleh mula. Hah, dah lewat ni. Abang kena pergi dulu. Ada temu janji dengan pelanggan. Kita jumpa lagi nanti. Tapi Ingat. Telefon dulu sebelum jumpa," kata Abang Murad. Sebelum berlalu pergi dari situ. Begitu juga dengan Rosman dan Halim.

Dalam hati Halim terus dihujani dengan persoalan. Tentang pekerjaan yang dimaksudkan oleh Abang Murad itu. Mewah dengan untung. Hanya dengan menjual rokok sahaja. Leka dan khayal bila dihisap oleh pelanggan. Setahunya banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk jadi kaya. Tapi malam ini bila dia bertemu dengan Abang Murad baru dia tahu. Dengan menjual rokok yang memudaratkan kesihatan pun boleh hidup mewah.
Tapi betul jugak. Tengok Abang Murad. Orangnya bergaya dengan kereta mewah lagi. Aku pun nak hidup senang macam dia jugak. Bolehlah menanggung ibu dan adik-beradik. Tambahan pula selepas ibu dan ayah berpisah. Kesusahan. Itulah yang ditanggung oleh aku sekeluarga. Takkan selama-lamanya aku sekeluarga nak hidup susah. Aku sekeluarga nak jugak macam orang lain. Yang hidup senang! Ucap hati kecil Halim.

Begitulah dunia remaja. Mudah terpengaruh dengan kemewahan yang disogokkan manusia yang bernama Abang Murad. Yang sebenarnya mempunyai muslihat untuk kepentingan diri sendiri. Dengan menjadikan Halim dan Rosman sebagai alat dan mengajar perbuatan yang tidak bermoral dengan menghisap rokok. Sedangkan mereka masih bersekolah lagi.

Sepatutnya Abang Murad memberikan semangat dan dorongan kepada Halim dan Rosman. Agar belajar bersungguh-sungguh dan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM. Seterusnya masuk universiti. Menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Usia remaja yang dilalui oleh Halim dan Rosman sekarang adalah diibaratkan sehelai daun hijau.

Remaja yang memiliki akhlak dan budi pekerti yang mulia adalah harta yang paling utama. Sebagai tiang utama negara di masa depan. Sesuatu generasi tidak kekal lama. Akan bertukar ganti apabila tiba masanya. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada negara apabila remaja yang disandarkan harapan untuk memacu pembangunan rosak akhlak dan mengalami keruntuhan moral. Sudah pasti negara menjadi mundur dan lemah. Tidak mampu bersaing. Dengan negara-negara maju lain di dunia ini.

Hari semakin memasuki dinihari. Di sebalik suasana yang sunyi bersama kesepian alam yang gelap Halim terus memikirkan kemewahan hidup hasil penjualan rokok Abang Murad. Dia lalu menyimpan cita-cita untuk mempunyai kemewahan hidup macam Abang Murad yang tentunya bukan sahaja berkereta mewah dan besar. Malahan juga ada wang yang banyak dan rumah besar lagi cantik. Melalui wang yang bertimbun tak terkira banyaknya Abang Murad boleh membeli segala-galanya dalam dunia ini.

Kalau boleh itulah yang dimahukannya. Itulah yang diimpikannya dalam hidup ini. Terus berlegar ligat dalam kotak fikirannya. Halim tersenyum sendirian. Apabila membayangkan apa yang diimpikannya tercapai. Lama-kelamaan matanya terasa berat. Akhirnya Halim terlelap.
Keesokan pagi Halim datang lambat ke sekolah kerana bangun lewat tak seperti biasa. Ini kerana dia keluar dengan Rosman semalam. Pulang dahlah lambat kemudian melayan lamunan. Untuk dapat duit lebih bekerja dengan Abang Murad. Yang dianggapnya mudah. Hanya mengedarkan sahaja rokok kepada pelanggan. Tidak diketahui apa keistimewaannya. Sehingga mendapat keuntungan yang banyak.

Biasanya dia bangun awal bersama dengan ibu dan adik-adiknya. Halim Ibunya bekerja dengan sebuah syarikat pencuci dan terpaksa keluar awal kerana jarak antara jabatan kerajaan tempat syarikat ibunya mendapat tender dengan rumahnya adalah jauh. adik-adiknya sekolah Rosman Manakala adik-beradiknya pula masih lagi bersekolah rendah dan menengah. Hanya dengan menaiki bas sahaja dia, ibunya dan adik-adiknya pergi ke sekolah dan tempat kerja.

Dahulu senang dengan menaiki kereta. Tapi bila ayah dan ibunya dah berpisah dia dan adik-adiknya benar-benar terasa susah. Bas di kawasan perumahannya tidak menentu. Ada masa cepat da nada masa lewat. Tambahan pula macam ibunya yang bekerja dengan syarikat. Selalu datang lewat kena potong gaji atau silap-silap kena buang kerja.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi nanti kalau ibunya dibuang kerja. Siapa yang akan menyara keluarganya. Nafkah yang diberi oleh ayahnya hasil daripada keputusan perbicaraan mahkamah syariah sebenarnya tidak mencukupi persekolahan dia dan adik-adiknya. Halim terasa akan perubahan ibunya sejak akhir-akhir ini. Mungkin fikirannya terganggu kerana memikirkan macam-macam setelah bercerai dengan ayahnya.

Selalunya ibunya akan berleter apabila dia dan adik-adiknya lambat bangun. Tapi ibunya seperti tidak ambil peduli pada dia dan adik-adiknya. Sama ada pergi sekolah atau tidak. Ibunya hanya menyediakan sarapan. Kemudian seperti biasa keluar rumah pergi ke tempat kerja. Jelas nampak ibunya hilang perhatian terhadap dia dan adik-adiknya. Tak seperti selalu ibunya sentiasa mengingatkan dia dan adik-adiknya supaya mementingkan pelajaran sebagai penentu masa depan. Seperti diingatkan oleh Cikgu Faridah. Agar terbela nasib keluarganya yang tidak menentu dan kehilangan haluan. Umpama kapal yang terumbang-ambing dipukul gelombang ganas di tengah lautan. Angkara perpisahan ayah dan ibunya.

Kalau diikutkan dia malas hendak pergi ke sekolah kerana dah lewat. Tapi memandangkan takut ketinggalan dalam pelajaran dia pergi juga. Setibanya di sekolah dia telah ditahan oleh pengawas dan dibawa berjumpa dengan Cikgu Ibrahim. Guru disiplin yang terkenal dengan sikap tegas dan garangnya. Sebut sahaja Cikgu Ibrahim semua pelajar di sekolah ini kecut dan takut.

Teruk dia kena marah dengan Cikgu Ibrahim. Dia hanya mampu tunduk dan diam saja. Salah aku. Terima ajelah! Kata hati kecilnya. Halim diingatkan oleh Cikgu Ibrahim agar mematuhi peraturan sekolah. Datang awal. Bukannya datang lewat. Sekiranya dia masih lagi datang lewat ke sekolah maka tindakan tegas akan diambil. Bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukannya. Amaran pertama dan terkahir nampaknya. Dia berjanji pada Cikgu Ibrahim. Tidak akan datang lewat lagi ke sekolah dan menjadi pelajar yang baik. Sentiasa mematuhi peraturan dan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM. Itulah azamnya. Ditanamkannya dengan kuat bersama semangat yang membara dalam jiwanya umpama api yang terbakar dan menyala. Setelah dinasihatkan oleh Cikgu Ibrahim.

Halim kemudiannya dibenarkan masuk ke kelas. Sampai sahaja di kelas Cikgu Faridah kelihatan sedang mengajar. Dia terhenti sebaik-baik sahaja melihat Halim di pintu kelas dan menyuruhnya masuk. Halim lalu mengatur langkah dan menuju ke arah Cikgu Faridah. Yang sedang berdiri di depan kelas.

Sebagai tanda hormat Halim memberi salam pada Cikgu Faridah sambil menundukkan kepala. Salam pantas dijawab oleh Cikgu Faridah. Muka Halim dipandangnya dengan penuh rasa kecewa dan marah. Pandangan semua pelajar tertumpu ke arah Cikgu Faridah dan Halim. Macam Cikgu Ibrahim tadi. Sekali lagi dia kena marah. Sebab datang lewat dan mengganggu kawan-kawannya yang sedang belajar. Dia hanya mampu menundukkan kepala dan berasa malu kerana kena marah depan kawan-kawannya.

Cikgu Faridah juga bertanya pada Halim. Mana perginya Rosman. Kawan baiknya. Kenapa dia tak datang hari ni? Dia menjawab tak tahu. Walhal dia keluar bersama dengan Rosman malam tadi dan lambat balik. Dah tentulah hari ini dia lewat bangun dan tak nak pergi sekolah. Demi persahabatan yang diakrabkan dengan Rosman dilakukannya semua itu. Sedangkan dia tidak seharusnya memberikan jawapan seumpama itu kerana melakukan pembohongan dengan Cikgu Faridah. Halim kemudiannya memohon maaf dan melafazkan janji pada Cikgu Faridah seperti yang dilakukannya pada Cikgu Ibrahim.

Serik betul rasanya. Ini semua kau punya pasal, Rosman. Ajak aku keluar malam. Konon nak cari ketenangan. Balik dahlah lambat. Besok pagi datang sekolah lewat. Sebab lambat bangun. Apalagi kena marahlah dengan Cikgu Ibrahim dan Cikgu Faridah. Hei! Aku ingat bila kau ajak keluar fikiran aku lapang. Tapi makin kusut dan berserabut dibuatnya! Hati kecil Halim berbisik. Malam itu Rosman datang ke rumahnya dan mengajak keluar.

"Kau pergilah seorang. Aku malaslah nak keluar. Aku nak baca buku. Peperiksaan dah tak lama lagi," Halim bersuara.

"Hei! Sejak bila pulak ni. Dah pandai cerita pasal buku. Pasal peperiksaan," tambah Rosman pula sebaliknya.

"Yalah! Kan ke lebih baik kita duduk rumah. Kalau kita keluar dah tentu balik lewat. Besok kita nak sekolah. Kalau datang lambat dah tentu kita kena marah dengan Cikgu Ibrahim dan Cikgu Faridah. Lagipun bila kita nak ulangkaji pelajaran. Kalau asyik keluar aje." Halim mengingatkan kawan baiknya itu.

"Wah! Sejak bila pulak kau pandai bercakap pasal pelajaran ni. Selalunya kau merungut dan mengeluh. Pasal jiwa kau tak berasa tenteram. Sebab ayah dan ibu kau bercerai. Bila aku ajak kau keluar kau ikut saja. Untuk mencari ketenangan. Tapi malam ni bila aku ajak kau tak nak. Lepas tu kau nasihatkan aku pulak. Pelajaranlah peperiksaanlah. Kenapa ni, Halim?" ucap Rosman pada Halim dengan rasa penuh hairan. Sambil memandang dalam-dalam wajah sahabat karibnya itu.

"Aku nasihatkan termasuk diri aku sendiri. Kita masih bersekolah lagi. Tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Bukannya membuang masa. Dengan perkara yang tak berfaedah," balas Halim pula.

"Dah! Dah!" bantah Rosman dengan sekeras-kerasnya.

"Rosman …!" Halim berkata dalam nada suara yang lembut. Cuba memujuk kawannya itu. Supaya berubah menjadi pelajar yang baik dan memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM. Sepertimana janjinya pada Cikgu Ibrahim dan Cikgu Faridah.

"Sudah! Sudah, Halim! Aku tak mahu dengar lagi. Apa yang kau cakap. Aku nak pergi!" Dengan pantas Rosman memotong dan beredar berlalu pergi dari rumah Halim. Enjin motosikal lalu dihidupkannya setelah mengenakan topi keledar di kepala.

"Rosman …! Tunggu, Rosman …!" tahan Halim. Namun tidak diendahkan oleh Rosman dan lama-kelamaan bayangan Rosman bersama dengan motosikalnya hilang di pandangan mata Halim. Di sebalik kegelapan malam yang disinari cahaya tiang lampu di kawasan perumahan teres itu.

Besok paginya apabila dia ke sekolah heboh dengan berita Rosman kena tangkap dengan Abang Murad yang rupanya seorang pengedar dadah. Abang Murad memang sudah lama dikehendaki polis kerana kegiatannya yang boleh meruntuhkan negara. Dia cuba untuk memperalatkan Rosman dengan mengedarkan dadah di kalangan remaja. Rokok yang dihisap oleh Rosman sebenarnya telah dicampur dengan dadah.

Syukur alhamdulillah. Itulah yang diucapkan oleh Halim. Mujurlah dia tidak terlibat sama dalam kegiatan yang tidak bermoral itu. Bukan sahaja yang boleh meruntuhkan negara malahan agama, bangsa dan negara. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan terjadi pada nasibnya dan jawapan yang pasti bertambah malanglah. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga dan keluarga sudah pasti mendapat malu atas perbuatan buruknya itu.

Terima kasih Cikgu Ibrahim, Cikgu Faridah. Kerana telah menyedarkan dan memberi semangat pada saya. Lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan seterusnya masuk universiti! Ucap di hati kecilnya dengan penuh keazaman. Halim lantas tersedar daripada lamunannya yang jauh melayang itu. Kini hasil daripada usaha gigihnya dia telah berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Dalam hidup ini barulah dia sedar nasihat amat berguna untuk berjaya dan menghadapi segala cabaran dan rintangan dengan tabah.

Sentiasa mengingatkan Tuhan Yang Esa dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Persahabatan yang sejati yang belum tentu dapat membina ke arah kebaikannya dan adakalanya menyimpang jauh pada keburukan kerana terlalu menurutkan kata hati. Tambahan dalam usia muda dan Halim merenung sejauh-jauhnya catatan kehidupan yang telah dilaluinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience