BAB 18

Drama Completed 192

TERPERCIK SINAR HARAPAN

Melalui jendela kaca Tuan Mahadi melontarkan pandangan ke arah bangunan-bangunan tinggi yang hampir mencakar langit. Cuaca kelihatan cerah. Deru kenderaan tak henti-henti berlibur di jalan raya. Siang dan malam. Kesibukan. Menjadi rutin kehidupan penghuni kota besar.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik. Tuan Mahadi. Sudah hampir 36 tahun memegang jawatan ketua jabatan. Bulan depan dia akan bersara. Sudah tiba masanya. Mahu atau tidak. Suka mahupun sebaliknya. Dia terpaksa berundur. Memberi laluan kepada orang lain. Untuk menerajui jabatan.

Dia menarik nafas panjang. Pelbagai suka dan duka dilaluinya. Sepanjang menjadi ketua jabatan. Lamunannya pantas terhenti. Apabila mendengar bunyi pintu diketuk.

“Masuk!” dia bersuara sambil berpaling ke arah pintu.

Rosnah. Setiausaha yang berusia dalam lingkungan awal 20-an muncul sambil memegang diari harian.

“Assalamualaikum, tuan,” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam,” Tuan Mahadi menjawab.

“Semua surat yang saya beri tuan dah minit?” soal Rosnah.

“Dah! Ambillah!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sebelum tu saya nak ingatkan jadual tuan hari ini,” ucap Rosnah sambil membuka diari harian.

“Baiklah! Apa dia?” dia sebaliknya menjawab sambil duduk di atas kerusi.

“Pukul 10.00 pagi tuan ada mesyuarat dengan kakitangan. Sebelah petang pulak pukul 2.30 petang tuan ada mesyuarat di kementerian.” Rosnah yang tercegat berdiri mengingatkan ketua jabatannya.
“Itu saja?” tanyanya sambil mengangkat kepala tinggi sedikit. Memandang wajah Rosnah.

“Ya, tuan!” dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala. Diari harian segera ditutupnya.

“Baiklah, Rosnah. Terima kasih!” ucap Tuan Mahadi pula.

“Sama-sama. Saya ambil semua surat ni, tuan. Untuk tindakan,” kata Rosnah.

Tuan Mahadi cuma mengangguk diam. Sambil memandang Rosnah yang memakai tudung berwarna biru air laut dan baju kurung berwarna merah jambu mengambil surat-surat yang telah diminitkan di atas meja.

“Ada apalagi, tuan?” soal Rosnah sebelum berlalu pergi.

“Tak ada. Kalau ada apa-apa nanti. Saya panggil,” dia membalas sambil membetulkan duduk.

“Baik, tuan. Saya pergi dulu!”
Tuan Mahadi sekali lagi membalas dengan anggukan diam. Rosnah menuju ke pintu. Dia kembali semula melayan lamunan yang terhenti seketika. Setelah setiausahanya itu tidak lagi kelihatan di pandangan mata. Tuan Mahadi terkenal dengan sifatnya yang tegas dan komited. Dalam menjalankan tugas sebagai seorang ketua jabatan.

Dia turut mengambil berat terhadap kebajikan kakitangan. Berpegang kepada prinsip. Bekerja untuk jabatan. Bukan untuk Tuan Mahadi sebagai ketua. Demi negara tercinta. Paling penting kerja adalah ibadah. Sering ditekankannya kepada kakitangan.

Bagi dia semua kakitangan di bawahnya adalah ibarat sebuah keluarga. Bekerja sebagai satu pasukan. Susah senang dihadapi bersama. Kerja yang berat akan menjadi ringan. Bila semua kakitangan bersatu. Dari peringkat bawah hingga ke atas. Mempunyai rasa tanggungjawab sepenuhnya terhadap jabatan.

Kejayaan jabatan adalah kejayaan bersama. Bukan kejayaan dia seorang sebagai ketua jabatan. Dia amat mengutamakan disiplin. Setiap kali mesyuarat kakitangan dia tidak pernah lupa menyentuh soal disiplin. Bagi dia disiplin adalah kunci utama untuk menjadi seorang pekerja yang cemerlang dan berjaya dalam hidup.
Dia berpegang kuat pada prinsip setiap pekerjaan yang dilakukan harus bersungguh-sungguh. Disertakan dengan minat dan keazaman yang tinggi. Akan menghasilkan kerja yang berkualiti. Maka sewajarnyalah Anugerah Khidmat Cemerlang menjadi habuan kepada kakitangan yang memberi sepenuh tumpuan dan komited terhadap pekerjaan. Dalam pemberian anugerah ini dia bersikap adil dan telus. Tidak memandang kaki ampu atau kaki bodek. Kurang bekerja. Tapi angkat ketua jabatan melambung-lambung tinggi.

Akibatnya kakitangan yang bekerja kuat menjadi mangsa. Tuan Mahadi tidak gemar pada kakitangan yang bermasalah dan tidak mengikut peraturan. Kesannya akan menjejaskan nama baik jabatan. Dia tidak bertoleransi dalam perkara ini. Berpegang kuat pada falsafah. Putih tetap putih. Hitam tetap hitam. Sekali membuat keputusan. Namanya untuk berundur. Tidak sekali-kali.

Seorang ketua yang telah diamanahkan oleh kerajaan harus berpendirian tegas. Dalam soal mengambil tindakan tatatertib dia bersikap adil. Tidak mengira kakitangan itu komited dalam pekerjaan. Namun begitu apabila didapati dia melanggar disiplin. Tetap akan menerima hukuman. Demi kebaikan bersama jabatan.

Peluang kenaikan pangkat diutamakan kepada kakitangan lama dan bekerja kuat. Dia sedar. Tanggungjawab sebagai ketua jabatan berat. Setiap kali selepas menunaikan solat dia tidak lupa memunajatkan doa ke hadrat Allah SWT. Moga kakitangannya dirahmati. Dilindungi kesejahteraan sentiasa. Mempunyai rasa tanggungjawab sebagai penjawat awam. Melaksanakan amanah yang telah diberi. Menganggap pekerjaan yang dilakukan itu adalah ibadah semata-mata. Dijauhi daripada sebarang kemungkaran.

Dia juga tidak lupa mengingatkan kakitangan. Agar sentiasa berpegang kuat. Pada ajaran agama. Di akhirat nanti dia akan disoal. Sering mengadakan kursus dan program. Berkaitan dengan keagamaan. Untuk kakitangan. Tidak lupa bacaan Yassin. Setiap bulan sekali. Pada hari Jumaat.

Bagi dia kakitangan yang tidak berpegang teguh pada ajaran agama adalah terumbang-ambing. Seperti kapal yang dipukul gelombang ganas di lautan. Sebagai nakhoda dia harus menyelamatkannya. Tuan Mahadi turut menitikberatkan kecergasan dan kesihatan kakitangan. Melalui Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan dia mengajak kakitangan bersukan dan beriadah.

Mengadakan pertandingan bola sepak, badminton, bola tampar, sepak takraw, karom dan sebagainya. Melakukan aktiviti lasak seperti kembara dan mendaki gunung. Bagi dia ini akan mengeratkan lagi semangat berpasukan dan silaturrahim di kalangan kakitangan. Apabila otak dan minda cergas produktiviti kerja akan meningkat. Tekanan tidak akan dirasai oleh kakitangan.

Dari peringkat kakitangan bawahan hinggalah ke atas benar-benar menyenangi Tuan Mahadi. Tiba-tiba dia teringat akan perbualan dengan Tuan Ahmad. Sama jawatan dengannya. Sewaktu makan tengah hari di Restoran Kampung tempoh hari.

“Kalau boleh saya nak bekerja hingga ke akhir hayat, Tuan Ahmad,” katanya. Tuan Ahmad sebaliknya hanya ketawa kecil. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutnya itu.

“Tuan Mahadi. Tak akan selama-lamanya kita bekerja. Dah tiba masanya kita berehat,” dia membalas sambil membetulkan duduk.

“Itu saya tahu. Tapi saya sering bertanya pada diri. Apakah misi dan visi jabatan sudah tercapai sepenuhnya?” luahnya sambil memandang Tuan Ahmad yang bermuka bujur sirih, berambut lurus dan berkulit cerah. Badannya agak gempal sedikit.
“Patah tumbuh hilang berganti. Tuan Mahadi mesti yakin. Ketua jabatan yang baru akan berjaya melaksanakannya. Lagipun Tuan Mahadi akan bersara pada tahun ini. Tak usahlah difikirkan sangat,” dia membalas.

“Saya sebenarnya tak pernah rasa puas dalam bekerja ni, Tuan Ahmad. Seperti kata bekas ketua jabatan saya yang terdahulu. Sekali jatuh cinta dalam sesuatu bidang. Selama-lamanya akan jatuh cinta,” ucap Tuan Mahadi pada rakan sejawatannya itu.

“Saya benar-benar kagum dengan Tuan Mahadi. Masih lagi bersemangat untuk bekerja. Walaupun sudah sampai ke penghujung perkhidmatan. Kalau semua ketua jabatan macam Tuan Mahadi ini. Saya yakin. Perkhidmatan awam di negara ini akan menjadi yang paling terbaik di dunia. Segalanya berpunca daripada semangat bekerja dan kepimpinan yang harus dicontohi oleh kakitangan,” dia menambah dengan panjang lebar.

Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Tarikh untuk dia bersara semakin hampir. Mengucapkan selamat tinggal pada jabatan. Namun begitu dia tetap nekad. Selagi masih kesempatan yang ada. Akan memastikan misi dan visi jabatan terlaksana sepenuhnya. Agar tidak menghampakan pelanggan yang berurusan dengan jabatan.

Di sanubari Tuan Mahadi terpercik sinar harapan. Semoga ketua jabatan yang baru nanti akan mengikut jejak langkahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience