BAB 10

Drama Completed 192

ANAK

“Kau sudah buat keputusan?”

“Sudah, mak!” Jamil menganggukkan kepala.

“Zuraidah akan tetap menjadi isteri saya,” jelasnya lagi.

“Bagaimana pula dengan Lina sepupu kau?” soal ibunya lagi.

“Tidak sama sekali,” dia bersuara perlahan. Wajah ibunya lantas berubah.

“Baiklah!” Dia terpaksa akur dengan keputusan anaknya itu. Dia berasa kecewa kerana tidak dapat berbisan dengan Datuk Ibrahim seorang usahawan terkenal yang juga abang sulungnya.

“Tapi ingat, kalau apa-apa terjadi kau jangan menyesal!” Ibunya memberi amaran. Jelas sekali kata-katanya itu amat bermakna.

Jam di dinding tepat menunjukkan pukul 5:00 petang. Kakitangan yang lain telah pulang. Pejabat menjadi lengang. Tapi tidak dengan Jamil. Dia masih lagi terpengap sendirian sendirian dalam kamarnya. Tubuh tegap itu disandarkan pada kerusi yang eksklusif. Sambil berpusing ke kiri dan kanan. Mengutip kisah-kisah silam.

Oh, Tuhan sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian. Umpama lautan nan luas. Pasang surut silih berganti. Kita harus kuat dan tabah menghadapi liku-liku hidup. Dengan menginsafi diri bahawa amar kerdil di sis-Nya. Hanya mampu berdoa dan berserah segala-galanya.

Kekosongan seringkali bertandang dalam hidupnya. Merindukan belaian tawa riang seorang anak sebagai penyeri rumah tangga. Kelahirannya adalah satu anugerah Tuhan.

Sayangnya Jamil gagal menggapai impian indah itu.

Namun dia tetap berdoa agar Tuhan akan memakbulkan impiannya itu. Dia terus berikhtiar. Menemui berpuluh-puluh doktor dan bidan. Tekak isterinya telah banyak menelan pil dan meminum air akar kayu. Tetapi kesannya masih belum menjadi. Dia tidak berputus asa. Tuhan itu maha adil. Dia tidak pernah menzalimi umatnya. Kesabaran adalah kunci utama pegangannya dalam menghadapi ujian ini.
Lain pula hal dengan ibunya. Dia tidak dapat menerima hakikat itu. Rasa kecewa membalut dirinya kerana masih lagi belum dapat menimang cucu.

“Jamil, lebih baik kau ceraikan saja Zuraidah!” desaknya setiap kali Jamil pulang.

“Mak …,” Jamil terkejut.

“Sampai sekarang kau belum ada anak. Entah-entah dia tu, mandul!” Gema suaranya menembusi celah-celah dinding batu yang pejal rumah banglo dua tingkat itu.

“Itu tidak boleh dijadikan alasan, mak. Tiada bukti yang menunjukkan dia mandul,” Jamil membela isterinya.

Ibunya terus mengungkit penyesalan. Dengan harapan Jamil mengubah pendirian.

“Itu la … cakap aku kau tak mahu dengar langsung. Haa! “Itulah padahnya. Kalau kau kahwin dengan Lina, dah tentu kau dapat anak!”

“Apa nak buat, mak. Dah ditakdirkan Tuhan jodoh saya dengan Zuraidah,” yakin Jamil lagi.

Ibunya telah lama ingin bermenantukan Lina. Keluarganya orang berada. Hartanya bertimbun-timbun. Alangkah bahagianya kalau Jamil berkahwin dengan Lina. Ibunya turut menumpang senang. Bak kata orang berteduh di bawah pohon yang rimbun, terasa dingin. Panas terik dapat ditepis.

Zuraidah seorang isteri yang bertanggungjawab. Kesetiaannya tak pernah dipersoalkan. Makan, minum dan pakaian Jamil sentiasa terurus. Dengan menurapkan kasih sayang, persefahaman dan bertolak ansur.

Kesepian mengintai ruang hidup Zuraidah. Kelahiran seorang anak memang dinanti. Keletahnya menjadi penghibur di kala sunyi.

Dia kelemasan dalam merealitikan kenyataan itu. Suasana dingin membelah malam. Jendela yang terbuka luas menyebabkan angin menerobos masuk dengan mudah. Mata Jamil tunak memandang wajah isterinya yang sedang dibelit kesedihan. Titis-titis air yang jernih perlahan-lahan jatuh membasahi pipinya yang gebu.
“Zuraidah …,” dia bersuara perlahan sambil mengusap air mata isterinya.

“Jangan bersedih …. Abang faham perasaan, Zuraidah. Sabarlah …,” dia terus memujuk.

Perlahan-lahan Zuraidah bersuara:
“Hidup ini terasa sepi, bang ….”

“Abang jugak begitu!” Jamil membalas dengan menganggukkan kepala. Setuju dengan pendapat itu.

“Bang …,” dia terhenti. Entah mengapa dia enggan mengeluarkan kata-kata. Mulutnya seperti ada kuasa yang mengunci rapat. Memikul masalah yang amat berat umpama seketul batu yang besar. Jamil telah pun dapat membaca. Memandang tepat wajah isterinya.

“Zuraidah, cakaplah. Apa dia?” Zuraidah akhirnya mengalah juga.

“Kita ambil sahaja anak angkat.” Dia memberi cadangan.

Jamil mengukir senyuman kecil bila mendengar kata-kata itu.
“Bukankah telah abang katakan sejak dulu lagi yang abang mahukan anak daripada benih abang sendiri. Apa Zuraidah sudah lupa?” Dia mengingatkan isterinya.

“Tapi tak salahkan, kalau kita mengambil anak angkat?”

“Memang!” Jamil mengangguk.

“Abang akan tetap menunggu juga!” ikrarnya lagi.

“Sampai bila?” soal Zuraidah. Matanya merah kerana menahan tangis.

“Selagi hayat abang masih ada.”

“Zuraidah takut abang akan jemu.” Dia cuba memerangkap. Jamil lantas membantah:
“Tidak mungkin! Hanya Zuraidah sahaja wanita yang pertama dan terakhir dalam hidup ini.”

Dia diam. Akur dengan kata-kata suaminya itu.
Jamil membelai mesra rambut Zuraidah yang panjang hitam ikal mayang hingga mencecah paras bahu. Dengan penuh kasih dan manja. Zuraidah meraih kepastian.

“Sungguh?” Bola mata mereka saling berlaga.

“Zuraidah ….” Jamil memegang erat tangan isterinya. Seolah-olah sukar melepaskan dia pergi dari sisi.

“Biar beribu bah atau ribut yang melanda namun Zuraidah tetap satu di hati abang!” Senyuman jelas terbayang pada raut wajah Zuraidah bila mendengar jawapan itu. Hatinya berasa sungguh lega. Bibit-bibit keyakinan sudah mula timbul di dalam dirinya.

Air matanya sudah tidak mengalir lagi. Rasa riang membaluti jiwanya. Biarpun menyedari sepi pasti menjelma semula pada keesokan harinya.

“Sudahlah, hari pun dah jauh malam. Mari kita masuk tidur.” Zuraidah cuma mengangguk. Dengan senang menerima ajakan suaminya. Mereka berdua bingkas menuju ke kamar.

Tiba-tiba sahaja dia teringatkan Suhaili. Bayangan wajah gadis jelita itu terdampar di ruang matanya. Lulusan universiti di bidang ekonomi. Mereka berkenalan sewaktu mengikuti kursus keusahawanan anjuran MARA di Ipoh lima tahun lalu. Adakah ini yang dinamakan rindu? Ah! Aku sudah mempunyai isteri. Tak tergamak hendak memungkiri janji setia. Bisiknya sendirian.

Jamil amat tertarik pada Suhaili. Tapi bukan maksud jatuh hati. Mempunyai perwatakan gadis timur yang lemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan-santun.

Mereka memilih sudut yang paling sunyi bebas daripada sebarang gangguan.

Belum pun panas punggung pelayan lalu menghampiri.

“Suhaili nak makan?”

“Tak! Nak minum aje. Beri saya teh ‘o’ ais limau,” katanya sambil memandang muka pelayan yang masih muda itu.

“Encik pula?”

“Serupalah!”

Pelayan pantas berlalu dari situ.

“Sehati sejiwa nampaknya!” ujar Suhaili serentak membetulkan tempat duduknya.

Jamil pura-pura tidak mengerti.

“Maksud, Suhaili?” Matanya sempat mencuri pandang pada sekuntum mawar merah yang terhias indah dalam jambangan kecil berwarna putih.

“Memilih minuman yang sama!” Dia memberi penjelasan.

“Tak salah, kan?” ulang Jamil pula.

“Benar!” Suhaili menganggukkan kepala tanda setuju dengan pendapat itu.

“Semua manusia yang hidup di muka bumi ini adalah sama di sisi Tuhan. Cuma yang membezakannya ialah perasaan takwa pada-Nya.” Jamil terpaku sejenak. Dia lantas merenung tepat wajah Suhaili. Bukan calang-calang gadis.

Jamil menganggukkan kepala.

“Begitu! Nampaknya kita sehaluan.”

“Hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Kejap di atas dan adakalanya di bawah. Oleh itu apabila berada di atas kita tidak boleh memandang hina pada orang yang berada di bawah. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menindas mereka. Sebaliknya, kita harus meringankan tangan untuk membantu mereka. Agar kemiskinan yang tumbuh dengan berleluasa dapat dibendung sepenuhnya.” Suhaili mengingatkan Jamil.

“Suhaili nampaknya seorang ahli falsafah,” dia menduga.

“Tidak juga!” dia menggelengkan kepala. Mata Jamil tidak berkelip-kelip melihat gelagatnya. Dia berasa amat taksub sekali. Bagaimana seorang graduan ekonomi kelas dua boleh peka dengan psikologi manusia?

“Membaca adalah sumber pengetahuan.”
Pelayan datang semula membawa minuman yang dipesan. Dengan penuh tertib, dia meletakkan dua gelas air teh ‘o’ ais limau di atas meja.

“Terima kasih!” ucap Jamil.

“Sama-sama!” jawabnya sambil mengukir senyuman ramah. Kemudian dia beralih ke meja sebelah untuk mengambil pesanan dua orang pelanggan wanita yang baru masuk ke dalam restoran. Jamil meliriki wajah Suhaili.

“Silakan!”

“Terima kasih!” balasnya dengan rasa senang.

Mereka sama-sama menyedut minuman. Tekak terasa dingin bila air melepasi kerongkong.

“Selalunya bahan bacaan yang macam mana Suhaili pilih?” Lagaknya seperti seorang pemberita menemuramah seorang tokoh politik tanah air yang terkenal.

“Macam-macam. Tapi yang menjadi pilihan ialah buku yang boleh membentuk daya intelektual yang kuat. Begitu juga dengan media massa.”

“Skop yang diminati?” soal Jamil selanjutnya.

“Politik dalam dan luar negara. Ekonomi dan sosial.”

Jamil kemudian mengalih kepada topik yang lain pula.

“Suhaili biasa minum di tempat begini?” Dia ingin memerangkap Suhaili. Dia tidak boleh menilai kulit sahaja. Isi juga perlu.

Suhaili disapa kehairanan bila mendengarnya.

“Kenapa?” ujarnya sambil mengangkat muka.

“Suhaili anak Datuk. Sudah tentulah tempat-tempat yang eksklusif menjadi pilihan seperti coffee house dan hotel,” terang Jamil lagi. Sisa-sisa minuman yang masih tinggal dihabiskannya.

Dia tertawa kecil.

“Jamil silap,” dia menjawab spontan.

“Mengapa pulak?” Dia menarik kerusi ke depan sedikit. Duduk bertentangan dengan Suhaili.

“Kekayaan dan kemewahan belum tentu dapat membahagiakan hidup.” Dia melekatkan straw minuman pada bibir yang merah bak delima. Setelah menyedut sekali lalu dilepaskannya semula.

“Makna itu terlalu dalam.”

“Ya, memang!” angguk. Terhenti sejenak. Jamil cuba menguraikan tafsiran itu dengan lebih lanjut lagi. Fikirannya berputar ligat.

Dari raut wajah Suhaili maksud itu sudah pun terbayang.

“Terasa amat bosan sekali bila hidup dipenuhi dengan harta kekayaan yang bertimbun-timbun.”

“Eh, mengapa pulak? Sedangkan orang lain berlumba-lumba mengejarnya sampaikan lalai dengan akhirat. Pelik?”

“Saya macam rasa terkongkong tinggal di dalam rumah yang besar.”

“Jadi?”

“Saya ingin merasa susah dan belajar hidup berdikari.” Jamil diam.

Dia hanya memandang wajah Suhaili. Kata-kata itu memang ada kebenaran yang tidak boleh dinafikan lagi. Dia harus menerima bahawa semua manusia yang tinggal di atas muka bumi ini tiada jurang perbezaannya antara kaya dan miskin.

“Kadangkala saya alpa.” Tiba-tiba sahaja pengakuan itu terkeluar daripada mulutnya. Secepat kilat Suhaili mencelah:
“Sehinggakan lupa asal-usul.” Sekali lagi Jamil terpegun.

“Zahirnya manusia memang bersifat lemah.” Dia cuba melindungi kelemahan diri yang amat ketara.

“Jamil, maafkan saya kalau keterlaluan.”

“Oh, tidak mengapa. Kebenaran seharusnya ditegakkan oleh setiap manusia dengan akal dan fikiran.”

“Jamil tentu ada matlamat dalam hidup ini.”

Inilah belenggu persoalan yang seringkali dihadapinya.

“Ya!” mengangguk.

“Anak!” ringkas.

“Alangkah indahnya impian itu kalau dapat diwarnakan.” Sungguh hebat wanita yang bernama Suhaili ini. Dapat membaca isi hatiku.

“Ibarat rama-rama yang berterbangan mengelilingi bingkai lukisan.”

“Isteri Jamil tidak berasa sepi bila ditinggalkan?” Dia meluahkan rasa simpati. Jamil menarik nafas panjang.

“Saya tidak pernah menodai janji setia.”
“Maafkan saya.” Gayanya ingin tahu sesuatu. Jamil telah pun dapat membaca gerak-geri yang ditunjukkan oleh Suhaili itu.

“Kenapa?” Jamil meninggikan muka sedikit.

“Ini menyentuh hal peribadi,” dia berterus-terang.

“Tidak mengapa!” Jamil tidak keberatan untuk menjawab.

Suhaili serba salah. Tapi untuk menyelami isi hati Jamil apa salahnya.

“Jamil tak mahu kahwin lagi?” Pertanyaan yang terapung di benaknya.

“Tidak sama sekali! Dia tetap menjadi isteri saya hingga ke hujung dunia,” akuinya lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience