BAB 1

Drama Completed 192

SALTINA

Kesepian …. Entah mengapa? Menjenguk di hatinya dengan tiba-tiba. Sambil memeluk tubuh dia melontarkan pandangan sedalam-dalamnya. Ke arah laut yang tenang membiru. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa terasa nyaman dan dingin. Menyapu seluruh pangkalan.

Sekali-sekala dia dikejutkan dengan suara deruan ombak membelah pantai. Gadis yang bernama Saltina itu mengerti akan laut. Sama seperti kehidupan manusia di dunia yang sementara ini. Pasang surut silih berganti. Ada ketikanya laut tenang walau berombak tanpa putus. Adakalanya laut bergelora ganas sehingga menenggelamkan.

Kehidupan. Apabila berbicara tentangnya macam laut juga. Penuh dengan warna-warna suka duka. Saltina menarik nafas panjang apabila mengingatkan semua itu. Dengan tiba-tiba sahaja dia teringat akan kata-kata pujangga. Apabila burung-burung telah pulang ke sarang maka matahari bertukar warna buah pinang masak menandakan senja melabuhkan tirainya menyambut malam. Segala suka duka yang dilayari hari ini dihimpunkan menjadi pengalaman untuk meneruskan kehidupan pada hari esok.
Dia akur dengan kenyataan. Sebagai seorang wanita insan yang lemah dan pasrah dengan takdir yang ditentukan Tuhan. Seperti wanita lain yang dipinjamkan Tuhan sementara di dunia ini dia juga punya hati dan perasaan. Mahu dibelai dengan kasih sayang dari seorang yang bernama lelaki. Macam Adam dan Hawa. Tapi …. Entahlah dia berasa lemah apabila berhadapan dengan hakikat itu.

Dari raut wajah Saltina yang halus dan cantik itu jelas terpancar harapan. Jauh di sudut hatinya tak siapa yang tahu. Dia kehausan umpama musafir yang terdampar di padang pasir terik dahagakan air. Itulah diibaratkan pada dirinya. Serentak dengan itu juga tercermin di laut biru kisah-kisah silam yang pernah dialaminya. Ya! Angguk di hati kecilnya. Inilah yang dinamakan kehidupan. Selagi diizinkan Tuhan bernafas dugaan dan rintangan harus ditempuhi. Rela atau tidak sudah ditentukan Tuhan. Kalau tidak bukan hidup namanya.

“Assalamualaikum!” Kedengaran suara memberi salam. Lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti. Dia berpaling ke arah suara itu. Azman. Tercegat berdiri memandang wajahnya.

“Waalaikumsalam! Awak rupanya, Azman. Ingatkan siapa tadi!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Maafkan saya. Buat apa kat sini?” tanya Azman.

“Oh, tak mengapa!” Saltina sebaliknya menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala. Senyuman manis terukir di wajahnya.

“Saja tengok laut,” katanya lagi.

“Saltina suka pada laut?” Azman menyoal sambil mengangkat kepala memandang wajahnya.

“Ya, Azman! Bila tengok laut jiwa saya damai dan tenteram,” ucapnya pada Azman.

“Walaupun adakalanya bergelombang. Saltina tak takut,” Azman menambah.

“Itu sudah permainan laut. Nelayan yang mencari rezeki di laut macam awak tentu lebih arif, bukan,” balasnya pula.

“Benar kata awak tu. Sejak dari kecil hingga sekarang laut tidak dapat dipisahkan dalam hidup saya. Laut banyak mengajar saya erti kesabaran dan ketabahan dalam hidup ini.” Kata-kata yang keluar daripada mulut Azman.
Saltina lantas diam. Sabar dan tabah apabila mengalami kegagalan dalam hidup. Tidak tercapai apa yang diimpikan dan dicita-citakan. Setiap yang Tuhan berikan ada hikmahnya. Dia berasakan seperti mendapat semangat baru. Apabila mendengar kata-kata Azman itu. Anak jati perkampungan nelayan ini. Kuala Jerlang namanya.

Hari-hari silih berganti. Datang dan pergi tak terasa. Terlalu cepat dirasakan tanpa menunggu dan menghulurkan salam. Ibarat kapal yang berlalu pergi meninggalkan pelabuhan. Kerinduan …. Kesepian …. Kesunyian …. Itulah antara yang bergurindam di hati seorang gadis bernama Saltina. Dia sendiri tidak tahu. Dia sendiri tidak pasti. Mengapa dia berasa amat rindu, sepi dan sunyi sekali.

Cuaca nampak cerah hari ini. Di kaki langit matahari bersinar indah. Memancarkan cahayanya ke seluruh alam. Bayu yang datang dari arah laut berhembus perlahan dan nyaman. Dingin. Jelas terasa menyapu kulit gadis yang gebu dan halus itu. Pohon-pohon nyiur melambai-lambai. Mengikut rentak tiupan bayu laut.

“Baru balik, Azman?” tanya Pak Sidek Ketua Kampung Kuala Jerlang.

“Ya, tok!” angguk Azman.
“Banyak dapat ikan?” soalnya lagi.

“Alhamdulillah, tok. Ada jugak rezeki hari ni. Tok dari mana ni?” Azman sebaliknya menjawab.

“Dari balai raya. Oh ya! Sebelum aku lupa besok kita ada mesyuarat,” kata Pak Sidek pula.

“Mesyuarat? Mesyuarat apa, tok?” ucapnya.

“Mesyuarat pemilihan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan yang baru. Aku harap kau dapat datang petang besok pukul 2.00 di balai raya,” terang Pak Sidek lagi.

“Insya-Allah, tok,” Azman membalas.

“Baiklah, Azman! Aku minta diri dulu. Kita jumpa petang besok. Assalamualaikum!” dia memberi salam sambil berjabat tangan dengan Azman.

“Waalaikumsalam!” jawab Azman.

Sayup-sayup kedengaran suara ombak menghempas pantai. Buih-buih memutih berapungan membasahi gigian. Saltina menarik nafas panjang. Laut kelihatan tenang membiru. Dia mengamatinya dengan dalam-dalam. Ada waktunya dia berasakan hidup ini seperti meniti kerikil-kerikil tajam. Perlu dilalui dengan tabah dan kuat. Dia sendiri tidak pasti. Bilakah akan berakhir penantiannya selama ini. Bilakah sinar cahaya akan menerangi kehidupannya. Yang selama ini kehidupannya diselubungi dengan kegelapan.

“Saltina …!” tegur Azman lembut.

“Azman! Tak sangka kita berjumpa lagi di sini. Awak dari mana ni?” ujarnya.

“Dari mana lagi. Kalau bukan dari laut. Cari rezeki. Jauh nampaknya awak mengelamun,” Azman bersuara.

“Awak kata saya mengelamun?” katanya sambil ketawa kecil.

“Yalah!” Azman membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya tengok awak tak berkelip-kelip tengok laut. Macam sedang memikirkan sesuatu,” sambungnya lagi.
“Tak ada apa-apa yang saya fikirkan, Azman. Cuma memikirkan tentang keindahan laut ciptaan Tuhan,” tambah Saltina.

“Baiklah, Saltina! Saya pergi dulu. Sebelum tu saya minta maaf kalau asyik mengganggu awak yang suka tengok laut,” dia berkata.

“Minta maaf? Awak tak ada salah dengan saya. Kenapa perlu minta maaf,” Saltina membalas.

“Yalah! Manalah tahu kan mengganggu apa yang awak fikirkan tentang laut,” jelasnya pada Saltina.

“Sudahlah, Azman. Mulai hari ni saya minta awak jangan lagi sebut minta maaf pada saya setiap kali kita berjumpa. Rimas saya. Boleh?” Dia mengeluarkan nada suara yang bunyinya bergurau.

“Yalah! Saya minta diri dulu. Kita jumpa lagi!” kata Azman. Dia sebaliknya membalas hanya dengan mengangguk-anggukkan kepala sahaja.

Saltina memerhatikan pemuda yang bernama Azman itu berlalu pergi sehingga hilang dari pandangan mata. Dia kembali semula memandang laut biru. Angin yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba bertukar rentak menjadi kencang. Rambut Saltina yang panjang hitam ikal mayang sehingga mencecah paras bahu itu mengerbang apabila ditiup angin.

Malam. Kedinginan terasa membungkus seluruh suasana. Angin bertiup perlahan. Desiran ombak menghempas pantai. Di kaki langit hitam bulan dan bintang indah berkerlipan. Melalui jendela yang terbuka luas Saltina melemparkan pandangan ke arah laut yang tidak kelihatan. Ditutupi kegelapan malam. Hanya sayup-sayup kedengaran bunyi suara ombak membelah pantai.

Perlahan-lahan dia menarik nafas panjang. Entah kenapa. Tiba-tiba dia teringat semua lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya. Tapi malangnya mereka ibarat setitis embun pagi. Yang membasahi dedaunan hijau cuma seketika hilang apabila terbit matahari. Dia cuba melupakan kisah-kisah silam pahit yang pernah dialaminya. Namun gagal jua. Semakin dia cuba melupakannya semakin itu juga kuat menendang-nendang di perasaannya. Yang dibalut sepi tanpa kehadiran seorang lelaki di sisinya.

Dia tetap pasrah dan redha. Dengan segala ketentuan Tuhan terhadap dirinya. Manusia hanya mampu merancang. Tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jodoh pertemuan adalah di tangan Tuhan. Memang pedih rasanya. Seperti ditikam sembilu tajam apabila cinta terputus di tengah jalan. Terpaksa berpisah dengan orang yang disayangi. Tapi sudah suratan takdir yang terpaksa diterima.

“Macam mana hubungan kau dengan Norman?” Rozie menanya. Sahabat baiknya sejak dari sekolah lagi.

Saltina diam. Dia sebaliknya melontarkan pandangan ke arah luar melalui jendela kaca. Rozie berasa hairan melihat gelagatnya itu. Macam sesuatu yang tak kena. Apabila dia menyebut nama Norman.

Pelayan muncul sambil membawa minuman yang dipesan. Saltina memesan minuman kegemarannya. Air teh ‘o’ ais limau. Manakala Rozie pula memesan air fresh orange.

“Terima kasih!” sahut Rozie.

“Sama-sama!” jawab pelayan sambil mengangguk-anggukkan kepala. Lelaki berusia dalam lingkungan awal 20-an. Kemudian pantas berlalu pergi dari situ. Saltina dan Rozie lalu meneguk minuman.

“Hei, kenapa dengan kau ni? Aku tanya. Kau dengan Norman macam mana?” ulang Rozie. Sebaik-baik sahaja melepaskan straw minuman daripada bibir.

Suasana di restoran nampak lengang. Cuma nampak dua hingga tiga orang pelanggan sahaja. Irama muzik sentimental yang kedengaran sungguh menggetarkan jiwa. Meja yang berbentuk empat segi dilitupi dengan kain berwarna merah jambu.

“Macam mana apa?” Saltina sebaliknya pura-pura tidak mengerti. Dengan pertanyaan kawannya itu.

“Yalah! Maksud aku kau dengan Norman bila nak kahwin,” Rozie dengan cepat menjawab.

“Kau nak tahu jawapannya?” dia mengangkat kepala memandang muka Rozie.

“Bila?” dia bagaikan tidak sabar-sabar menanti jawapan yang akan keluar daripada mulut Saltina.

“Entahlah …,” Saltina merengus.
“Ke situ pulak kau pergi. Aku tanya betul-betul. Bukan main-main. Entah. Jawapan kau,” dia bersuara dalam nada tidak puas hati. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Saltina itu.

“Puashati kau?” soal Saltina. Sambil memandang tepat muka Rozie.

“Apa masalah kau dengan Norman ni?” tanya Rozie pula sebaliknya.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit Saltina. Dia melihat nombor. Norman. Dia tidak menjawab. Sebaliknya membiarkan sahaja telefon bimbit itu berbunyi.

“Telefon kau berbunyi tu. Angkatlah!” Rozie berkata.

“Biarkanlah. Malaslah aku nak angkat,” dia menambah.

“Angkatlah. Manalah tahu kalau ada hal penting,” desak Rozie lagi. Telefon bimbit Saltina berhenti daripada berbunyi.

“Siapa tu? Sampai kau tak nak angkat,” ucap Rozie pada Saltina.

“Entah!” balas Saltina sambil mengangkat kedua-dua belah bahu.

“Aku pun tak kenal. Entah-entah saja nak mengacau aku. Itu yang aku malas nak jawab,” dia berdalih.

Bersama kepekatan malam dan bunyi deruan ombak yang tak putus-putus menghempas pantai semakin menghangat membuai ingatannya terhadap kenangan silam yang pernah dialaminya dahulu. Serentak dengan itu juga dia teringat akan kata-kata yang menyebutkan bahawa apa yang telah terjadi ibarat air yang mengalir di sungai. Biarkanlah ia berlalu pergi. Tiada gunanya ia dikenangkan kembali. Kerana ia telah terjadi dan tak akan berlaku lagi.

Petang. Cuaca kelihatan redup sahaja sejak dari pagi tadi. Desiran ombak tenang menghempas pantai. Bayu yang datang dari arah laut berhembus perlahan dan nyaman. Menyapu seluruh Pangkalan Kuala Jerlang. Sebuah perkampungan nelayan yang nampak tenang dan damai.

Dari jauh kelihatan Mak Bedah ibu Azman sedang menyiang ikan untuk dibuat ikan kering. Sekali-sekala dia mendongakkan kepala ke langit. Matahari tidak kelihatan. Walaupun cuaca nampak redup tapi hujan tidak turun. Sekalipun dibawa angin yang adakalanya bertiup kencang.

Pohon-pohon nyiur yang tumbuh di tepi-tepi pantai mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Diusap angin yang datang dari arah laut. Mengusik jiwa apabila didengar. Hati yang dilanda sepi jadi terhibur. Bagi penduduk Kuala Jerlang laut amat dekat dengan kehidupan mereka. Begitu juga dengan Mak Bedah dan Azman. Bagi pemuda yang seusia dengan Azman lebih suka mencari pekerjaan mewah di bandar. Tetapi tidak bagi Azman yang memilih untuk menjadi nelayan. Terpaksa menyabung nyawa di tengah lautan untuk mencari rezeki.

Sedang Mak Bedah asyik menyiang ikan dia dikejutkan dengan bunyi suara wanita muda memberi salam. Dia lantas terhenti daripada menyiang ikan dan menjawab salam itu. Cikgu Norain rupanya. Guru muda yang baru sahaja keluar maktab dan ditempatkan di Kuala Jerlang.

“Cikgu rupanya. Jemputlah naik ke rumah,” pelawa Mak Bedah.

“Tak payahlah panggil cikgu. Panggil aje Norain. Apa khabar, Mak Bedah?” ucapnya sambil hormat bersalaman mencium tangan Mak Bedah. Seperti ibunya sendiri. Sekurang-kurangnya terubat rasa rindunya terhadap ibunya di kampung.

“Alhamdulillah, baik. Marilah kita naik ke rumah,” ajak Mak Bedah lagi.

“Tak apalah, Mak Bedah. Di bawah ni ajelah. Mak Bedah siang ikan ni buat ikan kering ke?” tanyanya lagi yang ayu bertudung.

“Ya, Norain!” Mak Bedah sebaliknya menjawab. Sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Dengan menjual ikan kering nilah Mak Bedah menampung hidup bersama dengan anak lelaki Mak Bedah,” terangnya pada Norain.

“Pak cik mana, Mak Bedah?” Pertanyaan yang pantas keluar daripada mulut Norain.

Wajah tua Mak Bedah dengan tiba-tiba bertukar menjadi sugul dan sayu. Serentak dengan itu juga angin bertiup lesu dan tidak berdaya. Pohon-pohon kelapa juga tidak bergoyangan. Seolah-olah mengerti dengan perasaan yang melanda jiwa Mak Bedah. Apabila guru muda itu mengajukan soalan mengenai suaminya.
“Dia dah lama tiada,” dia menjawab tenang. Menyembunyikan perasaan sedihnya daripada Norain.

“Maafkan saya, Mak Bedah,” Norain menambah.

Dalam cuaca redup Saltina menyusuri pantai. Dia benar-benar berasa damai dan tenang di sini. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.

“Hello! Ya, Rohana. Besok saya akan balik semula ke Kuala Lumpur. Apa? Dokumen? Baik. Bila saya balik nanti saya akan tandatangan. OK. Bye!” dia menjawab panggilan itu.

Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Rasanya dia baru saja mula bercuti di rumah peranginan Kuala Jerlang. Esok dia akan kembali semula ke Kuala Lumpur. Meneruskan tugas di syarikat. Azman kelihatan sedang melemparkan pandangan ke arah laut biru dari pangkalan. Entah kenapa. Dengan tiba-tiba sahaja terdetik hati Saltina untuk mendekati Azman.

“Jauh termenung nampak. Macam memikirkan sesuatu,” tegur Saltina.

Dia segera berpaling ke arah Saltina. Suara ombak menghempas pantai jelas kedengaran memecah suasana yang hening. Cuaca masih lagi kelihatan redup meskipun sudah memasuki lewat petang. Azman menarik nafas panjang dan tersenyum kecil. Saltina memerhatikan dalam-dalam gelagatnya itu.

“Macam awak juga. Memikirkan keindahan laut biru yang menghiasi alam semesta ini,” jelasnya pada Saltina.

“Cuti saya dah habis. Besok saya akan kembali semula ke Kuala Lumpur.” Nada suara Saltina tenggelam bersama deruan ombak yang tak putus-putus menghempas pantai.

“Bila awak nak kembali ke sini lagi?” dia menyoal Saltina.

“Sebenarnya berat kaki saya untuk meninggalkan Kuala Jerlang. Penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Tapi banyak tugas syarikat yang perlu saya selesaikan,” terang Saltina pada Azman.

Deruan angin yang lemah gemalai terasa mengepung seluruh Kuala Jerlang. Gadis yang bernama Saltina terpaksa meninggalkan perkampungan nelayan ini esok. Kembali semula ke Kuala Lumpur melaksanakan tugas syarikat yang telah lama ditinggalkan kerana bercuti di Kuala Jerlang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience