BAB 4

Drama Completed 192

TOK MAN

Pagi masih muda lagi. Matahari belum kelihatan di kaki langit. Rasa kedinginan jelas terasa. Membungkus suasana yang hening. Mungkin kesan daripada hujan lebat yang turun malam tadi. Dekat subuh baru berhenti.

Pak Lokman yang masih lagi berketayap, berbaju Melayu dan berkain pelikat duduk di atas kerusi di ruang tamu rumah sejak pulang dari surau menunaikan solat Subuh. Dari raut wajahnya yang tua itu jelas kelihatan sedang memikirkan sesuatu. Sambil melemparkan pandangan ke arah bukit-bukau menghijau. Dari jauh kelihatan melalui jendela yang terbuka luas.

“Apa? Surau tu nak dirobohkan?” Pak Lokman berasa sungguh terkejut. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Zainal seorang kontraktor.

“Ya!” Zainal sebaliknya pantas menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Pak Lokman kan tahu. Surau tu dah tua. Eloklah diganti baru,” sambung Zainal lagi.

Dengan tiba-tiba sahaja rasa sedih dan tidak senang dengan penjelasan Zainal itu menyelubungi jiwanya. Wajah muda Zainal direnungnya dalam-dalam.

“Kalau surau tu dirobohkan cucu-cicit aku termasuk anak-anak kau tak akan dapat melihat lagi warisan bersejarah di kampung ni ….” Nada suara Pak Lokman berbunyi tenang dan perlahan.

Bagi Zainal kontraktor yang memburu keuntungan tanpa memikirkan semasak-masaknya akan kata-kata dari seorang tua seperti Pak Lokman betapa pentingnya menjaga dan memelihara warisan bersejarah yang menjadi kebanggaan di kampung ini nyata satu halangan baginya. Dalam memburu kemewahan hidup. Melalui kerja-kerja pembinaan.

“Warisan bersejarah apanya, Pak Lokman? Tiang, lantai dan atap semuanya dah reput. Silap-silap angin bertiup kuat terus tumbang. Tak merbahaya ke namanya tu, Pak Lokman. Cubalah fikir!” bantah Zainal dengan sekeras-kerasnya.
Lamunan Pak Lokman memikirkan surau tua yang akan dirobohkan itu lantas terhenti dengan serta-merta. Kedengaran suara orang memberi salam. Dia bingkas bangun. Sambil menjawab dan menuju ke pintu. Untuk melihat siapa yang datang.

“Apa khabar, tok?” Amir cucunya bertanya sambil mencium tangan dan memeluknya erat.

“Alhamdulillah, baik!” Pak Lokman membalas.

“Ayah dan mak kirim salam,” kata Amir lagi.

“Waalaikumsalam. Dia orang tak balik sekali ke dengan Amir?” Pak Lokman menyoal pula.

“Tak, tok. Ayah kursus. Sekarang pulak bukan musim cuti sekolah,” Amir menjawab.

“Yalah, tu! Mari masuk!” ajak Pak Lokman.

Sementara itu Zainal berjumpa dengan Yang Berhormat Dato’ Daud.
“Ini kertas kerja pembinaan surau baru. Termasuk kos sekali, Dato’. Zainal menyerahkannya kepada Yang Berhormat Dato’ Daud. Yang duduk di atas kerusi pusing. Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh bilik.

Yang Berhormat Dato’ Daud sebaliknya diam. Sambil meneliti satu persatu helaian keras kerja yang dibuat oleh Zainal itu.

“Macam mana, Dato’? Bagus tak kertas kerja ni?” Zainal bagaikan tidak sabar-sabar lagi menyoal Yang Berhormat Dato’ Daud.

“Bagus!” Yang Berhormat Dato’ Daud mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya minta tolong sangat dengan Dato’,” Zainal sekali lagi cepat mencelah.

“Tolong apa, Zainal?” Yang Berhormat Dato’ Daud mengangkat kepala memandang muka Zainal. Duduk berhadapan dengannya.

“Surat sokongan untuk saya dapatkan projek ni,” jelas Zainal pula.
“Zainal …! Zainal …!” Yang Berhormat Dato’ Daud lalu tertawa kecil dan menggeleng-gelengkan kepala.

“Kita kan dah lama kawan baik. Sejak dari kecil lagi. Sama-sama pergi sekolah. Cuma Dato’ aje bernasib baik. Jadi orang yang terkenal,” ucap Zainal sebaliknya.

“Apa pulak kurangnya dengan awak. Seorang kontraktor yang berjaya. Banyak dapat projek mewah. Dengar cerita akan dicalonkan sebagai Ketua Bahagian,” Yang Berhormat Dato’ Daud menambah.

“Itu khabar-khabar angin aje, Dato’. Usah percaya sangat. Lagipun saya tidak akan dapat mencabar kewibawaan Dato’. Sebagai ahli politik yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di kawasan ni,” Zainal bersuara.

“Kalau tak ada angin masa kan pokok bergoyang, Zainal. Cerita ni dah tersebar luas,” celah Yang Berhormat Dato’ Daud.

“Dato’, saya datang ni bukan pasal jawatan Ketua Bahagian. Kan saya dah kata tadi. Pasal projek pembinaan surau baru. Dato’ kan berkuasa dan berpengaruh. Tolonglah saya,” ulang Zainal.
“Zainal, dalam untuk mendapatkan projek kita ada peraturan. Sebagai wakil rakyat yang dilantik oleh penduduk di kampung ni saya berpegang pada prinsip tidak akan menggunakan kuasa politik untuk memenuhi kehendak awak. Itu salah guna kuasa namanya dan menjadikan awak sebagai kroni saya untuk hidup mewah. Ini boleh menjejaskan nama baik dan reputasi saya dalam pilihan raya akan datang. Saya harap awak faham,” Yang Berhormat Dato’ Daud berkata dengan panjang lebar.

Sayup-sayup kedengaran suara angin malam. Membelai seluruh suasana kamung. Penuh ketenangan dan kedamaian.

Melalui jendela yang ternganga luas angin yang bertiup dari arah bukit menyusup masuk membangkitkan rasa nyaman dan dingin. Di balik awan hitam yang pekat jelas kelihatan bulan bersinar indah. Bersama kerlipan bintang.

Begitu juga dengan bunyi suara cengkerik bersahut-sahutan. Jelas kedengaran. Memecah seluruh suasana kampung indah permai dibuai dalam kepekatan malam.

Sekali-sekala turut kedengaran bunyi pelepah kelapa yang tumbuh di halaman rumah Pak Lokman disapu angin malam. Mengeluarkan irama sungguh merdu. Mengusik jiwa bila didengar. Mengikut rentak tiupan angin. Berirama sepoi-sepoi bahasa.

“Amir belajar bidang apa di universiti?” soal Pak Lokman. Sambil menghisap rokok daun. Perlahan-lahan dihembusnya asap keluar. Berkepul-kepul memutih. Kelihatan naik ke atas. Kemudian hilang dibawa angin. Yang masuk melalui jendela yang terbuka luas.

“Senibina, tok,” balas Amir dengan pantas.

“Berapa lama cuti?” Pak Lokman tak putus-putus menyoal cucunya.

“Sebulan, tok. Sebab tulah Amir balik jumpa tok,” jelas Amir lagi.

“Tak cari kerja ke masa cuti ni?” tanya Pak Lokman pada Amir.

“Malaslah, tok. Saja Amir nak tenangkan fikiran di kampung ni. Baru aje lepas periksa. Tok. Cantik senibina surau kampung ni, ya,” Amir membalas.

“Memang cantik. Usianya pun dah seratus tahun,” Pak Lokman menjelaskan pada Amir.
“Seratus tahun?” Amir menganggukkan kepala. Dengan memandang wajah tua datuknya itu.

“Universiti tempat Amir belajar tentu berminat untuk menjadikan surau di kampung ini yang mencecah seratus tahun sebagai bahan kajian,” Amir menyambung.

“Kajian apa, Amir?” soal Pak Lokman dengan penuh minat sambil menyucuhkan api rokok daun ke dalam bekas berbentuk bulat yang diperbuat daripada tembaga.

Suara angin yang tiba-tiba bertiup kuat dari arah luar turut mengiringi perbualan rancak Pak Lokman dan cucunya. Mengenai surau tua. Menjadi tempat beribadat dan mengaji al-Quran. Sepertimana yang dituntut dalam agama Islam.

“Apa yang Amir tengok senibina tradisional surau tu memang menarik. Amir yakin. Surau tu berkait rapat dengan sejarah kampung ni. Jadi sewajarnyalah ia dipulihara dan dikekalkan. Sebagai khazanah warisan yang tinggi nilainya di kampung ni. Untuk tatapan generasi muda macam Amir ni.” Kata-kata yang keluar daripada mulut cucu Pak Lokman.
Memang benar apa yang Amir cakapkan tu. Itulah harapan tok sebelum menutup mata. Meninggalkan dunia ini. Mengikut nenek Amir. Yang terlebih dahulu pergi sebelum tok. Tak sanggup tok kehilangan sesuatu yang amat berharga di kampung ni. Bisik hati kecilnya.

Dengan rasa penuh lemah macam orang yang tidak bermaya perlahan-lahan Pak Lokman menundukkan kepala. Hatinya benar-benar tersentuh. Apabila bercakap tentang surau tua.

Amir berasa sungguh terperanjat apabila melihat gelagat datuknya itu. Seolah-olah ada rasa pilu yang cuba disembunyikannya dan menyandarkan harapan apabila menyentuh surau tua. Di luar angin dengan tiba-tiba sahaja berubah rentak. Dari kencang menjadi perlahan. Macam bersimpati dengan apa yang melanda jiwa tua Pak Lokman ketika ini.

“Tok! Kenapa, tok? Apa ada sesuatu yang tak kena ke dengan apa yang Amir cakap kan tadi. Amir minta maaf, tok ….” Amir mengeluarkan nada suara perlahan sambil memandang datuknya yang masih lagi tunduk berdiam diri.

Tak sanggup rasanya Pak Lokman untuk membiarkan cucunya ternanti-nanti. Bagi mengetahui jawapan sebenar mengapa kesayuan membelit wajahnya dengan tiba-tiba sahaja apabila membicarakan berkenaan surau tua di kampung ini.

Pak Lokman pantas mengangkat kepala memandang cucunya Amir yang ternyata sabar menanti apa yang bakal diperkatakannya nanti mengenai surau tua. Dia kemudiannya menarik nafas panjang. Amir yang duduk berhadapan dengannya hanya berdiam diri sambil memerhatikan sahaja gelagat yang ditunjukkan oleh datuknya itu.

“Apa yang Amir katakan itu memang benar. Tok bangga punya cucu macam Amir. Dalam usia muda memiliki semangat cintakan warisan bersejarah. Tapi sayang, Amir …,” Pak Lokman terhenti. Entah mengapa. Dengan tiba-tiba sahaja mulutnya terkunci rapat. Tak berdaya untuk meneruskan kata-kata. Rasa pilu semakin menebal menyiat-nyiat di jiwanya. Tatkala mengenangkan nasib yang bakal menimpa surau tua.

“Cakaplah, tok? Kenapa dengan surau tua tu?” Amir cepat menyoal datuknya. Rasa ingin tahu dengan lebih lanjut lagi semakin kuat bertapak. Dalam diri mudanya itu.

“Surau tu akan dirobohkan tak lama lagi dan digantikan dengan yang baru,” jelas Pak Lokman sebaliknya.
“Apa? Akan dirobohkan?” Amir berasa sungguh terkejut. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut tua datuknya itu.

Tok Ketua dan isterinya sedang rancak berbual-bual sambil menikmati minum petang.

“Assalamualaikum, tok!” Kedengaran suara orang dari bawah rumah memberi salam.

“Waalaikumsalam! Siapa tu, Jah? Cuba awak tengok,” arah Tok Ketua pada isterinya.

“Yalah, bang!” Isterinya menurut sahaja dengan pantas bangun menuju ke muka pintu.

“Tok Ketua ada di rumah, Mak Jah?” Zainal berkata. Sebaik-baik sahaja Mak Jah kelihatan di muka pintu sambil tercegat berdiri.

“Ada, Zainal!” Mak Jah menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Hah, jemputlah naik!” tambah Mak Jah lagi.
Zainal lalu naik ke dalam rumah. Cuaca petang ini terasa begitu panas sekali.

“Jemput duduk, Zainal. Mari kita minum bersama. Jah! Bawakan lagi cawan,” pinta Tok Ketua sambil bersalaman dengan Zainal.

Mak Jah pantas masuk ke dapur. Untuk mengambil cawan. Sepertimana yang diarahkan oleh suaminya.

“Saya datang ni ada perkara penting nak bincang dengan tok,” ucap Zainal pada Tok Ketua.

Tak lama kemudian muncul Mak Jah dari dapur sambil membawa cawan dan perlahan-lahan diletakkannya di atas meja. Mak Jah kemudiannya lalu mengangkat tekoh dan menuangkan air kpi yang masih lagi panas ke dalam cawan yang kosong itu. Asap nipis dari air kopi itu jelas kelihatan teroleng-oleng. Naik ke atas.

“Jemput minum, Zainal. Goreng pisang pun ada ni,” pelawa Mak Jah pula sambil meletakkan tekoh ke bawah semula di atas meja berbentuk empat segi dengan beralaskan kain bercorak bunga-bunga berwarna biru air laut.
“Terima kasih, Mak Jah!” Zainal menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Mak Jah beredar semula ke dapur.

“Perkara penting apa, Zainal?” tanya Tok Ketua dengan penuh minat.

Zainal sebaliknya tidak menjawab pertanyaan Tok Ketua itu. Perlahan-lahan dia memegang tangkai cawan dan menghirup air kopi yang masih panas itu.

Angin yang bertiup perlahan dari arah bukit tidak mampu menepis bahang cuaca panas di luar. Pohon-pohon seakan-akan tidak bergoyangan. Begitu juga dengan bunyi geseran daun-daun tidak kedengaran. Memecah suasana petang. Yang penuh diwarnai dengan ketenangan dan kedamaian desa tercinta.

“Pasal surau tua tu, tok?” Zainal bersuara sebaik-baik sahaja selesai meneguk air kopi yang masih panas itu sambil menurunkan semula cawah ke bawah yang beralaskan piring.

“Kenapa pulak dengan surau tua tu, Zainal?” Tok Ketua menyoal dengan penuh minat bercampur hairan dengan mengangkat kepala. Memandang wajah Zainal. Anak jati kampung ini. Yang juga seorang kontraktor.

“Tok kan tahu. Surau tu kan dah lama. Dah tiba masanya kita gantikan dengan yang baru. Buat apa digunakan lagi,” kata Zainal lagi pada Tok Ketua.

“Memang betul cakap kau tu, Zainal. Setiap yang lama apabila tiba masanya perlu digantikan dengan yang baru. Tapi kita mesti ingat, Zainal. Untuk membina surau yang baru perlukan belanja yang besar juga. Mana kita nak cari duit?” jelas Tok Ketua pula sebaliknya.

“Tentang hal tu tok kenalah gunakan kuasa sebagai ketua di kampung ni,” ucap Zainal.

“Apa maksud kau ni, Zainal? Lain macam aje bunyinya. Seolah-olah ada sesuatu yang kau harapkan dari aku!” Tok Ketua berasa sungguh terperanjat. Dengan apa yang diperkatakan oleh Zainal itu.

“Begini, tok. Perkara ni tok bawa kepada Yang Berhormat Daud. Dah tentu dia ambil perhatian. Sebab melibatkan dia sebagai wakil rakyat di kawasan ni dalam pilihan raya akan datang,” terang Zainal.

“Kenapa tak kau sendiri yang bercakap pada dia? Kau sendiri anak jati kampung ni dan memilih dia sebagai wakil rakyat. Kau pun ada hak,” Tok Ketua cepat memintas.

“Saya dah jumpa dia. Bawa kertas kerja dan belanja untuk bina surau tu. Saya minta surat sokongan daripada dia. Untuk mendapat kelulusan membina surau baru. Tapi dia tak nak tolong, tok.” Zainal menceritakan hal yang sebenarnya kepada Tok Ketua.

“Kalau aku jadi macam dia pun memanglah aku tak nak tolong kau,” Tok Ketua bersuara.

Rasa terkejut pantas kelihatan di muka Zainal sebaik-baik sahaja mendengar jawapan yang diberikan oleh Tok Ketua itu juga seorang pesara tentera.

“Eh! Kenapa pulak tok cakap macam tu? Tok ni nampaknya macam Yang Berhormat Dato’ Daud jugak. Belum apa-apa lagi dah tak nak tolong saya,” balas Zainal.
“Ini bukannya soal nak tolong kau atau tidak. Tapi cara yang kau gunakan tu tak kena pada seorang kontraktor dalam mendapatkan sesuatu projek,” Tok Ketua menambah.

“Tok! Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan bersama penduduk kampung ni jugak. Bukannya untuk kepentingan diri sendiri,” Zainal sebaliknya berdalih sedangkan tujuan utama dia mencadangkan projek pembinaan surau baru itu adalah untuk mengaut kemewahan untung semata-mata.

“Betul!” angguk Tok Ketua pula sebaliknya.

“Kan aku dah kata tadi. Dalam mendapatkan sesuatu kenalah dengan cara yang betul. Bukannya dengan jalan pintas. Dengan menggunakan kuasa politik Yang Berhormat Dato’ Daud,” ulang Tok Ketua lagi.

Ternyata Zainal tidak boleh menerima nasihat Tok Ketua itu. Rasa bosan jelas nampak di mukakanya. Disangkanya Tok Ketua mudah dipengaruhi untuk membuatkan Yang Berhormat Dato’ Daud menyokong projek pembinaan surau baru. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kata-kata pedas dan pedih yang diterimanya daripada Tok Ketua. Sedangkan jauh sekali dia hendak menyakitkan hati Zainal.

Memang benar. Kejayaan dalam hidup ini tidak mudah datang bergolek. Perlu dengan kerja keras dan usaha gigih.

“Tok tak takut ke dengan keadaan surau yang dah nampak sanggat uzurnya. Merbahaya. Kalau apa-apa berlaku nanti siapa yang susah.” Zainal jelas tidak berputus asa memujuk Tok Ketua. Supaya menyokong cita-citanya untuk mendapatkan projek pembinaan surau baru. Melalui sokongan kuat kuasa orang politik seperti Yang Berhormat Dato’ Daud untuk mendapatkannya dengan mudah. Tanpa perlu bersaing dengan kontraktor lain.

“Siapa kata tak merbahaya, Zainal,” balas Tok Ketua.

“Dah tu? Kan lebih baik aje dirobohkan dan digantikan dengan yang baru. Sebelum terjadi sesuatu yang buruk,” Zainal memintas dengan cepat.

“Zainal …! Zainal …!” Tok Ketua menggeleng-gelengkan kepala.

“Cakap saya ni bukan gurau, tok. Tapi adalah kenyataan!” tegas Zainal. Yang semakin berasa bosan amat sangat apabila kata-kata yang keluar daripada mulut Tok Ketua itu. Menerjah masuk ke dalam telinganya.

“Pandai kau bercakap tentang kenyataan, ya? Ni aku nak tambah lagi. Segala yang baik dan buruk untuk kita manusia yang hidup sementara ni datangnya dari Tuhan. Begitu juga dengan surau tu. Walaupun dah tua tak boleh kita kata akan runtuh bila-bila masa,” Tok Ketua mencelah.

“Tok syarahkan saya nampaknya,” kata Zainal.

“Ini bukan soal syarahkan kau, Zainal. Macam yang kau katakan tadi. Kenyataan. Semua yang berlaku atau tidak adalah kehendak Tuhan. Insya-Allah. Surau tu takkan runtuh. Walaupun dimamah usia. Senibinanya masih kuat dan aku tak nampak pun bahagian yang condong,” Tok Ketua bersuara.

“Tak apalah, tok. Saya minta diri dulu. Nak jumpa kawan.” Zainal mengeluarkan nada suara hampa.

“Sebelum tu aku tak pernah nampak pun kau menjejakkan kaki ke surau. Seingat aku Rahman anak aku, Yang Berhormat Dato’ Daud dan kau masih kecil-kecil dulu belajar mengaji al-Quran di surau tu dengan arwah Lebai Taib. Apa kau dah lupa ke?” ingat Tok Ketua.

“Tak lupa, tok. Masih ingat lagi,” Zainal membalas.

“Aku ni bukannya apa, Zainal. Nak berpesan termasuk diri aku. Daripada memikirkan surau baru lebih baik buat banyak amal ibadat di surau tua tu,” tekan Tok Ketua lagi.

“Ke situ pulak perginya tok ni. Dahlah, tok. Saya balik dulu,” rengus Zainal. Sebelum meninggalkan rumah Tok Ketua.

Pak Lokman mendongakkan kepala ke atas. Matahari kian meninggi. Dah tengah hari agaknya. Teka dalam hati. Dia lupa membawa jam tangan. Kemudian dia lalu mengesat peluh yang mengalir membasahi dahinya.

“Dah pukul berapa, Amir?” dia bertanya pada cucunya. Yang membantunya mengerjakan kebun. Tanpa menghiraukan panas matahari. Umpama api yang membakar. Bahangnya terasa pedih menggigit-gigit permukaan kulit tua Pak Lokman dan kulit muda Amir.
Selalunya Pak Lokman mengerjakan kebun seorang. Tapi hari ini berdua dengan cucunya Amir. Yang pulang bercuti di kampung.

Amir berhenti seketika dan melihat jam di tangannya.

“Tepat pukul 12.00, tok.” Amir memandang wajah datuknya.

“Patutlah. Rasa macam matahari tegak atas kepala. Sudahlah tu, Amir. Mari kita berehat ke pondok sana tu,” ajak Pak Lokman.

“Yalah, tok!” angguk Amir. Menurut sahaja ajakan datuknya itu.

Angin yang datang dari arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Menyapu seluruh kampung dan rimba yang subur menghijau. Pokok durian, rambutan, langsat, manggis dan cempedak di kebun Pak Lokman meliuk-liuk. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Mengikut rentak tiupan angin. Begitu juga dengan desiran daun-daun. Menjadi lagu indah penghibur jiwa penghuni desa. Memecahkan seluruh suasana alam penuh dengan rasa ketenangan dan kegembiraan apabila dihayati.

Rasa dingin dan nyaman membungkus pondok tempat Pak Lokman dan cucunya melepaskan penat. Setelah mengerah kudrat mengerjakan kebun. Bahang hangat matahari dapat ditepis di bawah pondok yang beratapkan zink dengan bertiangkan dan berlantaikan kayu.

Cahaya yang menyimbah dari matahari yang tinggi di langit biru bersama gumpalan awan tebal memutih menjadikan seluruh alam semesta ciptaan Tuhan jelas kelihatan terang-benderang.

“Tak lama lagi berbuahlah durian tu, tok,” Amir bersuara.

“Kalau berbudi pada tanah inilah hasilnya, Amir,” Pak Lokman menjawab sebaliknya. Sambil mengibas-ngibas badannya dengan kain. Untuk menyejukkan badan daripada rasa haba panas.

“Siapa yang membina surau tu, tok?” tanya Amir.

“Menurut cerita daripada arwah ayah tok surau tu dibina secara gotong-royong sama dengan kampung ni dibuka,” kata Pak Lokman.

“Berapa lama surau tu siap, tok?” Amir menyoal datuknya dengan penuh minat sambil membetulkan duduk.

“Mengambil masa yang lama jugak!” Pak Lokman memberikan jawapan sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sungguh halus seni pertukangan surau tu. Memang sayang kalau ditukar dengan baru. Hilanglah warisan bersejarah yang terdapat di kampung ni. Tak dapatlah generasi selepas Amir untuk melihatnya,” luah Amir.

“Benar sekali, Amir!” angguk Pak Lokman dengan cepat.

“Surau tu bukan sahaja mempunyai senibina yang menarik tapi juga sejarah sewaktu zaman komunis dulu!” sambung Pak Lokman lagi dengan penuh bersemangat.

“Menarik tu. Sejarah apa, tok?” ucap Amir pula sebaliknya.

“Seingat tok semasa komunis mengganas di surau tulah penduduk kampung berkumpul untuk mencari jalan menumpaskan komunis,” jelas Pak Lokman lagi.

“Jadi, surau ni bukan sahaja kaya dengan senibina lama tapi tersimpan sejarah perjuangan orang-orang kampung menentang komunis,” ujar Amir pada Pak Lokman.
“Amir tahu tak macam mana surau ni dibuat pada waktu tu?” Nada suara tua Pak Lokman tenggelam bersama desiran angin. Yang tiba-tiba bertiup kencang menyapu seluruh alam semesta.

“Tentu tak sama dengan zaman sekarang,” Amir cepat memotong dengan memandang muka datuknya.

“Benar, Amir! Arwah ayah tok juga sama-sama membina surau tu. Dari cerita yang tok dapat kayu diambil dari hutan. Alat yang digunakan pada waktu tu kapak, beliung dan parang,” jelas Pak Lokman lagi.

“Memang hebat dan menarik senibina dan pertukangan orang zaman dahulu. Kalau kita biarkan ia hilang susah nak dicari ganti. Tak akan jumpa lagi seumur hidup kita surau lama dan bersejarah. Macam di kampung kita ni.” Amir memberikan pandangan.

Serta-merta Pak Lokman menjadi diam. Kata-kata Amir itu memang benar. Pak Lokman berasa sungguh bertuah. Dia tidak keseorangan. Dalam berjuang mempertahankan surau itu daripada dirobohkan. Dengan alasan Zainal sudah tiba masanya ia digantikan dengan yang baru.

Memang benar kata-kata pepatah patah tumbuh hilang berganti. Mudah menggantikan yang lama dengan yang baru. Tapi hakikatnya yang baru tak akan sama dengan yang lama. Yang tinggi nilainya sebagai khazanah warisan dan sejarah tiada galang gantinya di kampung ini.

Pohon-pohon yang mengangguk-angguk dibelai angin yang bertiup seolah-olah turut sama menyokong perjuangan suci murni Pak Lokman dan cucunya itu.

“Biar apa sekalipun terjadi Amir namanya untuk surau itu digantikan dengan yang baru tidak sekali-kali, Amir!” ikrar Pak Lokman pula dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat.

“Amir juga begitu, tok. Amir akan tetap teguh berdiri di belakang, tok!” Amir sebaliknya menambah.

Rasa terharu dan gembira lalu menyelubungi jiwa Pak Lokman yang telah dimamah usia. Namun begitu semangatnya muda. Demi untuk sebuah surau tua.

“Kalau hanya kita berdua saja, tok untuk menyelamatkan surau tu, tok tak ke mana jawabnya, tok,” Amir berkata.
“Betul juga kata Amir tu. Habis? Apa kita nak buat?” angguk Pak Lokman. Dari raut mukanya jelas terpancar. Tidak mengerti akan maksud cucunya itu. Yang tergolong dari kalangan remaja yang terpelajar.

“Begini, tok apa kata kita jumpa Tok Ketua dan cadangkan diadakan gotong-royong bersama penduduk kampung. Untuk membaiki kerosakan yang terdapat pada surau tu. Hanya dengan cara ni sajalah jalan yang terbaik untuk memelihara dan menyelamatkan surau tu sebagai warisan bersejarah di kampung ni. Bagi terus digunakan sebagai tempat beribadat sejak dari generasi awal di kampung ni dan dihayati selama-lamanya oleh generasi saya dan seterusnya,” Amir menerangkan pada datuknya.

“Bagus sekali cadangan Amir tu. Tok setuju. Petang ni jugak lepas solat Asar nanti kita pergi ke rumah Tok Ketua. Dahlah, Amir. Hari pun dah makin tengah hari. Marilah kita balik,” kata Pak Lokman.

“Yalah, tok!” Amir pantas mengangguk-anggukkan kepala.

Pak Lokman dan cucunya lalu beredar meninggalkan kebun. Menuju pulang ke rumah. Bersama semangat jitu dan membara. Untuk mempertahankan sebuah surau tua. Yang kaya dengan khazanah warisan dan sejarah silam yang tiada gantinya di kampung ini.

Seperti yang dijanjikan selepas menunaikan solat Asar Pak Lokman dan Amir pergi ke rumah Tok Ketua. Nyata mereka tidak bertepuk sebelah tangan. Tok Ketua sebagai pemimpin di kampung ini menyokong hasrat murni Pak Lokman dan Amir itu.

Tidak sekadar dengan memberikan sokongan Tok Ketua telah berjumpa dengan Yang Berhormat Dato’ Daud untuk memohon bantuan membaiki kerosakan yang terdapat di surau tua. Yang Berhormat Dato’ Daud telah menghulurkan bantuan dalam puluhan ribu ringgit.

Ternyata usaha murni Pak Lokman dan cucunya dalam menyelamatkan dan memelihara surau tua sebagai warisan bersejarah melalui permuafakatan gotong-royong penduduk kampung mendapat sambutan yang menggalakkan. Seluruh penduduk kampung tanpa mengira peringkat tua dan muda sama-sama menggembleng tenaga dan bahu. Dalam memastikan surau tua terus kekal dan menjadi kemegahan sebagai warisan bersejarah di kampung ini.

Akhirnya surau tua berubah wajah baru dengan ciri-ciri senibina masyarakat Melayu lama masih lagi kekal. Pak Lokman tersenyum puas dan gembira apabila melihatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience